Episod 3: Penyelamat

Crime Series 838

EQWAL dan Aidil sudah menunggu di perhentian bas untuk pulang ke kampung sempena cuti semester. Aidil yang paling teruja apabila Eqwal menyatakan hasrat untuk pulang bercuti bersama dengannya. Dia nak bawa Eqwal jalan-jalan di sekitar kampungnya sepanjang cuti semester itu.

"Aku rindu masakan mak aku ni. Dapat makan sambal petai memang boleh jilat siku weh. Hang orang bandaq, mana makan petai kan," ujar Aidil sambil tersengih.

Eqwal menggeleng-geleng kepalanya.

"Aku makanlah cuma tak melantak macam kau. Busuk."

"Sebab tulah aku kata hang orang bandaq. Balik kampung nanti aku nak ajaq hang turun bendang, motong getah dengan kutip sekerap." Aidil memeluk tubuh sambil berfikir apa lagi yang dia nak suruh Eqwal lakukan nanti.

"Motong? Sekerap?" Eqwal menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Kalau bendang itu dia tahulah sawah padi sebab Aidil selalu saja bercerita padanya.

Aidil menepuk bahu Eqwal perlahan.

"Leceh la hang ni. Motong tu menoreh pastu sekerap tu susu getah yang beku. Aduh! Benda simple pun taktau ka."

Tidak lama selepas itu, bas yang mereka nantikan pun tiba. Sengaja Aidil mengambil tiket bas malam supaya mereka tiba di Kedah pada awal pagi. Lagipun tidaklah mereka terkejar-kejar untuk solat nanti. Aidil dan Eqwal duduk bersebelahan. Mujurlah mereka sempat membeli tiket untuk pulang kerana ramai juga pelajar di ibu kota ingin pulang ke utara tanah air.

Eqwal mengeluarkan ipod daripada beg sandangnya. Headphone terus dilekapkan pada telinganya. Saja nak layan perasaan sepanjang perjalanan. Aidil seperti biasalah sibuk dengan instagram. Setiap perkara yang dilakukan perlu update katanya. Tahulah dia tu antara senior kegilaan pelajar barudi kampus pun. Berlainan pula dengan Eqwal, dia tidak suka melayan semua itu.

"Weh, tengok budak kerusi sebelah tu. Segak noh," ujar Aidil sambil menyiku perut Eqwal.

Eqwal memandang ke arah kerusi sebelahnya. Sungguh dia tidak tertarik langsung. Dari segi pemakaiannya sahaja sudah membuatkan Eqwal muak. Tak ada kain cukup ke? Jenis ini pun si Aidil boleh minat. Asal dahi licin sahaja semua boleh jalan.

"Nope, aku tak berminat. Pelik betul taste kau kan." Eqwal kembali memejamkan matanya rapat.

Tiba-tiba sahaja Eqwal teringatkan ibu Saffiya. Raut wajah wanita itu selalu sahaja menenangkan jiwanya. Tapi kenapa ibu juga bersubahat dengan lelaki itu merahsiakan semua ini darinya.

Setelah sejam bas bergerak, Eqwal cuba untuk melelapkan mata. Aidil di sebelahnya pula sudah mimpi ke London agaknya. Kebanyakan penumpang sudahpun diulit mimpi. Tiba-tiba bas berhenti dengan mengejut dan menyebabkan tubuh Eqwal terhempas ke depan.

"Weh, gempa bumi ka?" soal Aidil sambil menggosok-gosok matanya.

Eqwal menggeleng lalu mengusap dadanya yang pedih akibat terhempas sebentar tadi.

"Baiklah semua, saya minta maaf. Harap semua penumpang bersabar. Di hadapan sana ada kemalangan. Jadi, jalan ditutup untuk seketika," terang pemandu bas.

"Aku nak pergi tengok accident kat depan tu jap. Kau nak ikut?" ujar Eqwal lalu bangun untuk turun.

"Weh tunggu, aku nak ikut jugak." Aidil melangkah menghampiri Eqwal.

Ramai sekali orang yang berpusu-pusu turun dari kenderaan masing-masing untuk melihat kemalangan tersebut. Hujan pula renyai-renyai pada waktu itu. Kemalangan yang berlaku mengakibatkan dua buah kereta dengan sebuah lori tanah. Keadaan kereta kelihatan sangat teruk.

"Eqwal, kesian gila aku tengok makcik tu. Pihak polis dengan ambulans tak sampai lagi pun. Dah laa hujan." Aidil menunjuk ke arah salah seorang mangsa kemalangan.

Wanita separuh abad itu tidak sedarkan diri di atas jalan raya. Dadanya berombak seperti sukar untuk bernafas. Orang ramai tidak pula menghulurkan bantuan malah sibuk mengambil gambar untuk dimuatnaik ke dalam laman sosial masing-masing.

Tanpa berlengah lagi, Eqwal menghampiri kereta yang kemalangan itu lalu mendapatkan payung yang berada di tempat duduk belakang. Dia segera menghampiri wanita itu lalu memayunginya.

"Makcik... Makcik.. Dengar tak saya panggil ni," ujar Eqwal sambil memangku kepala wanita itu.

Wanita itu langsung tidak menjawab. Nafasnya bagai tersekat di kerongkong sahaja. Aidil menghampiri Eqwal lalu membantu memegang payung. Hujan pula turun semakin lebat hingga membataskan penglihatan.

"Kita kena tolong makcik ni. Kalau tidak dia mungkin akan meninggal. Kau tunggu sini, aku nak pergi ambil barang kejap." Eqwal terus berlari ke arah bas. Tidak lama selepas itu dia kembali semula sambil memegang bekas alat tulisnya.

Eqwal meletakkan kepala wanita itu ke atas jalan lalu mendongakan sedikit kepalanya. Telinganya dilekapkan pada dada wanita itu.

"Beb, tolong pegang phone aku. Halakan flash pada leher makcik ni," ujar Eqwal sambil menghulurkan telefonnya pada Aidil.

"Kau nak buat apa ni weh? Biar betul kau ni," ujar Aidil cemas apabila melihat Eqwal mengeluarkan mata pisau dengan sebatang pen.

"Jangan cakap banyak. Cepatlah Aidil. Hujan dah lebat ni. Pasukan penyelamat mungkin lambat sampai," jerkah Eqwal lantang.

Aidil sudah tidak berani melawan. Dia segera melakukan apa yang disuruh oleh Eqwal. Tangan Eqwal pantas mengeluarkan dakwat yang berada dalam tiub pen lalu mencuci tiub pen itu dengan air bersih. Kemudian Eqwal mengambil mata pisau lalu diletakkan pada kerongkong wanita itu. Sesekali dia mengesat air hujan yang membasahi wajahnya.

Mata pisau itu ditekan lebih dalam untuk memnuka saluran pernafasan. Darah mula memercik di sekitar leher wanita itu. Eqwal mencapai sapu tangan di dalam poket seluar lalu mengelap darah yang mengalir. Setelah itu dia memasukkan tiub pen yang dicuci sebentar tadi ke dalam saluran pernafasan yang dibuka.

Setelah itu, barulah wanita itu kelihatan boleh bernafas. Dadanya sudah tidak berombak seperti tadi. Aidil pula hanya mampu menelan liur melihat darah yang banyak itu. Pelik juga dia melihat Eqwal begitu lincah menangani masalah itu. Lagipun Eqwal pelajar jurusan kejuruteraan kimia sepertinya. Dari mana pula dia belajar semua ini.

"Makcik... Makcik okay tak?" soal Eqwal perlahan sambil memeriksa nadi wanita itu.

Wanita tua itu mengangguk lemah. Eqwal mengangkat tubuh itu lalu dibawa ke tepi jalan. Tubuh tua itu disandarkan pada pembahagi jalan.

"Tolong selamatkan cucu makcik..... Tolong...." ujar wanita itu tersekat-sekat sambil menunjuk ke arah keretanya yang remuk.

Eqwal terus berlari ke arah kereta itu. Tumpahan minyak telah mengakibatkan api menyala. Dia harus pantas mencari cucu wanita itu. Eqwal membuka pintu di bahagian belakang lalu ternampak tubuh seorang gadis yang dipenuhi darah. Kakinya tersepit pada kerusi di pemandu.

Eqwal menendang kuat kerusi tersebut. Malangnya ia langsung tidak bergerak. Eqwal mencuba sekali lagi, akhirnya kaki gadis itu berjaya dilepaskan. Sebaik sahaja mengeluarkan tubuh itu, Eqwal terus berlari selaju yang dia boleh. Kereta itu terus meletup dan serpihan kereta yang terbakar terpelanting merata tempat.

Tubuh Eqwal juga terhempas ke atas jalan akibat letupan itu. Tubuh gadis itu dipeluknya erat agak tidak terkena letupan sebentar tadi. Aidil menghampiri Eqwal lalu membantunya bangun. Wajah gadis yang berada dalam pangkuannya ditatap sayu. Eqwal menghampiri wanita tua itu lalu meletakkan gadis itu di samping neneknya.

"Kau ada sapu tangan tak?" soal Eqwal pada Aidil.

Aidil cepat-cepat mengeluarkan sapu tangannya dari kocek seluar. Eqwal mencapai sapu tangan lalu membasahkannya sedikit dengan air. Perlahan-lahan dia mengelap darah pada wajah gadis itu. Eqwal melonggarkan sedikit selendang yang menutupi kepala gadis itu.

Tidak lama selepas itu, pasukan penyelamat pun tiba. Mereka terpaksa mengambil masa yang lama untuk tiba di lokasi kemalangan disebbabkan beberapa pemandu yang tidak bertanggungjawab menggunakan lorong kecemasan. Wanita tua itu tidak henti-henti mengucapkan terima kasih kepada Eqwal kerana menyelamatkannya dan juga cucunya. Sempat lagi wanita tua itu meminta nombor telefon Eqwal.

"Terima kasih banyak-banyak anak," ucap wanita tua itu.

"Tak apa makcik. Sudah tanggungjawab saya untuk tolong makcik." Eqwal meminta diri selepas itu.

Aidil dan Eqwal melangkah ke arah bas semula. Baju mereka basah lencun disebabkan hujan. Aidil tersengih saja pada Eqwal. Dia bangga dengan tindakan rakannya itu. Eqwal memang seorang pemuda yang misteri. Dia mampu lakukan sesuatu yang tak dijangka.

Eqwal menanggalkan bajunya yang sudah basah dan terdapat tompokan darah lalu diganti dengan baju yang lain. Aidil turut menyalin pakaian. Perjalanan untuk pulang ke utara tanah air diteruskan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience