Bab 1: Kedai Cupcake Bakery

Other Series 2664

Ketika waktu rehat di sekolah, semasa Aisya, Sarah, dan Syikin sedang menikmat cupcake yang dibawa oleh Aisya. Tiba-tiba Syikin bersuara, "Emm... sedapnya cupcake ini. Saya selalu makan cupcake ini, tetapi tidak tahu di mana kedainya." Syikin berkata dengan nada suara yang tenggelam timbul kerana mulutnya penuh dengan kek.

"Mama saya beli di kedai Cupcake Bakery, berdekatan dengan Pasar Raya Kawanku." beritahu Aisya.

"Kawan-kawan, apa kata hari Sabtu ini kita pergi ke kedai itu?" tanya Syikin kepada Aisya dan Sarah. Mereka berdua terdiam sejenak apabila mendengar pertanyaan Syikin.

"Saya okey sahaja. Bagaimana dengan awak, Aisya? Sebabnya, nanti mama awak yang perlu tunjukkan jalan." Sarah memandang Aisya.8

Aisya hanya diam membisu memikirkan permintaan teman-temannya itu.

"Boleh, ya?" rayu Syikin dan Sarah. Mereka begitu berharap Aisya setuju dengan cadangan mereka.

"Nanti saya cuba tanyakan kepada mama saya." balas Aisya. Dalam hatinya, dia juga teruja mahu pergi ke kedai Cupcake Bakery. Apatah lagi kali ini bersama kawan-kawan.

Tidak lama kemudian, loceng berbunyi menandakan waktu rehat sudah tamat. Ketiga-tiga sahabat itu bergerak ke kelas masing-masing. Sebentar lagi, sesi pembelajaran seterusnya akan bermula.

Sewaktu makan malam bersama keluarga, Aisya terus bertanya kepada mamanya berkenaan permintaan Syikin dan Sarah.

"Mama, sewaktu di sekolah tadi, Syikin ada mengajak saya dan Sarah untuk pergi ke kedai Cup..." Belum sempat Aisya menghabiskan kata-katanya, Puan Rahimah terus menjawab, "Boleh! Apa salahnya. Beritahu Sarah dan Syikin, datang ke rumah kita pada hari Sabtu ini, pukul 8:30 pagi. Nanti kita sarapan bersama-sama. Kemudian, baru kita ke kedai Cupcake Bakery."

Aisya tersenyum lebar mendengar kata-kata mamanya itu. "Terima kasih mama!" Aisya terus memeluk Puan Rahimah. Ayahnya, Encik Roslan hanya tersenyum melihat gelagat anak kesayangannya itu.

Ketika hujung minggu, tepat jam 8:30 pagi, Sarah dan Syikin sampai di hadapan rumah Aisya. Aisya terus menjemput teman-temannya itu masuk ke dalam rumah. Dengan segan-segan mereka pun masuk dan bersalaman dengan Puan Rahimah.

"Duduk dahulu. Mak cik mahu ke dapur sebentar." kata Puan Rahimah sambil tersenyum. Kemudian, Puan Rahimah berlalu ke dapur bagi menyiapkan juadah sarapan.

"Mari duduk, Sarah... Syikin..." pelawa Aisya kepada teman baiknya itu.

"Terima kasih." jawab Sarah hampir serentak.

"Duduklah, ya. Mak cik siapkan sarapan dahulu." laung Puan Rahimah dari dapur.

Selepas beberapa minit mereka bertiga duduk berbual di ruang tamu, kedengaran suara Puan Rahimah memanggil mereka untuk bersarapan. Mereka cepat-cepat bangun kerana perut mereka memang sudah terasa lapar.

Sampai sahaja di meja makan, tanpa membuang masa mereka pun duduk bersama-sama ayah dan mama Aisya dan menjamah juadah yang sudah siap dihidangkan.

"Makanlah, ya. Jangan malu. Kalau mahu tambah, tambah sahaja." kata Puan Rahimah kepada Sarah dan Syikin. Aisya, Sarah, dan Syikin hanya tersenyum.

"Terima kasih, mak cik." jawab Sarah berbasa-basi.

"Kita perlu sarapan dahulu bagi mengalas perut. Kalau tidak, nanti perut masuk angin. Lagipun, kedai itu pun belum buka lagi. Pukul 10:00 pagi baru kedai itu dibuka." beritahu Puan Rahimah kepada Sarah dan Syikin.

Sarah dan Syikin hanya mengangguk tanda faham dengan apa yang dikatakan oleh Puan Rahimah sebentar tadi. Encik Roslan pula hanya diam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience