Bab 2

Short Story Completed 16140

‘’Apa semua ni Aish? Siapa yang izinkan awak bertukar ni? Saya tak izinkan. Bila kita tak tinggal bersama, tak semestinya awak boleh buat keputusan sesuka hati awak. Apa hak saya sebagai suami? Kalau iya pun awak nak bebas, jangan sampai awak ketepikan saya sebagai seorang suami.’’ Azril melenting lagi. Aish semakin keterlaluan sejak akhir-akhir ini. Semakin diberi muka, semakin dia melampau. Itu yang Azril fikir.

               ‘’Suami? Sejak bila kau pandai buat lawak antarabangsa ni Azril? Aku tak tahu pun. Aku rasa, dah sampai masanya kita berpisah Azril. Cukuplah, sampai di sini saja. Kau tak jemu ke, sejak kecil lagi kita ni macam belangkas, tapi pantang bertegur sapa, kita pasti bergaduh. Aku dah jemu Azril. Paling aku jemu sejak kita jadi suami dan isteri, kita tak pernah jalankan tanggungjawab kita pun. Aku tak mahu terus tanggung dosa Azril. Cukuplah kita berlakon sepanjang tiga tahun ni. Aku rasa, dah sampai masanya kita bawa haluan masing-masing. Selepas tiga bulan nanti, aku balik dan kita buat keputusan, sama ada nak teruskan perhubungan kita ni, atau kita berpisah saja.’’ Aish berkata yakin, namun masih terselit sedikit rasa ragu-ragu diakhir ayatnya diikuti helaan nafas yang panjang.

                  ‘’Apa maksud kau ni? Jangan buat keputusan terburu-buru. Aku bagi peluang kau untuk terima aku sebagai suami selama tiga tahun ni, sebab itu aku tak jalankan tanggungjawab aku. Aku tak nak paksa kau Aish, tapi pernah tak kau hargai? Kau tak pernah anggap aku sebagai suami pun kan?’’ Azril meluahkan kata, hatinya kusut saat ini. Kalau ibu dan ayahnya tahu, mesti mereka susah hati. Aish adalah menantu kesayangan ibu dan ayahnya.

                     ‘’Aku tak tahu kau ni pandai buat lawak rupanya. Peluang? Kau bagi aku peluang? Tapi, kau..’’ Aish tak menghabiskan ayatnya. Dadanya sebak untuk menyambung kata. Bagi peluang? Peluang? Akukah yang bersalah? Sedangkan dia asyik sangat bercinta dengan perempuan lain sejak dulu. Bertepuk tampar di depan aku. Bersuap makanan dan sebagainya. Bila masa pula dia bagi aku peluang? Aish sudah berdongkol di dalam hati.

                 ‘’Kita kena berbincang Aish. Bukan ini caranya untuk selesaikan masalah. Jom..ikut aku!’’ sebaik habis berkata-kata, Azril menarik tangan Aish agar mengikutnya. Aish meronta, namun Azril tak pedulikannya.

                ‘’Sakitlah!’’ Aish menjerit dan cuba melepaskan diri. Semakin kejap pula Azril memegang tangan Aish.

              ‘’Kau tu kepala batu Aish. Kalau aku tak buat macam ni, jangan harap kau nak ikut aku.’’ Sambil berjalan, Azril tetap bersuara.

            ‘’Lepaslah Azril! Aku janji, aku akan ikut kau!’’ Aish cuba merayu, namun Azril bukannya seorang lelaki yang akan mengalah dengan mudah.

           ‘’Aku dah lama kenal kau Aish..sejak kecil lagi. Kau ingat aku nak percaya dengan kata-kata kau tu.’’ Azril membalas kata sambil ketawa mengejek. Dia tahu sangat dengan helah yang akan Aish gunakan. Nampak saja Aish lurus bendul, tapi banyak helah yang tersirat di sebalik sifat lurusnya itu.

            Mereka sampai ke kereta dan Azril terus menekan alarm. Pintu kereta dibuka dan Aish ditolak masuk ke tempat sebelah pemandu. Aish tiada pilihan dan meloloskan dirinya masuk ke dalam kereta.

            ‘’Kau cuba lari, aku kejar kau sampai ke lubang cacing Aish!’’ sempat pula Azril memberi amaran sambil melangkah laju ke arah pintu kereta di tempat pemandu. Azril masuk dan menjeling Aish sekilas lalu sebelum menghidupkan enjin kereta dan menekan minyak. Kereta meluncur laju meninggalkan bangunan pejabat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience