BAB 3

Family Completed 3105

Sebenarnya Naina memang banyak kali melukakan hatinya. Entah kenapa anaknya yang seorang itu degil dan tidak mendengar kata.

Dahulu Naina tidak demikian, tetapi sejak mengenali Iqbal teman lelakinya itu sikap Naina benar-benar berubah.

Dari bertudung Naina buka tudung, dari duduk rumah bila pulang kerja Naina sudah pandai berpeleseran. Pakaiannya juga makin lama makin singkat. Malah ucapan dari bibirnya juga semakin hari semakin kasar dan biadap.

“Naina ...” Sariah mahu bersuara lagi.

“Dah... dah... Naina nak keluar ni, pandai-pandailah mak cari duit nak beli beras ke apa, duit Naina nak pakai” pantas Naina memotong sebelum berlalu keluar. Pintu dihempasnya keras meninggalkan ibunya terkapa-kapa.

Sariah tersentap. Perlahan airmatanya mengalir lesu. Anak yang dikandungnya sembilan bulan dan sepuluh hari itu kini bagai belati yang menikam hati. Dalam, pedih dan menyakitkan.

Sariah terbatuk-batuk. Dadanya sakit, sejak seminggu lalu batuknya itu semakin kuat terutama ketika malam. Memikirkan jika dia tidak bekerja nanti dapur tidak berasap Sariah gagahkan juga mahu bekerja.

“Kak Timah kalau tak sihat janganlah datang kerja” bebel Ismet apabila melihat Kak Timah muncul di pintu kedainya pagi itu. Kak Timah sudah beberapa tahun menjadi tukang cuci pinggan di restorannya. Gaji wanita itu dibayarnya hari-hari.

“Tak apa Ismet , akak dah sihat dah ni” Sariah menyahut perlahan. Sedaya upaya ditahannya supaya batuknya tidak keluar.

“Betul ke akak dah sihat ni?” soal Ismet sambil merenung wajah Kak Timah.

Sariah hanya mengangguk. “Kalau macam tu tak apalah” Ismet mengalah. Dia tahu wanita itu cekal hatinya. Tidak pernah dia mengadu sakit, tidak pernah mengadu susah payah hidupnya. Semuanya terkunci rapat. Hanya wajah kusam dan berkedut itu menceritakan semuanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience