5 | Eziary Nain

Romance Series 16674

Girlfriend baru? Bukannya isteri baru?

Jadi apa maknanya bermesra di atas katil tadi? Berzina?

Kalau tadi aku rasa bersalah kerana menghendap aksi asmaradana lelaki itu dengan pasangannya, namun sekarang rasa jijik dan benci mengatasi segalanya. Patutlah yang lain melarang aku ambil pusing dengan bilik itu. Rupanya dijadikan sarang untuk buat maksiat! Dan aku turut dikira bersubahat kerana tidak menegur apatah lagi melarang!

"Apa lah you all ni, perkara macam ni pun nak kecoh. Macam tak biasa," perli wanita dipanggil Shila itu. Dia tidak menghiraukan mata yang memandang dan masih selamba mencedok lauk untuk Nain. Sesekali aku lihat wanita itu sengaja menggesel lengannya di tubuh Nain.

"Oh my God! Dua hari, Nain? Seriously? Kau baru je ti-" Mata kami berlaga lalu Uqasha pura-pura menyambung makannya. Mungkin takut aku terdengar sesuatu yang tidak elok tapi yang sebenarnya aku sudah tahu! Dua hati bercinta dah tidur sekatil?! Spesis buaya tembaga mana lelaki ini, suka hati saja merobek sesuatu yang bukan miliknya? Dan perempuan itu pulak, apa ke bangang sangat percaya dengan jantan macam ni? Harap rupa je, perangai ke laut!

Selepas itu, masing-masing mendiamkan diri hinggalah Shila yang sudah disampuk ulat bulu meminta diri untuk pulang.

"Jangan lupa shooting you petang ni. I tunggu," Begitulah ayatnya sebelum menghadiahkan ciuman maut pipi Nain, laksana si isteri mahu keluar untuk bersuka-ria.

"I suruh Pak Leman hantarkan," tawar Nain tapi ditolak oleh Shila,

"I dah call manager I untuk ambik. Thank you for the food, guys," lambai Shila. Dan bila dia memandangku, bibirnya tersungging sinis. "Thanks for the disturbance, dear. You owe me one."

Aku terdiam saat mengemas pinggan mangkuk di atas meja. Motif salah aku? Kau yang tak tutup pintu, aku pulak yang disalahkan.

"Well, care to explain? Aku rasa two days is the shortest period dalam hubungan cinta kau," Uqasha memulakan tanpa mempedulikan aku. Mungkin dia benar-benar marah dengan sikap Nain yang sah-sah termasuk kategori buaya darat.

"Pendek apanya? Sehari pun dia pernah! Dua hari tu okay apa. Untung dapat rasa jadi girlfriend Nain walaupun sekejap," sampuk Hakimi selamba. Berbulu juga telingaku mendengarnya. Kenapa orang di rumah ini memandang ringan hal hubungan rakan serumah mereka padahal sudah terang lagi bersuluh yang Nain sedang melakukan maksiat. Tidak ada seorang pun kah yang berani menegur?

"Memang, tapi masa dengan Julia tu Nain tak tidur... I mean tak mendalam lagi hubungannya."

Hatiku ketawa sinis. Orang yang ditegur selamba saja duduk main iPhonenya, yang lain pula panas hati. Beriya-iya mahu cover line sedangkan dah bocor perangai tak elok lelaki itu. Memang taklah aku nak kerja di sini. Jadi rakan subahat!

Nain melepaskan keluhan. IPhone diletak ke tepi dan tangan meraup rambut. "Tak payah nak cover sangat, perempuan ni dah tahu."

Tiga pasang mata memandangku. Aku buat-buat tak nampak tapi tangan pantas mengemas supaya dapat aku lesap dari penglihatan empat orang lelaki itu.

"Kau jangan nak lari," arah Nain tiba-tiba, memaksa aku untuk berdiri kaku di situ.

"Apa maksud kau dah tahu?" Uqasha mengerut dahi.

"Dia nampak aku dengan Shila." Jawapan yang punya banyak makna.

"Nampak?" Ulang Hakimi, jelas tidak faham dengan ayat Nain. Aduh, memang lembaplah budak ni! Takkan nak kena eja satu persatu?

Senyuman sinis terukir di bibir merah Nain. Dia memandangku dengan pandangan memerli. Aku faham benar maksudnya.

"Saya nampak diorang tengah berasmara." Ringkas jawapanku disebalik wajah yang membahang. Sakit hatiku pada lelaki itu tidak dapat dibendung. Dia sengaja memaksa aku untuk membongkar aksinya pagi tadi kerana mahu air mukaku jatuh. Pasti dalam fikiran yang lain aku sengaja mengintai dan suka menonton cerita yang tak elok.

"Awak... awak skodeng diorang? Never thought you have that kind of hobby," sindir Hakimi dengan mata mengecil. Kecil besar saja aku pandang lelaki itu. Bibir yang tersungging itu seperti minta dicili hidup-hidup. Biar kejang otot muka.

"Saya tak skodeng, saya nampak," aku tekankan perkataan itu bersama jari di mataku. Biar dia tahu yang aku TERnampak, bukan sengaja nak selit kepala aku di celah pintu. "Dah dia tak tutup pintu. Saya ingatkan ada pencuri jadi saya naik atas. Lepas tu nampaklah diorang dua atas katil."

Mulut Uqasha terlopong bersama riak wajah tidak percaya. "What the heck, Nain? Kau tak tutup pintu? Aku dah ingatkan banyak kali kan, apa yang susah sangat nak ingat? Bukan kau seorang je dalam rumah ni!"

"Benda dah terjadi, nak buat macam mana?" Jawab Nain selamba, tidak terkesan dengan nada keraa yang digunakan oleh rakannya.

"Aku dah ingatkan kau, kita akan ada maid baru mula kerja hari ni. Tak boleh ke kau behave untuk sekejap and what's with the woman? Aku ingat kau tak minat Shila?"

Hakimi dan Khai mendiamkan diri, takut untuk masuk campur apabila yang paling tua di rumah itu mula meledakkan amarahnya. Aku pula seperti kayu tunggul, berdiri kaku di hujung meja menjadi pemerhati kepada perbualan dua orang lelaki itu. Adakah mereka lupa akan kewujudan aku? Kalau ya, aku perlu perbetulkan mata mereka supaya sedar yang aku telah melihat dan mengetahui segalanya, jadi tak ingin aku bersubahat dalam perbuatan keji lelaki itu.

"It's a mistake, okay?" Suara Nain mula meninggi, tidak puas hati. "Aku tak minat Shila, dia yang datang dekat aku jadi aku ambik je lah."

Oh My! Aku sedang mendengar perbualan apa ni? Begitu murah maruah wanita itu untuk diserahkan kepada lelaki yang tidak tahu menghargai. Apakah bodohnya perempuan bernama Shila itu? Sudah kemaruk sangatkah sampai sanggup mengusung diri walaupun si empunya diri tak sudi?

"Zara aku masih boleh terima lagi tapi Shila... she's a slut, Nain! Semalam aku baru tengok dia bertepuk tampar dengan seorang cameraman di set, hari ni dengan kau pulak? Tak boleh ke kau pilih perempuan yang baik sikit?" Berubah sudah nada suara Uqasha, lebih kepada memujuk. Kepalanya asyik digelengkan, mungkin pening melayan karenah rakannya itu.

"Alah, padanlah dengan Nain. Bertukar girlfriend je kerjanya. Kau jangan risau, takkan lamanya Nain dengan dia. Paling kurang pun sampai lusa." Hakimi menjadi batu api, menyala kembali kemarahan Nain sehingga lelaki itu memberi jelingan maut yang mengancam. Mulut Hakimi pantas tertutup, tidak jadi menyambung ayat.

"Aku nak sangat tengok kau dapat awek yang betul sikit. Sebelum ni, si Hani tu okey apa, manis je muka dia. Perangai pun elok. Apa yang kurangnya?"

Nain terdiam. Matanya memandang dinding yang kosong di tepi dapur. "Well, dia... susah sikit."

Uqasha mengerutkan dahi. "Apa yang susah?"

Telingaku menjadi panas. Berbulu-bulu hingga mahu terbakar. Lelaki di depanku ini memang lembap, sama macam Hakimi. Apa yang susah, kau tanya? Susah sebab dia tak boleh pegang perempuan tu, tak boleh usung ke bilik macam si Shila! Aku tak boleh, serius, tak boleh. Membayangkan yang aku akan terlihat lagi aksi antara lelaki itu dengan pasangan bukan mahramnya buat aku rasa nak muntah. Sesungguh aku rasa berdosa berada satu rumah dengan lelaki itu, walaupun kerjanya tidak haram. Entah-entah lelaki itu gigolo? Jadi duit yang aku terima nanti tidak halal?

Tidak berani memikirkannya, aku pantas mengangkat tangan sebelum perdebatan bermula lagi.

"Korang boleh sambung perbualan ni sampai malam, saya tak kisah sebab tak ada kaitan dengan saya. Tapi saya tak nak bekerja di sini lagi," kataku tegas dengan pandangan tajam menusuk ke arah lelaki yang masih tenang riak wajahnya. Uqasha sudah cemas di kerusi, Hakimi berkerut dengan wajah kecewa manakala Khai seperti biasa, tidak terkesan dengan permintaanku.

"Tapi Hamani..."

Aku pantas memotong kata Uqasha, langsung tidak gentar dengan pandangan tajam yang dihadiahkan oleh Nain kepadaku. "Maaf tapi saya tak nak bersubahat. Saya rela jadi penganggur daripada bekerja satu dengan rumah dengan lelaki jijik macam awak."

Ayat itu aku tujukan khas kepada Nain yang memandangku tidak berkelip. Mulutnya aku perasan diketap geram tapi tiada suara diluahkan. Lantas apron ditubuh ditanggalkan lalu aku letak di atas penyandang kerusi. Wajah keempat-empat lelaki itu aku pandang sekilas tanpa rasa kesal. Aku percaya tindakan aku yang terbaik.

"Terima kasih sebab ambil saya berkerja tapi saya tak layak berada di sini." Aku tunduk seketika untuk beri hormat kerana walau apa pun, mereka pernah menjadi majikanku jadi serasa kurang ajar pula jika aku angkat kaki begitu saja.

"Selamat tinggal. Assalammualaikum." Aku ambil beg tanganku di atas kabinet dapur lantas aku atur langkah ke pintu utama. Tidak lagi aku memaling untuk kesekian kalinya, apatah untuk memandang wajah lelaki itu. Biar tinggal kenangan yang akan aku cuba hapuskan secepat mungkin.

"Awak boleh berhenti..."

Kakiku tidak jadi melangkah apabila suara garau itu menyapa gegendang telinga. Suasana senyap sunyi untuk seketika, hanya kedengaran degupan jantungku yang semakin rancak memainkan irama apabila tapak kaki seseorang semakin dekat di belakangku. Aku masih berdegil, tidak mahu memalingkan tubuhku. Tapi hanya menunggu kata-katanya yang seterusnya.

"Tapi awak kena bayar ganti rugi."

Sepotong ayatnya itu berjaya memancing tumpuanku. Aku memusing badanku dengan wajah hairan, mata pula mencerlung tajam ke arah lelaki yang masih tenang berjalan ke arahku.

"Apa maksud awak? Saya dah baca kontrak kerja, there's no such thing as compensate. Awak ingat saya main sign je ke tanpa membaca surat kontrak tu?" tembakku. Rasa menyampah pula melihat senyuman penuh sinis itu. Dia ingat aku tak reti English? Aku dah baca ulang kali, siap tanya Uqasha lagi hal ganti rugi ni. Dia jangan nak main-mainkan aku!

Nain ketawa sinis, tangannya menyeluk poket lalu sehelai kertas dikeluarkan. Lembarannya dibuka untuk ditunjuk kepadaku. Aku tahu kertas apa itu. Surat kontrak janji yang baru aku tandatangani pagi tadi. Masih segar warna ink pen di atas kertas A4 putih itu. Apa tujuan Nain menunjuk kertas itu kepadaku?

"So?" tanyaku dengan perasaan sebal.

Nain membuat bunyi 'tsk' yang seakan mengejek. Matanya mengecil, senyumannya lebar sehingga ke telinga. "I thought you are a bright girl. This thing, so easy but you make it so complicated."

"Apa benda yang awak mengarut ni?" Hatiku sudah panas. Apa kaitan kebijaksanaanku dengan surat kontrak janji itu? Ada yang silap kah pada isi kandungannya. Aku baca lagi apa yang tertaip disitu. Masih sama, tiada perubahan. Jadi apa masalahnya?

"Ah... awak tak baca habis ke sebelum sign? Di sini sah-sah dah tertera, if you resign without ending your contract, you will need to pay three months salary as the compensation. Hmm, takkan perempuan bijak macam awak tak reti nak baca?"

"What?!" Aku menjerit tidak percaya. Kertas ditangannya aku rampas lalu aku ulang baca untuk ke sekian kalinya. Yang ada cuma tiga syarat itu saja, langsung tiada menyentuh bayaran ganti rugi. Dia ingat aku rabun? Tak nampak tulisan sebesar font 18 itu?

"Saya yang tak bijak ke awak? Saya tak nampak pun bayaran ganti rugi macam yang awak cakap. Saya belum buta lagi tau?" Marahku, serasa ingin ku lempar kertas itu di wajah yang menyakitkan itu.

Nain menapak lebih dekat tapi aku tidak berganjak. Aku tidak boleh tunjuk rasa takut padanya, kalau tidak aku akan kalah. Lelaki seperti Nain tak boleh diberi muka.

"Ni," kertas itu dibalikkan, dan lelaki itu menampalnya kasar di dahiku. "Baca terang-terang apa yang ditulis."

Terkebil-kebil, aku mengambil kertas yang sudah ronyok lalu membaca isi kandungan yang langsung tidak aku nampak sejak tadi. Hatiku berdebar-debar dengan rasa gelisah tak bertepi saat mulutku membaca setiap baris patah perkataan yang buat jariku menggeletar.

"Benda ni tak ada masa saya sign tadi!" Tingkahku berang, tidak percaya dengan apa yang aku baca. Bagaimana aku boleh tidak perasan ada lagi isi kandungan kontrak di belakang kertas itu? Tak mungkin!

Aku pandang Nain dengan rasa tidak puas hati. Penuh syakwasangka dan tidak percaya. Mesti Nain menambah sendiri kandungan kontrak itu. Ya, aku pasti!

"Awak tambah kan syarat ni?" Tuduhku dengan mata mengecil.

"Mana bukti?" Soalannya selamba, menyebabkan aku terdiam. "Tak ada kan? Tapi aku ada surat janji dengan tanda tangan kau di atasnya, menandakan yang kau setuju dengan syarat yang kitorang listkan. Kau nampak ke tak nampak ke itu bukan hal aku. Sini dah terang-terang ada sebut nama kau, which mean this is the first page. Kau tak sedar atau buta?"

Meruap-ruap kemarahanku dengan sindirannya, sedikit lagi aku mahu menjerit tapi aku tahankan sabar. Kertas itu aku renung lagi dan di syarat yang ke tiga, aku baca sehingga ia melekat di otakku. Niatku untuk berhenti kerja terus berkecai begitu saja.

"In case kau rabun, jadi aku bacakan untuk kau. Biar masuk ke dalam kepala otak tu," suara Nain sudah membingitkan telinga, berdesing seperti nyamuk yang minta penampar.

"First rule, kontrak kerja berlangsung sehingga tempoh yang ditetapkan oleh majikan. Satu hari? Seminggu? It's up to us. Next, waktu kerja adalah bermula dari jam 8 pagi hingga 7 malam, everyday," terang Nain.

Dan bila sampai ke syarat ke tiga, suara lelaki itu semakin nyaring. "Third rule, sekiranya pekerja gagal untuk menamatkan tempoh seperti yang ditetapkan oleh majikan, pampasan tiga bulan gaji hendaklah dibayar sebagai ganti rugi. Maksudnya kau kena bayar aku RM7500 kalau nak berhenti."

"Tipu! Saya dah tanya Uqasha sebelum saya sign, dia cakap tak ada pun pampasan!" Nama Uqasha dikait sama dan aku pandang lelaki yang sedari tadi diam tidak berkutik. Riaknya resah.

"Kau ada terang dengan jelas kat perempuan ni, Uqasha?" Soal Nain, langsung tidak gentar dengan nada suaraku. Dia melirik ke arah rakannya, lama dan tajam.

"Er, aku..."

Nain tiba-tiba menggoyang jari telunjuknya di depan mukaku. "Kau tanya Uqasha buat apa? Tanyalah Khai, Hakimi ke, bukan diorang yang bagi keputusan."

Lelaki itu mengambil selangkah lagi. Kali ini aku terpaksa mengundur setapak, mata terbuntang luas.

"Aku dah cakap tadi kan? Aku je yang boleh pecat kau. Sebab apa? Sebab aku majikan kau, bukan Uqasha," tegas Nain menekankan perkataan majikan, supaya aku tahu kedudukannya yang sebenar di rumah itu.

Tapi aku tak faham. Nain kata dia tak suka aku, jadi kenapa menggari aku di rumah ini? Apa helah yang ingin dimainkan?

"Awak cakap tak suka saya, kenapa masih nak saya bekerja di rumah ni?" Aku sudah memperlahankan suara, mahu tidak mahu terpaksa mengalah dengan lelaki di depanku. Air mata yang bergenang sedaya upaya aku tahan agar tidak tumpah. Aku tidak mahu kelihatan lemah. Belum tiba saatnya.

Nain ketawa kecil. Kalau tidak kerana perangainya macam hantu, memang aku akan jatuh hati dengannya. Sayangnya, rupanya tidak bergerak selari dengan perangai.

"Aku nak biar kau rasa, macam mana bekerja dengan lelaki jijik macam aku." Kata-kata Nain umpama halilintar yang membelah langit, menyedarkanku tentang dunia sebenar yang penuh dengan pelbagai jenis ragam manusia. Tidak semuanya berhati baik. Ada yang berhati busuk. Dan sekarang ini, manusia berhati pendendam.

Jadi dia terasa dengan komenku mengenai sikapnya?

"Sebab itu je? Awak rela hadap muka saya ni sebab saya kata awak jijik?"

Nain menjungkit bahu. "Aku tak kisah. Bukan aku selalu ada pun kat rumah ni. In fact, kau yang kena serve aku sampai aku cakap kau boleh berambus."

"Tak boleh! Saya ada internship lagi dua bulan. Saya dah cakap awal-"

"Whatever," pintas Nain bosan, kakinya mula melangkah ke arah tangga. "Dua bulan tu dah cukup untuk aku buat hidup kau merana."

Memang hantu! Kau ingat aku takut?

Aku pandang dia. Dia pandang aku. Tak ada seorang pun yang mahu mengalah dalam pertandingan beradu pandang itu. Biar dia tahu dan sedar aku bukan jenis yang mudah tunduk dengan telunjuknya. 

Kepala didongak, menentang renungan tajamnya. "Fine, dua bulan. Jangan nanti awak merayu dengan saya, tak nak saya berhenti kerja. Saya akan kerja di sini sampai tempoh dua bulan habis!"

"Tak ada masalah. We will see about that. Kalau kau sebut give up dalam tempoh tu, aku menang. Yang kalah akan menurut arahan si pemenang, ada berani?"

Sikapku yang pantang dicabar berlumba-lumba keluar dari diri. Ditambah dengan senyuman penuh sinis Nain, kepalaku semakin berasap dan tanpa berfikir panjang, aku pantas bersetuju. "Deal!"

"Oh and Ham, the one who fell in love first is also the loser." Dengan itu, Nain menapak naik, meninggalkanku di ruang tamu dengan wajah merah kerana berang.

"Nama aku Hamani, lelaki tak guna! Siapa yang sukakan kau? Perempuan bodoh je yang sanggup jual diri dekat kau!" Hamburku namun selepas bayangnya lesap. Nafasku turun naik dan jantungku berdegup laju. Tidak pernah dalam seumur hidup aku meluahkan amarahku secara terang-terangan. Selalunya aku pendam dan meledakkannya di dalam bilik, jauh daripada semua orang. Tapi dengan jantan tak guna itu, cepat saja suhu amarahku naik.

"Sorry, Hamani. Walaupun saya tak suka cara Nain, but I'm glad you're still working here," ucap Uqasha jujur. Air mukanya yang terukir riak bersalah itu mencairkan segala kemarahan yang tinggal.

"Jadi betullah Nain menambah syarat tu?" Aku memberanikan diri bertanya. Uqasha jelas kelihatan terkejut saat Nain membaca tiga syarat yang baru. Pasti saja lelaki itu secara senyap-senyap mengedit kontrak itu semasa aku memasak tadi. Dasar lelaki penipu.

"Well, I can't say anything further. Lagipun saya bukan owner rumah ni, Nain does. He makes all the decision."

Jadi betullah Nain pemilik rumah ini? Rumah banglo yang dijual dengan harga RM1.9 juta itu dibeli oleh lelaki muda yang usianya tidak jauh dariku? Apa sebenarnya kerja Nain?

"So, mungkin awak boleh kemaskan stor? Sebab kitorang nak set up bilik tu untuk sesuatu," arah Uqasha. Sebelum dia pergi, aku pantas menahannya. Bila teringatkan adik-adikku di rumah, mahu tak mahu aku terpaksa merendahkan diriku untuk meminta kebenaran.

"Boleh saya balik sekejap? Saya kena masak untuk adik-adik saya."

Uqasha terdiam sebentar. Dia pandang Khai dan Hakimi yang masih duduk di meja makan, seolah sedang berbincang melalui pandangan mata. Hatiku diruntun kecewa apabila Uqasha melepaskan keluhan. Tahulah aku permintaanku ditolak.

"Sorry Hamani, saya tak berani nak lepaskan awak pergi. Yang tu awak kena tanya dengan Nain sendiri," kata Uqasha perlahan, tidak berani memandang mataku.

Tanya Nain? Heh, aku rela tanya dinding daripada berbual dengan lelaki itu.

"Tak apa, saya faham. Selalunya saya masak untuk diorang, tapi nampak gayanya kena suruh Kak Long saya yang masakkan," tuturku perlahan.

"Okay, lepas ni kitorang kena keluar lagi. Awak tak perlu masak untuk dinner sebab kitorang akan balik lewat. Bila perlu je saya akan suruh awak masak," tambahnya lagi sebelum berlalu pergi.

Aku melepaskan keluhan. Tak sangka perasaanku semasa menandatangani kontrak itu benar-benar berlaku. Aku akhirnya jatuh ke dalam perangkap yang dipasang oleh mereka.

RM7,500... macam mana aku nak cari duit sebanyak itu membayar pampasan? Nak tak nak aku terpaksa menghabiskan kontrak dua bulan ku. Alamatnya terpaksalah aku menghadap perangai jijik lelaki tak guna itu dengan kekasihnya.

Urgh.

????????

"Macam mana hari pertama kerja?"

Sebaik saja aku melangkah masuk ke rumah, suara mak menegurku dengan senyuman cerianya. Tangannya mengelap pada kain, bermaksud mak baru saja mengemas dapur, kerja yang sepatutnya dilaksanakan oleh aku. Aku perhati ruang tamu yang sedikit bersepah, sama seperti waktu aku pulang selepas menghabiskan pengajianku.

Soalan mak tidak ku balas. Aku membuka wedges lalu menyusun kasut dan selipar yang berterabur di belakang pintu. Kusyen yang tunggang terbalik di atas sofa aku atur.

"Nasi dah masak, mak?"

Mak kelihatan terpinga-pinga sebentar sebelum menggelengkan kepala. "Mak baru balik, tak sempat masak lagi. Kejap lagi mak masak."

"Tak apa, biar Am yang masak. Mak pergi je mandi, solat lepas tu rehat. Dah siap masak nanti Am panggil," aku menegah mak yang ingin berlalu ke dapur. Tudung shawl aku buka dan satu keluhan panjang akhirnya terlepas..

"Penat ke kerjanya?" Mak bertanya lagi, dengan nada kerisauan yang buat hatiku dipagut sayu.

Cepat-cepat aku gelengkan kepala. "Tak penat pun. Kemas sikit-sikit, lepas tu memasak untuk majikan Am. Tu je kerjanya."

Setakat ni.

"Diorang baik?"

Aku ketawa. Sinis. "Baik. Ada yang pendiam, tapi overall semuanya okay," jawabku ringkas.

Ya, semuanya okay kecuali lelaki tak guna itu. Kalau tidak kerana jantan itu, pasti melambung lagi pujian aku berikan tapi apakan daya, mulutku tidak mampu menipu dan memberi gambaran yang berlebihan sedangkan realitinya jauh sekali.

"Oh, okaylah kalau macam tu. Mak risau sebab kamu kerja dengan orang asing walaupun jiran kita. Semua tak kenal siapa jiran baru kita tu, tak pernah tunjuk muka pun," kata mak dan aku mengiyakannya.

"Family ke duduk situ, Am?"

Tiba-tiba lidahku kelu untuk menjawab. Apa kata mak nanti sekiranya aku memberitahu perkara yang sebenarnya? Yang duduk di rumah itu hanyalah empat orang lelaki bujang dan salah seorangnya mempunyai hobi bertukar teman wanita. Adakah emak akan melarang aku bekerja di sana? Ya, sudah tentu sekali. Pasti mak akan membebel, menasihatiku perihal perempuan dara tidak elok duduk serumah dengan lelaki walaupun cuma sekejap lebih-lebih lagi ada empat orang. Pasti dia takut kes rogol atau gangguan seksual berlaku.

Aku pun ada fikir begitu. Mungkin silapku kerana tidak bertanya siapa yang duduk di rumah itu sebelum menandatangani surat kontrak. Aih, nak berhenti kerja dah tak dapat. Mana nak cari duit ribu ringgit semata-mata untuk bayar pampasan kepada lelaki itu? Lebih baik simpan buat pergi haji.

"Em, family mak. Family empat orang," aku jawab, separuh jujur.

Mak mengangguk di sisiku. "Tak peramah ke diorang? Kenapa tak bertegur sapa dengan jiran tetangga?" Tanya mak lagi, masih tak berpuas hati selagi tidak berjumpa dengan jiran baru kami itu.

Aduh, mak ni! Janganlah paksa aku menambah dosa dengan menipu. Sudah-sudahlah hatiku hancur ditipu lelaki tak guna itu, sekarang ni melumatkannya pula dengan menipu keluargaku.

"Entahlah mak. Belum bersedia kot. Adalah tu nanti buat kenduri doa selamat ke apa. Nanti Am beritahu," aku membalas pantas lalu cepat-cepat berlalu ke bilik untuk mandi. Tidak sanggup mendengar soalan mak yang seterusnya. Dari bilik air, aku dapat menangkap suara Kak Long yang turut bertanyakan soalan yang sama.

"Seronok ke kerja Angah? Angah buat apa je? Siapa bos Angah?"

Eh, banyak bunyi betul! Ni yang malas nak keluar bilik. Tapi kalau tak keluar, siapa yang nak masak? Along? Heh, sampai ke tua pun aku takkan dapat merasa air tangan Along. Macam mana bila dia kahwin nanti? Takkan nak suruh aku masak lepas tu bekal bawa balik rumah? Along, along...

Selepas siap berpakaian ringkas, aku mengemas sedikit bilik tidurku kerana aku jenis yang tidak suka barang bersepah. Memang pantang bagiku bila barang di dalam bilikku diusik hatta beralih walau seinci. Aku pasti tahu ada penceroboh yang berani menganggu ruang tidurku. Dan kalau aku tahu, memang siap kena leteran tiga hari dua malam. Sampai bengkak telinga aku tak peduli.

"Best kerja?" Buka saja pintu, Along terus menerjah aku dengan pelbagai soalan. Dan seperti jawapanku kepada mak tadi, aku ulang lagi dengan nada jengkel.

"Handsome bos kau?" tambah Kak Long lagi dengsn senyum sunggingnya. Aku hanya menjulingkan mata, tidak menjawab.

"Kau tak boleh balik tengah hari ke Ngah? Takkan budak-budak makan KFC je hari-hari?"

Siapa suruh tak reti masak? Harap aku je.

"Tak boleh. Angah masih baru, mana boleh balik rumah sesuka hati. Nanti gaji dipotong," balasku tegas. Adikku-adikku membuat muka cemberut, kecewa dengan jawapanku.

"Nanti dah stabil sikit Angah tanyakan lagi. Mana tahu dapat. Buat masa ni Kak Long belikanlah lauk ke, nasi set ke, jangan fast food je," bebelku sambil menjeling tajam ke arah wanita yang duduk di kananku. Kami sedang menikmati hidangan malam selepas Fika dan Ara kelaparan dihidang hidangan Snake Plate yang dikongsi bersama. Bukan seorang satu, tapi satu set untuk dua orang. Mana taknya kebulur dua orang yang punyai selera paling besar di rumah itu.

"Janji tau?" Ara memandangku lama, menagih kata-kataku.

"Ya, ya. Kak Ngah janji. Next two week maybe?"

"Okay," ucap Ara ceria. Mereka berdua makan dengan gelojohnya sampai nasi di pingganku baru habis separuh, mereka sudah bertambah dua kali. Aku jadi hairan. Lapar sangat ke petang tadi?

"Apa yang rushing sangat ni? Ada hantu kejar dari belakang ke?"

Ara meneguk air lantas bangun dari kerusi. Fika membuntuti dari belakang, masing-masing berebut menghantar pinggan ke sinki. "Tak boleh lama sangat makan, drama dah nak start. Hari ni klimaks cerita," jawab Fika bersungguh-sungguh.

Aku mengerutkan dahi. "Cerita apa tu sampai tak boleh tunggu? Kan boleh je download."

"Itu kau! Diorang mesti nak tengok live, baru syok." Along menyindirku, meminta jelingan tajam. Aku teruskan suapan yang tergendala, memerhati dengan diam tingkah adik-adikku yang sudah mengambil tempat masing-masing di depan televisyen.

"Diorang tunggu cerita apa?" Sekali lagi aku bertanya memandangkan soalanku tadi tidak dijawab.

"Titian Kasihmu," jawab Kak Long. "Kan dah bagitahu minggu lepas. Dah ajak dah tapi kau yang tak nak join. Memanjang dengan drama korea kau tu je."

Telingaku pantas berdesing. Sindiran Kak Long aku tolak ke tepi kerana apa yang lebih menarik minatku adalah tajuk drama itu.

Titian Kasihmu? Kenapa aku macam pernah dengar?

"Kak Long, cepat, cepat! Dah nak start!"

"Okay, okay. Tunggu jap. Kak Long basuh tangan." Seperti adiknya, anak sulung itu juga melompat dari kerusi, membuatkan aku dan mak geleng kepala.

Selepas habis makan, aku mengemas meja dan menyimpan lauk yang tidak habis ke dalam peti sejuk. Sengaja aku masak lebih untuk Fika dan Ara esok. Kelibat keluargaku yang sedang tekun menonton drama itu aku pandang sekilas. Kusyuk benar rupanya. Kan elok kalau belajar macam tu.

"Handsomenya Nain!"

Aku terpaku tatkala sebaris nama itu masuk ke gegendang telingaku. Niatku untuk masuk ke bilik mati begitu saja. Pandanganku ditala pada ahli keluargaku dan perlahan-lahan aku hampiri ruang tamu dengan debaran di dada.

"Tapi Kak Long minat Reza. Nain macam jambu sangat," komen Kak Long pula. Bila dia ternampak aku, keningnya bertaut. Hairan.

"Eh Ngah, hantu mana yang sampuk kau ni? Tiba-tiba tengok drama melayu."

Aku tidak pedulikan sindiran Kak Long. Mataku memaku pada skrin televisyen 16 inci itu dengan rasa tidak percaya. Akalku cuba menyangkal tapi mataku tidak mampu menidakkan kebenaran.

Di skrin televisyen itu, raut wajah yang aku takkan lupa sampai mati sedang tersenyum manis, menyerlahkan kekacakannya yang jelas ketara dari gaya rambut dan fesyen yang digayakannya. Dia nampak santai dengan style rambut side part dan baju t-shirt putih yang dipadankan dengan kemeja sweater dan jeans biru.

Aku kelip mata. Masih tidak percaya. Tak mungkin orang yang sama. Ini cuma halusinasi aku saja. Disebabkan kebencian dan rasa meluat yang mendalam terhadap lelaki itu, wajahnya muncul di setiap genap ruang di rumahku. Ya, itulah sebabnya.

"Kak Ngah minat Nain?" soal Fika bila aku ralit melihat wajah lelaki itu di skrin.

Aku toleh Fika. "Siapa nama dia?"

Fika mengerutkan dahinya.

"Nain. Eziary Nain."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience