BAB 1

Romance Completed 12076

TOK! TOK! TOK!

Bunyi ketukan pintu bilik Mariana bergema. Hesyy, anak dara seorang ni! Agaknya, mahu tunggu matahari berada tegak di atas kepala baharu dia nak bangun tidur. Di dalam hati, Puan Sally menggumam geram.

“Marianaaa, bangun cepat! Mak dah nak keluar ni!” Panggil Puan Sally, kuat nada suaranya.

Sementara di dalam bilik itu, Mariana masih berselubung selimut sehingga menutupi kepalanya. Mujur sahaja selimut itu berwarna merah jambu. Jika berwarna putih, bukankah sudah kelihatan seperti mayat? Hai… Mariana… Mariana… Dia langsung tidak memberi tindak balas terhadap panggilan Puan Sally. Tidurnya begitu lena. Barangkali, dia sedang mimpikan putera raja datang melamar dirinya.

“Marianaaaaa!!!” Kali ini Puan Sally menyeru dalam nada yang paling kuat. Terasa mahu keluar anak tekaknya.

Mata Mariana terbuka secara spontan. Telinganya dapat menangkap jeritan ibunya yang agak menakutkan. Kenapakah dengan ibunya itu? Tergesa-gesa dia menyelak selimut. Dia terus bangun dan melangkah ke pintu.

“Kenapa, mak? Pagi-pagi lagi dah buat orang terkejut,” terus Mariana menyoal sebaik wajah ibunya terpapar di ruang matanya.

“Pagi-pagi apanya? Dah hampir pukul sepuluh pagi ni. Hei, Mariana! Anak dara tak boleh bangun lewat macam ni tau,” bebel Puan Sally. Mariana sudah membuat gaya mahu menutup telinga.

“Alah, mak…. sekali-sekala aje,” bela Mariana sambil mempamerkan riak kasihan pada wajahnya.

“Banyaklah kamu punya sekali-sekala. Mak nak keluar dengan Mak Cik Midah ni. Kamu tolong jaga adik kamu tu, tau!” Arah Puan Sally sambil matanya melirik ke arah Adriana Iffah yang sedang menonton rancangan kartun di televisyen.

“Tapi mak…” Belum sempat Mariana menghabiskan kata-katanya, terdengar suara seseorang memberi salam. Spontan perhatian mereka terarah ke pintu rumah. Puan Hamidah sudah tercegat di situ bersama anak lelakinya yang baru berumur sepuluh tahun, sebaya dengan Adriana Iffah.

“Waalaikumussalam, Midah. Jemput masuk,” pelawa Puan Sally sambil langkahnya disusun laju ke pintu yang sudah sedia terbuka.

Tanpa membuang masa, Puan Hamidah dan Harraz Rifqi melangkah masuk.

“Ha, ni Mariana… kamu tolong jaga sekali si Rifqi.” Puan Sally menambah arahannya. Mariana dilihat sedang menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

“Mak dengan Mak Cik Midah ni, nak ke mana? Hari ni, Mariana pun ada hal juga. Mana boleh jaga budak dua orang ni, mak!” Cepat-cepat Mariana memberitahu sebelum rancangannya untuk keluar berjumpa kekasih hati berkubur begitu sahaja.

“Kamu jangan nak mengada-ada. Hal kamu tu tak penting. Kamu nak jumpa Faizal, kan? Tak payah! Hal mak dengan Mak Cik Midah kamu ni lagi penting. Kami perlu menghadiri mesyuarat Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Limau Manis ni. Kamu nak kampung kita mundur?” Jelas Puan Sally. Sempat dia menyedarkan Mariana tentang masa hadapan Kampung Limau Manis.

“Mak ni… balik-balik masa depan Kampung Limau Manis. Yalah, mak dengan Mak Cik Midah kan orang kuat kampung. Tapi, nanti mak jangan menyesal pula kalau Mariana tak kahwin. Sebabnya, mak selalu halang rancangan anak mak nak keluar dating. Mak jangan lupa, umur Mariana dah dua puluh satu tahun tau. Mak nak ke anak mak ni jadi anak dara tua?” Luah Mariana separuh mengugut.

Terbeliak mata Puan Sally mendengar kata-kata Mariana. Adakah patut Mariana berkata begitu?

“Kamu jangan nak merepek. Kamu tu muda lagi. Lagipun, tak ke mananya si Faizal tu. Kalau dia tak mahu dengan kamu, tahulah apa mak nak buat dengan dia,” balas Puan Sally. Kata-katanya penuh dengan makna tersirat.

“Mak ni, pandai-pandai aje. Jangan nak buat rancangan yang bukan-bukan pula ya, mak!” Mariana memberi amaran kepada ibunya.

“Dah… dah… Rifqi, hari ni Rifqi duduk dengan Iffah, ya? Nanti mak cik balik, mak cik bawa aiskrim Cornetto,” Puan Sally mengalihkan perhatiannya kepada Harraz Rifqi dan Adriana Iffah pula.

Harraz Rifqi hanya mengangguk. Manakala, Adriana Iffah sudah tersenyum sambil memandang Harraz Rifqi.

“Mak keluar dulu ya, Iffah. Jangan nakal-nakal. Dengar cakap Kak Mariana, tau!” Puan Sally mengingatkan Adriana Iffah pula.

“Baik, mak,” ringkas sahaja balasan yang keluar dari mulut Adriana Iffah.

Tidak berapa lama kemudian, Puan Sally dan Puan Hamidah sudah keluar rumah. Meninggalkan Adriana Iffah dan Harraz Rifqi di bawah jagaan Mariana.

“Helo, Faizal! Maaf… Saya tak boleh keluar. Mak suruh saya jaga Iffah dengan Rifqi…” Terdengar suara Mariana, separuh merengek di sebalik pintu bilik yang sudah tertutup itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience