Episod 5: Aneh

Crime Series 843

EQWAL memandu dengan tenang Proton Persona milik Encik Yusuf manakala Aidil pula sibuk bermain dengan telefon di sebelah. Mereka perlu menjemput adik-adik Aidil dari sekolah. Selalunya Encik Yusuf yang akan menghantar dan mengambil Adeefa dan Aarif. Tapi, disebabkan Aidil ada di drumah, tugas itu beralih tangan pula. Tapi Aidil pula sengaja pergunakan Eqwal pada hari ini untuk memandu ke sekolah.

Setibanya di sekolah tersebut, Eqwal memperlahankan kereta lalu diparkir di tepi jalan. Ramai sekali ibu bapa yang sudah menunggu untuk mengambil anak mereka pulang. Rindu betul zaman sekolahnya. Dahulu, Eqwal akan berjalan kaki ke sekolah kerana kedudukan rumah ibu Saffiya dan sekolah tidak jauh. Bukannya ibu Saffiya tidaj pernah mahu menghantarnya, tapi Eqwal sendiri yang tak mahu menyusahkannya.

"Weh Eqwal, hang pergi jemput adik-adik. Malaslah nak turun," ujar Aidil selamba.

Hai melebih nampak. Ini adik Aidil ke adik si Eqwal.

"Aku mana kenal adik-adik kau. Lagipun, diorang dah high school der. Pandai-pandailah diorang datang cari kereta ayah kau di sini."

"Itulah hang otak bandaq. Kes culik tak kira sekolah menengah ka sekolah rendah. Adik-adik aku selalu tunggu kat dalam. So, memang kena pergi jemputlah. Ayah aku tak bagi depa tunggu luaq," terang Aidil panjang lebar.

"Iyalah. Diorang pakai name tag kan?" soal Eqwal.

Aidil mengangguk. Tangannya pula tidak henti menolak bahu Eqwal supaya cepat-cepat keluar. Sebenarnya bukan dia malas nak keluar pun, tapi dia terlupa hendak menyalin seluar sebentar tadi. Dia hanya memakai seluar pendek yang dipakai untuk tidur sahaja. Malu juga dia nak turun. Lagipun ini adalah sekolah lamanya juga, tak manis pula kalau ada orang yang dikenali melihat.

Eqwal melangkah menghampiri pagar sekolah. Banyak mata yang memerhati dirinya. Maklumlah, wajah sperti mat salleh kan, kacak pula tu. Siapalah yang tak tertarik.Mata Eqwal terpandang sekumpulan pelajar perempuan yang berbaju kurung. Mungkin itu pelajar tingkatan enam, dia segera menghampiri mereka.

"Tumpang tanya, Adeefa ada?" soal Eqwal.

Para pelajar itu tersengih memandang Eqwal.

"Saya Adeefa. Abang ni siapa?" soal salah seorang gadis. Manis sekali wajah itu.

"Err... Saya Eqwal. Kawan Aidil. Dia suruh saya jemput Adeefa dan Aarif. Aidil ada tunggu dalam kereta," ujar Eqwal sedikit gugup.

"Oh, abang Eqwal. Kejap ya, saya panggil Aarif." Adeefa terus melangkah ke arah belakang pondok pengawal.

Tidak lama selepas itu, Adeefa muncul bersama seorang remaja lelaki. Mungkin itu adalah Aarif. Eqwal berjalan terlebih dahulu lalu diikuti oleh Aarif dan Adeefa. Setibanya di kereta, mereka terus masuk ke dalam kereta. Aidil pula sudah diulit mimpi.

"Hoi... Bangun." Eqwal menyiku perut Aidil.

"Hah, dah sampai ka?" ujar Aidil mamai.

"Sampai apanya. Baru nak balik," jerkah Eqwal.

Aidil memandang ke belakang lalu ternampak adik-adiknya. Tangan dihulurkan lalu Adeefa dan Aarif segera mencium tangan abang mereka itu.

"Bagus adik-adik abang ni."

Eqwal meneruskan perjalanan pulang ke rumah. Lagipun Encik Yusuf dan Puan Suri sudah menunggu mereka untuk makan tengah hari bersama-sama. Sesekali Eqwal mencuri melihat Adeefa melalui cermin pandang belakang. Dia suka lihat wajah manis gadis itu. Ah, takkanlah kau berminat dengan adik Aidil pula.

Setibanya di rumah, Adeefa dan Aarif segera mendapatkan kedua-dua ibu bapa mereka. Setelah bersalam, barulah mereka bergegas ke dalam bilik masing-masing untuk menukar pakaian. Eqwal dan Aidil pula sudah menunggu di meja makan.

"Adeefa tolong ibu ambil nasi kat dapur sat. Ibu nak hidang lauk ni," ujar Puan Suri apabila ternampak anak gadisnya itu menuruni tangga dapur.

Adeefa mengangguk sahaja. Langkahnya terus dibawa menuju ke dapur. Eqwal turut membawa langkah menuju ke dapur untuk mencuci tangan. Tidak semena-mena Eqwal terlanggar Adeefa yang ingin bergegas ke ruang makan. Mujurlah Eqwal cepat-cepat menahan tubuh gadis itu. Jika tidak habislah nasi yang dibawa Adeefa berterabur.

Adeefa cepat-cepat bangun. Dia segera membetulkan selendang yang menutupi rambutnya.

"Maaf," ujar Eqwal sepatah.

"Tak apa." Adeefa cepat-cepat melangkah pergi. Risau juga dia kalau-kalau ada orang nampak.

"Hah, cepat sikit basuh tangan woi. Aku lapaq ni," jerit Aidil.

Eqwal tersenyum sendiri apabila tersedar daripada lamunan. Cepat-cepat dia membasuh tangan lalu menghampiri meja makan. Eqwal mengambil tempat di sebelah Aidil iaitu berhadapan dengan Adeefa.

"Aidil baca doa. Dah lama hang tak baca doa," sindir Encik Yusuf.

Bersemangat sekali Aidil membaca doa makan sekali dengan maksudnya. Mungkin dia terlampau teruja melihat sambal petai yang dimasak bersama udang di hadapannya. Suasana di meja makan sepi sahaja hinggalah mereka selesai menjamah. Adeefa segera membantu ibunya mengemas meja makan setelah selesai.

"Kita solat zohor berjemaah. Ayah tunggu kat dalam bilik solat," ujar Encik Yusuf.

Eqwal terasa seronok bersama keluarga ini. Semua anak-anak Encik Yusuf sangat tertib kecuali si Aidil. Mungkin setelah sambung belajar di ibu kota, sikapnya sedikit berubah ataupun dia memang begitu sahaja dari dulu lagi.

Aidil mengajak Eqwal masuk ke dalam bilik solat setelah selesai mengambil wuduk. Aidil segera segera membantu ayahnya membentangkan sejadah.

"Hari ini Aidil jadi imam boleh kan?" soal Encik Yusuf.

Aidil hanya tersengih. Lamanya dia tak jadi imam.

"Ermm, boleh saya jadi imam," pinta Eqwal perlahan.

Encik Yusuf tersenyum.

"Boleh saja Eqwal. Pakcik lagi suka kalau hang tawarkan diri. Bukan macam si Aidil, kena paksa pun belum tentu jadi." Sempat pula Encik Yusuf menjeling pada anak terunanya itu.

Apabila semua sudah masuk, Eqwal cepat-cepat mendapatkan tempat di hadapan sekali. Dengan tenang Eqwal mengimamkan solat berjemaah itu. Dahulu, dia selalu sahaja berjemaah dengan Ibu Saffiya. Selesai sahaja solat, Eqwal meminta diri untuk pulang ke bilik.

Telefon bimbit dicapai, baru dia sedar banyak pannggilan yang terlepas daripada Ibu Saffiya. Berdosakah dia kerana mengabaikan orang yang telah menjaganya?

"Beb, aku dah lama nak cakap benda ni kat hang. Tapi malu pulak, rasa macam gatai lebih ja," ujar Aidil sambil melabuhkan punggungnya di sebelah Eqwal.

Eqwal mengerutkan dahi. Buang tebiat apa Aidil ni. Tiba-tiba saja cakap macam tu.

"Aku nak minta maaf kalau selama ni aku banyak susahkan hang dekat kampus. Pastu aku nak ucapkan terima kasih banyak-banyak sebab hang selalu tolong aku buat assignment. Aku sayang hang tau." Aidil mendepakan tangannya untuk memeluk Eqwal.

"Apa masalah kau ni. Ishh.. Tepilah.. Geli." Eqwal menolak Aidil daripada memeluknya.

"Alah, mana tahu umur aku tak panjang. Aku nak juga minta maaf dekat hang," ujar Aidil selamba.

Eqwal mengecilkan matanya. Kau dah kenapa Aidil? Tiba-tiba sahaja cakap benda pelik-pelik. Risau pula Eqwal dibuatnya.

"Nanti kalau aku takdak, hang jangan rindukan aku tau. Hang kena ingat Eqwal, aku sayang hang," ujar Aidil lagi sambil tersenyum.

"Ish..... Kau jangan merapulah. Dah lah, pergi sana. Aku nak tidur." Eqwal terus membaringkan tubuhnya ke atas katil.

"Aku tak merapulah. Saja nak minta maaf dekat kau. Takkan nak tunggu raya pula kan." Aidil tersengih.

Eqwal menggeleng kepalanya. Malas dia nak melayan Aidil. Dia terus menarik bantal lalu menutup wajahnya. Mengantuk pula lepas perut kenyang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience