Series
1834
Washington Square Park
Kayla membiarkan air matanya mengalir tanpa henti. Dia langsung tidak peduli dengan beberapa orang mat saleh yang memandang ke arahnya dengan riak wajah penuh tanda tanya.
What’s wrong with this girl?
“Busybody betul...” bebelnya perlahan sambil menyeka air mata menggunakan hujung lengan pijama.
“Ya Allah, Kay... kat sini rupanya.”
Kayla tersentak lalu menoleh.
Haikal sedang berjalan laju ke arahnya dengan nafas yang sedikit tercungap.
“Abang dah pusing satu taman cari Kay. Jom balik.”
Kayla bangun dari bangku lalu memandang suaminya dengan muka masam.
“Disebabkan awaklah semua mat saleh dekat sini tengok saya macam orang tak gila.” rungutnya sambil menunjuk ke arah pakaiannya. “Mana ada orang keluar berjoging pakai pijama tidur?”
Bukannya merasa bersalah, Haikal malah tersenyum kecil.
Senyuman yang cukup menyakitkan hati.
“Sebab itulah abang ajak balik.” katanya lembut.
Kemudian dia menunduk sedikit supaya dapat melihat wajah Kayla yang sengaja dipalingkan.
“Lagi pun... sayang tak lapar ke?”
Kayla terus menggeleng.
“Tak.”
Namun belum sempat dia berlagak tenang,
Kruuukkk…!!
Kruukkk…!!
Bunyi dari perutnya bergema tanpa belas kasihan.
Kayla terus membeku.
Muka yang sudah sembap kerana menangis kini bertukar merah padam.
‘Pengkhianat.’
Perut sendiri sanggup menikamnya dari belakang.
“Itu...” Kayla berdeham kecil. “Masuk angin.”
Haikal mengangguk bersungguh-sungguh.
“Ya, betul.”
“Memang bunyi angin.”
“Angin yang sangat kurang ajar.”
Kayla menjeling tajam.
Haikal pula sudah mula menggigit bibir menahan ketawa.
“Jom balik. Kita halau angin tu dengan makanan.”
“Saya tak lapar.”
Kruuukkk…!!!
Perutnya membantah sekali lagi.
Kali ini lebih kuat.
Seolah-olah sengaja menyebelahi Haikal.
Haikal terus mengangkat kedua-dua belah tangan tanda menyerah.
“Okey, abang tak cakap apa-apa.”
“Awak ketawa kan?”
“Tak.”
“Awak tengah ketawa!”
“Abang cuma tersenyum.”
“Itu sama je!”
Haikal akhirnya tergelak kecil.
Kayla pula mendengus geram.
Namun dia tahu, dia memang sudah tiada pilihan.
Nak terus duduk di taman?
Dengan rambut yang kusut macam baru kena ribut?
Pakai pijama tidur yang terlebih besar?
Kaki pula cuma berselipar rumah?
Belum lagi mata sembap selepas menangis.
Entah-entah kalau dia terus berkeliaran di situ, ada orang telefon talian kecemasan dan minta ambulans hospital psikiatri datang menjemputnya.
Memikirkan kemungkinan itu sahaja sudah cukup membuatkan Kayla malu sendiri.
“Fine. Baliklah.”
Haikal tersenyum puas.
“Good girl.”
Kayla terus menjeling.
“Jangan nak mengada. Saya belum maafkan awak lagi tau.”
“Baik, cik puan.”
“Dan jangan panggil saya good girl.”
“Baik, cik puan yang tengah masuk angin.”
“Haikal!”
Gelak tawa lelaki itu bergema di sepanjang laluan taman, manakala Kayla hanya mampu berjalan di sebelahnya sambil menahan diri daripada menyepak suaminya di hadapan orang ramai.
Walaupun... jauh di sudut hati, rasa sedih yang tadi mencengkam perlahan-lahan mula reda.
“Kay...” panggil Haikal perlahan selepas mereka berjalan dalam diam agak lama. “Awak tahu tak selama tiga tahun ni abang dekat mana?”
Kayla menggeleng tanpa memandangnya.
“Saya tak ambil kisah pun pasal awak. Awak dekat mana, buat apa, dengan siapa... semua tu urusan awak. Tak ada kena-mengena dengan saya.”
“Abang dekat Korea selama tiga tahun.”
Haikal menjawab cepat walaupun jelas Kayla tidak berminat mendengar.
Kayla melepaskan tawa sinis.
“Oh, ya?”
“Ya.”
“Terus kenapa sekarang pindah Manhattan?” Dia menjeling sekilas. “Tak kesian ke tinggalkan Salina sorang-sorang dekat sana?”
“Salina...”
Haikal menggantung kata-katanya.
Langkahnya turut perlahan.
Dia menoleh ke arah Kayla yang sedang berjalan sambil menundukkan kepala, kononnya tidak peduli.
Namun cara wanita itu menggigit bibir dan mengelak pandangannya langsung tidak meyakinkan.
Sudut bibir Haikal terangkat sedikit.
‘Dia cemburu ke?’
Kalau betul...
Itu perkembangan yang agak bagus.
“Dia kenapa?” tanya Kayla tanpa sedar.
Haikal terus tersenyum.
“Hm... nak tahu ke?”
Kayla mengangkat muka.
“Apa?”
“Nampak macam ada orang tu berminat sangat nak tahu pasal Salina.”
“Saya tak berminat.”
“Yakah?”
“Ya.”
“Serius?”
“Haikal!”
Lelaki itu ketawa kecil.
Kayla pula terus menjeling tajam.
“Eh, sorry lah. Tak ada masa saya nak menyibuk pasal rumah tangga awak.”
Mulutnya berkata begitu.
Tetapi jauh di sudut hati, dia tetap mahu tahu.
Selepas tiga tahun...
Apa sebenarnya hubungan Haikal dan Salina sekarang?
Masih bersama?
Atau sudah berakhir?
Dan kenapa soalan itu tiba-tiba terasa begitu penting untuk dia tahu?
“Kalau tak berminat...” usik Haikal lagi. “Kenapa awak yang sebut nama Salina dulu?”
Kayla terus terdiam.
Haikal tersenyum puas melihat reaksi itu.
Buat pertama kali sejak mereka bertemu semula, dia nampak sesuatu di mata isterinya.
Bukan marah.
Bukan benci.
Tetapi sesuatu yang jauh lebih berbahaya. Dan Haikal cukup mengenali pandangan itu malah sangat menyukainya.
Kayla terus mempercepatkan langkahnya.
Daripada berjalan, kini dia hampir berlari kecil meninggalkan Haikal yang masih santai di belakang.
“Kay, jangan berlari nanti jatuh..” laung Haikal.
Namun wanita itu langsung tidak menoleh.
Haikal hanya menghela nafas panjang sebelum pandangannya kembali jatuh pada susuk tubuh Kayla yang semakin menjauh.
Senyuman kecil terukir di bibirnya.
Sedikit demi sedikit, dinding yang dibina isterinya selama tiga tahun itu mula retak. Walaupun cuma sedikit.
Ada sesuatu yang tersirat di matanya. Sesuatu yang tidak pernah sempat dijelaskan.
Sesuatu yang disimpan selama tiga tahun atau bahkan lebih lama dari itu ‘Maaf, Kay… Sekarang bukan masa yang sesuai untuk abang ceritakan semuanya.’
‘Tentang apa yang berlaku selepas awak pergi. Dan tentang Salina..’.
‘Tapi abang janji… Selagi awak masih terikat dengan akad,’
‘Tak pernah ada sesiapa yang boleh ambil tempat awak.’
Langkah Haikal terhenti seketika. Matanya masih setia memandang Kayla dari jauh.
Senyuman di bibir Haikal perlahan-lahan menghilang.
Matanya masih memandang susuk tubuh Kayla yang semakin jauh di hadapan.
Sudah terlalu lama. Terlalu lama dia membiarkan semuanya tergantung tanpa jawapan.
Haikal menarik nafas panjang sebelum menyentuh earbud di telinganya.
"Saya nak semuanya bergerak hari ini."
Suara di hujung talian terus menyahut.
"Baik, Tuan."
Haikal menundukkan pandangan.
"Pastikan pakej itu sampai kepada Salina dan keluarganya."
"Faham."
Talian dimatikan.
Untuk beberapa saat, Haikal hanya berdiri diam.
Kali ini...
Tiada apa lagi yang mampu menghalangnya daripada mendapatkan semula hati isterinya.
Hello... masih adakah yg membaca?
Share this novel
sis pun sentiasa hadir menunggu update yg baru sekarang ni tengah mengulangi baca novelx2 yg lalu satu persatu nostalgia lah pulak
hadir....sis sentiasa hadir