BAB 1

Drama Completed 18277

AKU meletakkan kad undangan perkahwinan Taufik dan Yuslina di atas meja. Wajahku kosong. Tiada riaksi apa-apa. Nampaknya aku tidak perlu berkata apa-apa lagi kalau sudah tertulis jodoh Taufik dengan Yuslina, kawanku sendiri. Biarlah mereka berdua hidup bahagia. Sebagai seorang sahabat, aku pasti akan mendoakan hanya yang terbaik untuk mereka berdua.

“Hah…dah balik pun kau.”

Emak tiba-tiba muncul di hadapanku. Wajahnya bengis dan mulutnya muncung. Gayanya seperti dia sudah lama menunggu kepulanganku.

“Lambat balik hari ni?”

Ujar emak lantas melabuhkan dirinya di sofa tepat-tepat di hadapanku.

“Hmm…Rita ada meeting dengan bos tadi.”

Jawabku sambil mempamerkan kepenatanku. Bukan pura-pura. Hakikatnya aku memang benar-benar letih. Letih dengan bebanan tugas di pejabat yang tidak pernah surut. Sejak dinaikkan pangkat hampir sebulan yang lalu, tugasku semakin banyak dan mencabar. Sering balik lewat. Dan sering pula keluar bertugas di luar kawasan. Namun aku puas. Puas kerana setiap bulan aku dapat menyumbangkan sedikit wang untuk orang tuaku. Dan aku tetap akan terus berkerja walaupun suatu hari nanti aku ditakdirkan bertemu jodoh dengan anak raja sekali pun.

Okey. Aku berangan. Anak raja mana yang hendakkan aku yang sudah berusia lebih tiga puluh tahun ini? Anak Rajagopal pun belum tentu mahu.

“Kau dah tengok ke belum kad kahwin tu?”

Suara emak keras dan kasar. Aku yang masih penat ini sepatutnya dihidangkan dengan segelas air sejuk terlebih dahulu sebelum disoal siasat betalu-talu. Namun nampaknya emak sudah tidak sabar-sabar mahu mengajak aku berperang. Tiada ruang aku hendak mengelak lagi. Cuma berserah diri untuk ditembak semahunya.

“Hmm… dah.”

Jawabku perlahan.

Sambil berharap agar emak tidak meleret kepada perkara-perkara lain. Cukuplah setakat itu sahaja soalannya. Namun, kalau sudah bernama Puan Habsah Hassan, memang tidak sah kalau sehari aku tidak mendengar dia berleter. Tak cukup dibebelkan Encik Noordin seharian di rumah, tenaganya masih kuat untuk meleteri aku pula. Mujurlah juga aku dan Encik Noordin ini sama-sama penyabar orangnya. Kami berdua tidak pernah mengambil hati. Cuma sesekali, kami terasa seperti ingin terjun ke dalam lubang perigi.

“Hmm…tengok! Tengok! Lepas sorang, sorang kawan-kawan kau kahwin. Sekarang, bekas tunang kau pun dah nak kahwin dengan kawan kau sendiri. Engkau? Entah bila nak berlaki pun aku tak tahu. Dah elok-elok bertunang, kau putuskan. Entah apa nak jadi dengan kau ni pun aku tak tahulah Rita. Elok mandi bunga je kau ni aku rasa.”

Lihatlah. Telinga anak perempuan mana sahaja yang tahan sekiranya hampir setiap hari dibebel emaknya seperti ini. Namun aku tetap bersabar. Satu perkara yang sentiasa aku fikirkan. Dahulu, ketika aku masih bayi, pastinya setiap hari aku akan menangis dan melalak. Dan emak sentiasa melayanku dengan penuh sabar dan tidak pernah dia membanting aku ke dinding atau menekup mukaku dengan bantal sehingga lemas. Kerana sekiranya itu yang berlaku, sudah pasti aku sudah tidak berada di dalam dunia ini lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience