1 | Mencari Kerja

Romance Series 16674

"Yu, oppa Joong Ki dah kahwin!" 

Suara nyaringku bergema dalam ruang bilik tidurku yang kecil. Mataku tertancap pada skrin komputerku manakala tangan kiri menekap telefon pintarku di telinga, menanti dengan sabar balasan daripada Yu, teman akrabku. Tetikus di tangan dimainkan dan laju aku meluncur ke bahagian komen, membaca setiap persatu titipan ayat yang mengucap tahniah kepada pasangan dua sejoli itu. Ada juga yang meraung, menangisi kekecewaan atas putusnya cinta di tengah jalan.

Seperti aku.

"Weh, kau dengar tak ni? Aku tengah bersedih, kau boleh pulak buat pekak!" Marahku apabila tiada sahutan di talian sebelah sana. Telefon jenama Asus itu aku pandang sekilas. Masih bersambung. Ingatkan dah putus talian.

"Aku dengarlah," Yu mengeluh, terdengar bunyi halus selakan kertas.

"Kau tengah kerja? Bukan ke sekarang lunch hour?" Jam di dinding aku pandang, memerhati jarum pendek memaku di nombor satu. Aku angkat punggung dari kerusi baldu biru itu lalu ku hempas tubuh di atas katil, menelentang memandang langit dinding yang memutih.

"Kerja aku belum siap, kak oi. Bos aku dah membebel, tanya bila nak siap. Sakit telinga aku dengar." Kali ini Yu yang membebel beserta keluhan berat. "Dahlah perut aku tengah berkeroncong sekarang ni."

Niat aku untuk meneruskan drama putus cinta terpaksa ditunda begitu saja demi mendengar suara lemah Yu. Dalam otak sudah berkira-kira mahu menamatkan talian. Bukan tidak mahu menjadi tempat Yu mengadu masalah, itu jauh sekali. Tapi perbualan kami seperti yang lazimnya akan menjurus kepada topik yang paling aku tidak suka.

"Hah, kau dah cari kerja ke belum? Sibuk tanya aku tengah kerja ke tak?"

Itu diaaaa.

Pantang betul nenek moyang aku bila topik itu disentuh. Sensitivitinya sangat tinggi mengalahkan isu cintaku yang tidak kesampaian.

Daripada berbaring enak, aku terpaksa bangun dan duduk bersimpuh di atas katil. Rambutku yang sepanjang bahu itu diramas, dipusing-pusing gaya orang mabuk.

"Sabar la. Cuti kan baru je dua minggu, ada masa lagi nak cari," aku memberi alasan.

Yang sebenarnya, aku langsung tiada usaha untuk mencari kerja. Mengikut rancangan yang sudah aku atur sepanjang kertas kajang sebelum cuti semester lima bermula, aku akan penuhkan masa yang terluang dengan main game Dota, menonton drama, membaca novel dan tidur. Bekerja langsung tiada dalam senarai.

Tapi selepas Yu berjaya mendapat kerja di sebuah syarikat kecil, mak mula menembakku dengan soalan yang sama tiap-tiap hari. Katanya, aku perlu mencari kerja sampingan sementara menunggu di panggil untuk industrial intern dua bulan lagi. Takkan nak makan dan tidur saja, harapkan mak dan Kak Long untuk bayar balik pinjaman PTPTN.

Sungguh aku jadi panasaran. Planku hancur dan sekarang ini pula, kawan baik aku ini tidak habis-habis mendesakku untuk mendapatkan kerja. Dengki benar dia apabila tahu aku sedang bersenang lenang di atas katil bertemankan bantal busuk.

"Jangan asyik tidur je. Mak kau dah membebel kat aku, suruh tolong tanyakan kawan-kawan yang lain mana tahu ada kerja kosong. Risau benar dia tengok kau jadi tuan puteri di rumah," Yu menambahkan perisa, cukup buat aku rasa serba salah.

Tidakkah mereka tahu cuti semester adalah waktu untuk berehat dan bersuka ria selepas empat bulan berhempas bulan memerah otak dan keringat belajar semata-mata memperolehi gred yang bagus? Aku tak cakap aku pandai, setakat cukup-cukup makan tu adalah. Sebab itu aku tak nak stress selepas pulang ke rumah. Aku nak gembira, nak happy!

Urgh.

"Carilah pengalaman dulu, kot boleh tolong kita nanti masa intern. Entah-entah kena serap terus kalau prestasi baik. Tak payah risaukan pointer yang tak seberapa tu, yang paling penting attitude dan pengalaman kita," Yu masih tidak berusaha untuk memujuk selepas lama aku mendiamkan diri.

Dari meramas rambut, aku menghayunkan tubuhku ke depan dan ke belakang, bermaksud sedang memikirkan kata-kata Yu. Kalau sebelum ini kawanku itu terus terjah dengan soalan cepu mas, kali ini diselitkan dengan nasihat pula. Macam mana hati tak lemah.

"Kau sebenarnya tak nak layan cerita aku kan?" Aku pura-pura bersedih. Antara rakan sekuliahku yang lain, Yu lah yang rajin mendengar bebelan dan gosipku perihal artis dan pelakon kesayanganku, tidak kisahlah dari China, Korea, Jepun. Yang penting Yu melayan walaupun tak minat. Sebab itu agaknya aku paling rapat dengan Yu.

Aku mendengar ketawanya di hujung talian. "Ke situ pulak. Dah, jangan nak buat drama pulak. Kang tak habis kerja aku."

Aku mencebik. "Hm, yalah."

"Kau nak aku tolong carikan ke kerja kosong? Dekat company aku ni dah tak ada post akauntan yang available."

"Tak apa. Nanti aku cari kat online, mana tau ada," kataku cuba menutup rasa kecewa kerana sehingga ke hari ini, tiada langsung jawatan kosong yang ditawarkan di laman sesawang mencari kerja. Tipulah kalau aku kata tak pernah mencari langsung tapi sekadar usaha melepaskan batuk di tangga. Semangat itu tidak ada.

"Okeylah, anything new beritahu aku. Tak sabar aku nak tengok kau pakai baju ofis!" Ujar Yu penuh semangat. Menyindir ke apa.

Segera aku mematikan talian selepas mengucapkan salam. Kata nasihat Yu terasa melekat di minda, berlegar-legar dan berputar umpama pita rakaman. Mahu dipadamkan, hati tidak mampu.

Penghujung ceritanya, komputer di atas meja aku pandang tanpa berkelip. Lalu aku lompat dari katil dan membuka folder drama korea yang sudah aku muat turun. Mahu menonton.

"Hah, tengok drama lagi!"

Suara Kak Long yang nyaring di muka pintu menggegarkan seketul jantungku yang kecil. Terlompat aku dari kerusi sambil mulut menyumpah seranah kehadiran kakak sulungku itu.

"Apa ni, Kak Long? Main terjah je bilik orang!" Marahku, menjeling tajam wanita yang masih lengkap berpakaian formal di muka pintu.

"Kau tak ada kerja lain eh? Semua orang sibuk kerja, bersekolah, kau di rumah goyang kaki main komputer. Senangnya hidup kau!" Kak Long berterusan menebak, menambah garam dalam luka yang ditinggalkan oleh Yu sebentar tadi.

Wajahku masam mencuka. Memang tak ada topik lain orang di rumah ini. Asyik pasal kerja je. Baru saja dua minggu aku berehat, belum lagi hilang penat belajar selama empat bulan. Mentang-mentang rakan yang lain sudah mula bekerja mencari pengalaman dan duit sampingan, mulalah nak membandingkan aku dengan yang lain.

"Kawan yang lain tengah sibuk cari rezeki, kau pulak menghabiskan beras kat rumah ni. Tak malu ke?"

Ha, kan aku dah cakap.

"Sabarlah Kak Long, orang tengah cari la ni," aku membalas geram. Mata masih setia menatap skrin monitor.

"Cari? Macam mana nak carinya kalau asyik duduk dalam bilik je? Apa, kerja boleh jatuh dari langit ke?" Kak Long menyambung bebelannya, sudah sampai taraf leteran mak. Belum lagi yang real.

Muak dan bosan, aku segera mematikan komputerku lantas bangkit. "Fine, Angah cari kerja sekarang. Puas hati?"

Dia yang bercekak pinggang dengan muka ketat umpama lobak masin terus tersengih kemenangan. "Sebelum tu, jangan lupa masak tengah hari. Kak Long lapar," arahnya lalu beredar.

Urgh!

Sabar Hamani. Sabar itu separuh daripada iman.

Aku kerling jam di dinding. Dua orang adikku akan pulang dari sekolah tidak lama lagi dan mereka pasti akan kelaparan. Lalu aku melangkah ke peti ais untuk mencari bahan untuk dimasak. Kak Long yang enak berbaring di atas sofa sambil menonton televisyen aku pandang dengan hati yang sebal.

Bukannya reti nak tolong. Tahu mengarah saja. Kalau bukan kerana aku yanh memasak sarapan dan makan tengah hari, jangan harap akan muncul wajah anak sulung itu di rumah. Makannya di luar dan adik-adik yang lain terpaksa merasa makanan segera seperti KFC atau McDonald.

Itulah yang sering terjadi setiap kali aku menyambung pengajian. Kak Long bukannya malas memasak, tapi tak pandai. Bukan itu saja, kerja rumah semuanya aku yang lakukan. Tugas Kak Long cuma mencari rezeki selepas kematian abah empat tahun lalu.

"Buat sedap-sedap," sempat lagi Kak Long menambah pesanan.

Cis!

****

Selepas memberi makan dua orang adikku dan membantu mereka menyiapkan kerja rumah, aku menyiapkan diri seadanya, seringkas yang boleh untuk misi mencari kerja. Lip balm dicalitkan dan bedak kompak ditempek senipis boleh. Shawl pula dililit ringkas dan beg bahu aku sangkut melintang di tubuhku.

Keluar dari bilik, rumah sudah senyap sunyi. Kak Long pasti sudah keluar semula untuk ke pejabatnya manakala budak-budak lain selalunya akan berada di bilik. Tidur selalunya.

Aku mengunci pintu rumah lalu berlalu ke pagar untuk membukanya. Niatku untuk menunggang motosikal ke bandar terbantut apabila sekumpulan manusia terutamanya gadis-gadis muda sedang berdiri di hadapan tiang pagar rumah banglo yang terletak di penghujung lorong kami.

Sudah berapa lama rumah itu tidak berpenghuni dan seingat aku, sejak semester sarjana ku bermula. Dua tahun berlalu tanpa ada siapa yang peduli mahupun membelinya selepas pemiliknya yang lama berpindah ke Sabah. Dengar cerita, harga yang ditawarkan hanya untuk orang yang betul-betul berduit saja.

Dan sekarang ini, seseorang yang berpoket tebal telah pun berjaya memiliki rumah banglo dua tingkat itu. Bukan setakat miliki saja, siap diubahsuai lagi terutamanya di bahagian laman yang sebelum ini terbiar umpama kawasan hutan. Apabila aku pulang dua minggu lepas, gazebo sudah siap dibina di penghujung laman beserta kolam ikan dan pohon rendang seperti yang aku lihat dalam drama Jepun.

Sekarang ini pula, kerja mengecat masih berjalan. Aku kira itu adalah langkah terakhir kerana kebanyakan pekerja Indonesia yang sering lalu lalang di lorong kami ini semakin berkurangan.

"Kau nak pergi Sabtu ni? Aku rasa nak cuba nasiblah." Perbualan dua orang gadis yang lalu di hadapanku menarik minatku. Aku tak pernah melihat mereka di lorong ini. Pasti dari lorong lain.

Tidak semena-mena, pelbagai jenis kenderaan dan motosikal tiba-tiba memenuhi jalan lorong yang kecil itu. Sampaikan perkarangan rumahku menjadi tempat untuk mereka memarkir kereta. Mentang-mentang jarak antara rumah aku dan banglo itu cuma sepuluh langkah saja.

"Sorry dik, akak parking sini sekejap ya," wanita yang ku agak dalam lingkungan usia 30-an meminta kebenaran daripadaku dengan wajah tersengih.

Aku cuma menganggukkan kepala. Tapi hati penuh dengan rasa musykil dan curiga. Ada apa hingga orang ramai berpusu-pusu berdiri di luar rumah itu?

"Ada apa kat sana, kak?" Tanyaku seperti mak cik kepoh dalam drama melayu. Kepala suri rumah dari beberapa rumah juga mula tersembul dari tingkap yang terbuka, memerhati dengan rasa hairan suasana yang tidak pernah sekali berlaku di lorong ini melainkan majlis kenduri kahwin.

"Oh, ada tawaran kerja kosong." Ringkas saja jawapannya sebelum wanita itu berlari-lari anak meninggalkanku tanpa memberi penjelasan lanjut.

Aku garu kepala sendiri.

Kerja apa yang dapat ditawarkan sampai penuh orang berkumpul di depan rumah itu? Besar sangatkah gaji yang ditawarkan oleh pemiliknya? Berduit betul.

Bercakap pasal pemilik baru itu, tiada siapa pernah melihat bayangnya di rumah itu mahupun menjengah walau sebentar. Kata Kak Long, tiada angin, tiada ribut, kerja ubahsuai tiba-tiba dijalankan tanpa kehadiran pemilik lama dan baru sepanjang dua tahun itu. Jangankan muka, nama pun mereka tidak tahu.

Mungkinkah akan ada majlis kesyukuran nanti? Kalau bab makan, serah saja pada aku. Memang tidak akan menolak rezeki.

"Ada apa tu, Hamani?" Kak Soraya, jiran rumah sebelahku bertanya bersama anak lelakinya di pangkuan. Aku menjongket bahu.

"Entahlah kak. Dengar-dengar ada tawaran kerja kosong."

Kak Soraya membuat muka pelik. "Kerja kosong apa sampai macam tu sekali ramai orang datang. Pelik-pelik je owner baru tu. Nak sangat akak tengok mukanya," Kak Soraya membebel, tapi bila matanya memandangku, terus dia menjegilkan mata. "Hah, tunggu apa lagi kat sini? Pergilah tengok sana, mana tau ada jawatan yang berkenan di hati."

Adusss...

Merah padam mukaku. Ini sah mesti mak yang ringan mulut beritahu hal kemalasanku dengan jiran tetangga. Memang tak ada kerja lain bila bertemu suri rumah di kawasan kami ini. Pasti kerjanya menganyam ketupat saja.

Keluhan terlepas dari bibirku. "Yalah, yalah. Hamani pergilah ni. Bye Ipin." Sempat aku mencubit pipi montel kanak-kanak lelaki dalam pangkuan Kak Soraya. Geram dengan kecomelannya.

Aku atur langkah teragak-agak menuju pintu pagar yang bertutup itu. Kecoh sana sini suara jiran tetangga melampiaskan rasa tidak puas apabila ketenteraman waktu petang mereka diganggu oleh suara bual dan gelak tawa manusia yang hadir sepanjang lorong itu. Bukannya tahu memikirkan waktu rehat orang lain, sibuk berborak tak ingat dunia. Sudahlah padat macam ikan sardin, aku nak lalu pun tak dapat.

"Excuse me," pintaku sopan pada remaja yang berdiri di hadapan kertas putih yang melekat di dinding batu warna merah bata itu. Sejak tadi aku perasan empat orang gadis itu sentiasa mundar-mandir di hadapan pagar yang tingginya tiga kali ganda daripada tubuh aku. Bila yang lain nak dekat saja, mulalah menghantar jelingan maut. Apakah?

"Dik, saya nak lalu. Saya pun nak baca jugak apa yang dilekat kat situ, bukan awak seorang je," Aku berkata sinis, sebenarnya tidak puas hati dengan lagaknya yang seolah pemilik kepada banglo itu.

"Tengok je lah, mana ada kitorang halang," salah seorang daripada empat remaja itu membalas sinis.

Eh, eh, membalas pulak.

Nasib baik sejak kecil aku dah ajar dan tanam dalam diri sifat penyabar. Kalau tidak, sudah lama bertarik rambut dengan budak-budak belum cukup umur ini. Tak padan dengan usia, lagak macam dah tua sangat nak pandang orang lain dari hujung mata saja. Memang tak ada adab.

Aku cuba elak daripada bersenggul bahu dengan mereka dan sedaya upaya membayangkan yang mereka umpama pokok untuk aku berteduh daripada sinaran mentari yang terik. Ada juga beberapa orang dibelakangku yang mahu membaca lalu aku buka jalan supaya kami sama-sama dapat melihatnya.

"Terima kasih, dik."

Aku senyum saja. Namun telingaku pantas menangkap sindiran halus daripada kumpulan remaja tadi.

"Bajet baik."

Hatiku ketawa sendiri. Langsung sedikit pun tidak terkesan oleh hatiku. Aku malas peduli mata-mata yang memandang lantas menumpukan sepenuh perhatianku pada kertas sebesar A3 dihadapanku.

PEMBANTU RUMAH DICARI
Wanita Sahaja
Berumur Bawah 30 tahun
Kelayakan Tidak Diperlukan
Yang Penting Pandai Memasak dan Mengemas Rumah
Gaji RM2500 Sebulan
Overtime RM100 untuk sejam
Temuduga pada Sabtu ini, 9 pagi

Mataku terbuntang luas selepas aku habis membaca notis ringkas itu. Rasa tidak percaya dan terkejut dengan jumlah gaji yang ditawarkan. RM2500 untuk sebulan?! Itu lebih besar daripada gaji Yu sebagai akauntan.

Kerja apa yang diberikan sampai begitu sekali gaji ditawarkan?

Apalah sangat kerja setakat mengemas rumah dan memasak. Siapa-siapa pun boleh. Berbaloikah dengan gaji sehingga RM2500 itu?

"Adik nak cuba Sabtu ni?" Wanita yang diberi aku laluan tadi menyoal.

Aku terdiam seketika. Aku belum lagi terdesak untuk mendapatkan kerja meskipun asakan demi asakan padu daripada keluarga dan Yu menyesakkan mindaku saban hari namun gaji yang bersifat lumayan itu serasa rugi pula untuk ditolak. Tambahan pula jarak dari rumahku cuma sekangkang kera saja. Lagilah untung kalau dapat.

"Mungkin saya cuba," jawabku tapi ada nada kurang pasti.

Walaupun gajinya besar, namun pekerjaan sebagai orang gaji itu langsung jauh daripada kelayakan dan tahap pendidikanku. Bukannya mahu mendabik dada, tapi penat lelah belajar mengira dan bercinta dengan kalkulator, alih-alih jadi orang gaji.

Apa kata mak nanti? Apa kata Yu??

****

"Gaji Rm2500 jadi orang gaji saja? Gila mewah!"

Demikianlah kata-kata Yu apabila aku mengulang kembali kandungan dalam iklan mencari kerja di rumah banglo itu.

"Kau tunggu apa lagi, trylah! Mana tahu dapat!"

Itu pula kata semangat daripada Kak Long yang sememangnya terkenal dengan mata duitannya. Cita-citanya adalah berkahwin dengan lelaki kaya atau pangkat datuk tapi belum kesampaian lagi.

"Kemas sikit-sikit, masak ala kadar dah dapat Rm2500. Kerja senang tu," tambah Kak Long lagi, disambut oleh anggukan dari dua orang adikku, Fika dan Ara.

"Cuba je lah Sabtu ni. Tak rugi pun. Kalau tak dapat, cari lagi kerja lain. At least usaha tu ada."

Aku memandang lemah wajah-wajah yang galak menikmati hidangan makan malam di meja makan. Mulut masing-masing berceloteh bercerita perihal tawaran gaji yang tidak setanding dengan kerja. Semuanya memberi galakan untuk aku mencuba. Kecuali mak yang menekur di tempat duduknya.

"Mak rasa okay ke kalau Angah try?"

Aku perlukan kata nasihat mak dan pandangannya. Tidak elok pada mak, tidak eloklah pada aku. Yang penting kesudiaan dan keberkatan mak dalam perjalananku mencari kerja.

Mak menghentikan suapan di mulut. Dia tahu aku bingung dan berbelah bagi sebab itu mak hanya mendiamkan diri. Kalau aku tak tanya, sampai ke sudah mak takkan melontarkan pandangan.

"Mak tak kisah sebenarnya..."

Okay, ada unsur-unsur green light.

"Cuma mak bingung kerja apa yang diorang tu bagi nanti sampai gaji besar tu. Tak pernah mak dengar kerja mengemas dan memasak dapat Rm2500 sebulan. Mak selepas bekerja 10 tahun baru dapat merasa gaji banyak tu," tutur mak meluahkan rasa tidak senangnya.

Aku angguk kepala setuju.

"Ala, trylah dulu. Pergi je Sabtu ni, tak rugi mana pun. RM2500 tu! Mana nak cari kerja semudah tu tapi gaji besar." Kak Long masih tidak berputus asa memujuk. Ditambah lagi sokongan padu daripada yang lain, semakin bersemangat wanita yang berusia lima tahun tua daripada aku itu bersuara.

"Kau nak risau apa? Ada maksud lain kerja selain mengemas dan memasak? Atau diorang buli kau?"

Itu pun aku ada terfikir juga.

"Kan rumah kita dekat, kau jerit je nanti Kak Long bawakan semua jiran tetangga serbu rumah tu. Apa susah?"

Amboi, senangnya cakap!

"Ya lah, Am. Cuba je. Kalau kau rasa something wrong dengan kerja tu, kau berhenti je terus. Kalau diorang ganggu kau, kita report polis. Tapi kalau betul setakat mengemas je, rugilah kau tak nak cuba. Dahlah kau masak sedap. Gerenti ada chance punya!" Beriya-iya Yu menyokong kata Kak Long. Aku pula nak tercekik.

"Chance apa nya. Kau tak tengok beratus perempuan beratur depan rumah tu tadi," keluhku, tidak berani meletakkan harapan tinggi. "Yang peliknya macam mana diorang tahu ada advertisement terpampang di pagar rumah tu sedangkan kitorang yang tinggal kat sini pun tahu."

"Kan? Kak Long pun hairan. Ada disiarkan dalam Fac ke? Wah, gigihnya sampai macam tu sekali!"

"Bukan calang orang sampai dapat tarik beratus perempuan datang semata-mata nak baca iklan tu. Aku rasakan owner rumah tu mesti seorang public figure ataupun artis!"

Terdiam semua di meja makan mendengar andaian Yu yang kedengaran tidak masuk akal. Apa tidaknya, mustahil kawasan perumahan kecil dan didiami oleh rakyat berpendapatan rendah dan sederhana menjadi pilihan orang kenamaan dan artis. Lapan puluh peratus rumah di taman itu adalah teres setingkat manakala selebihnya adalah rumah banglo yang dibina di setiap penghujung lorong. Namun itu tidak bermakna tiadanya orang kaya yang tinggal di perumahan ini. Cuma ia agak terpencil dan jauh daripada bandar Seremban, apatah lagi Kuala Lumpur.

"Pandai kau buat spekulasi Yu. Akak baca kat blog hiburan setiap hari tapi tak ada pulak berita artis berpindah ke kawasan kita ni. Public figure mungkinlah kot," Kak Long menidakkan andaian Yu.

Bab artis tempatan ni aku kurang sikit. Biasalah, tak tengok drama melayu. Kalau artis zaman 90-an tu kenal juga macam Ziana Zain, Erra Fazira atau Nasha Aziz. Yang baru-baru ni muka macam sendu je. Eh.

"Dah, dah, cepat makan. Nanti terlepas drama pulak." Sebaik saja mak berkata begitu, Fika dan Ara cepat-cepat menghabiskan saki baki makanan di pinggan.

"Oh, nak tengok drama tu eh? Akak ofis aku semua dah start gilakan cerita tu," kata Yu, mempercepatkan juga suapannya.

Aduh, aku seorang saja yang tertinggal sampan nampak gayanya.

"Best ke ceritanya? Siapa berlakon?"

"Best. Tip top!" Ucap Yu sambil mengangkat ibu jarinya. "Pelakon kebanyakannya baru tapi hero dia..."

"Cair!!" Ayat Yu disambung oleh adik-adikku. Dengan mimik muka menggatal begitu, aku mencerlungkan mata tanda amaran.

"Gatal korang berdua ni ek!" Marahku. Pantas mereka berdua menuju ke dapur untuk mencuci pinggan, tidak mahu mendengar leteranku.

Aku fokus semula perhatian pada Yu, tidak puas hati perbualan kami tergantung. "Serius best ceritanya? Apa tajuknya?"

"Titian Kasihmu."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience