“Baris sedia!”
“Ke kanan lurus!”
Kemas sekali gerak kawad pemuda-pemuda yang baru sahaja terpilih dalam
anggota tentera itu kecuali seorang lelaki. Dia agak rendah dan kurus
berbanding yang lain. Setiap arahan kawad yang diberikan dilakukannya
dengan tidak teratur. Walaupun sudah diajar berkali-kali, dia masih
sukar untuk mengubah kesilapannya itu.
“Yang melakukan kesilapan, sila jujur dan hukum diri semdiri dengan
bangkit tubi sebanyak 20 kali bagi setiap kesilapan!” tanpa membuang
masa, Adnan segera meniarap untuk melakukan bangkit tubinya sebagai
hukuman terhadap kesalahan yang telah dilakukan dalam barisan kawad.
Rakan-rakannya yang lain tidak segan silu mentertawakannya.
“Kenapalah dia boleh terpilih? Lucu betullah!” bisik seorang tentera
pelatih di hadapan sambil menekup mulutnya.
“Yang lain sila senyap.” Leftenan Syahid segera bersuara. Dia mengeluh
perlahan melihat Adnan yang bekerja keras melakukan bangkit tubinya. Tok
Janggut di sisinya dipandang dengan wajah kurang percaya. Dia langsung
tidak bersetuju saat lelaki tua itu menyuruhnya merekrut lelaki itu ke
dalam tentera pelatih.
Tok Janggut hanya tersengih dan mengangguk perlahan. Dia mencapai bom
asap palsu dari kotak berhampiran lalu mencabut pin bom tersebut. Tanpa
memberikan sebarang amaran, bom tersebut digolekkan ke arah barisan
kawad tentera itu.
“Hati-hati, aku tercabutkan pin bom. Semua lari!” Tok Janggut menjerit
lantang. Masing-masing terkejut dengan kehadiran bom tersebut. Mereka
semua segera melarikan diri. Ada yang bersembunyi untuk mengelakkan
letupan bom tersebut. Adnan yang melihat situasi tersebut segera berlari
ke arah bom tersebut lalu menekup bom tersebut dengan tubuhnya.
“Yang lain, jauhi aku!” Adnan menjerit mengarahkan yang lain
bersembunyi. Mulutnya mengira detik-detik yang tersisa sebelum bom
tersebut meletup.
“Tiga..dua..” Adnan memejamkan matanya. Satu…hatinya menyebut. Dia tidak
kisah jika diletupkan di situ asalkan yang lain terselamat.
Terasa seperti dahinya dijentik. Matanya dibuka perlahan. Eh, apa sudah
jadi? Bom tersebut tidak meletup?
“Dah, hentikan drama kamu tu.” Leftenan Syahid bersuara acuh tak acuh.
Wajah Tok Janggut dijeling sambil mengeleng-ngeleng kepalanya perlahan.
“Sekarang kita sudah boleh lihat siapa yang berani dan siapa yang
penakut macam tikus!” ujar Tok Janggut sambil tersengih. Dia segera
berjalan pergi. Tentera pelatih yang lain hanya mampu tersipu-sipu malu.
Tidak sangka pula lelaki tua itu hendak menguji mereka. Azhar yang turut
berada di situ hanya mampu mengetap bibirnya menahan geram.
Adnan yang masih tidak faham dengan situasi tersebut hanya mampu
terpinga-pinga di situ.
“Sudah, yang lain semua bubar!” Leftenan Syahid memberikan arahannya.
Begitulah sehari-hariannya. Meskipun Adnan langsung tidak menyerlah
dalam latihan fizikal namun, apabila diberikan tugas yang melibatkan
percaturan dan strategi, dia langsung tidak menghampakan. Kesemua
ciri-ciri yang dikehendaki pada diri pemuda itu telah pun dianalisis
dalam diam oleh Tok Janggut. Semua itu langsung tanpa pengetahuan Adnan.
Lelaki itu sendiri sudah pun lupa akan sebab utama dia direkrut ke dalam
tentera.
Share this novel