Episod 2: Kebenaran

Crime Series 843

LIMA belas tahun kemudian...

"Beb, kau memang taknak balik rumah ke? Sejak masuk sini, aku tak pernah nampak pun kau balik rumah bila cuti semester. Asyik terperap je. Habis kuat kau join backpackers," ujar Aidil sambil memandang ke arah Eqwal.

Eqwal menggeleng kepalanya. Tangannya masih sibuk melakar sesuatu di atas kertas lukisan. Dia perlu menyiapkan lakaran untuk projek akhir di semester ini. Jika dia gagal menyiapkan lakaran itu, kemungkinan dia terpaksa mengulang semula semester ini.

Aidil mengeluh melihat respon daripada rakan sebiliknya itu. Dia kembali memandang laptop di hadapannya. Tangannya mula lincah menaip sesuatu. Sesekali dia mencuri pandang ke arah Eqwal. Walaupun dah bertahun mereka berkawan baik, dia langsung tidak mengenali keluarga Eqwal. Apabila ditanya, lelaki itu hanya mendiamkan diri sahaja.

"Aku nak pergi vending machine ni. Nak kirim tak?" soal Aidil sambil menyarung sweater nipis ke tubuhnya.

Eqwal memandang Aidil sekilas. "Coke please."

Aidil mengangguk lantas melangkah keluar dari bilik. Eqwal memandang ke arah telefon bimbitnya. Sejak tadi telefon bimbitnya itu bergetar menandakan ada panggilan masuk. Tapi sengaja dia mengabaikan panggilan itu. Sekali lagi telefon itu bergetar dan nama 'Ibu Saffiya' tertera di skrin. Eqwal menarik nafas lemah lalu menjawab panggilan itu.

"Eqwal sayang, bila nak balik sini? Ibu rindu Eqwal," ujar suara di hujung corong telefon.

Eqwal meraup wajahnya. "Eqwal belum bersedia ibu. Nanti Eqwal balik okay."

"Eqwal tak sayangkan ibu? It's almost three years Eqwal." suara Datin Saffiya sudah mula serak.

"Ibu tak faham. Ibu tak rasa apa Eqwal rasa. Kebenaran itu menyakitkan sangat. Eqwal tak boleh pandang wajah dia pun." nada suara Eqwal sedikit meninggi.

Eqwal mengeluh apabila mendengar tangisan Datin Saffiya.

"Eqwal tak bermaksud nak sakitkan hati ibu. Hati Eqwal juga perlu dijaga. Nanti bila Eqwal dah bersedia, Eqwal balik jumpa ibu. Assalamualaikum."

Eqwal meletak kembali telefon bimbitnya. Dia sudah malas hendak menyambung semula lakarannya. Tangannya pantas mengeluarkan sebuah diari berwarna merah baldu yang berada di dalam laci meja belajar. Diari itu sudah lusuh dimamah usia. Perlahan-lahan tangannya membuka diari itu. Terdapat sekeping gambar lama di mana Eqwal yang berusia lapan tahun tersenyum bahagia di samping ibu bapanya.

"Mummy.. Daddy... Eqwal dah jumpa dia. Eqwal tak sangka dia adalah manusia yang menjaga Eqwal selama ini. Kebenaran kadang-kadang sangat menyakitkan. Apa yang perlu Eqwal buat sekarang. Eqwal sayangkan Ibu Saffiya." air mata jantan Eqwal mula gugur.

Apabila sedar Aidil sudah kembali ke bilik, Eqwal segera mengesat air mata lalu menyimpan kembali diari itu. "Kau punya coke." Aidil menghulurkan tin coke pada Eqwal.

"Beb, boleh aku ikut kau balik kampung kau cuti ini?" soal Eqwal tiba-tiba.

Aidil yang sedang minum air terus tersedak. Hidungnya terasa sedikit pedih disebabkan air itu berkarbonat.

"Tiba-tiba jaa. Selama ini aku ajak tak nak pula."

"Tak boleh tak apalah." Suara Eqwal mengendur sedikit.

Aidil menghampiri Eqwal lalu memeluk bahu rakannya.

"Hang tak payah buat gatai. Aku tampaq kot. Boleh ja woii. Seqonok betoi abang handsome nak ikut balik kampung tengok padi." Loghat Kedah Aidil sudah keluar.

"Beb boleh minta tolong?" soal Eqwal.

Aidil mengangguk.

"Alihkan tangan kau sekarang. Then balik tempat kau."

Aidil tersengih lalu menampar bahu Eqwal. Dia terus kembali ke arah meja belajarnya. Masih ada assignment yang perlu disiapkan. Mujurlah dia ada kawan seperti Eqwal. Kadang-kadang otak genius rakannya itu yang digunakan untuk mencari idea untuk kertas kerjanya.

"Kau ada dengar cerita tak? Ada freshy baru masuk sini lawa gila. Dengar cerita dia anak Datuk Zulfar. Nama dia Engku apa tah." Dengan terujanya dia memberitahu Eqwal. Tapi Eqwal seperti tidak berminat dengan ceritanya.

"Nama dia Engku Inara. Kau orang yang ke berapa tah yang beritahu aku. Aku tak berminat pun nak ambil tahu." Eqwal menghenyak tubuhnya ke atas katil. Komik Lawak Kampus dicapai.

Takkanlah dia tak kenal Engku Inara. Dia adalah anak kandung Ibu Saffiya. Setelah setahun Eqwal menjadi anak angkat Datuk Zulfar dan Datin Saffiya, mereka dikurniakan seorang cahaya mata. Tapi Eqwal tak gemarkan sikap Inara yang tidak tahu hormat akan orang lain. Semua hal perlu mengikut kepalanya sahaja. Bayangkanlah, ibu kandungnya sendiri pun langsung tidak dihormati. Inikan pula orang lain.

"Tapi dia cantik weh. Bergetar tulang rusuk ni." Aidil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

Eqwal merengus kasar.

"Kau tak payah sibuk nak bergetar tulang rusuk bagai. Kau dah solat Isyak?" soal Eqwal dingin.

Aidil menggeleng-geleng kepalanya sambil tersenyum menampakkan baris giginya. Eqwal mencapai bantal di hujung kaki lalu membaling ke arah Aidil. Bab solat boleh pula dia ringankan. Kalau bab perempuan, bukan main bergetar tulang rusuk bagai.

"So, kau nak aku pula getarkan tulang rusuk kau?" soal Eqwal sinis.

"Iyelah, aku pergi solat dulu ya baby Eqwal," ujar Aidil lalu meninggalkan bilik mereka menuju ke tandas.

Eqwal menghampiri katilnya lalu membaringan tubuhnya. Gitar di tepi katil dicapai lalu jemarinya mula bermain-main dengan gitar itu. Fikirannya entah melayang ke mana sekarang. Kenapa dia perlu bertemu dengan orang yang telah memisahkannya daripada keluarga sendiri dalam keadaan begini?

Masih dia ingat lagi saat dia mengetahui bahawa Datuk Zulfar adalah dalang di sebalik kejadian yang meragut nyawa ibu bapanya. Ketika itu Eqwal baru pulang dari kuliah dan dengan tidak sengajanya dia terdengar pergaduhan kecil di antara Datuk Zulfar dan Datin Saffiya. Perkara yang mereka bertikam lidah adalah berkaitan dengan kejadian hitam beberapa tahun lepas.

Kebenaran semakin terbukti apabila Eqwal perasan cincin yang berada pada jari Datuk Zulfar. Cincin itulah yang dia nampak pada pembunuh ibu bapanya. Sebaik sahaja mengetahui kebenaran, Eqwal mengambil keputusan untuk keluar dari rumah itu sehelai sepinggang. Dia tak mahu ada kaitan dengan keluarga itu. Tapi dia sayangkan Datin Saffiya seperti ibu kandungnya sendiri.

"Kalau aku tak bunuh Fariz dulu, kau ingat kita boleh hidup senang begini sekarang? Aku taknak kau ungkit lagi perkara ini. Kau ingat aku suruh kau ambil si Eqwal sebagai anak angkat saja-saja ke. Itu semua sebab aku tak nak dia tahu bahawa aku yang hancurkan family dia dahulu." ayat itulah yang tak mungkin Eqwal lupakan hingga sekarang.

Kini Eqwal tersepit di antara dendamnya dengan kasih akan Datin Saffiya. Manusia yang terlalu gilakan harta dan pangkat akan buat apa sahaja untuk berada di atas. Disebabkan itulah, ibu bapa Eqwal menjadi mangsa kerakusan Datuk Zulfar. Sungguh dia tak sangka dia akan bertemu dengan lelaki itu dalam keadaan dirinya menjadi anak angkat kepada Datuk Zulfar.

"Jangan risau Datuk Zulfar, aku pasti akan balas semua yang kau lakukan pada keluarga aku. Kau rampas segalanya daripada aku dalam sekelip mata sahaja. Selepas ini, hidup kau tak akan aman lagi." ada senyuman sinis yang terukir di bibir Eqwal Falique.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience