BAB 6

Family Completed 18216

“Rita! Rita! Orang bercakap dia tidur pulak?”

Emak menyergahku.

“Hisy! Susah betullah nak bercakap dengan kau ni Rita. Langsung tak sama dengan kakak-kakak kau. Kalau kakak-kakak kau, sepatah aku tanya, sepuluh patah diorang jawab. Kau tidak!”

Bebel emak sampai terherot-herot bibirnya. Akhirnya, emak bangun dan menghilangkan diri ke dalam. Bosan agaknya dengan karenahku yang lebih suka mendiamkan diri dari menjawab kata-katanya.

Dua minggu selepas itu, majlis perkahwinan Taufik dan Yuslina berlangsung dengan penuh meriah. Kebetulan aku tidak dapat menghadirkan diri kerana perlu berkerja di luar kawasan pada hari itu. Sibuklah emak bercerita dan memuja muji majlis perkahwinan yang katanya sangat meriah dan besar-besaran itu. Berkali-kali juga emak memuji Yuslina, isteri Taufik yang juga temanku sendiri. Kata emak, Yuslina sangat bertuah berkahwin dengan Taufik yang bergaji besar. Dan aku pula dikatanya bodoh kerana menolak tuah yang sudah terhidang di depan mata.

Namun, tuah si Yuslina itu nampaknya tidak bertahan lama. Kerana belum pun sampai dua bulan usia perkahwinannya dengan Taufik, dia sudah datang ke rumahku dengan mata yang berkaca. Badannya juga kelihatan kurus berbanding dahulu.

“Bodohnya aku! Aku ingatkan kahwin dengan orang berpangkat besar ni boleh hidup senang lenang. Tapi, rupa-rupanya makin sengsara hidup aku. Dahlah kena berhenti kerja. Duduk kat rumah pulak kena buat semua kerja. Nak bangun lambat sikit tak boleh. Nak baring sambil tengok TV pun tak boleh.”

Adu Yuslina kepadaku tanpa dipaksa.

Aku diam dan hanya memberi dia peluang untuk bercakap dan meluahkan isi hatinya. Mungkin, kalau dia masih belum berkahwin dengan Taufik, aku boleh menasihatkan dia agar berfikir semasak-masaknya sebelum dia menikahi lelaki itu agar dia tidak menyesal di kemudian hari.

Tapi masalahnya sekarang, dia dan Taufik sudah pun menjadi suami isteri yang sah. Tiada apa lagi yang dapat aku katakan selain dari meminta dia bersabar dan redha dengan setiap apa yang sudah terjadi. Mahu atau tidak, dia sudah pun menjadi isteri Taufik. Dan dia harus taat pada setiap kemahuan lelaki itu.

“Rita!”

Mata Yuslina tiba-tiba galak merenungku.

“Kau… kau dah tahu kan sebenarnya?”

“Tahu apa?”

Aku merenung matanya dengan pandangan pelik. Apa pula yang aku tahu?

“Kau dah tahu kan siapa Taufik tu sebenarnya? Kau dah tahu yang dia tu anak emak. Sebab tu kau tak nak kahwin dengan dia, kan. Walaupun dia handsome. Kerja bagus. Kan? Betul tak?”

Aku senyap.

“Betul kan?”

Desaknya lagi sambil merenungku.

Aku masih diam. Lalu perlahan-lahan mengalihkan pandanganku ke arah lain. Tidak tergamak rasanya aku hendak menjawab soalan itu yang sekaligus akan membuatkan Yuslina bertambah kecewa. Namun aku pasti, Yuslina mengerti maksud diamku itu.

“Kenapa kau tak bagitau aku?”

Yuslina merenung mataku.

Ada rasa sebal yang terbuku di hatinya saat ini. Aku tahu. Aku bukan baharu mengenalinya sehari dua. Aku sudah mengenalinya sekian lama. Sejak kami kecil lagi.

“Sebab aku fikir kau dah tahu.”

Ya. Aku fikir pasti Taufik sudah memberitahu Yuslina segala syarat-syarat untuk menjadi isterinya sebagaimana dia memberitahuku sebelum ini. Dan Yuslina juga sudah bersetuju dan dia sanggup menerima kesemuanya. Manalah aku tahu yang Yuslina tidak diberitahu semua itu. Lagipun aku kenal Yuslina. Aku tahu seleranya terhadap lelaki. Lelaki kacak berkulit cerah ala-ala artis korea seperti Taufik memang menjadi idamannya sejak dulu. Lalu aku berfikir, walau apa pun syarat yang diberi oleh Taufik untuknya, sudah pastilah Yuslina rela menerimanya. Kerana cinta itu buta, bukan?

Oh, silap!

Cinta itu membuatkan manusia jadi buta.

Yuslina pantas menggeleng-gelengkan kepala. Perlahan-lahan airmatanya jatuh ke pipi. Aku menoleh ke arah pintu bilikku yang tidak berkunci. Bimbang pula jika emak tiba-tiba terjongol dan mendengar perbualan kami. Aku tidak mahu Yuslina berasa malu. Aku kasihan melihatnya. Perempuan yang dikata emak bertuah ini, hari ini datang kepadaku dan mengadu tentang nasibnya yang malang. Tidakkah pelik bunyinya?

“Aku yang salah sebenarnya, Rita.”

Ucap Yuslina tiba-tiba.

“Aku memang sukakan dia dari dulu lagi. Aku cemburu bila dapat tahu kau dengan dia dah bertunang. Jadi, bila aku dapat tahu yang kau dengan dia dah putus, aku cuba mendekati dia. Aku yang salah sebenarnya Rita sebab cuba nak rampas dia dari kau. Sekarang Tuhan dah..”

“Tak Lina. Kau tak rampas dia pun. Aku dengan dia memang tak ada jodoh dan aku memang tak nak pun kahwin dengan dia.”

“Tapi kenapa? Sebab kau tahu yang dia tu anak mak? Sebab kau tahu yang lepas kahwin nanti kau akan duduk sebumbung dengan mertua kau?”

Yuslina seperti tidak dapat mengawal perasaannya. Aku tahu dia cuba melepaskan perasaannya. Perasaan kesalnya itu. Dia tidak tahu hendak meluahkan kepada siapa lalu dia memilih aku, bekas tunang kepada suaminya sendiri. Dan aku pula tidak tahu apakah aku adalah orang yang tepat untuk memberikan dia kata-kata nasihat, kerana aku bimbang yang aku akan semakin melukakan perasaaanya. Namun aku akan cuba memeberikan yang terbaik. Demi menyelamatkan sebuah masjid yang sudah terbina.

“Hmm… mungkin. Tapi yang pasti, aku takkan sekali-kali berkahwin dengan lelaki yang tidak mengizinkan aku untuk berkerja selepas berkahwin nanti. Walaupun suami aku itu hartawan atau anak raja sekali pun. Aku takkan berhenti kerja!”

Jawabku tegas.

Yuslina terdiam sambil merenungku.

“Sebab?”

Soalnya.

“Sebab aku masih ada mak dan ayah yang perlu aku sara. Okey, mungkin mak dan ayah aku tak pernah mintak duit aku tiap-tiap bulan. Tapi sebagai anak, aku rasa itu adalah tanggungjawabku. Kau pun tahu kan, mak dan ayah aku tak ada anak lelaki. Bukan macam mak ayah kau. Jadi akulah anak lelaki dan aku jugalah anak perempuan bagi mereka. Bayangkan kalau aku dan kakak-kakak aku semuanya tak berkerja. Duduk rumah mengharap duit suami semata. Hmm… jangankan nak bagi mak ayah duit, duit untuk kami sendiri pun belum tentu ada nanti. Lainlah kau… mak ayah kau orang senang.”

Aku cuba menyejukkan hati Yuslina.

Yuslina diam. Tekun dia mendengar kata-kataku.

“Jadi?”

“Jadi… lelaki seperti Taufik itu tidak sesuai untuk aku. Tapi mungkin sesuai untuk kau.”

Mungkin aku sebenarnya agak bertuah kerana dapat membuat pilihan sebelum berkahwin. Entah bagaimana nasibku kalau aku menjadi seperti Yuslina yang tidak berkesempatan untuk mengetahui semua ini dan hanya mengetahuinya selepas berkahwin. Pasti, aku akan rasa menyesal seperti Yuslina juga. Dalam hal ini aku terfikir sebenarnya Tuhan sudah melindungiku. Dan bukanlah aku bermaksud yang Tuhan tidak melindungi Yuslina. Cuma, semuanya sudah tersurat di suratan takdir. Jodoh Taufik memang bukan dengan aku tetapi dengan Yuslina. Dan Tuhan lebih tahu apa yang terbaik untuk setiap hamba-hambanya.

Yuslina merenung wajahku lama.

“Aku kagum dengan kau, Rita.”

Ujarnya.

Aku memandangnya dengan dahi berkerut.

“Ya… aku kagum dengan kau. Tak sangka perempuan selembut kau… yang nampak lurus… pendiam… sebenarnya punya prinsip tersendiri. Yang aku sendiri pun tak pernah terfikir sebelum ni. Pandai kau, kan…”

Aku seperti hendak tergelak mendengar kata-katanya.

“Prinsip ini aku pertahankan demi mak ayah aku Lina.”

Ujarku penuh makna.

“Untunglah mak ayah kau… dapat anak macam kau.”

Kata Yuslina kepadaku.

“Mak ayah kau pun sama, Lina. Mereka tetap beruntung dapat anak perempuan yang taat pada suami dan mak mertua macam kau.”

Ujarku ikhlas.

“Huh! Kau perli aku, ya?”

Tebak Yuslina tiba-tiba.

“Eh, tak! Aku tak perli kau pun. Aku cakap benda yang betul.”

Balasku laju.

Tidak terfikir langsung aku hendak menyindir Yuslina. Apatah lagi hendak mentertawakannya. Malah, aku berharap yang perkahwinannya dengan Taufik akan terus berkekalan dan dia akan bahagia di samping lelaki itu. Lagipun, jodoh aku sendiri belum tentu dengan siapa. Hanya Tuhan yang tahu segala-galanya.

“Taufik itulah syurga dan neraka kau sekarang.”

Ujarku sambil mencapai tangan Yuslina. Dan dia hanya tersenyum kelat sambil memandangku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience