Pagi itu, dia menyusup keluar bersama lampu minyak tanah sebaik sahaja
selesai menunaikan solat subuh secara berjemaah di surau kampung.
Langkahnya tidak terus ke rumah sebaiknya terus menuju ke kaki bukit
hujung kampung itu. Hatinya tertanya-tanya sama ada Tok Janggut itu
benar-benar manusia atau jelmaan semata-mata. Hatinya dikuatkan untuk ke
sana.
Semakin dia ke dalam kawasan penuh semak samun itu, suasana di
sekelilingnya kian menjadi sunyi. Dari kejauhan kelihatan satu susuk
bongkok sedang tersengih menanti kehadirannya. Nampaknya Tok Janggut
benar-benar serius!
“Mari, kita tidak boleh buang masa lagi.” Tok Janggut segera mengatur
langkahnya utuk mendaki bukit itu. Adnan yang masih teragak-agak hendak
mengikuti lelaki tua yang baru sahaja dikenali malam tadi masih lagi
tercengat di situ. Dia masih ragu-ragu dengan Tok Janggut.
“Tok Janggut bukan komunis bukan?” soalan itu diajukan dengan suara yang
terketar-ketar. Bimbang juga dia jika diserap masuk ke dalam kumpulan
yang menolak kewujudan tuhan itu. Tok Janggut tersenyum lalu mengeleng
perlahan.
“Adnan, orang tua seperti aku ini, komunis langsung tidak pandang. Ayuh,
apa kau tunggu lagi. Cepat! Sebelum hari cerah!” Tok Janggut kembali
mendaki bukit itu. Kata-kata lelaki tua itu langsung membuatkan pemuda
itu yakin. Dia segera mengikuti Tok Janggut.
Dari curam bukit, mereka merentas hutan tebal itu tanpa sebarang bicara.
Meskipun hari sudah cerah, namun suasana hutan masih gelap memandangkan
rimbunan pepohon besar di rimba itu telah pun menutup sebahagian langit.
Kedengaran unggas-unggas dan mergastua bersiulan dan menyambut nyanyian
merdu satu sama lain. Nyaman sekali suasana flora dan fauna itu. Adnan
masih mengikut tanpa banyak soal. Mujurlah, dia sememangnya seorang yang
bersemangat tinggi dan tidak mudah mengalah. Melihatkan kepada lelaki
berjanggut putih di hadapannya saat itu, dia sendiri pun kagum. Sungguh
kuat Tok Janggut hendak berjalan sejauh ini.
Hampir dua jam merentas hutan di bukit itu, mereka sampai di sebuah gua.
Lubang gua itu sungguh kecil dimana hanya seorang sahaja yang mampu
masuk dalam satu masa. Adnan meneguk air liurnya perlahan. Adakah lelaki
tua ini ingin dia masuk?
“Adnan, silakan masuk ke dalam gua ini.” Tok Janggut mempersilakan
lelaki muda itu itu masuk terlebih dahulu.
“Tok Janggut, ini gua apa?” Adnan mula mempersoalkan kewujudan gua itu.
Selama ini, belum pernah dia terperasankan kewujudan gua itu sekiranya
datang ke sini untuk mengutip kayu api.
“Cuba masuk.”
Memandangkan soalannya tidak berjawab, dia turutkan sahaja arahan Tok
Janggut itu. Gua itu bagaikan diciptakan untuk manusia kurus sepertinya.
Dengan mudahnya dia masuk ke dalam. Setelah Adnan berjaya bolos ke
dalam, giliran Tok Janggut pula. Namun, Tok Janggut sampai agak lambat
memandangkan tubuhnya lebih berisi berbanding Adnan.
Bagaikan melihat dunia baharu, Adnan tergamam sebentar saat melihat di
sekelilingnya. Gua itu sangat luas dan cerah dengan lampu minyak tanah.
Pelbagai mesin-mesin asing sedang beroperasi. Beberapa orang pemuda yang
hampir sebaya dengannya turut ada di situ.
“Tok Janggut! Tempat apakah ini? Saya tidak mahu masuk dalam kumpulan
pengganas!” Adnan mula memberontak.
“Woi, siapa yang kau panggil pemberontak?” seorang lelaki menjerit dari
belakang sebuah mesin. Terjongket bahu Adnan kerana terkejut dengan
sergahan daripada orang yang tidak dikenalinya itu. Tok Janggut hanya
tersengih sambil menepuk-nepuk bahu Adnan.
“Adnan, tahniah, kamu terpilih untuk menjadi Tentera Khas Malaya”
“Ap..apa?” Adnan ternganga sebaik sahaja mendengar kata-kata Tok Janggut
itu. Gurauan apakah ini?
“Tok Janggut.. ini semua..”
“Tak masuk akal bukan?” Tok Janggut memotong ayatnya.
“Kau patut bersyukur budak!” lelaki yang menengkingnya dari sebalik
mesin tadi bangun lalu mara ke arah mereka. Sekali lagi Adnan terkejut.
Bukankah lelaki ini ialah pegawai yang telah menggagalkannya dalam
pemilihan tentera semalam?
“Adnan, kenalkan ini ialah Leftenan Syahid.” Tok Janggut tersenyum penuh
makna. Adnan memaksa dirinya untuk bersalam dengan lelaki itu meskipun
tidak menyukainya.
“Ja..jadi Tok Janggut ialah…”
“Aku ialah saintis persendirian yang mencipta senjata untuk askar
melayu. Namun teknologi kita masih belum sehebat orang Inggeris. Jadi
kerana itulah, kami memerlukan kau Adnan.”
“Saya?” Adnan menunjuk kea rah dirinya sendiri.
“Ya. Kau akan menjadi bahan eksperimen untuk menjadi tentera yang paling
padu dan gagah di abad ini. Jika berjaya, kita dapat bebaskan negara
kita daripada cengkaman musuh barat!” Adnan hanya mampu tersengih dan
mengeleng perlahan. Mustahil. Semua itu mustahil.
“Tok Janggut, saya yang akan jadi gagah? Cukuplah jika saya dapat
menjadi tentera. Itu sudah buat saya bersyukur. Tak usahlah menyindir
saya lagi.”
“Kau akan dapat apa yang kau mahukan Adnan. Leftenan Syahid di sini pada
hari ini adalah untuk merekrut kau. Selepas ini, kau akan ikuti latihan
dengan tentera-tentera lain. Sebelum kau menjadi bahan eksperimen
penting ini, kami akan melakukan pelbagai ujian terlebih dahulu untuk
memastikan kau adalah orang yang terbaik.” Tok Janggut mencampakkan
sebuah beg kepada Adnan.
“Tugas kau bermula hari ini.” Leftenan Syahid segera berlalu. Tok
Janggut menyuruh Adnan untuk mengikuti pegawai tersebut. Saat itu Adnan
sendiri tidak tahu sama ada dia patut gembira atau tidak. Namun,
akhirnya dia memilih untuk gembira.
Share this novel