Bab 9

Romance Series 2054

Haikal membongkok lalu mengutip epal yang terjatuh dari tangannya. Buah itu dipandang seketika sebelum diletakkan semula ke dalam plastik.
Kayla pula masih terpaku di tempatnya.
'Marahlah... please, marah.'
'Marah! Marah!'
'Bagi aku penampar sebiji pun jadi.'
'Lepas tu tak payah tunggu tahun depan. Esok terus kita fail cerai.'
Doanya bersungguh-sungguh di dalam hati.
Namun...
“Pergi timbang buah ni dulu.”
Haikal menghulurkan plastik epal ke arahnya.
“Abang nak cari bahan lain.”
Senyuman di bibir lelaki itu tetap sama. Tenang. Santai. Malah manisnya keterlaluan sampai boleh buat kilang gula gulung tikar.
Kayla menyambut plastik itu dengan dahi berkerut.
“Awak...”
Dia memandang Haikal seperti sedang melihat makhluk asing.
“Awak tak marah?”
“Kenapa abang nak marah?”
Kayla terkebil-kebil.
“Kan saya baru cakap nak cerai.”
“Hmm.”
“Itu je reaksi awak?”
“Ya.”
Kayla terus membuka mulut. Kemudian menutupnya semula.
Kemudian membukanya lagi.
“Awak... awak okay ke sebenarnya?”
Haikal ketawa kecil.
“Kenapa pula?”
“Entahlah. Saya rasa macam ada benda tak kena.”
Belum sempat dia menyambung, jari Haikal sudah singgah ke dahinya.
Tok!
“Dah. Pergi timbang buah tu cepat.”
“Awak ni—”
“Dan jangan berangan sangat.”
Haikal menjeling jam di pergelangan tangannya.
“Report awak pun tak siap lagi, kan?”
Kayla mendengus geram.
Dengan paksa rela, dia mencapai plastik epal itu sebelum melangkah pergi menuju ke kaunter timbang.
“Entah-entah sebelum datang sini dia dah kena rasuk hantu baik.”
Bebelannya perlahan, cukup untuk dirinya sendiri.
“Balik nanti aku pasang ruqyah satu apartment. Mana tahu boleh halau sekali makhluk baik yang tengah bersarang dalam badan dia tu.”

Kayla meletakkan plastik epal di atas mesin penimbang sebelum menekan beberapa butang pada skrin.
“Orang minta cerai kot.”
Kertas pelekat harga keluar perlahan-lahan. Kayla mencabutnya dengan muka masam.
“Bukannya minta tambah isteri.”
Pelekat itu ditampal pada plastik epal sebelum dia berpusing semula mencari Haikal.
Namun langkahnya terus terhenti.
“Eh?”
Dahi Kayla berkerut. Lelaki itu a.k.a suaminya sudah hilang.
Pandangannya melilau ke kiri dan kanan.
Bahagian sayur-sayuran.
Tiada.
Bahagian produk tenusu.
Tiada.
Bahagian makanan sejuk beku pun tiada.
“Laju betul hilang.”
Bibirnya mencebik.
Entah kenapa, dada yang tadi panas kerana geram tiba-tiba terasa sedikit kosong.
Macam mana kalau Haikal betul-betul merajuk?
Macam mana kalau lelaki itu akhirnya penat?
Macam mana kalau…
“Cari siapa?”
Satu suara tiba-tiba menyapa dari belakang.
Kayla hampir melompat.
“Ya Allah!”
Mulutnya laju melafazkan segala macam doa yang terlintas di fikiran.
Dia berpusing pantas.
Haikal berdiri di belakangnya sambil memegang dua kotak susu dan sebungkus roti.
Wajah lelaki itu selamba seolah-olah tiada apa yang berlaku.
“Sakit jantung saya tau tak!”
“Abang nampak awak macam tengah mencari sesuatu.”
“Siapa cari awak?”
“Tak ada pun abang cakap awak cari abang.”
Kayla terus terdiam. Haikal pula tersenyum semakin lebar.
“Awak yang mengaku sendiri.”
“Awak ni memang menyakitkan hati.”
“Abang available dua puluh empat jam untuk sembuhkan hati awak.”
“Euw! Nak muntah aku.”
Kayla terus berjalan meninggalkannya.
Namun tanpa sedar, sudut bibirnya terangkat sedikit.
Dan itu membuatkan dia semakin geram dengan dirinya sendiri.
Haikal ketawa kecil sebelum kembali menolak troli di sisinya. Mereka meneruskan membeli beberapa barangan lain sebelum bergerak menuju ke kaunter pembayaran.
Tidak banyak perbualan selepas itu. Cuma sesekali Haikal menghulurkan barang untuk diletakkan di atas kaunter, dan sesekali Kayla menjeling apabila lelaki itu sewenang-wenangnya memasukkan barang yang tidak ada dalam senarainya.
"Awak beli aiskrim buat apa?"
"Stok kecemasan."
"Kecemasan apa?"
"Kalau ada orang merajuk." jawab Haikal selamba
Kayla terus memandangnya tanpa perasaan.
Haikal hanya tersenyum.
Beberapa minit kemudian, mereka keluar dari pasar raya dengan beberapa beg membeli-belah di tangan.
Udara pagi Manhattan menyapa wajah sebaik pintu automatik terbuka.
Orang ramai masih sibuk dengan urusan masing-masing. Kenderaan bersilih ganti di jalan raya, sementara haruman kopi yang semerbak dari sebuah kafe berhampiran tiba-tiba menusuk deria baunya.
Saat itu juga, perut Kayla mula memainkan irama keroncong.
Haikal adalah orang pertama yang menyedarinya.

Malaysia
Sementara itu, Salina melangkah laju menuju ke balai pelepasan antarabangsa sambil menarik bagasi kecil di belakangnya.
Dia langsung tidak sempat berfikir panjang. Apa sahaja pakaian yang sempat dicapai tadi, semuanya dicampak ke dalam beg.
Kali ini dia tidak bersendirian. Cindy turut berada di sisinya.
“Beb, baik kau cakap dekat aku sekarang.” Cindy memandang sahabatnya dengan wajah penuh curiga. “Apa sebenarnya yang buat kau kalut macam kena kejar Interpol ni?”
Salina menoleh sekilas sebelum mengeluarkan seutas rantai perak dari dalam poket jaketnya.
“Cin... kau masih ingat tak malam kita sambut habis SPM dulu?”
Dahi Cindy terus berkerut.
“Malam yang mana satu?”
“Malam kita ikut geng budak jalanan tu pergi lumba haram.”
Wajah Cindy berubah serta-merta. Malah langkahnya turut terhenti.
“Of course aku ingat.” Suaranya perlahan. “Kenapa?”
Salina mengangkat rantai itu.
“Rantai ni.”
Cindy memandang rantai tersebut beberapa saat sebelum matanya membulat.
“Eh...”
“Sepatutnya benda ni dah tak ada.”
Suara Salina kedengaran semakin tegang.
“Tapi semalam, seseorang kirim rantai ni ke rumah aku.”
“WHAT?”
Cindy terus menutup mulutnya.
“Seriuslah?”
“Aku nampak macam bergurau ke?”
Salina menjeling tajam.
“Kalau bukan sebab benda ni, kau ingat aku sanggup tempah tiket last minute dan terbang ke Manhattan macam orang hilang akal?”
Cindy terus terdiam.
Wajahnya perlahan-lahan bertukar pucat.
Tangannya yang memegang pemegang bagasi mula menggigil halus.
“Beb...” Suaranya hampir berbisik. “Tapi bukankah papa aku dan mami kau dah uruskan semuanya dulu?”
Salina memejam mata seketika.
“Itulah masalahnya. Sepatutnya semuanya sudah selesai. Sudah dikuburkan dan sudah hilang bersama malam itu.”
“Papa aku kata semua bukti dah dihapuskan,” sambung Cindy lagi. “Tak ada siapa patut tahu apa yang berlaku malam tu.”
Salina menggenggam rantai itu semakin erat.
“Aku pun fikir macam tu.”
“Habis macam mana rantai ni boleh muncul balik?”
“Aku tak tahu.”
Dan itulah yang paling menakutkan.
Kalau rantai itu masih wujud...
Mungkin ada perkara lain yang turut masih wujud.
Mungkin ada seseorang yang melihat apa yang berlaku malam itu.
Atau lebih buruk...
Seseorang yang selama ini diam, akhirnya memutuskan untuk muncul semula.
“Cin.” Salina berhenti melangkah lalu memandang tepat ke mata sahabatnya.
“Apa pun yang jadi nanti, jangan sampai sesiapa tahu apa yang berlaku malam tu.”
Cindy menelan liur.
“Beb...”
“Maksud aku, sesiapa pun.”
Suara Salina semakin rendah.
“Kalau orang tahu kita bawa kereta dalam keadaan mabuk, tak ada lesen, dan apa yang berlaku selepas tu... habislah kita.”
Untuk beberapa saat, kedua-duanya hanya saling berpandangan.
Kemudian Cindy bersuara perlahan.
“Sal... kau rasa... ada orang nak ugut kita ke?”
Salina memandang rantai di tangannya.
Jantungnya berdegup semakin kuat.
Kerana jauh di sudut hatinya...
Dia tahu.
Orang yang menghantar rantai itu bukan sekadar mahu menakutkannya.
Mereka mahu dia ingat.
Tentang malam yang cuba dilupakannya selama bertahun-tahun.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience