Series
2054
Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam apartment, Haikal terus menggeleng kepala. Pandangannya menyapu ruang tamu yang kelihatan seperti baru dilanda ribut taufan.
Laptop di atas lantai. Remote televisyen terselit di bawah meja kopi. Beberapa fail kerja pula bertaburan di atas sofa.
“Kay...” Haikal menghela nafas panjang. “Kenapa letak barang merata-rata macam ni?”
Dia membongkok mengambil remote televisyen.
“Tengok ni. Laptop dekat lantai, remote dekat lantai. Awak ni dah besar panjang tau?”
“Alah...” Kayla menjawab selamba sambil membuka peti sejuk. “Bukan ada budak kecil pun dekat rumah ni.”
Haikal hanya mengangkat sebelah kening.
Kemudian...
Tok!
“Aduh!”
Kayla terus memegang kepalanya.
“Awak dah gila ke apa?” Dia menjeling tajam. “Awak ingat kepala saya ni batu? Main ketuk-ketuk sesuka hati.”
“Sakit?”
“Memanglah sakit!”
Haikal menyilangkan tangan ke dada.
“Kalau awak terpijak remote ni?”
Kayla diam.
“Lepas tu hilang keseimbangan, jatuh, kepala terhantuk dekat bucu meja macam mana?”
Kayla terus menundukkan pandangan.
Tangan yang sedang menggosok kepala perlahan-lahan terhenti. Kerana itulah yang pernah berlaku beberapa bulan lalu.
Dan akibat kejadian itu, dia berakhir di hospital dengan beberapa jahitan di dahi.
Melihat reaksi itu, nada suara Haikal sedikit mengendur.
“Kenapa?”
Kayla menggigit bibir.
“Dah tak pandai jawab?”
Masih lembut.
Masih tenang.
Tetapi setiap patah perkataan lelaki itu terasa seperti mengetuk sesuatu di dalam dadanya.
Sudah lama tiada siapa yang mengambil berat tentang perkara-perkara kecil seperti ini.
Kayla cepat-cepat memalingkan wajah lalu melabuhkan tubuhnya ke atas sofa dengan perasaan yang bercampur-baur. Tak mahu Haikal nampak matanya yang mula berkaca.
Namun lelaki itu tetap menyedarinya.
Haikal menghela nafas kecil sebelum menunduk.
Kemudian dia bercangkung di hadapan Kayla
Jarak mereka kini hanya beberapa inci.
Tanpa berkata apa-apa, jemarinya terangkat lalu menyentuh perlahan bahagian dahi Kayla yang pernah terluka.
“Dah.”
Suaranya rendah.
“Pergi mandi.”
Kayla mengerutkan dahi.
“Lepas tu kita keluar.”
“Tak nak.”
“Kayla.”
“Saya nak siapkan report. Tinggal sikit je lagi. Lepas tu saya kena hantar dekat team kreatif.”
“Boleh sambung nanti.”
“Tak boleh.”
“Boleh.”
“Tak boleh.”
Haikal menghela nafas panjang.
“Deadline report tu lusa, kan?”
Kali ini Kayla benar-benar mengangkat muka.
“Lusa?”
“Ya.”
“Mana awak tahu?”
Belum sempat Haikal menjawab,
Ting!
Telefon bimbitnya berbunyi.
Kayla segera membuka mesej yang baru masuk.
Matanya bergerak pantas membaca isi kandungan mesej daripada ketua pasukan kreatif.
Deadline report dipanjangkan sehingga lusa.
Kayla berkedip beberapa kali. Kemudian memandang skrin.
Kemudian memandang Haikal.
Kemudian kembali lagi memandang skrin.
“Okay...” Dia bersuara perlahan.
“Yang ni memang seram.”
Sudut bibir Haikal terangkat.
“Jadi?”
Kayla terus memeluk telefonnya ke dada.
“Awak pasang orang dalam team saya ke?” teka Kayla
“Awak lupa ke suami awak ni siapa?”
Haikal mendabik dada dengan wajah penuh keyakinan.
“Dan semua staf Zaino pun kena ikut cakap saya.”
Kayla terus mengangguk sambil mengangkat kedua-dua ibu jari.
“Ya, ya. Awak memang terhebat.”
Kemudian dia berpusing ke arah biliknya.
“Sekarang saya nak mandi. Jadi boleh tak awak beralih sikit? Macam tak ada laluan pula dekat sini.”
“Sure.”
Haikal mengangguk santai.
“Lima belas minit.”
Langkah Kayla terus terhenti.
“Eh? Tunggu. Mana sempat!”
“Okay.” Haikal menjeling jam di pergelangan tangannya. “Tiga puluh minit. Itu tawaran terakhir.”
Dia tersenyum nipis.
“Kalau masih tak siap, saya redah masuk.”
Mata Kayla terus membulat.
“Awak berani?”
“Cubalah.”
