“Kamu gagal!” Adnan memandang wajah pegawai tentera yang bertugas untuk
merekrut anggota tentera darat yang baharu.
“Tapi tuan masih belum periksa saya lagi!” bantah anak muda itu. Dia
berasa amat tidak berpuas hati apabila permohonannya digagalkan sebaik
sahaja pegawai tersebut melihat ke arahnya. Apa yang tidak kena dengan
dirinya?
“Kamu tidak layak. Ok, seterusnya!” pegawai tersebut segera memanggil
pemohon yang lain untuk diperiksa.
“Tunggu! Kenapa pula saya tidak layak? Periksa saya pun tuan masih belum
lakukan.” Adnan menepuk kuat meja pegawai tersebut. Tindakannya itu
mengejutkan rakan-rakan sebayanya yang turut hadir untuk mencuba nasib.
Masing-masing berpandangan sesama sendiri. Tidak kurang, ada juga yang
turut mentertawakannya.
“Kamu jangan mengamuk di sini! Cuba lihat cermin dan nilai sendiri! Kamu
tidak menepati syarat-syarat untuk menjadi tentera. Sudah, jangan buang
masa lagi. Baik kamu cari pekerjaan yang sesuai dengan diri kamu.”
Pegawai itu menjenggilkan matanya terhadap Adnan. Air mata mula
bergenang di tubir mata lelaki itu.
Kali ini, sudah hampir sepuluh kali dia melakukan permohonan untuk
menjadi tentera. Dia sememangnya ingin menjadi perwira yang akan membela
bangsa kelak. Namun, mengapa cita-citanya ditolak ketepi dengan begitu
mudah sekali?
Setelah dimarahi oleh pegawai tersebut, Adnan segera mengambil
barang-barangnya untuk keluar daripada situ. Sambil berjalan keluar, air
matanya dikesat laju. Enggan dilihat oleh sesiapa pun.
Ya, sememangnya, dia langsung tidak menepati syarat-syarat yang
dikehendaki sebagai seorang tentera. Tubuhnya tidak tinggi mana. Hanya
160 cm. itu ialah ketinggian minima yang dikehendaki begi seorang
lelaki. Pernah sekali dia diluluskan kerana perasaan belas kasihan
namun, pada peringkat seterusnya, dia gagal kerana tubuhnya tidak sasa.
Badannya kecil dan kurus. Hakikatnya, bagi Adnan, semua itu tidak
penting kerana meskipun tubuhnya kecil dan kurus, namun semangatnya
besar dan sememangnya hendak menjadi askar yang membela negara dan
bangsa. Itu lebih penting baginya.
Lagipun, kebanyakan rakan-rakan sebaya yang turut memohon untuk menjadi
tentera hanya inginkan populariti semata-mata dan bukannya benar-benar
ikhlas hendak berjuang demi negara. Mereka semua membuatnya semakin
menyampah dan merasakan syarat pemilihan tentera adalah tidak adil sama
sekali.
Dia meneruskan langkahnya sambil membimbit beg baju. Kemeja putih
lusuhnya diikat ke pinggang. Hatinya hampa kerana tidak terpilih.
“Woi, pendek!” kedengaran tawa sumbang dari arah belakang. Adnan segera
berpaling. Siapa lagi kalau bukan Azhar yang selalu mengejeknya.
“Huh, kau?” Adnan berpaling kembali untuk menyambung langkahnya
menyoroti lorong di belakang bangunan itu.
“Kau jangan nak belagak sangatlah pendek!” terasa seperti bahunya
disentuh kasar oleh Azhar. Belum sempat dia menepis, Azhar terlebih
dahulu menendang tubuhnya sehingga tersembam ke hadapan. Mujur sahaja
Adnan sempat menahan tubuhnya daripada benar-benar terungkur dengan
kedua-dua belah tangannya.
Share this novel