BAB 7

Romance Completed 12076

Imbas kembali…..

“Macam mana dengan Rifqi, bang? Dia tak nak pindah.” Puan Hamidah meluahkan kerisauannya. Dia sudah duduk berhadapan dengan suaminya di meja makan.

“Mana dia sekarang?” Encik Mazlan bertanya kembali.

“Ada kat dalam bilik. Dari tadi saya panggil dia sarapan. Tapi dia tak nak keluar. Kunci pintu pula tu,” adu Puan Hamidah.

“Walau bagaimanapun, kita kena bawa Rifqi sekali. Takkan kita nak tinggalkan dia kat sini pula,” tegas Encik Mazlan.

Encik Mazlan bangun dan membuka kabinet dapur. Dia mengeluarkan ubat tidur, lalu dicampurkan ke dalam segelas air. Terbuntang mata Puan Hamidah melihat apa yang sedang dilakukan suaminya.

“Abang nak buat apa dengan ubat tidur tu? Kejap lagi abang nak memandu, kan?” Tegur Puan Hamidah sepantas mungkin.

“Abang nak bagi anak kita tu minum. Nanti masa dia tertidur lepas minum air ni, kita angkat dia masuk kereta,” terang Encik Mazlan.

Sekali lagi mata Puan Hamidah terbuntang.

“Abang, anak kita tu baru aje bangun tidur. Abang nak suruh dia tidur lagi?”

“Dah tak ada cara lain lagi. Dia mati-mati tak nak pindah.”

Puan Hamidah terdiam.

Di dalam bilik, Harraz Rifqi sedang duduk berteleku di atas katil. Dia mendengar panggilan ibunya. Namun, dia tidak peduli. Dia masih mahu menunjukkan bantahan kepada isu perpindahan mereka.

“Rifqi, ayah ni. Tolong buka pintu ni, sayang!”

Kali ini Harraz Rifqi terdengar suara ayahnya pula. Ahhh, dia tidak peduli! Biarkan mereka. Dia terus berbaring dan memejamkan mata. Pura-pura tidur.

“Rifqi, ayah tahu Rifqi tak nak pindah. Ayah ikut kemahuan Rifqi. Kita tak jadi pindah. Tapi, Rifqi tolong buka pintu ni dulu, ya!” Encik Mazlan cuba menarik perhatian Harraz Rifqi.

Mendengarkan itu, mata Harraz Rifqi terbuka dengan luas. Laju dia bangun dan terus membuka pintu. Encik Mazlan tersenyum sambil memasuki bilik itu. Dia duduk di atas katil. Begitu juga dengan Harraz Rifqi.

“Betul ke kita tak jadi pindah?” Soal Harraz Rifqi. Dia mahukan kepastian. Kalaulah benar, alangkah seronoknya!

“Rifqi tentu haus. Daripada bangun tidur lagi Rifqi tak minum apa-apa, kan? Minum air ni dulu, Rifqi,” pelawa Encik Mazlan tanpa menjawab soalan Harraz Rifqi.

Gelas di tangan Encik Mazlan itu diunjukkan kepada Harraz Rifqi. Tanpa ragu-ragu, Harraz Rifqi terus mencapai gelas tersebut dan meminum airnya sehingga habis.

“Betul ke kita tak jadi pindah ni, ayah?” Sekali lagi Harraz Rifqi menyoal.

“Betul.” Encik Mazlan terpaksa menjawab begitu.

“Kenapa tak jadi?” Harraz Rifqi terus bertanya.

“Rifqi tak payahlah fikir pasal perkara ni lagi. Ayah nak keluar dulu. Rifqi berehat, ya. Nanti, ayah bawakan sarapan,” jawab Encik Mazlan.

Beberapa minit selepas Encik Mazlan keluar, Harraz Rifqi mula berasa mengantuk. Dia pun berbaring dan terus tertidur.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience