Episode 1: Prolog

Crime Series 838

"SAYA sebenarnya datang nak ambil anak angkat. Kalau boleh saya inginkan anak lelaki," ujar Datin Saffiya.

Puan Diana memandang ke arah wanita di hadapannya ini. Siapa saja yang tidak mengenali Datin Saffiya. Wanita itu merupakan isteri kepada Datuk Zulfar iaitu seorang usahawan terkenal di Malaysia. Puan Diana mengeluarkan sebuah fail lalu dihulurkan kepada Datin Saffiya.

"Datin boleh lihat dahulu profile anak-anak di sini. Saya akan uruskan dokumen untuk Datin selepas pemilihan." Puan Diana tersenyum mesra.

"Ermm... Saya dah ada pilihan sebenarnya. Semasa tiba di sini, saya nampak ada seorang anak lelaki duduk menyendiri di tepi kolam ikan sana. Saya ingin mengambil dia sebagai anak angkat." Datin Saffiya menolak kembali fail itu kepada Puan Diana.

Reaksi Puan Diana sedikit terkejut.

"Nama anak itu ialah Eqwal Falique. Dia berada di sini sejak tiga tahun lepas. Umurnya lapan tahun. Eqwal tidak pernah bergaul dengan anak-anak lain semenjak tinggal di sini. Doktor cakap dia mengalami kemurungan setelah dia menyaksikan sendiri insiden yang menimpa ibu dan ayahnya."

Puan Diana membawa Datin Saffiya bersiar-siar di sekitar rumah anak yatim tersebut. Mereka menuju ke arah kolam di mana tempat Eqwal selalu menghabiskan masanya. Datin Saffiya memandang ke arah Eqwal dari jauh, hatinya tersentuh melihat keadaan anak itu.

"Tolong uruskan dokumen. Kalau boleh hari ini juga saya nak ambil Eqwal." Mata Datin Saffiya masih lagi memandang ke arah Eqwal. Puan Diana meminta diri terlebih dahulu untuk kembali ke pejabat menguruskan semua dokumen.

Datin Saffiya mengatur langkahnya menghampiri Eqwal. Perlahan-lahan belakang kanak-kanak itu disentuh. Eqwal agak terkejut lalu terus bangun berdiri. Datin Saffiya cuba memegang bahu Eqwal, tapi kanak-kanak itu segera menghalang. Anak mata Eqwal berwarna biru dan kulitnya sangat putih hingga menampakkan urat di wajahnya. Menurut Puan Diana, ibu Eqwal berdarah kacukan Belanda. Disebabkan itulah mata Eqwal berwarna biru dan tidak seperti anak-anak yatim yang lain.

"Eqwal, nama saya Saffiya. Eqwal boleh panggil saya ibu." Datin Saffiya menghulurkan tangannya ke arah Eqwal.

Eqwal memandang ke arah huluran tangan wanita tersebut. Dia sangat was-was dengan kehadiran wanita itu. Eqwal melangkah beberapa langkah ke belakang. Matanya masih lagi setia menatap wajah wanita di hadapannya.

"Jangan takut Eqwal. Ibu cuma nak berkawan dengan Eqwal. Eqwal nak kawan dengan ibu kan." Datin Saffiya memujuk anak itu lembut.

Lambat-lambat Eqwal menyentuh tangan Datin Saffiya tapi dia menarik tangannya kembali. Di wajahnya jelas terpancar ketakutan yang amat.

"It's okay Eqwal. Ibu janji akan jaga Eqwal baik-baik. Jom ikut ibu." Datin Saffiya memberanikan dirinya mengusap kepala Eqwal.

Tiba-tiba Eqwal memeluk pinggang Datin Saffiya erat. Ada tangisan halus yang kedengaran. Datin Saffiya segera duduk bertinggung, tubuh kecil Eqwal dipeluknya kembali. Jemari wanita itu pantas mengesat air mata anak itu.

"Eqwal nak ikut ibu?" soalnya perlahan.

Eqwal segera mengangguk. Entah kenapa dia rasa selamat dengan wanita di hadapannya ini. Dia rindukan ibu bapanya. Perlahan-lahan ingatan Eqwal terimbas kembali di mana dia kehilangan ibu bapanya dalam sekelip mata.

|||||

TIGA TAHUN LEPAS...

"Malam ini kita pergi rumah nenek okay. Mummy perlu tinggalkan Eqwal dengan nenek sebab mummy dan daddy ada kerja. Mummy janji akan balik cepat okay," pujuk Puan Ayana.

Eqwal terus menyambar robot mainan Bumblebee miliknya lalu menyelimut seluruh tubuhnya dengan comforter. Puan Ayana menggeleng-geleng kepalanya melihat sikap anak tunggalnya itu. Rajuk Eqwal memang susah untuk dipujuk.

"Eqwal, nanti mummy dan daddy belikan banyak toys okay. Janganlah macam ni sayang. Susah hati mummy kalau macam ni." Puan Ayana menarik comforter itu perlahan. Tapi Eqwal pantas menariknya kembali.

Puan Ayana segera melangkah ke arah bilik tidurnya. Dia segera mendapatkan suaminya yang sedang sibuk menaip sesuatu di laptop.

"Abang pergilah pujuk Eqwal. Dia mesti dengar cakap abang," ujar Puan Ayana sambil duduk di hujung katil.

Encik Fariz menanggalkan kaca matanya lalu diletakkan di atas meja kerja. Banyak kertas kerja yang berselerakan di atas meja tersebut. Dia perlu menyiapkan semua kerja malam ini kerana esok pagi dia akan bertolak ke Belgium atas urusan kerja. Encik Fariz segera menapak menuju ke bilik anaknya.

"Eqwal," panggil Encik Faris perlahan.

"Sayang merajuk dengan mummy dan daddy ya."

Encik Fariz menarik tangan Eqwal yang terdedah itu. Perlahan-lahan dia mengangkat Eqwal duduk di atas pangkuannya. Anak rambut Eqwal yang berjuntaian di dahi ditolak ke belakang.

"Daddy janganlah pergi. Eqwal tak nak duduk dengan nenek. Dia garang. Dia selalu pukul Eqwal," ujar si kecil separuh menangis.

Encik Fariz tidak terkejut mendengar kata-kata anaknya. Takkanlah kanak-kanak seperti Eqwal akan berbohong. Lagipun dia tiada pilihan lain. Dia perlu tinggalkan anaknya bersama ibunya juga. Lagipun dia tahu kenapa ibunya berkelakuan begitu. Puan Sri Zara tidak suka akan perkahwinannya dengan isterinya. Jadi, anaknya juga yang terkena tempias.

"Daddy janji. Kali ini daddy dengan mummy pergi sekejap sahaja. Eqwal stay dengan nenek okay." Perlahan-lahan Eqwal mengangguk. Encik Fariz mengucup dahi anaknya.

Tiba-tiba jeritan Puan Ayana bergema di seluruh banglo mewah itu. Encik Fariz terus berlari keluar meninggalkan Eqwal. Tidak lama selepas itu, lelaki itu muncul semula. Peluh dingin membasahi dahinya. Encik Fariz segera mendapatkan Eqwal di atas katil lalu dibawa masuk ke dalam closet. Encik Fariz membuka salah satu pintu almari.

"Eqwal stay sini diam-diam. Jangan keluar okay. Ini bumblebee Eqwal." Lelaki itu mengucup dahi Eqwal lalu memeluk tubuh kecil itu.

"Daddy jangan pergi..." suara Eqwal bergetar. Encik Fariz menggeleng kepalanya lalu terus menutup kembali pintu almari itu. Dia berlari ke arah stor yang berada di hujung bilik tidurnya.

Encik Fariz mencapai sebatang kayu besbol lalu dia mengatur langkahnya berhati-hati menuruni anak tangga. Matanya dapat menangkap susuk tubuh tiga orang lelaki bertopeng sedang memegang tubuh isterinya yang sudah terkulai.

"Lepaskan isteri aku," jerkah Encik Fariz.

Seorang lelaki segera menghampiri Encik Fariz sambil mengacukan sepucuk pistol. Lelaki itu menanggalkan topeng mukanya lalu tersenyum sinis pada Encik Fariz.

"Kau...." suara Encik Fariz mengendur. Batang kayu besbol di tangannya terlepas serta merta.

"Kau nak apa? Urusan kau hanya dengan aku. Tak ada kena mengena dengan wife aku," jerkah Encik Fariz.

Lelaki itu segera menumbuk perut Encik Fariz sehingga jatuh melutut. "Kau tak sepatutnya rampas hak aku. Sejak kau muncul dalam syarikat, semuanya jatuh pada tangan kau," jerkah lelaki itu.

"Kau yang buatkan diri kau disisih. Aku tak pernah rampas hak kau pun," ujar Encik Fariz.

"Kau jangan cakap banyak Fariz. Aku memang benci kau sejak awal lagi. Kau patut mampus sahaja." Lelaki itu terus melepaskan tembakan ke arah Encik Fariz lalu menyarungkan kembali topengnya.

Tubuh itu terus rebah menyembah bumi. Banyak darah yang mengalir dari bahagian yang terkena tembakan.

"Abang," panggil Puan Ayana lemah. Lelaki bertopeng yang memegang Puan Ayana terus menghumban tubuh itu ke arah suaminya.

Puan Ayana mencapai tangan suaminya lalu digenggam erat. Air matanya tidak henti-henti mengalir melihat Encik Fariz yang semakin lemah.

"Mummy... Daddy...."panggil seseorang dari arah tangga.

Disebabkan terkejut dengan kehadiran Eqwal. Salah seorang lelaki bertopeng itu telah melepaskan tembakan ke arah Puan Ayana. Salah seorang lelaki itu mencekik Eqwal lalu mengangkat tubuh kecil itu ke udara.

"Kau nak buat apa ini. Kita dah lari dari plan asal tahu. Kau datang sini hanya nak ambil dokumen tu kan. Bukannya membunuh," ujar salah seorang dari mereka yang kelihatan agak cemas.

Lelaki yang mencekik Eqwal mendengus kasar.

"Nasib kau baik kali ini budak." Tubuh Eqwal dihempas ke lantai.

Eqwal sudah mula menangis teresak-esak. Pandangan matanya menangkap imej cincin yang berada di jari salah seorang lelaki itu sebelum mereka melarikan diri. Eqwal menghampiri ibu bapanya. Malangnya kedua-dua tubuh itu telah kaku di atas lantai. Banyak darah yang mengalir membasahi lantai itu. Tangisan Eqwal makin menjadi-jadi.

"Mummy... Daddy... Bangunlah. Mummy dah janji kan nak pergi sekejap jaa. Daddy.. bangunlah." Eqwal mengusap wajah Encik Fariz perlahan sebelum tangannya beralih membelai wajah Puan Ayana pula. Perlahan-lahan tubuh Eqwal juga terkulai lalu terus tidak sedarkan diri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience