Series
2054
Sebaik sahaja melihat isi di dalamnya, wajahnya terus berubah pucat
Anak matanya membesar.
"Shit!"
Tangannya menggigil kecil.
Di dalam kotak itu hanya terdapat seutas rantai perak yang kelihatan sederhana. Tidak terlalu mewah, tidak juga kelihatan mahal.
Namun Salina mengenali rantai itu.
Sangat mengenalinya.
Dengan pantas dia mencapai rantai tersebut lalu menyembunyikannya di belakang badan.
"Sal?"
Dato' Ilyas mengerutkan dahi. Pandangannya tidak lepas daripada wajah anak gadisnya yang tiba-tiba berubah pucat.
"Kenapa ni?" tanyanya perlahan. "Siapa yang kirim rantai tu?"
Salina pantas menyembunyikan rantai tersebut di belakang tubuhnya sebelum memaksa senyuman.
Namun senyuman itu terlalu kaku untuk kelihatan meyakinkan.
"T-tak ada apa-apa, Pa."
"Tak ada apa-apa?"
Kening Dato' Ilyas bertaut.
"Kalau tak ada apa-apa, kenapa muka kamu macam nampak hantu?"
Salina menelan liur.
Jantungnya berdegup semakin laju sehingga terasa menyakitkan dada.
Tapak tangannya mula berpeluh, namun genggamannya pada rantai itu semakin erat.
‘Tidak’.
‘Ini mustahil, aku dah rancang sebaik mungkin, tak mungkin dia tahu kot’
‘Rantai itu sepatutnya sudah lama hilang. Jadi macam mana benda ini boleh muncul semula?’
Dan lebih penting...
Siapa yang menghantarnya?
Musuh papanya?
Atau...
Seseorang yang sengaja mahu mengingatkannya tentang perkara yang sepatutnya kekal terkubur?
"Sal... Salina."
Suara Dato' Ilyas kedengaran sayup di pendengarannya.
"Sal!"
"Ah!"
Salina tersentak lalu mengangkat kepala.
"Pa... papa cakap apa tadi?"
Dato' Ilyas memandangnya dengan penuh tanda tanya.
"Papa baru teringat."
Pandangannya jatuh pada rantai yang masih digenggam erat oleh Salina.
"Rantai tu hadiah papa selepas Sal habis SPM dulu, kan?"
Darah di wajah Salina seakan-akan hilang serta-merta.
"Kalau papa tak silap..." sambung Dato' Ilyas perlahan. "Bukankah rantai tu dah hilang?"
Jemari Salina semakin menggenggam rantai tersebut sehingga ruas jarinya memutih.
Hilang?
Kalau benar sekadar hilang, dia tidak akan setakut ini.
"Sal?"
Dato' Ilyas mula berasa tidak sedap hati melihat perubahan wajah anaknya.
Namun Salina langsung tidak menjawab.
Dia terus bangun dari sofa.
"Salina!"
Tanpa mempedulikan panggilan papanya, dia berpusing lalu berlari menuju tangga.
Degupan jantungnya semakin tidak terkawal.
Satu demi satu kemungkinan bermain di fikirannya.
Kalau rantai ini berada di sini...
Maka orang itu juga mungkin sudah tahu.
Dan jika perkara itu terbongkar...
Semuanya akan berakhir.
“Pa, esok Sal nak terbang ke Manhattan.”
Dato' Ilyas mengangkat wajah, sedikit terkejut dengan keputusan yang dibuat secara tiba-tiba itu.
“Manhattan? Kenapa tiba-tiba sangat?”
Salina menggenggam erat rantai di tangannya sebelum memalingkan wajah.
“Sal ada urusan yang perlu diselesaikan.”
Keputusannya sudah muktamad.
Apa pun yang berlaku, dia perlu berada di Manhattan secepat mungkin.
Dia tidak boleh membiarkan Mikayla semakin dekat dengan Haikal.
Tidak selepas segala usaha dan pengorbanan yang telah dilakukannya selama ini.
Kedudukannya di sisi lelaki itu mesti kekal utuh.
Namun jauh di sudut hati, Salina tahu itu bukan satu-satunya sebab.
Rantai yang berada dalam genggamannya terasa semakin berat.
Seolah-olah mengingatkannya kepada sesuatu yang cuba dilupakan.
Atau lebih tepat...
Sesuatu yang selama ini cuba disembunyikannya. Dan sebelum rahsia itu sempat mengejarnya, dia perlu pergi.
Jauh daripada semua persoalan yang mula muncul.
Jauh daripada orang yang menghantar rantai itu.
Dan yang paling penting...
Jauh daripada masalah yang mungkin menghancurkan segala-galanya.
…
Manhattan
Pagi di Manhattan bermula seperti biasa. Jalanan sudah dipenuhi manusia yang bergerak pantas mengejar rutin masing-masing. Bunyi hon kenderaan berselang-seli dengan derapan langkah kaki, mencipta suasana yang begitu sinonim dengan kota yang tidak pernah benar-benar berhenti bernafas.
Di dalam Whole Foods Market, Kayla berjalan beberapa langkah di hadapan sambil meneliti rak-rak barangan keperluan. Sesekali tangannya mencapai sesuatu sebelum memasukkannya ke dalam troli yang ditolak oleh Haikal dari belakang.
Dari sudut pandangan orang lain, mereka kelihatan seperti pasangan suami isteri muda yang sedang membeli barang dapur sebelum memulakan hari. Tenang. Serasi dan harmoni.
Tiada siapa akan menyangka bahawa pasangan itu sebenarnya sedang dipisahkan oleh tiga tahun kehilangan, salah faham dan pelbagai persoalan yang masih belum terjawab.
“Awak nak buka restoran ke apa?” tegur Kayla apabila melihat Haikal memasukkan satu lagi pek ayam ke dalam troli.
Haikal hanya menjeling sekilas.
“Abang cuma pastikan peti sejuk awak ada isi.”
Kayla menjulingkan mata ke atas.
'Hish... mula dah penyakit dia.'
'Abang sayang, adik sayang. Entah kenapa setiap kali dengar, tekak aku rasa macam nak termuntah dekat situ juga.' bebelnya dalam hati
“Peti sejuk saya bukan kosong sangat pun.”
“Ya. Sebab yang ada cuma air mineral, telur dan sos cili.”
Langkah Kayla terhenti.
Dia berpaling dengan mata sedikit membulat.
“Awak selongkar abis isi peti sejuk saya sampai habis?”
“Abang cuma buat pemeriksaan mengejut.”
“Pemeriksaan mengejut taik kucing, ingat dia warden asrama ke.”
“Sebagai suami yang bertanggungjawab, abang rasa itu tugas abang.”
Kayla terus memandangnya tidak percaya.
“Perasan betul.”
“Bukan perasan. Fakta.”
“Awak memang tak boleh hidup tanpa puji diri sendiri eh?”
Haikal ketawa kecil.
Beberapa pelanggan yang lalu di sisi mereka turut tersenyum melihat perangai pasangan itu. Dari luar, mereka kelihatan seperti pasangan yang sedang bergaduh manja.
Dan entah kenapa...
Perkara itu membuatkan Kayla semakin tidak selesa.
Kerana untuk beberapa saat tadi, suasana di antara mereka terasa terlalu biasa.
Terlalu normal.
Seolah-olah tiga tahun yang penuh dengan air mata, kecewa dan malam-malam tanpa tidur itu hanyalah sesuatu yang tidak pernah berlaku.
Dan Kayla tidak pasti sama ada dia patut membenci perasaan itu...
Kerana setiap kali perasaan itu muncul, hatinya mula lupa alasan kenapa dia memilih untuk pergi.
‘Hati... kalau kau berani lembik depan mamat ni, aku campak kau terus dalam tong sampah. Lepas tu aku ganti dengan hati ayam. Sekurang-kurangnya hati ayam tak mudah cair.’
Lagi dan lagi Kayla membebel dalam hati, seolah-olah cuba menyedarkan dirinya sendiri.
Namun semakin dia cuba menafikan, semakin kuat kenangan itu datang menyerbu.
Suara Haikal.
Kata-kata lelaki itu tiga tahun lalu.
Setiap satunya masih terukir jelas dalam ingatannya.
Seolah-olah baru semalam semuanya berlaku.
Dada Kayla tiba-tiba terasa sesak.
Satu perasaan halus mula menjalar perlahan-lahan di celah hatinya.
Perasaan yang pernah menghancurkannya dahulu.
Perasaan yang dia kenal dengan baik.
Dan perasaan yang paling dia benci.
“Awak...”
Kayla akhirnya bersuara.
Langkah mereka terhenti di hadapan bahagian buah-buahan.
Haikal yang sedang menolak troli hanya mengangkat kepala sedikit.
“Apa?”
Kayla memandang rak di hadapannya. Entah kenapa, dia tidak mampu memandang tepat ke arah lelaki itu.
Beberapa saat berlalu sebelum dia menarik nafas perlahan.
“Jomlah kita bercerai.”
Bugh!
Sebiji epal yang berada dalam genggaman Haikal terlepas lalu jatuh bergolek di atas lantai.
Untuk sesaat, suasana di sekeliling mereka terasa sunyi, waktu seakan berhenti.
Haikal tidak terus memandangnya.
Rahangnya menegang.
Jari-jarinya menggenggam kuat pemegang troli.
Perlahan-lahan dia menoleh.
Matanya tepat menikam wajah Kayla.
Tiada lagi senyuman.
Tiada lagi usikan.
Tiada lagi wajah santai seperti beberapa minit yang lalu.
Yang tinggal hanyalah pandangan tajam yang membuatkan dada Kayla tiba-tiba terasa sempit.
“Apa awak cakap tadi?”
Suara Haikal rendah.
Terlalu rendah.
Kayla menelan liur.
Namun dia memaksa dirinya untuk tetap berdiri tegak.
“Saya kata...”
Dia mengangkat wajah lalu membalas pandangan lelaki itu.
“Jom kita bercerai.”
Share this novel