Bab 10

Short Story Completed 16140

Aish merenung di kejauhan. Seminggu berada di Kuala Terengganu, Azril macam orang angau. Setiap detik dan setiap ketika dia menerima mesej melalui WhatsApp dari Azril. Pesanan dari Azril, agar Aish jaga diri, katanya lagi, sebab dia tak ada berdekatan dan dia tak mahu sesuatu yang bakal menimpa Aish. Kadang-kadang, Aish terasa sangat lucu dengan sikap Azril. Tak pernah dia temui sikap prihatin Azril terhadapnya. Mungkin sebab, sebelum ini mereka hanya pandai bertegang urat saja, jadi sikap prihatin itu mereka sembunyikan di dalam hati. Bagi Aish sendiri, walaupun mereka selalu bertegang urat, tapi dalam hati Aish, tidak pernah ada perasaan benci. Mereka tinggal serumah sejak kecil, bohonglah kalau Aish menafikan rasa sayangnya terhadap Azril, cuma rasa cinta itu saja yang masih belum disemai lagi. Sayang tak bermakna cintakan? Sayang ni banyak kategori. Kita sayang sahabat, sayang Negara, sayang cikgu, sayang ibu dan bapa, sayang abang, adik, kakak dan sebagainya. Cinta, hanya untuk orang tertentu dan sudah pastinya cinta juga banyak kategori kan?  

                ‘’Kau rindu Azril ke Aish? Itulah, masa buat keputusan nak transfer dulu, tak fikir masak-masak dulu. Bila dah berjauhan macam ni, barulah nak merindu bagai nak rak.’’ Suraya yang memerhatikan saja gelagat Aish dari jauh tadi, kini sudah ada di sebelah Aish. Dia yang masih terkejut dengan berita yang diterimanya, kini rasa menyesal kerana menurut kehendak Aish. Dia langsung tak menyangka perhubungan Azril dan Aish. Mulanya, dia hanya serkap jarang saja sebab Aish tak pernah rapat dengan mana-mana lelaki. Hanya nama Azril saja yang selalu Aish sebut, tak kira di mana dan setiap masa.

              ‘’Tak adalah rindu bagai nak rak. In sha Allah, aku masih boleh bernafas lagi. Macam ni baru best sikit. Sekurang-kurangnya, dengan berjauhan macam ni, boleh menguji perasaan kami. Aku pun nak tahu juga, sejauh mana perasaan aku terhadap dia. Selama ini, aku keliru, sama ada aku sayang dia sebagai suami atau pun tak.’’ Perlahan Aish berkata, dia menoleh sekejap ke arah Suraya dan tersenyum. Pandangan kembali di lontar ke hadapan, memerhati permandangan saujana mata memandang dengan gelagat manusia di sekelilingnya.

                ‘’Dah dapat jawapan ke?’’

                  ‘’Jawapan apa?’’

                   ‘’Jawapan yang kau cari tu. Perasaan kau terhadap Azril.’’ Aish tersenyum lagi. Dia berjeda lama sebelum memberi jawapan. Hatinya, masih mencari jawapannya. 

                 ‘’Entahlah..mungkin sayang tu, dah lama ada. Tapi..cinta tu aku tak pasti. Aku dan Azril membesar bersama. Selepas ibu dan abah aku meninggal, aku tinggal dengan keluarga Azril. Aku ni dah macam anak kandung ibu dan ayah mertua aku. Azril tu, sejak kecil lagi selalu cemburukan aku. Dia iri hati dengan aku. Dia kata, ibu dan ayah dia lebih sayang aku, dari sayang dia.’’ Aish mula bercerita disusuli ketawa perlahan. Terimbas lagi kenangan lama antara dia dan Azril. Aish mengeleng sambil ketawa dan bibirnya terus merekah dengan senyuman.

              ‘’Oh, maknanya..kau dan Azril ni adik beradik angkatlah?’’ Suraya terpegun dan terus mengajukan soalan. Aish tak mengeleng dan tak juga mengangguk.

           ‘’Entahlah..ibu dan abah aku kemalangan masa umur aku sebelas tahun. Ibu aku meninggal di tempat kejadian. Abah aku pula meninggal selepas sebulan terlantar di katil hospital dalam keadaan koma. Ibu dan ayah mertua aku pula tunangkan aku dan Azril ketika kami baru masuk darjah enam dan mereka bagi arahan untuk kami. Kata mereka, jangan sesekali cuba untuk mencari jodoh sendiri. Lawakkan? Tentu payah nak terima cerita macam kami ni.’’ Aish terus bercerita. Semakin terkejut Suraya mendengarnya.

              ‘’Lah..mudanya korang bertunang, tapi..kenapa korang selalu bergaduh? Kau tak pernah cuba untuk berbaik ke dengan Azril tu? Aku langsung tak sangka korang ni ada hubungan istimewa bila melihat korang berdua yang pantang bertegur sapa. Azril tu..aku tak faham betul dengan dia. Kau ingat tak, di tempat kerja, dia selalu berbual dengan Noreen di depan kau. Dia buat macam kau tak wujud saja dalam pejabat tu. Lagi pun, dia bukan berkawan dengan Noreen tu sehari dua. Sejak tingkatan lima lagikan?’’ Suraya terus-terusan meluahkan rasa peliknya. Jangan kata Suraya, Aish sendiri pun tak faham, apa yang Azril tu cuba buktikan.

             ‘’Huh! Dia tu..memang manusia paling pelik dalam dunia...’’

              ‘’Woii..kau kutuk suami sendiri ke?’’ Suraya bertempik tiba-tiba. Aish memandangnya dan akhirnya mereka ketawa bersama.

                ‘’Aku tak tahu apa yang dia fikir, tapi.. aku rasa, dia nak test aku kot. Manalah tahukan, sebenarnya kot-kot dia cuma nak uji aku, untuk tengok gelagat aku atau untuk buat aku cemburu.’’ Aish cuba meneka dan meluahkan firasatnya. Suraya turut mengangguk seolah menyetujui kata-kata Aish.

              ‘’Sebenarnya..kau cemburu ke tak?’’

                ‘’Bohonglah kalau aku cakap, aku tak cemburu. Rasa macam nak pelangkong saja makhluk dua orang tu. Biar koma seumur hidup. Biar padam muka!’’ Aish berkata dengan penuh perasaan. Suraya mengeleng perlahan. Pandai sungguh kawal perasaan rupanya. Nampak macam beku. Macam langsung tak kisah, rupanya lagi teruk cemburunya, sampai nak membunuh?

             ‘’Itu tandanya, kau memang cintakan Azril tu sejak dulu lagi, cuma kau tu saja tak sedar atau cuba menafikan perasaan kau tu.’’ Suraya memangkah pantas. Aish sudah mengeleng demi mendengar kata-kata Suraya.

              ‘’Dia dah jadi suami aku selama tiga tahun. Kami dah bertunang sejak umur dua belas tahun. Kenapa pula aku tak boleh cemburu. Sayang tu memang dah lama ada, macam aku cakap tadi, cinta, aku masih tak pasti, sama ada aku cintakan dia. Alaa..suami aku bermesra dengan perempuan lain, tak ada perasaan cinta pun boleh cemburu, apa!’’ Aish masih menafikan kata-kata Suraya. Apa itu cinta? Aish sudah mula keliru agaknya.

              ‘’Aku rasa, kau ni menghadapi masalah kekeliruan tahap kritikal dah ni...’’ Suraya bersuara serius. Memang pelik betul dengan sikap Aish, sampai tak tahu perasaan sendiri?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience