Pagi-pagi lagi Yu sudah terpacak di muka pintu rumah, dengan sengihan lebarnya dan wajah tidak sabar sebaik saja aku memaklumkan akan persetujuanku untuk mencuba nasib pada sesi temuduga hari ini. Aku masih lagi dengan baju kelawarku ketika membuka pintu, menjemputnya masuk.
"Kenapa kau pulak yang tak sabar-sabar ni? Kerja orang gaji je kot." Hairan dengan tingkahnya yang tergesa-gesa membuka kasut sebelum masuk ke dalam rumah.
Yu melepaskan tawa. "Haruslah. Best friend pegi temuduga, mesti bagi support."
Tersengih-sengih aku mendengarnya. Terharu pun ada juga. Yu sanggup datang ke rumahku dari Seremban 2, meredah kesesakan lalu lintas pada awal pagi semata-mata untuk bersamaku di hari temudugaku yang pertama.
"Jam berapa interview tu mula?"
"Jam 9. Kau dah breakfast ke belum? Aku nak goreng nasi je ni." Sebelum Yu datang, niatku memang mahu menuju ke dapur untuk masak sarapan pagi. Selalunya itu adalah tugas aku memandangkan aku tidak bekerja dan memegang jawatan sebagai suri rumah sepenuh masa. Selepas Subuh pasti aku akan menyediakan sarapan, kemudiannya menjemur pakaian dan mengemas rumah.
"On! Apa-apa saja kau masak semua aku bantai," kata Yu disertakan oleh tawaku.
"Mak mana?"
Aku mengerling ke arah kabinet di belakangku, melihat dengan senyuman telatah Yu mencari pinggan dan gelas untuk disusun atur atas meja makan. "Ada dalam bilik. Kejap lagi keluarlah tu."
Baru saja kami berbual pasal mak, susuk tubuhnya kelihatan keluar dari bilik dan apabila matanya terpandang Yu, riak wajahnya bertukar ceria.
"Awal kamu hari ni, Yu. Nak temankan si Hamani ni ke?" Mak menyambut huluran tangan Yu lalu menepuk belakangnya lembut, persis layanan lazimnya terhadapku.
Yu tersengih-sengih. "Nak tahu jugak siapa owner rumah tu. Mana tahu artis popular ke, untung jugak ada kawan berkenalan dengan golongan famous ni."
Ternaik keningku mendengarnya. "Nak tumpang glamor la ni?" Usikku.
"Apa salahnya, sekali sekala. Kalau kau melekat lagi bagus." Yu menarik senyuman penuh makna, buat hatiku berdongkol geram.
"Melekatlah sangat. Kalau tua kerepot baik tak payah je," bidasku. "Nanti aku tolong carikan satu untuk kau, sama-sama kita dapat seorang."
"Eh, eh. Aku tak nak tau. Aku masih muda lagi, nak enjoy dulu."
Mataku terjegil dengan jawapannya. "Habis? Aku dah tua? Kurang asam betul!"
Mak tidak berkata apa mendengar gurauan kami sebaliknya hanya diam di meja makan. Namun senyumannya tidak lekang dari bibir pucatnya dan aku perasan, setiap kali Yu hadir dalam keluarga kecil kami ini, wajah berkedut itu akan naik serinya seolah menyambut kehadiran anak yang berpuluh tahun berhijrah di perantauan. Layanan yang Yu terima tidak pernah berkurangan daripada kami adik-beradik dan kami sekeluarga sudah menganggap gadis itu sebagai sebahagian daripada keluarga kecil ini.
"Pukul berapa nak ready?" Mak bertanya sebaik saja nasi goreng sudah siap dihidangkan di atas meja. Aku membuka apron yang tergantung di leher lalu disangkutkan pada paku dinding di sebelah kabinet. Teko berisi teh O panas diambil dan aku tuang dalam cawan satu persatu.
"Pukul 8 ni Am mandi dan bersiap semua."
"Bawa apa je?" Suara Kak Long menyapa gegendang telinga dan dibelakangnya, Fika dan Ara membuntuti dengan mata separuh terbuka.
"Dah cuci muka ke belum?" Aku menegur, menajamkan mata ke arah dua orang kanak-kanak itu. Terus mereka berlari ke tandas sebelum telinga mereka menadah bebelanku.
"Bawa badan je Kak Long. Katanya tak perlu kelayakan apa-apa, cuma perlu tahu memasak dan mengemas rumah."
Kak Long mengangguk. "Jangan lupa, be confidence. Kau tak lawa ke, rupa biasa-biasa je ke, jangan cuak. Yang penting level keyakinan tu tinggi. Kalau boleh kau list je semua lauk yang kau pandai masak, biar yang lain tak ada chance."
Yang ni menyindir aku ke bagi semangat?
"Sembur minyak wangi banyak-banyak." Tambah Kak Long lagi. Dah serupa nak menggoda lelaki pun ada.
Aku tolak cadangannya itu.
Seperti kali pertama aku menghadiri kelas kuliahku sewaktu diploma, aku mengenakan kurung pahang bermotifkan bunga-bunga kecil berwarna pastel merah jambu. Yu membantu merias wajahku dengan pembayang mata yang dibawanya khas untukku. Sepanjang menyolek mukaku, dua ulas bibir mungil itu tidak henti-henti membebel disebabkan kemalasanku belajar teknik bersolek. Sudah acapkali Yu mengajarku namun aku yang tidak ambil endah kerana lebih suka bersolek cara mudah dan ringkas. Tapi hari ini gadis itu berkeras pula mahu menyolekku.
"Kalau owner tu tak pilih kau, aku tak tahulah nak kata apa. Buta agaknya mata dia," kata Yu sambil mengoles lip gloss di bibir merah jambuku sebagai riasan terakhir.
"Okey ke?" Tanyaku dengan debaran dada yang mula menunjukkan belangnya apabila masa sudah semakin suntuk. Aku lihat penampilanku melalui cermin di meja solekku, membelek hasil kerja Yu dan shawl yang melitupi kepala. Wajah Yu ku pandang dengan dahi berkerut.
"You look marvelous!" Puji Yu tatkala mata kami bertemu menerusi pantulan di cermin. Aku membuat muka tidak percaya tapi mengetam bibirku daripada membuahkan ayat yang bisa memanjangkan bebelan Yu terhadapku. Gadis itu sangat pantang apabila aku menidakkan komennya.
"Okay, aku dah start nervous," getusku seraya jemari mengurut dada yang berombak kencang. Nafas ditarik dan dilepaskan dalam kiraan sepuluh untuk meredakan rasa gemuruh yang menghentam jiwa.
"Relaks la. Kalau tak dapat, kau boleh cuba kerja lain. Buat macam biasa je bila diorang tanya kau nanti," Yu memberi tips dan kata nasihat. Sebagai seseorang yang pernah gagal dua kali dalam temuduga, aku semat kata-katanya dalam ingatan.
"Okey."
"Jom, aku hantar kau."
Kami beriringan keluar dari bilik, menuju ruang tamu di mana mak dan yang lain sudah siap menanti kehadiranku. Lebar senyuman mereka melihat perubahanku meskipun pada dasarnya aku cuma mengubah penampilanku.
"Wah, tiba-tiba kau jadi perempuan hari ni." Kak Long seperti biasa dengan ayat pedasnya meminta jelingan maut daripadaku.
"Tak ada nak pergi mana, buat apa nak melawa," bidasku sebelum menghampiri mak.
"Doakan semuanya berjalan lancar ya, mak," tuturku seraya mengucup lembut tangan berkedut itu. Melihat rupa paras mak yang semakin dimamah usia, hatiku dipagut sayu kerana pada usia senja begini, mak masih bekerja keras membanting tulang demi menyara kehidupan kami adik-beradik. Tidak pernah walau sesaat mak tidak memikirkan sumber kewangan selepas kematian ayah.
Meskipun separuh hatiku tidak berkenan dengan pekerjaan yang bakal aku temuduga ini, tapi demi dua orang adikku yang masih bersekolah dan memerlukan perbelanjaan yang tinggi, aku gagahkan diri jua.
Orang gaji pun orang gajilah. Dua bulan dah dapat Rm5000. Mana nak dapat wang dengan kerja semudah itu?
"Woah! Kak Ngah, tengok sini!" Fika yang sedang menilik keadaan luar menerusi tingkap yang terbuka memanggilku dengan suara cemas.
"Ada apa?"
Kami semua menghampiri Fika, mengerumuni ruang jendela empat tingkap itu. Pandangan ditala pada jalan yang menghubungkan semua rumah teres setingkat di lorong itu.
"Oh my, apakah ini?"
Tidak mempercayai apa yang dilihatnya, Kak Long membuka pintu lalu keluar sambil diekori oleh yang lain. Hanya aku saja memaku kakiku di dalam rumah, memerhati dengan semangat merundum kehadiran deretan kereta dan motosikal yang memenuhi setiap penjuru dan ruang di lorong itu.
Itu belum lagi termasuk puluhan wanita dan gadis remaja yang berbaju kurung dan berpakaian formal, semuanya berdiri di hadapan pagar rumah banglo itu.
"Ini interview untuk eksekutif ke apa? Orang gaji je kot." Yu mengedipkan matanya berkali-kali, tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. "Aku interview di syarikat aku hari tu pun tak seramai ni yang datang."
Kalau tadi ada la sedikit keyakinan tersimpan dalam diri, tapi sekarang terus lesap entah ke mana. Tertinggal dalam bilik agaknya. Kaki yang sedari tadi berdiri kaku di hadapan tingkap mula beralih arah ke ruang tamu.
"Er, rasa tak nak pergilah."
"What? Apa yang kau mengarut ni? Dah siap mekap macam tu boleh pulak tak nak?" Kak Long menebakku dengan wajah yang menyinga.
"Ta- tapi ramai gila orang kat luar sana," tuturku lambat-lambat, mata masih memaku pada situasi di luar jendela. "Angah tak confident la."
Kak Long pantas menarik tanganku, memaksa aku keluar dari rumah meskipun kakiku sedaya upaya menahan daripada bergerak. "Jangan nak mengada. Bukannya kitorang nak kau dapatkan kerja tu pun tapi nak kau belajar, ambil pengalaman. Kalau tak dapat, bukan rezeki kau. Cuba yang lain lagi. Baru nampak orang ramai sikit, dah menggelabah. Bila nak maju?"
Aku terdiam mendengar leteran Kak Long yang ada benarnya. Gagal sekali bukan bermakna gagal selamanya dan sekiranya aku takut untuk melangkah, selamanya aku akan tertinggal di belakang.
Sebaik saja aku berada di parkir kereta, Kak Long melepaskan pautan tangannya lalu membuka pintu pagar. Selepas memakai kasut wedgesku, Yu menolak tubuhku lembut sambil jemarinya mengusap belakangku sebagai tanda sokongan.
"Jangan takut, buat biasa je. Tak dapat, tak apa. Asalkan kau dah buat yang terbaik."
Aku angguk kepala. Melihat puluhan gadis yang jauh lebih bergaya dan cantik daripadaku buat keyakinanku terumbang-ambing namun ku kentalkan hati. Jam tangan dikerling. Sepuluh minit lagi sebelum temuduga bermula.
Wajah insan kesayangan yang setia menungguku dan menjadi tulang belakang hidup aku pandang lama. Senyuman berbalas dan setelah yakin gemuruhku sudah berkurangan, aku berikan lambaian sebelum melangkah menenggelamkan diriku dalam lautan manusia.
Pintu pagar masih bertutup tapi dihadapannya ada sebuah meja yang ku kira adalah meja pendaftaran. Seorang wanita muda duduk dengan wajah serius, mata melekap pada helaian kertas dihadapannya. Aku beranikan diri menghampiri, memberi salam.
"Tulis nama, IC dan alamat, lepas tu ambil nombor," arahnya ringkas tanpa memandang mukaku. Tanpa berlengah, aku menurut arahannya dan habis saja mengisi maklumat, nombor ditangannya ku ambil.
"125?" Mulutku melopong. Seramai itu?
"Sila tunggu nombor awak dipanggil."
"Er, okay. Terima kasih." Aku mundar-mandir di hadapan rumah jiranku, Pak Leman yang masih bertutup pagarnya. Kiri kananku penuh dengan manusia, menyekat pergerakanku. Lantas, aku berdiri menekur bersebelahan kumpulan gadis yang parasnya sebaya dengan umurku.
"Ada tak dia hari ni? Aku dengar dia belum berpindah lagi."
Halwa telingaku tajam menangkap perbualan gadis-gadis itu. Siapa 'dia' yang dimaksudkan?
"Ah, aku nak autograph dia buat show off dengan geng yang lain. Mesti diorang jealous nanti!"
Autograph? Artis ke?
Tapi siapa?
"Apa kata-"
Perbualan mereka terhenti apabila suara seseorang berdehem bergema melalui mikrofon, menarik perhatian kami ke arah pintu pagar yang sudah terbuka. Seorang lelaki muda berdiri di sebelah meja pendaftaran, wajahnya terlakar satu senyuman lebar.
"Assalammualaikum dan selamat pagi semua. Kami agak terkejut dengan kehadiran yang di luar jangkaan ni walaupun post cuma untuk seorang saja," lelaki itu memulakan bicara. Aku lihat gadis-gadis di sisiku tadi sudah teruja, berbisik sesama sendiri memuji kekacakan lelaki itu.
"Mungkin ada yang tak kenal saya. Ada sesiapa yang tak kenal saya ke kat Malaysia ni?" Lelaki itu bergurau, disambut tawa oleh mereka yang hadir.
Ya, aku. Aku tak kenal pun kau.
"Okaylah, tanpa membuang masa, kita akan mulakan sesi temuduga untuk jawatan orang gaji di rumah ni. Nombor akan dipanggil dan yang lain boleh tunggu di kawasan halaman rumah." Lelaki itu berhenti sebentar, berbisik sesuatu kepada wanita di meja pendaftaran tadi. "Nombor 1 boleh masuk dari pintu utama ya."
Selepas pintu pagar dibuka luas, ramai yang berpusu-pusu masuk tapi aku lebih suka merayau di sekitar lorong rumahku. Jiran tetangga yang sudah memunculkan wajah di pagi hari aku tegur. Selepas itu, aku berbual pula dengan Yu yang setia menunggu di rumahku.
"Weh, dah nombor 112. Kau nombor berapa tadi?"
Kertas berwarna biru muda yang kecil itu aku teliti sekali lagi. "125."
Yu menjeling jam di tangannya. "Dah pukul 12.30. 100 lebih orang dalam masa 3 jam? Sekejap jugak interview tu. Aku ingat giliran kau sampai ke petang."
"Itulah. Apa je yang diorang tanya," getusku, sedikit risau. "Okaylah, aku gerak dulu. Doakan aku tau."
Perkarangan kawasan rumah banglo itu masih dipenuhi orang ramai meskipun lebih 100 orang calon sudah ditemuduga. Kebanyakannya belum pulang dan ada yang melepak di setiap ruang halaman hingga tiada lagi tempat untuk duduk. Sungguh aku tak faham. Apa yang mereka tunggukan?
"125?"
Aku dengar nomborku dipanggil, lantas aku melangkah laju ke pintu utama. Lantai keramik terasa dingin menyentuh tapak kakiku, mengalirkan rasa gemuruh ke seluruh urat saraf. Pandanganku ditala ke arah dekorasi ruang tamu yang minimal, tidak banyak perabot dan perhiasan dalaman. Mungkin sebab masih dalam proses berpindah. Lampu candelier yang tergantung di atas kepala aku pandang dengan rasa kagum.
Berduit betul.
"Dalam bilik ini ya, cik." Seorang lelaki muda yang agak kacak rupanya menjemputku masuk ke dalam sebuah bilik di bawah tangga. Di dalamnya ada sebuah meja pejabat dan tiga orang lelaki sudah duduk di kerusi. Salah seorangnya sudah kutemu semasa dia memberi ucapan alu-aluan tadi.
"Have a seat, Miss..." Lelaki di tengah memeriksa semula borang pendaftaranku. "Nur Hamani Abdul Rafiq."
Senyuman tipis dilemparkan lalu aku duduk di atas kerusi plastik berwarna biru muda yang disediakan. Penemuduga dihadapanku langsung tidak memandang wajahku semasa mereka sibuk membaca maklumat peribadiku. Sehingga beberapa saat kemudian, semuanya serentak mengangkat kepala.
"Alamat...2156 Lorong A12, maksudnya..." Lelaki di tengah merenungku dengan kening berkait.
"Sana." Aku menunjuk ke arah rumahku walaupun mereka pasti tidak nampak. "Selang dua rumah dari rumah ni."
"Oh?" Mereka seakan terkejut.
"Tak bekerja?" Tanya yang di tepi kanan. Namanya langsung tidak dipamer tapi anggukkan saja.
"Tengah tunggu industrial internship."
Mereka mengangguk. "Pandai memasak? Mengemas?"
"Ya, selalu buat untuk family."
"Boleh kerja overtime?"
Aku terdiam. Jadi orang gaji ada kerja overtime jugak ke? Tapi aku teringat tawaran gaji RM100 untuk setiap satu jam kerja lebihan masa jadi aku terus bersetuju. Sesungguhnya wang ringgit telah mengelabui mindaku.
"Okay, awak boleh mula kerja Isnin ni."
Selamba lelaki di tengah itu memberitahu sambil jarinya lincah mengemas borang di atas meja. Terpinga-pinga, aku memandang dengan rasa terkejut apabila mereka bertiga berdiri.
"Eh, itu je? Saya dapat kerja ni?"
Dua orang lelaki beredar, meninggalkan lelaki di tengah tadi, tersenyum lebar mendengar soalanku.
"Yes. As simple as that, you are now officially part of our family. Well, after signing the contract, of course. And that's if you accept the post."
"Well, of course I am but on what regards you accepted me? I think I'm no where near compared to the other girls," aku berkata jujur. Sepanjang aku menunggu di luar tadi, bermacam-macam gadis sudah ku temu dan semuanya kelihatan hebat-hebat belaka meskipun terdetik rasa aneh kenapa mereka berminat dengan jawatan ini.
"We are not looking for beauty, Miss Hamani. And also not brain. This job required cooking skill but most importantly, availability for overtime work which can only be fulfill if you are living nearer," lelaki itu menjelaskan dan di akhir ayatnya, baru aku faham kenapa aku dipilih.
"Sebab saya tinggal di lorong ni?" Tanyaku dengan rasa tidak percaya.
Dia tersenyum namun tidak menjawab.
"Don't forget, 8 am in the morning, in front of the door. See you next week," ucapnya lantas berlalu. Kakiku terpaku di lantai itu, masih bersisa kejutan.
Aku dapat kerja. Mak, anakmu akhirnya dapat kerja. Aku pasti mak akan memelukku bila aku khabarkan berita ini nanti tapi kenapa hatiku tidak gembira.
Share this novel