BAB 7

Family Completed 18218

Dua tahun kemudian. Berkat kesabaranku menunggu dan berdoa, aku akhirnya bertemu jodoh dengan seorang lelaki bernama Hilmi. Dia seorang guru di sebuah sekolah menengah di Johor Bahru. Orangnya berkulit hitam manis. Mempunyai ketinggian yang hampir sama denganku dan bertubuh sedikit gempal. Jika hendak dibandingkan dengan Taufik, mungkin Hilmi jauh ketinggalan. Ketinggalan bukan sekadar dari segi rupa. Tapi juga dari segi pangkat dan harta.

Memang awalnya emak tidak begitu menyenangi Hilmi kerana dia mengharapkan yang aku akan bertemu jodoh dengan lelaki yang jauh lebih baik dari Taufik. Namun sikap emak tiba-tiba berubah apabila pada suatu hari emak jatuh sakit sehingga hanya mampu terbaring di katil selama berhari-hari. Dan selama berhari-hari itu jugalah, aku dan Hilmi yang menjaganya memandangkan ayahku juga sudah tidak sihat untuk menjaga emak sendirian. Sementara kakak-kakakku pula hanya pulang sesekali kerana mereka semua tinggal berjauhan mengikut suami masing-masing.

“Rita…”

Panggil emak tiba-tiba ketika aku sedang mengemas ruang tamu.

“Ya, mak…”

Aku mendekatinya.

“Mak dah sihat sikit. Kau baliklah rumah kau. Lama sangat dah kau tinggalkan rumah kau tu.”

Ujar emak kepadaku.

“Ala… kan abang Hilmi selalu balik sana.”

Jawabku.

Memang rumah yang kami duduki sekarang tidak begitu jauh dengan rumah emak. Dan ia memudahkan aku untuk berada di sini pada bila-bila masa yang aku mahu mengikut keperluan.

“Tak apalah. Kau baliklah. Mak dah boleh bangun. Dah boleh buat kerja sendiri dah.”

Ujar emak lagi.

Aku terus melabuhkan diriku di katil berhampirannya. Aku tahu yang emak sudah boleh bangun, tetapi dia masih belum sihat sepenuhnya. Dia masih perlu diberi perhatian dan aku rasa tidak sampai hati hendak meninggalkannya di sini.

“Tak apalah, mak. Nanti lagi dua tiga hari Rita baliklah. Lagipun abang Hilmi yang suruh Rita duduk sini jaga mak.”

Jawabku yang membuatkan emak terdiam. Aku lihat mata emak tiba-tiba berkaca memandangku.

“Baik betul laki kau tu, Rita. Mak mintak maaf… sebab selama ni mak tak pedulikan dia. Mak mintak maaf banyak-banyak ya, Rita.”

Tiba-tiba emak mengalirkan airmata.

“La… apa mak cakap ni? Abang Hilmi tak pernah kata apa-apa pun, mak. Dia sayangkan mak macam dia sayangkan mak dia sendiri. Dia tak pernah ambil hati pun.”

“Tapi mak rasa bersalah sangat. Bukan je dengan Hilmi. Tapi dengan kau sendiri. Mak… mak tak patut…”

Aku pantas memotong kata-kata emak.

“Mak… dahlah tu. Benda dah lepas, kan? Yang penting sekarang kesihatan mak. Bukan fasal Rita atau fasal abang Hilmi.”

“Rita!”

Emak menyentuh tanganku tiba-tiba.

“Rita tahu tak… Hilmi tu lelaki paling baik yang pernah emak jumpa. Abang-abang ipar kau… semuanya tak sama macam si Hilmi tu.”

Aku diam dan hanya mendengar kata-kata emak.

“Tengoklah kakak-kakak kau. Balik pun jarang-jarang. Semua dah duduk dengan suami. Diorang dah tak kisah mak lagi.”

“Ala mak… kakak-kakak tu… diorang kan duduk jauh. Susah nak balik sini selalu.”

Aku cuba menyejukkan hati emak. Aku tahu, hati orang tua memang mudah terasa dengan anak-anaknya. Apatah lagi bila di dalam keadaan yang tidak sihat begini, sudah pasti mereka mengharapkan anak-anak mereka semua berada di hadapan mata. Tapi apakan daya. Mereka semua sudah mempunyai kehidupan sendiri. Mreka ada perkara yang perlu lebih diutamakan dalam hidup mereka.

“Tapi, diorang takkan jadi macam tu… kalau suami-suami diorang semua macam si Hilmi tu.”

“Mak… jangan cakap macam tu. Mak dah carikan jodoh yang terbaik buat Kak Long dan Kak Ngah.”

Pujukku lagi.

“Ya… memang mak dah carikan diorang jodoh yang terbaik. Laki Kak Long kau doktor. Laki Kak Ngah kau usahawan terkenal…”

Tiba-tiba, emak menangis teresak-esak.

“Mak cuma pandang kedudukan dan pangkat. Laki kau… cikgu biasa… mak tak pandang sebelah mata pun. Tapi…”

“Dahlah mak…”

Aku terus merangkul tubuh emak erat-erat. Aku tidak mahu emak mengungkit lagi semua kisah itu kerana aku tidak mahu melihat emak terus terusan bersedih. Semua yang telah berlaku itu sudah ketentuan dari Allah dan pastilah ada hikmah yang tidak kita ketahui di sebaliknya. Asal sahaja emak sudah menyedari kesilapannya menyisihkan Hilmi, aku sudah cukup bersyukur. Aku memang yakin, suatu waktu nanti hati emak pasti akan terbuka untuk menerima Hilmi sebagai jodohku. Kerana aku tahu, aku sudah berusaha untuk menyediakan menantu lelaki yang terbaik untuk emak dan ayah.

“Rita sayang mak, Rita janji akan jaga mak. Dan Rita janji akan jaga mertua Rita macam Rita jaga mak.”

Ucapku perlahan sambil turut menangis terharu. Tubuh tua emak ku paut dan kudakap dengan penuh kasih sayang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience