Untuk hari yang baru, Anna tersenyum-senyum sambil berjalan menuju ke lokar nombor 100. Selepas pintu lokar dibuka, senyumannya makin lebar, matanya berkaca-kaca, keadaan sekeliling tiba-tiba berubah latar menjadi putih bersih dengan taburan bunga-bungaan yang jatuh dari langit. Tangannya mengambil epal merah dan membaca nota biru itu sebelum dia meletakkan kedua-dua tangannya rapat ke dada, matanya yang bersinar-sinar itu dipejam rapat seperti sedang menghayati detik indah itu.
Sejak beberapa hari lepas, itulah yang akan berlaku apabila Anna melihat ada kiriman epal merah untuknya di dalam loker.
Tak ada sesiapa yang sedar tentang kepelikan Anna yang asyik tersenyum sepanjang masa itu melainkan Laila, teman sebiliknya yang macam perisik CSI sentiasa menghidu sesuatu yang tak kena pada teman sebiliknya yang seorang ini.
“Arianna, cuba cerita kat aku siapa yang dah santau kau sampai kau tersenyum dua puluh empat jam ni?” Soal Laila dengan dahi berkerutnya.
“Santau? Amboi bahasa tak ada yang lebih sopan ke?” Soal Anna, memerli. Masih dengan senyuman yang tak lekang dari bibirnya. Mungkin perlu guna pencuci Vanish untuk menghilangkannya.
“Sejak kau kecewa dengan Wafiq, aku dah tak pernah tengok kau senyum tanpa sebab, itupun kadang-kadang kalau aku buat lawak, kau langsung tak gelak. Senyum? Jauh sekali. Jadi aku rasa perkataan santau itu sangat sesuai untuk menggambarkan keadaan kau sekarang ni. Cepat! Cerita kat aku siapa dalangnya?”
“Bertuah aku dapat kawan prihatin macam kau. Berapa lama aku tak senyum pun kau masih ingat kan?” Soal Anna, masih dalam mood ingin tersenyum sampai koyak mulut.
“Tak payah nak puji-puji aku sangat boleh kan? Cepat beritahu siapa lelaki malang itu?” Pinta Laila, sangat teruja dan tak sabar.
“Ok.. ok.. Aku cerita kat kau sorang je tapi janji kau jangan cerita kat orang lain!” Anna menyuakan jari kelingkingnya sebagai ikatan janji yang Laila tidak akan membocorkan rahsia ini.
“Tengoklah, kalau mulut aku tak celupar” balas Laila sambil menyambut huluran jari itu dan jari kelingking mereka bertaut tanda janji dimaterai.
“Tak nak ceritalah!” Anna tarik balik tautan jari mereka.
“Oh ok, ok aku takkan cerita kat sesiapa. Kecuali kat pak we aku je..” Kata Laila dengan perkataan pak we itu diperlahankan sedikit.
Anna jeling Laila. Masih belum berpuas hati.
Share this novel