Rasanya dah lama Anna tak alami perasaan ini. Dah lama dia tak tersenyum seorang diri. Dah lama dia tak tertunggu-tunggu, dah lama dia tak rasa yang hidupnya macam dihujani hujan bunga sejak dia dapat tahu Wafiq, pelajar jurusan Cadd Mekanikal iaitu lelaki yang diminati dalam diam dikatakan mula rapat dengan pelajar junior jurusan Cadd Senibina, sejak itu hidup dia sunyi dan sepi macam dihujani dengan hujan salji yang putih dan sejuk. Kosong!.
Tapi sejak dia mendapat kiriman epal merah itu, hidupnya kembali berseri dan musim salji pun berlalu, diganti dengan musim hujan yang turunnya bukan air, sebaliknya bunga. Ya, dia sudah jatuh cinta pada pengirim epal merah itu. Lelaki misteri yang terus membuatkan Anna terlupa tentang hatinya yang dah patah seribu terhadap Wafiq.
Hal ini berlaku apabila pada suatu hari, semasa dia membuka pintu lokarnya, dia mendapati ada sebiji epal merah yang diletakkan elok di atas buku-buku notanya. Dan dibawah epal merah itu disertakan juga sekeping kertas biru berbentuk empat segi yang tertulis tiga perkataan diatasnya, B.O.B. Mungkin mewakili nama si pengirim. Dan sejak itu, tiap-tiap hari Anna rasa hidupnya di hujani hujan bunga.
Disini, kisahnya bermula…
“Ari.. Arian.. An.. Anna…” Panggil Junaidi dari arah tempat duduknya yang letaknya di bahagian belakang kelas. Betapa lelaki itu memang suka menyakat Anna dengan memanggil nama penuh Anna secara berlagu, sedangkan boleh saja jika Junaidi mahu memanggilnya dengan nama Arianna terus.
Macam biasa, tak ada sebab lain Junaidi memanggil Anna jika bukan kerana dia mahu meminjam ketip kuku Anna. Kadang-kadang Anna rasa macam membawa ketip kuku ke mana-mana saja bukanlah untuk menyenangkan dia memotong kuku pada bila-bila masa yang dia mahukan tapi sebaliknya membawa alat kecil itu baginya adalah sebagai rutin wajib atau fardhu kifayah untuk menyenangkan orang-orang sekelilingnya untuk memotong kuku mereka.
Lalu Anna tarik keluar tali yang terikat dengan kunci bilik, kunci loker, ketip kuku dan tag nama dirinya itu dari dalam poket baju kurung sebelum dicampakkan ke arah Junaidi dari tempat duduknya yang terletak di hadapan kelas.
“Woii..” menjerit Junaidi bila balingan Anna itu hampir-hampir mengenai mukanya. Mujur saja tangan Junaidi cepat menyambut balingan kunci itu.
“Kau perlu belajar cara membaling yang betul dari aku Anna..” Ujar Junaidi.
Anna menghantar reaksi muka yang memberi makna ‘yelah tu’ sebelum dia kembali memfokuskan pandangannya pada novel di tangan. Sangat seronok, bila semua pensyarah ada mesyuarat tergempar, jadi pelajar-pelajar bebas berkeliaran ke kiosk mahupun ke bengkel-bengkel lain atau juga melepak dalam kelas sambil melakukan aktiviti bebas macam tengok drama bersiri kat laptop atau baca novel cinta macam yang sedang dilakukannya itu.
Share this novel