Terus wanita itu berpusing dan berlari ke arah biliknya.
“Gila!”
Haikal ketawa kecil melihat pintu bilik yang hampir dihempas.
‘Nasib baik dia dah tak panggil abang sayang lagi.’
Kayla mengomel dalam hati sambil menarik tombol pintu.
‘Kalau tak, boleh meremang satu badan aku dengar.’
Tangannya tiba-tiba terhenti.
Dahi berkerut.
‘Eh sekejap. Bukankah aku masih marah dekat dia? Kenapa aku pula yang kelam-kabut ikut arahan dia ni?’
Kayla terus berpusing semula.
“Hah!”
Dia berjalan laju kembali ke ruang tamu.
Haikal yang sedang menyusun fail di atas meja kopi mengangkat muka dengan riak pelik.
“Kenapa?”
Kayla berdeham beberapa kali. Kemudian dia berdiri tegak. Sebelah tangan mencecah pinggang. Sebelah lagi menunjuk tepat ke arah Haikal.
Wajahnya cuba dibuat garang walaupun langsung tidak menakutkan.
“Awak dengar sini.”
“Baik.”
“Saya masih belum maafkan awak.”
“Okay.”
“Dan awak jangan sesuka hati jadi supervisor hidup saya.”
“Baik.”
“Dan awak jangan ingat awak boleh arah-arahkan saya macam tadi.”
“Baik.”
Kayla terus terdiam.
Geram pula bila semua yang dia cakap dibalas dengan tenang.
“Tapi...” Haikal bersuara perlahan.
Sudut bibirnya terangkat.
“Awak tetap isteri saya, Kay.”
“No.”
Kayla terus menggeleng.
“Itu cuma atas kertas.”
“Bukan atas kertas.” sanggah Haikal cepat
“Ha?”
“Itu namanya sijil nikah.”
Kayla terkebil-kebil.
Haikal menyambung dengan wajah selamba.
“Dan dalam sijil nikah tu, kita masih suami isteri yang sah.”
“Awak!”
Belum sempat Kayla membalas, Haikal mengangkat pergelangan tangannya lalu melihat jam.
“Lima minit dah habis.”
“Apa?”
“Dua puluh lima minit lagi.”
Mata Kayla terus membulat.
“Haikal!”
“Kalau awak tak siap tepat pada masanya...” lelaki itu sengaja berhenti seketika.
Kemudian dia tersenyum.
“Saya datang jemput sendiri.”
“Awak memang tak betul!” marah kayla panik
“Dua puluh empat minit.”
“Gila!”
“Dua puluh tiga minit.”
Kayla terus berpusing dan meluru ke biliknya buat kali kedua.
Pintu ditutup rapat. Kali ini benar-benar rapat.
Haikal hanya mampu menggeleng kepala sambil menahan ketawa.
Di sebalik pintu bilik pula, Kayla menyandar pada daun pintu dengan dada yang berombak laju.
“Memang meroyan. Kenapa eh, jantan ni macam orang gila talak jer.”
Dia mengomel perlahan.
Namun kakinya sudah mula melangkah ke arah almari.
Kerana dia cukup mengenali Haikal. Kalau lelaki itu sudah berkata sesuatu...
Dia memang akan buat.
…
Sementara itu...
“Pa, siapa yang kirim ni?” tanya Salina sambil menunjuk ke arah sebuah kotak kecil yang diletakkan di atas meja kopi.
“Papa pun tak tahu, Sal. Mungkin klien papa kot,” jawab Dato' Ilyas sambil mempersilakan anak gadisnya itu duduk..
Salina sekadar mengangguk.
Minatnya lebih tertumpu pada perkara lain. Dia menggigit epal di tangannya sebelum bertanya,
“Dah dapat info Haikal dekat mana sekarang?”
“Dah.”
Salina terus menoleh, wajahnya berubah ceria
“Dekat mana?”
“Manhattan.”
Senyuman Salina terus melebar. Namun senyuman itu perlahan-lahan membeku apabila melihat riak wajah papanya yang masih serius.
Jantungnya mula berdegup tidak sedap.
"Dan?"
"Dia dah jumpa Mikayla." lanjut papanya lagi
Bam!
Epal di tangan Salina terus dicampak ke arah dinding. Buah itu berkecai lalu jatuh bertaburan ke lantai.
“Bedebah Mikayla!”
Dadanya turun naik menahan marah.
“Kenapa perempuan tu mesti muncul setiap kali waktu yang tak sepatutnya?”
Pandangan Salina jatuh pada kotak kecil di atas meja kopi.
Entah kenapa...
Perasaannya tiba-tiba menjadi tidak sedap. Perlahan-lahan dia mencapai kotak itu.
Sebaik sahaja penutupnya dibuka...
Hai... jemput juga ke buku baru sy yang bertajuk 'Takdir Kita' tq.... happy reading.
Share this novel