BAB 7

Drama Completed 292

Haslan menyandarkan tubuhnya pada dinding bilik Tia Melia . Dia memandang sayu ke arah gadis yang bakal meninggalkannya sekali lagi. Tia Melia sempat menghadiahkan senyuman kepadanya sebelum menyambung semula kerja-kerja mengemas.
“Tia nak buang patung-patung tu? Itu kan patung kesayangan Tia.” soal Haslan , kehairanan.
“Saya dah besar, dah tak main patung-patung ni semua. Saya nak dermakan kepada rumah anak-anak yatim. Lagipun, tak baik kita simpan patung-patung kat rumah, nanti malaikat tak masuk.”
Gadis itu mencari-cari sesuatu, namun tidak kelihatan.
“Tia cari ni?” soal Haslan sambil menunjukkan buku yang menyimpan 1001 kenangan dalam hidup Tia Melia . Buku itu menjadi tatapan Haslan saban malam di kamar tidurnya. Gadis itu tersipu-sipu malu sebelum mengambilnya dari tangan Haslan .
“Rasanya, semua barang-barang ni saya dah kemas. Saya dah suruh orang untuk keluarkan barang-barang ni semua. Yang ini, saya nak hantar ke rumah anak-anak yatim. Yang ni pulak, saya nak bakar. Rasanya, dah tak ada makna kalau saya simpan semuanya.” Mata Haslan tertancap pada kotak yang mengandungi barang-barang peribadi Tia Melia yang perlu dibakar. Salah satunya adalah buku ‘My Prince Charming’ milik gadis itu.
“Emm… dah sampai masanya untuk saya bergerak ke KLIA.”
“Err… biar abang hantarkan.”
Perjalanan mereka ke KLIA hanya diiringi dengan alunan muzik daripada corong radio. Tia Melia lebih gemar berdiam diri saat ini. Lidah Haslan pula terasa kelu untuk menuturkan sesuatu. Setibanya di KLIA, kedua-duanya masih lagi membisu. Hanya pandangan sayu yang menjelaskan segala-galanya.
“Err… tu pesawat saya. Elok saya daftar masuk sekarang,” ujar Tia Melia , serba salah. Dia akan terbang ke Dubai, tempat yang menawarkannya pekerjaan sebagai pereka landskap.
“Tia!” panggil Haslan , tidak lama selepas Tia Melia melangkah pergi. Langkahnya terhenti, Tia Melia segera berpaling.
“Masihkah ada lagi harapan untuk kita bersama semula?” soal Haslan tanpa ragu-ragu. Dia ingin mendapatkan kepastian daripada insan yang dicintainya itu.
“Mungkin…” jawab Tia Melia , ringkas.
“Mungkin?” ulang Haslan .
“Mungkin…” ujar Tia Melia sebelum gadis itu melangkah menuju ke balai perlepasan.
“Mungkin…” ucap Haslan , sendirian sejurus kelibat gadis itu menghilang daripada pandangan.

Lama dia menadah tangan, memohon restu dan petunjuk daripada-NYA. Lewat usia 26 tahun, dia masih tercari-cari cinta sejatinya. Hari ini, di hadapan bangunan yang menjadi kiblat kaum muslimin di seluruh dunia, dia telah menemui apa yang dikatakan cinta sejati. Cinta yang mampu menjamin kebahagiaan di akhirat kelak. Cinta antara makhluk dengan penciptanya. Cinta yang ternyata lebih indah daripada fantasi cintanya sebelum ini.
“Tia, awak naik bilik dulu ya. Saya nak jumpa abi saya kejap,” ujar Umairah, rakan senegaranya yang juga bertugas di Dubai. Keluarga Umairah banyak membantunya ketika dia tiba di negara itu buat kali pertama.
“Okay. Saya naik atas dulu ya. Assalamualaikum…”
“Waalaikumsalam…”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience