Apabila waktu kelas berakhir, Anna berkeras mengajak Intan dan Ruby supaya menemaninya pulang dengan melalui laluan di foyer sedangkan jarak kelas mereka dengan asrama lebih dekat jika mengikut laluan merentasi padang, tapi oleh kerana Anna sangat gatal mahu melihat lelaki yang dipujanya dalam diam itu, maka dia sanggup berjalan jauh asalkan hasrat hatinya tercapai. Anna tak mintak banyak, cukuplah kalau dalam sehari, dia dapat melihat muka Wafiq walaupun dari jauh.
Tapi baru saja matanya terlihat kelibat lelaki yang ditunggu-tunggu itu, tiba-tiba Anna teringat yang kunci biliknya masih ada di tangan Junaidi kerana dia terlupa untuk meminta kepada lelaki itu tadi. Dengan berat hati, Anna terpaksa berpatah balik ke laluan asalnya untuk mengejar Junaidi.
Itu adalah kali terakhir hidup Anna dilanda hujan bunga, kerana selepas itu ribut taufan mula menyerang apabila Intan mengkhabarkan kepadanya bahawa Wafiq sedang dikaitkan mempunyai hubungan dengan junior bengkel Cadd Senibina.
***
Anna berjalan dengan kepala yang ditundukkan seperti sedang mengukur lantai, terus menuju ke arah lokernya yang bernombor 100. Dia mengeluh sambil memasukkan anak kunci dan memulasnya, lemah! Betapa Walid telah membuatkan dirinya mengalami kemurungan dan kesedihan gara-gara dia bercinta dengan perempuan lain.
“Haish..” Anna mengeluh lagi sambil pintu loker dibuka. Matanya tiba-tiba kaku pada satu benda asing yang berwarna merah itu. Anna kedip mata berkali-kali, cuba memastikan bahawa dia tidak bermimpi di siang hari, tapi matanya masih melihat benda yang sama. Lalu tangannya mencapai sebiji epal merah yang diletakkan di dalam lokernya itu, juga ada nota berwarna biru disertakan.
Anna membaca nota yang tertulis nama “Bob” itu sambil mengerut kening. Untuk sesaat, otaknya agak kabur untuk mentafsir maksud sebiji epal dan sekeping nota kecil ini. Tapi beberapa minit kemudian, barulah dia seakan tersedar sesuatu.
“Secret admirer!” Jeritnya dalam hati diiringi senyuman di bibir. Segala bayangan tentang Wafiq dan perempuan ‘perampas’ itu terus terbang pergi meninggalkan otaknya. Kini fikirannya hanya mengukir nama Bob setiap masa. Oh, dan epal merah!
Share this novel