BAB 10

Romance Completed 6514

Aku menunjuk jari telunjukku ke arah gugusan bintang yang bersinar terang. Sengaja aku mengubah topik perbualan kami walaupun aku tahu Iskandar tidak dapat melihat bintang tersebut.

“Aah cantik sangat, Mia umpama sebutir bintang pada Is ”

Pertama kali aku mendengar Is berkata demikian selepas sebulan dia berada di sampingku. Pertemuan pertama dahulu, dia mengatakan yang aku umpawa mawar kayangan. Sebulan cukup indah bagiku untuk tidak berasa keseorangan. Walaupun pujiannya membuatkan aku rasa seperti kembang semangkuk tetapi dia tetap akan pergi pada bila-bila masa sahaja. Tidak semena-mena air mataku mengalir perlahan. Aku biarkan sahaja cecair hangat itu mengalir perlahan menyentuh pipiku. Tidak ku seka. Adakah Is rasa apa yang aku rasa sekarang? Sedih yang tidak terungkap dengan kata-kata. Rupa-rupanya Is tahu yang aku sedang menangis walaupun aku hanya mendiamkan diri.

” Is tahu Mia sedang menangis sekarang. Is harap perkenalan singkat kita akan meninggalkan memori yang indah buat Mia. Is terpaksa pergi atas sebab-sebab tertentu”

Perlahan sahaja kedengaran suara Is. Beginikah rasanya perasaan itu yang dinamakan sayang? Atau ianya hanya sebuah mainan perasaan? Pertama kali aku merasakan sakitnya perasaan itu. Perasaan yang tidak dapat diluahkan kepada sesiapa. Terasa seperti dihiris-hiris dek pisau yang tajam kerana tiada sesiapa yang tahu akan kehadiran awak, Is.

Aku merenung dalam-dalam butiran bintang. Merenung dengan pandangan yang kosong. Jauh, jauh dan semakin menjauh, akhirnya sampai di titik penghujung. Pandanganku kelam.

Aku terkapai-kapai dalam kegelapan malam.

“ Mana perginya bintang-bintang tadi? Adakah aku sudah masuk semula ke dunia Is ?” Aku berkata-kata dalam hati.

Tiba-tiba aku ternampak satu cahaya di hujung lorong yang tiada penghujung. Semakin aku mendekati semakin jelas bayangan tubuh seseorang itu.

” Is..!! ” Serta-merta air mata kegembiraan mengalir keluar.

Aku sangat rindukan situasi di sini. Bertemu secara nyata dengan Is walaupun aku tahu ianya bukan di alam nyata. Is menghulurkan tangan untuk menyambutku dan menyeka air mataku. Tiba-tiba aku melihat keadaan sekeliling yang cukup indah bagiku. Ibarat sebuah taman syurga yang dipenuhi dengan kelopak-kelopak mawar di sepanjang jalan tempat kami berdiri. Bau udaranya yang sangat harum. Harum semerbak sehingga boleh melekakan orang seperti aku.

“Is tinggal di sini. Ingat tak yang Is pernah cakap yang Is seorang pelarian? Panjang ceritanya, tetapi yang penting Is sudah fikir masak-masak yang Is akan berjuang di sini” bersungguh-sungguh Is cerita kepadaku.

Antara dengar tidak dengar aku terus memeluk Is. Tindakan refleks yang lebih laju dari tindakan akalku. Macam orang yang sudah tidak waras. Is yang seakan-akan terkejut dengan pelukanku cuma membiarkan sahaja.

“Is tidak boleh lama di sini dengan Mia,”

Aku meleraikan pelukanku perlahan-lahan, aku terus menatap wajah Is sedalam-dalamnya dan menyatakan yang aku menyayangi dia. Biarlah beban perasaan ini terluah sebelum terlambat. Is tersenyum lantas membisikkan sesuatu ke telingaku.

“Aku sayang kau juga Mia. Is tidak akan melupakan Mia sehingga roh terpisah dari jasad.” aku tergamam.

Rupa-rupanya aku tidak bertepuk sebelah tangan. Malah tepukanku berbalas dan berbunyi. Tiada ungkapan yang dapat dizahirkan dengan kata-kata. Iskandar akan menjadi kenanganku untuk selama-lamanya dan aku rela melepaskan dia pergi. Jika ini jalan yang terbaik.

“Mia jangan lupa kata-kata Is. Mia akan berjumpa dengan Is di dunia yang nyata”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience