Bab 5

Short Story Completed 16140

Azril memakai baju t-shirt paling baru yang ada di dalam almarinya, seluar slack hitam dan menyembur minyak wangi ke seluruh tubuh. Sedikit minyak wangi disapu ke leher dan pergelangan tangan. Azril bersiul riang. Hatinya bahagia bukan kepalang bila Aish sudi untuk keluar makan malam bersamanya malam ini.

                 Manakala, Aish pula hanya menyarung t shirt lengan panjang yang dibelinya ketika dia sedang belajar di Universiti dulu. Baju t shirt yang sudah agak lusuh dengan seluar trek berwarna biru tua. Tiada sebarang minyak wangi yang disembur ke tubuh atau pakaiannya. Selepas mengenakan tudung arini bersaiz L, Aish terus keluar dan menanti Azril di depan pintu pagar rumahnya. Kepada rakan-rakan serumah dia memberitahu bahawa dia keluar untuk membuat perhitungan terakhir dengan Azril.

             Azril keluar dari rumah dan mengintai ke rumah sebelah. Dia mencari kelibat Aish tanpa menyedari Aish sedang memerhatikan gelagatnya di depan pintu pagar. Aish ketawa perlahan melihatnya. Aish sendiri tak menyangka dia akan ketawa begini. Selama ini, Azril hanya membuatnya sakit hati dan rasa amarah yang membuak-buak setiap kali mereka bertemu muka.

           ‘’Oii..cepatlah! Sebelum Isyak nanti kita balik.’’ Aish melaung dari pintu pagar selepas ketawanya reda. Azril terus tercengang selepas mendengar suara Aish dan berlagak selamba. Dia masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin, kemudian dia keluar semula untuk membuka pintu pagar.

               ‘’Tutup pintu pagar dulu!’’ Azril menurunkan cermin kereta dan memberi arahan kepada Aish. Sambil menurut perintah, bibir Aish terkumat-kamit membebel.

            ‘’Nak makan di mana ni? Malam-malam pun awak pakai minyak wangi ke Azril? Nak keluar makan ke nak keluar date? Awak jangan tinggalkan saya pulak malam-malam ni, saya balik kampung report kat ibu karang.’’ Sambil bertanya, Aish berceloteh panjang. Pening kepalanya dengan bauan yang masuk ke hidungnya, ditambah dengan bau penyegar udara dari dalam kereta.

             ‘’Hmm..memang nak keluar date pun.’’ Selamba saja Azril menjawab sambil tersengih. Aish mengerut dahi, pelik betul dengan sikap Azril malam ini. Meremang saja bulu tengkuknya, seriau..kalau-kalau Azril sedang buang tebiat.

           ‘’Awak tak buang tebiatkan?’’ Aish menyuarakan apa yang dia rasa. Azril berdecit geram. Tersentak hati dengan pertanyaan Aish.

             ‘’Awak memang dah tak sabar nak jadi janda berhiaskan? Senanglah awak nak cari penganti nanti, agaknya encik Zafri tu pun dah tak sabar nak pinang awak.’’ Azril membalas pedas. Bunga-bunga perbalahan kembali berputik. Aish pula tak semena-mena tersenyum manis. Dia tak menyangka, Azril akan cemburu dengan bos mereka yang masih bujang tu.

             ‘’Yalah..mungkin jugak, tapi kesian pula dengan buah hati pengarang jantung awak tu. Menangis tak berlagulah dia nanti, kalau awak dah tak ada. Tak ada lagi tempat dia nak bergurau senda, nak bertepuk tampar.’’ Giliran Aish pula berkata dengan nada sinis. Azril sudah menjeling tajam. Tak senang hati dia dengan sindiran Aish terhadapnya.

            ‘’Sampai bila kita nak macam ni Aish?’’ suara Azril kembali tenang. Dia menoleh ke arah Aish sebelum menekan minyak dan keretanya meluncur laju membelah jalan raya yang disinari lampu-lampu jalan yang berwarna –warni. Bagaikan pesta lampu layaknya.

           ‘’I just follow you! Awak buat baik, saya akan jadi baik. Awak kurang asam, saya follow!’’ giliran Aish menjawab sambil menjungkit kening kanannya. Azril memandang lama Aish sementara menunggu lampu isyarat hijau menyala untuk masuk ke simpang.

         ‘’Awak yang cakap saya buang tabiat tadikan? Takkan tak nak mengaku. Siapa yang mulakan dulu?’’ Azril tak mahu mengalah. Aish membeliakkan mata.

           ‘’Salahkah saya bertanya? Awak tu yang berubah drastik sangat. Manalah tahu, kalau awak buang tabiat, boleh jugak saya minta ampun, minta maaf. Kalau awak rasa umur awak panjang lagi, okeylah..tapi..’’ Aish menghentikan kata-katanya, tanpa menyambung ayat seterusnya. Bibir Aish sudah tersenyum lebar.

           ‘’Elok sangatlah tu, nak tunggu saya mati, baru nak minta ampun, minta maaf. Buatnya saya mati tanpa sempat awak minta ampun, macam mana?’’ Azril memulangkan paku buah keras. Aish berjeda lama sebelum membalas kata-kata Azril.

          ‘’Haih..awak dah bersedia ke nak bertemu Allah? Awak ingat, awak tu sempurna sangat sampai tak buat dosa. Sejak kecil lagi kita bergaduh, hari raya saja kita saling minta maaf, tak sampai sejam pun, kita bergaduh lagi. Awak ingat boleh lupus macam tu saja ke?’’ Aish bertanya soalan cepugangsa pula. Hatinya sudah digeletek lucu. Begitulah sikap mereka sejak dulu. Sifat iri hati dan dengki mendengki sesama mereka, usah diceritakan lagi, memang kritikal punya dengki. Lebih-lebih lagi dengan Azril yang selalu tak puas hati dengan layanan kedua ibu bapanya terhadap Aish.

        ‘’Awak jangan lupa Aish, syurga seorang isteri di bawah tapak kaki suami.’’ Azril berkata yakin. Aish sudah ketawa terbahak-bahak. Ketawa yang sengaja dibuat-buat.

           ‘’Syurga di bawah tapak kaki suami yang sebaik Rasullullah saja kot. Kalau awak tu, layakkah?’’ semakin pedas pula kata-kata Aish. Azril menghela nafas panjang. Dia ingin beralah tapi keegoaannya semakin mengila mendengar kata-kata Aish. Seolah-olah Aish sedang mencabar dirinya.

                  Azril menghentikan keretanya secara mengejut di tepi jalan. Aish terdorong ke hadapan dan dia menoleh pantas ke arah Azril yang sudah merah telinganya. Hati Aish berdebar tiba-tiba. Keterlaluan sangat ke kata-katanya tadi.

                ‘’Awak tak pernah bagi saya peluang tu pun Aish. Macam mana saya nak buktikan, bahawa saya mampu menjadi suami yang terbaik untuk awak. Ada saja alasan awak, setiap kali saya ajak berbaik. Macam sekarang ni, saya nak ajak awak keluar untuk berbincang dan menjernihkan perhubungan kita, tapi..sejak tadi, awak asyik cari salah saya saja.’’ Sekali lagi Azril bersuara tegas. Suaranya bergetar dan giginya terasa berlaga atas dan bawah. Tubuhnya mengigil menahan amarah. Aish sudah kematian kata, dan dia sendiri bingung untuk memulakan kata-kata yang lemah lembut seperti kemahuan Azril. Aish juga punya rasa ego yang menebal dalam dirinya. Kalau Azril tak mahu beralah, kenapa dia pula yang harus beralah terlebih dahulu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience