BAB 8

Romance Completed 6514

Dalam perjalanan balik, Is banyak bercerita tentang kisah silamnya. Aku langsung tidak ambil peduli dengan apa yang diceritakan oleh Is. Mungkin terguris dengan sikap diam membatu aku itu, Is turut mendiamkan diri.

“Is..cerita la lagi..Mia dengar walaupun Mia diam”

Tiba-tiba rasa serba-salah aku datang. Hilang sudah hati kering aku.

“ Is tahu Mia tidak suka Is duduk di dalam diri Mia kan”

Is berkata dalam nada merajuk.

“ Is duduk di mana ya? Jangan duduk di hati Mia tau. Itu kawasan larangan.”

Ak cuba berseloroh dengan Is supaya keadaan tidak menjadi dingin. Ibarat kisah Adam dan Hawa pula, ada tempat terlarang.

“ Is pun tak tahu di mana tempat Is sekarang. Is seperti roh yang tersepit di dalam badan Mia ”

Aku terkejut. Masih mampu mengawal stereng kereta aku. Kalau tengah makan sah-sah makanan yang aku makan tersembur dari mulut aku. Dapat pula semburkan ke muka Adam dugong, lagi puas hati aku.

“Seriously, Is? Maksud nya Mia ada dua roh la sekarang ni? ”

“ Bukan..bukan..Is cuma menumpang sahaja, badan Mia memang ada satu roh. Is cuma menumpang buat sementara waktu. Sampai masanya Is akan pergi jua.”

Perkataan ‘pergi’ yang dikatakan oleh Is sedikit sebanyak mengguris hati aku. Aku tidak tahu kenapa tetapi perkenalan singkat dengan Is menggetarkan naluri wanita aku. Walaupun aku berasa terbeban dengan kehadiran Is di dalam badanku tetapi dalam masa yang sama aku dapat rasakan ada suatu perasaan yang aneh muncul. Perasaan yang aku sendiri tidak faham. Apabila Is menyebut perkataan ‘pergi’ daripada aku barulah aku tersedar yang aku telah menerima kehadiran dia di dalam badanku.

Sudah dua minggu Is berada di dalam badanku. Dua minggu jugalah aku mungkin diibaratkan seperti orang gila oleh orang lain jika dilihat oleh mereka. Di rumah, aku akan berborak dan tergelak sorang-sorang tetapi hakikatnya bersama dengan Is. Sehingga sekarang, aku tidak menceritakan kisah Is kepada sesiapa pun hatta Sarah dan keluargaku. Biarlah tersimpan rahsia jauh di dalam lubuk hatiku seorang. Is cuma bercakap dengan aku ketika tiada orang di sekelilingku. Awal-awal lagi aku sudah member amaran kepadanya supaya orang tidak syak yang aku ni gila. Jatuh saham aku kalau orang lain nampak.

Tetapi, Is memang tak boleh dengar dan duduk diam apabila mendengar nama Adam. Hilang perjanjian kami. Kadang-kadang kami bersama-sama mengutuk Adam dan mengenakan Adam. Dan kami bersama-sama mentertawakan Adam. Dua minggu kebelakangan ini, Is membuatkan hidupku lebih ceria dan membuatkan hatiku semakin berbunga-bunga.

Paling seronok apabila kami hendak ke pasar raya membeli barang-barang dapur pada hujung minggu. Pagi ini seperti biasa, kami akan berbincang terlebih dahulu tentang menu masakan sehingga berbuih-buih mulut aku bercakap dengan Is. Faham-faham sahaja, dia tidak boleh mendengar tanpa mendengar suara aku.

“ Is, cepatlah..kita nak makan apa ni? Saya nak masak special untuk awak tau ”

“ Mia..Mia..awak masak tom yam boleh? Is suka tom yam.. atau sambal udang. Eh tak nak lah! Is nak gulai ayam masak cili api ”

“ Betul-betullah Is..ok kalau macam itu, biar Mia saja yang tentukan. Yang nak masuk dalam mulut pun, Mia kan.”

Akhirnya, aku memilih untuk memasak ikan siakap tiga rasa. Nasib baiklah Is tidak boleh melihat, kalau tidak parah juga aku hendak melayan kerenah dia.

Aku lebih banyak menghabiskan masa di rumah berborak dengan Is. Tiada halangan. Tiada orang lain kecuali kami berdua. Macam-macam yang kami borakkan dari perihal dunia aku sehinggalah ke dunia dia. Walaupun aku tidak dapat membayangkan tempat dia secara terperinci, tetapi apa yang dapat aku simpulkan, cara mereka dan cara kita sangat berbeza.

“Is, kenapa hari itu awak cakap yang awak akan pergi? Awak nak kembali ke dunia awak semula ke?”tanyaku perlahan berbaur kekecewaan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience