Episod 4: Kampung

Crime Series 838

CAHAYA matahari menerobos masuk ke dalam bilik melalui celahan papan. Maklumlah rumah Aidil hanyalah rumah kampung biasa yang diperbuat daripada papan. Tapi dekorasi rumah itu sangat cantik dan kebanyakan perabot diperbuat daripada kayu jati dan hanya bahagian dapur sahaja diperbuat daripada batu-bata.

Eqwal menggosok-gosok matanya yang terasa silau. Suasana di kampung pada waktu pagi sangatlah sejuk. Aidil pula masih lagi diulit mimpi di sebelah. Eqwal mencapai telefonnya lalu melihat jam. Matanya membulat melihat jam kerana sudah pukul 7:00 pagi. Dia cepat-cepat mengejutkan Aidil.

"Weh bangunlah. Kita dah terlepas subuh ni." Eqwal menggoyangkan tubuh Aidil. Disebabkan tiada respon, Eqwal terus mencapai tuala di hujung katil lalu melangkah kearah tandas.

Usai membersihkan diri dan memakai baju, Eqwal membentangkan sejadah dan bersedia untuk solat. Lama dia bertafakur di atas tikar sejadah setelah selesai solat. Sungguh dia begitu leka dengan tidur hingga terlepas solat. Eqwal melipat sejadah lalu menghampiri katil. Sengaja dia menampar pipi Aidil kuat.

"Bangun solat! Kau nak aku simbah air ke," jerkah Eqwal lantang. Mujurlah dia sudah kenal sangat dengan Aidil ni. Waktu pagi adalah waktu yang paling susah untuk Aidil bangun sebenarnya.

"Yelah... Yelah..." ujar Aidil malas lalu mengheret kakinya ke tandas.

Eqwal menggeleng-geleng kepalanya melihat Aidil. Dia segera menyarungkan sehelai sweatpants bersama sehelai t-shirt nipis ke tubuh. Pagi-pagi begini kalau keluar jogging bagus juga.

"Eqwal nak pergi mana tu?" soal Puan Suri iaitu ibu Aidil.

"Eqwal nak keluar jogging makcik. Sambil-sambil tu bolehlah lihat suasana kampung ini," ujar Eqwal.

"Oh yaka. Pergilah. Makcik belum sediakan sarapan lagi." Puan Suri terus menghilangkan diri ke dapur.

Eqwal segera menyarungkan kasut sport lalu melangkah keluar dari halaman rumah. Seronoknya dia melihat suasana kampung itu pada waktu pagi. Kabus masih lagi kelihatan di mana-mana,

"Woi, tunggu aku. Nak ikut jugak!" jerit Aidil sambil menghampiri Eqwal.

"Aku ingat kau nak sambung tidur lagi," perli Eqwal.

"Eleh, aku pun nak sado macam kau. Tengok ni, dah berlapis perut aku sebab lama tak bersenam." Aidil memicit perutnya.

Eqwal ketawa melihat gelagat Aidil. Itulah, pagi-pagi kerja tidur sahaja. Ada kelas pagi pun tetap sahaja masuk lewat. Mujurlah Eqwal begitu baik hati untuk menanda kedatangan Aidil.

Mereka mula jogging di sekitar kampung. Sempat lagi Aidil menegur orang-orang kampungnya. Ramah betul budak ni. Pagi-pagi begini orang kampung akan keluar pergi menoreh. Tambahan pula cuaca begitu baik.

"Aku tak nampak pun adik kau. Kau cakap kau ada adik kan," ujar Eqwal sambil mengesat peluh di dahi.

"Memanglah tak nampak. Adik-adik aku pergi sekolah. Hari ini hari ahad. Di Kedah bukannya cuti macam KL sana. Adik aku yang lelaki itu tingkatan empat dan yang perempuan upper six," terang Aidil.

Eqwal mengangguk faham.

"Oh, yang lelaki itu nama dia Aarif kan. Yang perempuan itu nama apa tah."

"Adeefa nama dia. Dia tu keras kepala sikit. Tak pernah nak dengar cakap aku." Aidil menggaru kepalanya.

"Eleh, kau pun keras kepala. Sama saja," balas Eqwal selamba lalu terus berlari ke depan.

Aidil mengecilkan matanya yang memang sudah tersedia kecil itu. Sakit pula hatinya dengan si Eqwal. Aidil teringatkan sesuatu lalu dia cepat-cepat mendapatkan Eqwal.

"Hang kena cerita dekat aku macam hang boleh pandai buat semua tu semalam. Alah cara hang selamatkan makcik tulah. Pelik juga aku tengok," ujar Aidil sambil mengerutkan keningnya.

Eqwal hanya ketawa mendengar kata-kata Aidil.

"Aku belajar dekat YouTube saja. Segalanya di hujung jari."

"Hang gila ka apa. Belajaq dekat YouTube tapi boleh praktis dalam realiti. Hang bohong aku ni. Mana hang belajaq. Cepat bagitau." Aidil mencubit pergelangan tangan Eqwal kuat.

"Sakitlah woi. Aku join private punya kelas. Selama aku tak balik cuti ni, aku selalulah juga join budak-budak medic," ujar Eqwal.

"Iyalah hang join budak-budak medic. Jom lah balik. Aku lapar dah ni," ujar Aidil. Lagipun dia rindukan nasi lemak buatan ibunya.

Eqwal melakukan cooling down supaya tubuhnya tidak terasa sengal-sengal selapas bersenam. Tubuhnya juga sedikit melekit disebabkan banyak peluh yang keluar. Aidil pula baru jogging sedikit sudah semput.

"Aidil, ajak Eqwal mai makan. Ibu dah sediakan nasi lemak atas meja tu. Ibu nak pi rumah Mak Esah sat nak ambik petai," ujar Puan Suri sebaik sahaja ternampak kelibat anak terunanya itu.

"Tak apalah Aidil. Aku masuk mandi dulu. Rasa melekit pelik ja ni." Eqwal terus bergegas masuk ke dalam bilik.

Selesai sahaja membersihkan diri, Eqwal turun ke dapur. Aidil sudahpun mmenunggu di meja makan.

"Iyapun lapar, mandilah dulu. Busuk la."

Aidil tidak menghiraukan kata-kata Eqwal. Tangannya pantas menyenduk nasi ke dalam pinggan Eqwal. Eqwal pantas menahan tangan Aidil dari terus menambah nasi ke dalam pinggannya. Baru saja lepas bersenam takkanlah nak tambah lemak pula. Biarlah setakat untuk melapik perut.

Mangkuk berisi sambal ikan bilis dicapai lalu dicedok sedikit ke dalam pinggannya. Sedap sungguh masakan Puan Suri. Tiba-tiba Eqwal teringatkan ibu Saffiya. Selalu juga ibu Saffiya masakkan Eqwal nasi lemak dahulu.

"Hoi, duk berangan apa pulak. Makan la cepat. Satgi hang teman aku pi ambik adik-adik aku kat sekolah. Lepas ni hang ikut aku pi motong," ujar Aidil selamba.

Sudah sahaja makan, Eqwal mengangkat pinggan untuk dicuci di sinki. Aidil pula terus bergegas ke bilik untuk mandi. Eqwal pula melangkah ke arah beranda di luar rumah. Dia segera melabuhkan punggungnya di atas kerusi malas.

Eqwal membuka laman sosial Instagram miliknya. Jarinya pantas scroll instagram itu. Gambar Inara muncul di laman home. Sakit pula matanya melihat gaya pemakaian Inara itu. Dia hanya mengenakan singlet berwarna hitam bersama cardigan labuh bercorak dan skirt pendek paras betis. Gayanya tak ubah seperti gadis luar negara dengan rambut blonde.

"Woi, hang ada insta Inara ka. Amboi dalam diam stalk dia noh. Semalam kemain cakap bukan taste hang kan," sergah Aidil.

Eqwal mencebik.

"Tak ada maknanya nak stalk. Dia yang follow aku. Nampak tak?" Eqwal menunjuk ruangan followers pada Aidil.

"Woi, hang memang gila kan. Macam mana dia boleh follow hang ni. Dah laa following dia ada lima orang saja. Tak aci." Aidil memeluk tubuh.

"Weh, dia ni bukannya mendatangkan faedah pun kalau dia follow pun," ujar Eqwal sinis.

"Memanglah tak ada faedah. Tapi dia cantik toq. Boleh buat cuci mata. Hang tak faham. Dahla woi, jom pi kebun. Ayah aku duk tunggu kat sana dah," ujar Aidil lalu melangkah menuruni tangga.

Dia bergegas masuk ke bawah rumah lalu mengeluarkan sebuah motosikal jenis Yamaha LC. Eqwal segera membonceng motosikal itu. Layan perasaan juga si Aidil bawa motor. Boleh tidur bangun semula kalau ikut cara ini. Akhirnya mereka tiba di sebuah kawasan kebun getah.

"Hari ini kita kutip sekerap. Nah, ni gundi untuk hang." Aidil bergegas ke hadapan terlebih dahulu.

Eqwal pula kelihatan terpinga-pinga. Manalah dia pernah buat kerja ini semua. Buang tebiat agaknya si Aidil ni. Encik Yusuf tersenyum sahaja memandang ke arah Eqwal.

"Tak payahlah Eqwal. Aidil ni memang sengaja nak pekena hang. Buat taktau ja kat dia. Pi lah duduk tepi tu," ujar Encik Yusuf.

Eqwal mengangguk sahaja. Seronok pula dia melihat Aidil. Lincah sekali tangannya mengeluarkan susu getah yang beku lalu dimasukkan ke dalam gundi. Banyak pula nyamuk di sini. Habis merah tangan Eqwal akibat digigit. Tergaru-garu dibuatnya.

"Weh orang bandaq, nyamuk tu bukan alien," ujar Aidil sambil ketawa. Geli hatinya melihat Eqwal tergaru-garu.

"Nyamuk ni dah macam drakula. Kenyang dia hisap darah aku." Eqwal merungut.

Aidil ketawa lepas mendengar kata-kata Eqwal. Nyamuk disamakan dengan drakula. Memang orang bandar betul Eqwal ni.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience