BAB 5

Romance Completed 12076

Mariana mengambil kertas A4 berwarna warni dari dalam bilik. Gamat suasana di ruang tamu itu apabila mereka saling membaling bangau masing-masing yang sudah berjaya disiapkan. Konon-kononnya mahu menerbangkan bangau kertas itu. Tidak ada maknanya, semua bangau kertas itu jatuh semula ke lantai.

Ding… Dong!

“Assalamualaikum!”

Tiba-tiba loceng rumah berbunyi diikuti ucapan salam. Itu macam suara mak! Jerit Mariana dalam hati. Cepat-cepat dia membuka pintu.

“Waalaikumussalam, mak,” balas Mariana. Tepat tekaannya. Puan Sally dan Puan Hamidah sudah tercegat di depan pintu.

“Ya-Allah! Apa yang kau orang buat di rumah ni?? Masya-Allah…. bersepah dengan kertas warna warni,” bebel Puan Sally sebaik masuk ke dalam rumah.

Mariana, Harraz Rifqi, dan Adriana Iffah hanya tersengih mendengar bebelan tersebut.

****************************************************************

KETIKA ini, Mariana, Adriana Iffah, Puan Sally dan suaminya iaitu Encik Hussein sudah berada di meja makan rumah Puan Hamidah kerana menerima jemputan makan malam. Ada berita yang mahu disampaikan katanya. Berita apa itu tidak pula Puan Sally sekeluarga tahu. Hati mereka tertanya-tanya juga. Seperti ada berita gempar pula.

“Ada berita apa ni, Midah?” Puan Sally bertanya dalam nada kurang sabar. Suaminya hanya memerhati.

“Rasanya, eloklah kalau Lan yang jelaskan. Silakan, bang!” Puan Hamidah mempersilakan suaminya.

“Sebenarnya, saya dinaikkan pangkat daripada jawatan penolong pengurus kepada pengurus cawangan. Syarikat menghantar saya untuk menguruskan cawangan syarikat yang baharu. Tempatnya jauh pula dari kampung ni. Tak laratlah saya nak berulang-alik setiap hari. Jadi, terpaksalah kami sekeluarga pindah dari sini,” terang Encik Mazlan.

“Ya ke?” Hanya perkataan itu yang mampu Puan Sally katakan. Mulutnya sudah melopong. Dia benar-benar terkejut.

Nampaknya, Puan Sally bakal kehilangan sahabat baik merangkap penyokong setianya dalam mesyuarat ahli jawatankuasa kampung. Adriana Iffah juga bakal kehilangan rakan sepermainannya iaitu Harraz Rifqi.

“Sally, aku sebenarnya sayang sangat nak tinggalkan kampung ni. Lepas ni, aku mesti rindu nak berpersatuan dengan kau,” luah Puan Hamidah. Suaranya kedengaran sangat sebak.

Tanpa menunggu lama, Puan Hamidah bangun dan dia terus memeluk Puan Sally. Air matanya sudah bercucuran. Puan Sally pula masih kaku kerana terkejut. Sunyilah dia nanti tanpa Puan Hamidah di sisi.

“Bila pindahnya, Lan?” Encik Hussein yang senyap dari tadi mula bersuara.

“Esok, Sein,” jawab Encik Mazlan dengan berat hati.

“Cepatnya!” Serentak Encik Hussein dan Puan Sally bersuara.

Semakin lemah semangat Puan Sally mendengar jawapan Encik Mazlan itu. Puan Hamidah mengeratkan pelukannya. Sebenarnya, Puan Hamidah sudah mengetahui hal perpindahan ini sejak sebulan lalu. Tetapi, dia tidak sampai hati untuk memberitahu Puan Sally dan keluarganya.

Sementara itu, terdapat seseorang yang lain sedang kuat menahan perasaan di meja makan itu. Jiwanya seperti mahu memberontak. Dia tidak bersetuju dengan perpindahan yang bakal berlaku pada esok hari. Dia tidak suka!!!!

“Rifqi tak mahu pindahhh!!” Bentak Rifqi secara tiba-tiba. Tinggi sungguh nada suaranya.

Semua orang terperanjat dengan bentakan itu. kini, semua mata sudah menghala ke wajah Harraz Rifqi.

“Rifqi?” Tegur Puan Hamidah sambil menghampiri anak lelakinya itu.

Namun, belum sempat bahu Harraz Rifqi disentuh, Harraz Rifqi bingkas bangun dan berlari keluar dari ruang makan keluarganya itu. Tindakan Harraz Rifqi itu disusuli Adriana Iffah pula. Sekali lagi semua yang berada di situ tergamam. Ke mana mereka mahu pergi?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience