BAB 4

Romance Completed 12076

“Okey, kita sambung cerita tadi. Lepas bangau betina itu ditangkap pemburu, bangau jantan berasa sangat sedih. Tapi, dia kena meneruskan perjalanannya. Lalu, dia pun terbang meninggalkan bangau betina itu di bawah jagaan pemburu.”

Mariana berhenti bercerita lagi apabila dilihatnya Harraz Rifqi seperti mahu memperkatakan sesuatu. Lalu Mariana memandang dan memberi isyarat mata agar Harraz Rifqi meluahkan apa yang sedang bermain di fikirannya saat itu.

“Rifqi tak puas hatilah! Kenapa bangau jantan tu tak pergi selamatkan bangau betina? Kenapa dia sanggup tinggalkan kekasihnya?” Bertubi-tubi soalan keluar dari mulut Harraz Rifqi. Sementara itu, Adriana Iffah mengangguk-angguk tanda menyokong pertanyaan rakan sepermainannya itu.

Errkk! Mariana terkedu dengan soalan tersebut. Dia sendiri tidak pernah memikirkannya. Bagaimana budak sekecil Harraz Rifqi boleh terfikir tentang hal itu? Anak kecil zaman sekarang… lain cara berfikirnya. Dia memperoleh kisah bangau ini melalui internet. Namun, tidak pula diceritakan kenapa bangau jantan itu tidak menyelamatkan bangau betina. Buat seketika, Mariana buntu. Apa dia mahu jawab? Akhirnya dia mendapat satu idea.

“Sebabnya, bangau jantan tu sedar bahawa dia tak mampu merawat kecederaan bangau betina yang sangat teruk. Bangau betina tu lumpuh dan dia tak mampu terbang lagi. Mujurlah bangau betina tu tak mati. Bukankah tadi akak kata, hidup bangau ni berpindah-randah. Kalau bangau betina tu dah tak boleh terbang, macam mana dia nak ikut bangau jantan cari tempat tinggal baharu? Lagipun, pemburu itu sudah menyediakan sarang untuk bangau betina itu tinggal,” jawab Mariana penuh yakin.

“Oh…. kesiannya mereka,” serentak Harraz Rifqi dan Adriana Iffah mengeluh. Bagai sehati sejiwa pula mereka itu.

“Okey, akak sambung cerita lagi. Walaupun mereka sudah terpisah, bangau jantan tu tak pernah berhenti daripada mencintai bangau betina. Begitu juga dengan bangau betina. Pendek kata, mereka ialah pasangan kekasih yang sangat setia. Bangau jantan sanggup terima hakikat yang kekasihnya itu sudah cacat. Perasaan cintanya semakin kuat. Bangau jantan itu juga sanggup terbang dari tempat tinggal baharunya yang jauh beribu batu untuk pulang melawat bangau betina yang setia menunggu. Mereka tetap hidup bahagia. Macam itulah cara mereka menjalani hidup selepas kejadian malang itu. Cerita tamat. Hehehe… suka tak?” Mariana menamatkan ceritanya sambil tersenyum.

“Sukaaa!!!” Jerit Adriana Iffah dan Harraz Rifqi.

“Pengajarannya, kita kena setia dan jaga orang yang kita sayang macam pasangan bangau tadi. Kita kena terima walau bagaimana keadaannya. Jangan pula masa dia susah atau sakit, kita tinggalkan dia. Tak berhati perut tu namanya. Tentu korang pun ada orang yang korang sayang, kan? Contohnya, macam kawan-kawan dan keluarga. Ha… korang sayang akak tak ni??” Sengaja Mariana menduga mereka.

“Sayanggg!!” Sahut Adriana Iffah dan Harraz Rifqi. Senada.

Mariana memeluk mereka. Senang rasa hatinya melihat mereka yang menurut kata. Cuma mulut mereka sahaja yang banyak bertanya. Hmmm…. layankan sahajalah!

“Bagus. Akak pun sayang sangat pada korang. Nanti kalau akak sakit, korang kena jaga akak tau. Rifqi sayang Iffah tak?” Soal Mariana tiba-tiba. Hehehe…. seronok pula dia berbual dengan mereka.

“Mestilah sayang, kak. Akak jangan risau. Nanti kalau Iffah sakit, Rifqi akan jaga dia,” jawab Harraz Rifqi. Terpancar kejujuran dan keikhlasan pada riak wajahnya.

Mariana tersenyum. Bagusnya Harraz Rifqi. Detik Mariana jauh di sudut hatinya.

“Iffah? Sayang Rifqi tak?” Kali ini Mariana bertanya kepada Adriana Iffah pula.

“Sayang,” jawab gadis kecil itu sambil tersipu-sipu.

“Alala… comelnya adik akak ni!” Balas Mariana sambil mencubit pipi Adriana Iffah. Adriana Iffah cuba mengelak sambil tergelak.

“Akak nak ajar cara membuat burung bangau menggunakan kertas. Siapa nak belajar angkat tangan cepat!” Ajak Mariana kemudian.

Kedua-dua kanak-kanak itu mengangkat tangan dengan pantas.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience