Bab 1: Kedai Cupcake Bakery

Other Series 2664

Sejurus Puan Rahimah mematikan enjin, mereka berdua terus melangkah keluar dari kereta dan menuju ke kedai itu.

Sebaik tiba di dalam kedai, Aisya dan Puan Rahimah disambut dengan senyuman lebar Kak Siti, pemilik kedai Cupcake Bakery. Aisya dan Puan Rahimah membalas senyuman Kak Siti dengan mesra.

Tanpa berlengah lagi, Aisya terus memilih cupcake kegemarannya. Sementara itu, Puan Rahimah pula bersembang dengan Kak Siti.

Aisya memilih cupcake berperisa stawberi, manakala mamanya pula memilih yang berperisa lobak merah. Aisya tertanya-tanya dalam hatinya, mengapa mama terlalu menyukai cupcake lobak merah ataupun dalam bahasa Inggerisnya carrot cupcake. Pada Aisya, perisa cupcake yang dipilih mamanya itu pelik.

Aisya dan Puan Rahimah sering mengunjungi kedai Cupcake Bakery ini pada setiap hujung minggu. Kunjungan ini seperti sudah menjadi rutin mingguannya bersama Aisya. Sehingga Kak Siti dan semua pekerjanya sudah mengenali keluarga Puan Rahimah.

Puan Rahimah dan Aisya bersepakat mengatakan yang cupcake di kedai ini sedap. Rasa dan tekstur cupcake di kedai ini berbeza kalau dibandingkan dengan cupcake di kedai yang lain. Puan Rahimah pernah memberitahu kepada Kak Siti yang dia dan Aisya pernah membeli cupcake di kedai lain, tetapi rasanya tidak sama seperti yang dibuat oleh Kak Siti.

Kekerapan mengunjungi kedai cupcake ini menjadikan hubungan antara Puan Rahimah dan Kak Siti akrab dan mesra umpama adik-beradik. Sekiranya Puan Rahimah menghadapi masalah, dia akan meluahkannya kepada Kak Siti. Begitu juga dengan Kak Siti. Apabila Kak Siti menghadapi masalah dan kesulitan dalam perniagaan ataupun dengan pekerja-pekerjanya, dia juga akan meluahkan perasaannya kepada Puan Rahimah. Kak Siti juga menganggap Aisya seperti anaknya sendiri.

Kadangkala, Aisya membawa bekal cupcake strawberi ke sekolah. Dia akan berkongsi bekalnya itu bersama teman-teman rapatnya, iaitu Sarah dan Syikin. Sarah dan Syikin juga menyukai cupcake strawberi yang dibawa oleh Aisya.

Puan Rahimah sengaja membeli lebih cupcake strawberi supaya Aisya dapat membawanya ke sekolah dan berkongsi rasa bersama teman-temannya. Puan Rahimah berasa senang hati Aisya berkawan dengan Sarah dan Syikin kerana mereka berdua baik dan berbudi bahasa, serta hormat kepada orang tua. Oleh itu, Puan Rahimah sering membelikan pelbagai cenderahati untuk Sarah dan Syikin.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience