BAB 3

Romance Completed 12076

“Okey la, akak rasa…. akak boleh ceritakan kisah cinta. Tapi, kisah cinta ni ialah kisah cinta sepasang bangau,” ujar Mariana sambil mengambil majalah yang masih berada di atas meja itu. Cepat-cepat dia menyimpannya di dalam laci meja. Majalah itu tidak sesuai dibaca oleh kanak-kanak.

“Bangauu??” Serentak Adriana Iffah dan Harraz Rifqi bersuara. Laju Mariana mengangguk.

“Bangau oh bangau…. kenapa engkau kurus. Macam mana aku tak kurus… ikan tak mahu timbul.” Tiba-tiba Harraz Rifqi menyanyi. Dia dan Adriana Iffah baru sahaja mempelajari lagu ini di sekolah untuk satu persembahan lakonan.

“Iffah pun nak nyanyi juga! Ikan oh ikan… kenapa kau tak mahu timbul. Macam mana aku nak timbul… rumput panjang sangat,” sambung Adriana Iffah pula.

Kemudian, mereka memandang Mariana.

“Akak, sambunglah!” Serentak itu juga mereka berkata.

Adoii, aku kena nyanyi juga ke? Fikir Mariana sambil menggaru-garu kepalanya. Ah… layan sahajalah mereka ni. Putus Mariana kemudian.

“Rumput oh rumput…. kenapa kau panjang sangat. Macam mana aku tak panjang…. kerbau tak makan aku.” Adriana menyanyi.

“Hahahaha….” Mereka ketawa serentak. Seronok sungguh rasanya.

“Kau orang berdua ni, tahu ke apa maksud lagu ni?” Sengaja Mariana bertanya.

“Cikgu kata, jangan suka salahkan orang lain kalau terjadi apa-apa yang buruk,” jawab Adriana Iffah dan disokong Harraz Rifqi.

“Okey, akak nak cerita ni. Pada zaman dahulu kala, ada seekor bangau jantan dan seekor bangau betina. Kedua-dua bangau ni merupakan sepasang kekasih yang sangat bahagia. Kalau Iffah dan Rifqi nak tahu, tempat tinggal bangau ni tak tetap. Sebab, bangau hidup dengan cara berpindah randah. Sekejap tinggal kat pantai sini, sekejap tinggal kat pantai sana.” Mariana berhenti sebentar untuk mengambil nafas panjang.

“Oh…. kesian bangau tu sebab kena pindah-pindah, kan? Bangau tu tak ada rumah sendiri ke, kak?” Soal Adriana Iffah. Dia kelihatan sungguh berminat dengan cerita yang sedang disampaikan oleh Mariana itu. Begitu juga dengan Harraz Rifqi.

Mariana ketawa mendengar soalan itu. Alahai…. budak kecil ini. Rumah pula yang ditanya.

“Bangau tak ada rumahlah, sayang. Bangau tinggal kat kawasan pantai,” jawab Mariana sambil menggosok kepala Adriana Iffah. Kusut masai jadinya rambut budak kecil itu.

“Ooo…!” Mulut Adriana Iffah sudah membentuk huruf ‘O’.

“Okey, akak sambung ya. Pada suatu hari, tibalah masanya untuk pasangan bangau ini berpindah dan mencari tempat tinggal atau pantai yang baharu. Mereka pun terbang… terbang… dan terus terbang. Tengah asyik terbang ni, mereka tak perasan yang ada seorang pemburu kat bawah tu tengah menghalakan senapangnya ke arah mereka.” Sekali lagi Mariana berhenti bercerita. Dia menghela nafasnya dalam-dalam sambil memejamkan mata, seolah-olah dia pula yang sedang berhadapan dengan risiko muncung senapang itu.

“Lepas tu, apa yang terjadi, kak?” Harraz Rifqi sudah tidak sabar untuk mengetahuinya.

“Bangau tu kena tembak ke??” Adriana Iffah menambah soalan.

“Sabar ya, adik-adikku. Akak nak ceritalah ni. Akhirnya, pemburu tu menembak bangau betina dan bangau jantan pula terselamat.”

Mulut Adriana Iffah dan Harraz Rifqi melopong. Mariana tersenyum melihat reaksi mereka.

“Tapi, sebenarnya pemburu tu bukanlah seorang yang jahat. Dia membawa bangau betina itu kepada doktor haiwan dan merawat lukanya,” sambung Mariana.

“Wah…. baiknya pemburu tu!” Celah Adriana Iffah.

“Betul tu, Iffah. Okey, akak nak tanya. Korang rasa, apa yang terjadi kepada bangau jantan selepas kekasihnya iaitu bangau betina tinggal dengan pemburu tu? Mereka telah terpisah ni,” soal Mariana.

Adriana Iffah dan Harraz Rifqi berpandangan. Kemudian mereka menggeleng. Tidak mampu teka apa yang terjadilah.

“Ha… bahagian inilah yang akak suka nak cerita. Sebenarnya, bangau ialah seekor burung yang sangat terkenal dengan nilai setia.” Cerita Mariana terhenti lagi kerana dia terdengar soalan daripada Harraz Rifqi.

“Bangau tu burung? Bukan ke burung tu selalunya kecil-kecil? Tapi, bangau tu besar,” sangkal Harraz Rifqi dengan perasaan Pelik. Dia kurang faham.

“Ya, Rifqi. Bangau tu memang sejenis burung walaupun saiznya besar. Okey, burung helang besar tak?” Mariana sedang cuba memberi kefahaman kepada Harraz Rifqi. Terbantut sudah niatnya untuk bercerita mengenai nilai setia yang ada pada bangau.

“Besarrr! Burung helang boleh angkat orang dengan cakarnya. Burung helang kuat!” Begitu bersemangat Harraz Rifqi menjawab.

“Ha… tu, besar kan? Tadi Rifqi kata, kalau burung kecil aje?” Duga Mariana.

“Opsss!!!” Harraz Rifqi menutup mulutnya. Sedar bahawa dia sudah tersilap cakap.

“Tapi, bangau tu tak nampak macam burung, pun?” Celah Adriana Iffah pula.

“Okey, akak faham. Bangau tak nampak macam burung sebab kakinya panjang. Lepas tu, lehernya pun panjang, kan? Tapi, bangau ada paruh. Dia ada kepak. Dan dia juga boleh terbang, sama macam burung-burung yang lain,” terang Mariana. Dia perlu bersabar dalam melayan kerenah dan pertanyaan dua orang kanak-kanak di hadapannya itu.

“Ooo…!” Sekali lagi mulut Adriana Iffah membentuk huruf ‘O’. Harraz Rifqi pula mengangguk tanda faham.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience