BAB 2

Family Completed 18216

Aku terus menundukkan wajah dan membatukan diri. Hendak diikutkan, aku juga turut mahu melakukan perkara yang sama. Berleter… membebel dan membalas soalan-soalan emak semahuku. Melepaskan segala isi hati yang sudah terkumpul sekian lama ini di dalam hati seorang anak ini.

Tetapi, aku bukanlah jenis anak yang begitu. Sejahat-jahat aku, aku tidak pernah diajar untuk berlaku biadab dengan emak dan ayahku sendiri. Cuma buat kali itu sahaja aku terpaksa melukai hati emak yang teringin sangat hendak melihat aku menjejakkan kaki ke jinjang pelamin. Dan aku lakukan semua ini demi untuk kebahagiaan orang tuaku juga. Bukan semata-mata untuk kepentingan diriku sendiri.

“Eh, Rita! Kau dengar ke tidak ni?”

Emak menyergahku dengan suara yang aku kira mampu untuk didengari oleh jiran sebelah menyebelah. Makcik Hasnah. Makcik Sufiah dan anak-anak mereka yang kepoh itu sudah pasti sedang sedaya upaya memasang telinga untuk mendengar perbualan kami anak beranak ketika ini. Hmm… malu? Ah, aku memang pemalu orangnya sejak dari dulu lagi. Tapi kalau soal jodoh, aku takkan sekali-kali malu untuk memilih jodoh yang terbaik untuk masa hadapanku.

Biarlah orang hendak memanggil aku anak dara tua atau apa sekali pun. Aku tidak kisah. Aku tahu apa yang aku lakukan dan aku tidak perlukan pendapat orang lain yang tidak pernah mengenali dan memahami aku.

“Rita!”

Emak menjerkahku lagi.

“Ya, mak. Rita dengar.”

Balasku lembut.

Biarlah hanya emak yang menengking-nengking aku. Aku berjanji akan membalasnya selembut yang mungkin. Emak tidak pernah tahu punca sebenar aku memutuskan pertunanganku dengan Taufik dulu. Kalaulah emak tahu. Emak pasti akan terharu dan memelukku sambil menangis kesyukuran.

Ya. Aku berharap suatu hari nanti emak akan tahu juga. Walaupun mungkin dari mulut orang lain dan bukan dari mulutku sendiri.

“Habis tu?”

“Habis tu Rita nak buat macamana, mak? Dah jodoh diorang, kan.”

Balasku dengan suara yang lemah dan malas.

Percayalah yang aku sedang begitu keletihan saat ini. Aku benar-benar memerlukan rehat sejam dua dan aku mahu menghirup segelas teh ais untuk menyejukkan tekakku yang terasa kontang ini. Argh… aku sebenarnya sangat mengantuk. Penat dan letih menghadap bos di bilik mesyuarat ditambah dengan tidur lewat malam tadi kerana menghadap kertas kerja, menyebabkan aku rasa kurang bertenaga hari ini. Tapi emak takkan faham. Dan aku takkan meminta emak untuk faham. Kerana hanya aku sahaja yang memahami siapa diri aku yang sebenarnya di dalam dunia ini.

“Ya! Memang jodoh diorang. Sebab diorang semua tu tak menolak jodoh. Tak macam kau ni. Dah elok-elok dapat si Taufik tu, kau sia-siakan. Kau ingat senang ke nak jumpa lelaki macam si Taufik tu zaman sekarang? Rupa ada. Kerja pun bagus. Tapi kau tak nak. Kau tolak tuah yang datang bergolek. Sekarang, padanlah dengan muka kau, si Taufik tu nak kahwin dengan kawan kau sendiri. Putih matalah kau menengoknya nanti!”

Aku diam tidak berkutik.

Hmm… padan muka? Putih mata?

Eh, apahal pula aku hendak berputih mata dengan perkahwinan mereka. Sedangkan pertunanganku dengan Taufik dulu pun bukan di atas kemahuanku sendiri. Semuanya aturan orang tua semata-mata. Emak aku dan emak si Taufik yang pandai-pandai sendiri hendak menyatukan kami berdua. Dan aku pula, demi tidak mahu menjadi anak durhaka kononnya terus bersetuju tanpa banyak soal jawabnya. Apatah lagi bila aku melihat si Taufik itu molek orangnya dan berkerjaya bagus pula, terus terbuka hati ini untuk menerimanya. Iyalah. Taufik memang tampan orangnya.Semua perempuan yang melihat Taufik buat kali pertama pasti akan mengakui hakikat itu, tidak terkecualilah aku yang lemah ini.

Namun, benarlah kata orang. Cantik di luar belum tentu juga akan cantik di dalam. Rupa yang cantik dan harta yang banyak belum tentu menjanjikan kebahagiaan. Bahagia itu sebenarnya ada di dalam hati. Dan hatiku tidak pernah merasa bahagia sepanjang aku menjadi tunangannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience