Rate

BAB 3

Spiritual Completed 432

Hari semakin gelap. Adnan kini sudah berada di hadapan rumahnya. Sunyi
sekali suasana saat itu. Pasti ibunya sudahpun tidur. Dia mengeluh
perlahan. Sudah beberapa kali dia dimarahi oleh ibunya kerana sering
memohon untuk menjadi tentera sedangkan dirinya langsung tidak layak
untuk menjadi askar. Kata ibunya, cukuplah jika dia sekadar membantu
ibunya menorah getah di kebun orang Kaya iaitu Mr William.

Buku limanya dikepal penuh geram. Itulah yang paling dia benci. Mengapa,
di tanah sendiri, orang Melayu harus menjadi hamba? Sedangkan ini Tanah
Melayu! Ini tanah Melayu! memikirkan hal itu, dia belajar dengan
bersungguh-sungguh meskipun terpaksa masuk ke sekolah Inggeris. Dia
ingin menjadi orang yang terpelajar dan menghapuskan minda sempit
masyarakat Melayu saat itu. Tanpa disedarinya, setitis mutiara jernih
mula menitis dan mengalir dari tubir matanya. Air matanya yang ditahan
sejak siang tadi kali ini terus keluar tanpa berhenti.

Dia sayangkan tanah airnya. Dia enggan terus hidup dalam penjajahan ini.
Tidak lagi. Justeru, mengapa niatnya sucinya itu ditolak mentah-mentah
oleh kaumnya sendiri?

“Assalamualaikum. Hai anak muda, kenapa kamu masih di sini? Hari sudah
gelap.” Tegur seorang lelaki tua yang berjanggut panjang dan putih
seluruhnya. Adnan segera mengesat air matanya sebelum memandang ke arah
lelaki tua yang sedikit bongkok itu. Mujur sahaja si tua itu membawa
bersamanya sebuah lampu minyak tanah. Dia masih belum pernah melihat
lelaki ini. Mungkin musafir, getus hatinya.

“Wa..waalaikumusalam. Sa..saya..nak masuk dah ni. Maafkan saya.” Adnan
segra mengorak langkahnya.

“Tunggu!” panggil lelaki tua itu.

“Kau sepertinya mempunyai masalah yang sukar untuk diceritakan. Anak
muda, siapa namamu?” soal lelaki tua itu lagi. Terhenti sebentar langkah
Adnan.

“Saya? Nama saya Adnan. Err..”

“Panggil aku Tok Janggut.”Adnan menekup mulutnya hendak menahan tawa.
Takkanlah nama lelaki tua ini benar-benar Tok Janggut? Wira daripada
Kelantan yang dihukum bunuh dengan kejam oleh askar British lebih
seratus tahun yang lalu.

“Kau agak biadap anak muda.” Tok Janggut tersenyum sinis. Adnan segera
berhenti tertawa. Dia sedar akan kesilapannya saat itu.

“Ma..maafkan saya.” Adnan segera meminta maaf.

“Tidak mengapa Adnan. Baiklah, seperti yang aku katakan tadi, kau
sepertinya mempunyai masalah. Biar aku tawarkan sesuatu yang baik untuk
kau. Namun, sebaiknya kau persiapkan minda kau untuk menerima semua ini
sekiranya kau benar-benar ingin cita-cita kau tercapai.”

Gulp! Bunyinya agak serius sekali.

“Adnan, adakah kau benar-benar fikir, dengan tubuhmu ini, kau akan
terpilih dalam anggota askar Melayu?” soal Tok Janggut.

Senyap seketika. Adnan mengeluh perlahan. Benar. Dia sedar akan hakikat
pahit itu. Dengan fizikalnya yang begini, mustahil untuk dia terpilih
dalam askar. Lelaki tua di hadapannya dipandang lama. Siapa lelaki tua
ini? Datangnya secara tiba-tiba. Kelihatannya lelaki berjanggut putih
ini serba-serbi tahu tentang dirinya.

“Saya tahu, agak mustahil untuk saya masuk ke dalam tentera.” Tok
janggut mengeleng perlahan mendengar jawapan Adnan itu.

“Aku rasa kau ini bukanlah seorang yang mudah berputus asa.”

“Tapi, sememangnya agak mustahil untuk saya menjadi tentera.”

“Bukan itu maksud aku. Kau… sayangkan bumi ini atau tidak?” Adnan
mengangkat wajahnya. Soalan jenis apakah ini?

“Sudah tentu aku…”

“Jadi itu sudah cukup. Esok, jumpa aku di kaki bukit hujung sana selepas
subuh. Dan, jangan beritahu sesiapa pun mengenai pertemuan kita berdua
pada malam ini.”

“Hah? Untuk apa?”

“Kau akan tahu esok.” Lelaki tua itu melangkah perlahan bersama lampu
minyak tanahnya. Susuk tubuh tua itu hilang ditelan kegelapan malam.
Adnan termenung sebentar. Bolehkah lelaki yang bernama Tok Janggut ini
dipercayai?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience