Chapter 1

Romance Completed 8046

BAB 1

MAC 2015: SKY TOWER, OROVA CITY

PEN hitam yang sedari tadi bergerak di atas permukaan kertas yang sudah penuh dengan contengan aku letakkan di atas meja. Aku mengurut dahi, cuba menghilangkan rasa penat yang bagiku tidak berpunca daripada kerjaku. Sejak pagi tadi lagi aku cuba menyibukkan diri dengan kerja-kerja yang menjadi rutin seharianku.

Menghadiri mesyuarat sekiranya diperlukan, menemui klien penting syarikat, meneliti dan menandatangi dokumen yang memerlukan pemeriksaan dan pengesahan daripadaku, semuanya telah aku lakukan. Tetapi aku tetap tidak dapat fokus seperti kebiasaan. Fikiranku akan menerawang jauh, mengingati mimpi yang aku alami malam tadi.

Mimpi yang sama. Seperti yang aku lalui sejak beberapa minggu yang lepas walaupun kini mimpi itu sudah semakin kerap hadir menemani lenaku sehingga aku tahu aku tak boleh berdiam diri lagi.

Bagaikan ada sesuatu yang ingin disampaikan oleh mimpiku itu.

Aku menekan butang interkom untuk menghubungi setiausahaku, Leo yang berada di luar bilik kerjaku.

“ Minta Romario jumpa saya,” pintaku ringkas.

“ Baiklah, tuan.”

Aku bangun daripada kerusi lalu berdiri membelakangi meja kerja. Kini aku berdiri menghadap dinding kaca yang memisahkan aku dan dunia luar. Mataku melihat pada pemandangan hutan batu yang terbentang luas di hadapan. Bangunan pencakar langit melindungi bangunan-bangunan kerdil di bawah.

Perhatianku beralih pula kepada titik-titik kecil yang diwakili oleh kenderan dan manusia yang sedang berada di bawah. Dari kedudukanku, mereka kelihatan seperti semut-semut kecil yang berkeliaran di atas tanah. Wajah-wajah yang langsung tidak kukenali rupa dan nama sedang berjalan di bawah sana. Meneruskan hidup tanpa mengetahui kisah orang yang berselisih bahu dengan mereka.

Interkom berbunyi lagi. Suara Leo menyapa pendengaranku.

“ Tuan Adams, Encik Romario dah sampai.”

“ Baiklah. Terima kasih, Leo.”

Pintu bilik pejabatku dibuka dari luar. Seorang lelaki berkaca mata dan bersut hitam masuk ke dalam. Aku segera kembali ke meja kerjaku. Romario berjalan mendekati aku. Daripada wajahnya aku mengagak ada sesuatu akan dilaporkan kepadaku seperti mana aku menantinya.

“ Romario, macam mana dengan apa yang saya minta awak siasat?” tanyaku tanpa berkias.

“ Saya ada sedikit laporan untuk tuan,” Romario melihat kepadaku. “ Tapi setakat ini tiada perkembangan lanjut. Sukar untuk saya terangkan, tapi tiada tanda-tanda keberadaannya di tempat itu.”

“ Jadi laporan itu palsu?” dugaku.

“ Ada kemungkinan. Tapi mungkin juga si pelapor ternampak dia dalam jangka masa yang pendek.”

Aku mengeluh, mataku singgah pada permukaan meja kerja. “ Cuba periksa tempat-tempat yang berdekatan. Mungkin ada petunjuk di sana. Jangan tinggalkan walau satu pun petunjuk.”

“ Baiklah tuan. Ada juga gambar yang kami terima tapi pemilik gambar itu hanya menyerupai wajahnya sahaja. Saya telah sahkan identiti mereka. Benar, mereka tersalah orang.”

Peningnya aku memikirkan kesudahan untuk penyiasatan ini. Bagaikan tiada penghujung jalan. “ Tak mengapalah. Cuba sahaja apa-apa cara yang kamu boleh fikirkan.”

“ Baiklah, tuan.” Romario memberi tunduk hormat kepadaku. “ Saya akan segera hubungi tuan.”

Romario segera keluar selepas menyampaikan laporannya yang mengecewakan aku. Jari telunjuk kananku bergerak menekan permukaan meja berulang kali. Sejak mimpi itu menganggu lenaku, aku memulakan sesuatu yang sepatutnya sudah lama aku hentikan. Aku tidak tahu kenapa mimpi itu membuatkan aku nanar sebegini. Adakah kerana dia?

Laci meja yang paling bawah kubuka. Sebuah bingkai gambar aku keluarkan dari perut laci. Pandanganku berlabuh pada gambar yang sedang kutatap itu. Sudah lama aku menyimpan gambar ini dalam laci meja kerjaku tanpa melihatnya. Siapa sangka aku akan kembali menatap gambar ini.

Adora.

Senyuman manis pada wajah Adora membuatkan perasaanku bercelaru. Wajahnya yang cantik, bertambah cantik dan anggun dengan mekap nipis yang menghiasi wajahnya. Rambut panjang perang keemasannya disanggul cantik. Sehelai gaun pengantin berwarna putih tersarung pada tubuh langsing itu. Berdiri di sampingnya dalam gambar itu adalah aku. Sama sepertinya, aku tersenyum ke arah kamera. Kot labuh paras lutut berwarna putih dan kemeja ungu lembut menjadi pilihanku untuk majlis perkahwinan kami.

Adora yang manis, di manakah dia berada sekarang? Sudah hampir enam tahun berlalu sejak dia tiada lagi di sisiku. Walaupun sudah bertahun-tahun dia pergi dari sampingku, sehingga kini aku tidak boleh melupakannya. Tiada wanita lain dapat menggantikan tempatnya di hatiku. Malah aku tidak pernah mencuba untuk mencari perempuan lain.

Salah aku.

Aku yang membuatkan dia pergi, memaksa dirinya memungkiri janji kami berdua.

Tidak mahu terus tenggelam dalam kenangan lama, aku segera menyimpan gambar itu ke dalam laci. Mata yang sudah terasa berair aku kesat. Aku segera menumpukan perhatian kepada saki baki kerjaku. Aku mahu pulang ke rumah dengan lebih awal, tidak berniat untuk menyambung waktu kerjaku hingga lewat malam.

Aku cuba menyibukkan diriku, tetapi aku masih memikirkan mimpi itu.

Di dalam mimpiku itu, Adora dan aku berada di sebuah taman. Gaun kapas berwarna putih yang sentiasa menjadi kegemarannya tersarung pada tubuh itu. Adora melihat kepadaku dengan renungan sayu. Sepasang mata biru langit miliknya melihat sahaja kepadaku.

Aku ingin berjalan ke arahnya, mendapatkan dia tetapi kakiku seperti dipaku sahaja di situ. Ketika aku melihat ke sebelah kanannya, aku perasan tangannya sedang memegang sesuatu. Tetapi apa yang berada dalam pegangannya itu tidak jelas di mataku. Aku mencuba dengan sedaya upaya tetapi aku masih gagal melihat apakah yang sedang berpaut di tangan kanan Adora.

Ketika itulah, aku akan tersedar daripada lenaku. Tersedar ketika aku hampir melihat dengan jelas apakah yang sedang dipegang oleh Adora.

Bunyi interkom memecah sepi bilik kerja sekaligus menghalau jauh lamunanku. Suara Leo kedengaran lagi. Mataku beralih kepada interkom.

“ Tuan Adams, Encik Romario nak berjumpa tuan.”

“ Baiklah. Benarkan dia masuk,” balasku, hairan kerana baru sahaja Romario keluar dari bilik ini.

Aku melihat ke daun pintu yang sudah dibuka. Romario muncul dengan wajah yang tidak dapat kutafsirkan, berbeza dengan riak pada wajahnya tadi. Kali ini aku melihat Romario seperti teragak-agak untuk mengatakan sesuatu kepadaku.

“ Kenapa, Romario?”

“ Err… tuan… sebenarnya…”

Romario melihat ke belakangnya. Mataku turut singgah di situ. Aku terkejut apabila melihat seorang kanak-kanak lelaki sedang bersembunyi di belakang Romario. Wajah comel itu memerhatikan aku dari balik tubuh Romario. Keningku bertaut menjadi satu, pelik kerana tiba-tiba sahaja Romario muncul dan membawa seorang kanak-kanak lelaki yang langsung tidak dikenali olehku.

“ Siapa… budak ni, Romario?”

Romario mengeluh. “ Saya jumpa budak ni di lobi. Katanya…”

“ Papa?”

Aku tersentak mendengar perkataan itu terpacul daripada bibir comel itu. “ Pa… pa?”

Kanak-kanak itu keluar daripada persembunyiannya lalu berdiri di sebelah Romario. Ada sesuatu tergantung di leher kanak-kanak itu, berbentuk segi empat tepat. Kelihatannya seperti sekeping gambar. Aku memerhatikan kepada kanak-kanak itu lama, seperti kanak-kanak itu melihatku dengan mata bulatnya itu.

“ Papa!” ucap kanak-kanak itu dengan jari telunjuk kanannya dituju ke arahku.

“ Papa?” Aku mengulang perlahan. Wajah Romario kupandang. “ Siapa budak ni? Kenapa…”

“ Pengawal di lobi beritahu saya kanak-kanak ini cari tuan. Tuan… ada gambar tuan dan puan pada budak ni… mungkin…”

Terus aku melihat kembali kepada gambar yang tergantung di leher kanak-kanak itu. Baru aku perasan ada satu pasangan di dalam gambar itu. Kerana tidak dapat melihat dengan jelas, aku segera mendekati kanak-kanak itu. Aku duduk mencangkung di hadapannya, menyamai kedudukannya dengan ketinggianku. Gambar itu kurenung. Kanak-kanak itu diam sahaja berdiri di hadapanku.

Wajah Adora dan aku terpampang pada gambar itu.

“ Papa… kan?” Kanak-kanak itu melihat aku dengan tanda-tanya.

“ Kamu…” Suaraku bergetar, “ Gambar ini…”

Ini adalah gambar yang diambil ketika aku dan Adora meluangkan masa bersama-sama di sebuah taman tema. Aku dan Adora melihat ke arah lensa kamera dengan senyuman. Bibirku dicemari dengan aiskrim yang sudah cair. Adora yang tersengih menampakkan barisan giginya yang teratur mencubit sebelah pipiku. Ada calitan aiskrim pada pipi kanan dan hidung Adora.

“ Mama yang berikan,” balas kanak-kanak itu.

“ Mama?”

Adakah dia maksudkan Adora?

“ Siapa nama kamu?” tanyaku. Aku cuba mengawal perasaanku yang sedang tidak menentu.

“ Archie.”

“ Nama… mama kamu?”

“ Adora.”

Terasa jantungku berhenti berdegup saat aku mendengar nama itu. Aku memerhatikan segenap inci pada wajah kecil itu. Rambut perang platinum pendek milik kanak-kanak itu menyamai warna rambutku. Bibirnya mungil mengingatkan aku pada bibir Adora. Sepasang mata kanak-kanak itu kuperhatikan. Melihatkan matanya seperti melihat mata Adora yang memandang tepat kepadaku. Sepasang mata berwarna biru langit itu sama seperti mata bundar milik Adora.

“ Archie…”

Ketika itulah suatu cahaya berwarna jingga muncul dari tangan kanan Archie. Cahaya yang terhasil daripada api itu membuatkan aku tergamam. Archie melihat kepada api yang sedang menyala daripada tangannya. Perlahan-lahan aku mengangkat tangan kananku, menyentuh tangan kanan Archie. Nyalaan api itu bertambah kuat, bergabung dengan api yang keluar daripada tangan kananku juga.

“ Tuan…” Romario terpegun melihatkan kanak-kanak itu.

“ Ya…” Setitis air mataku mengalir. “ Anak saya…”

Tubuh kecil itu kupeluk erat. Walaupun aku tidak tahu siapakah kanak-kanak ini, tetapi aku yakin ini adalah anakku. Anak kandungku bersama-sama Adora. Daripada hangat nyalaan api itu, aku dapat merasakan sesuatu yang mendatangkan perasaan nostalgik dalam diriku.

WALAUPUN aku masih bingung dengan apa yang terjadi, aku tetap membawa Archie pulang ke rumahku. Tanpa menunggu masa kerja tamat lagi aku sudah keluar dari pejabat. Sempat aku meminta Leo membatalkan semua temu janjiku yang berbaki pada hari ini. Romario pula aku tugaskan mencari maklumat mengenai Archie dan keberadaan Adora. Mungkin ada sesiapa melihat siapa yang membawa Archie tadi. Mungkin Adora. Mungkin juga orang lain jika Adora tidak mahu bersemuka denganku.

Aku tidak mahu cepat melatah dengan kedatangan Archie yang mengejut. Masih tiada bukti kukuh mengatakan dia adalah anakku dengan Adora selain daripada gambar milik Archie dan paras rupanya yang menjadi gabungan wajahku dengan Adora. Tetapi, aku tahu jauh di sudut hatiku, anak kecil ini adalah anakku. Apatah lagi apabila melihat api yang dikeluarkan oleh Archie tadi.

Archie yang duduk bersebelahan denganku di dalam kereta tidak habis-habis merenungku. Sesekali aku perasan pemanduku, Evan melihat kepada kami berdua daripada cermin kereta. Tetapi Evan bertindak dengan bijak kerana dia tidak menanyakan apa-apa kepadaku. Aku masih memerlukan masa untuk menenangkan fikiranku.

Kasihankan Archie yang asyik merenung kepadaku, aku menoleh ke arahnya. Wajah comel itu mengukir senyum. Senyuman itu kubalas.

“ Archie… datang dengan siapa tadi?”

“ Dengan mama,” balasnya petah.

“ Ma… mama?”

Dengan Adora? Kenapa Adora membawa Archie ke sini tanpa menemui aku terlebih dahulu?

“ Jadi, mama… tinggalkan Archie di sini?”

Janggal pula aku rasakan, membahasakan Adora sebagai mama kepada kanak-kanak itu.

Archie mengangguk. “ Mama kata nak bawa Archie jumpa papa.”

Aku memejamkan mata, pening memikirkan tindakan Adora.

“ Mama tinggalkan Archie di sini dan… lepas tu mama ke mana?”

Archie menggeleng pula. “ Tak tahu. Mama tak cakap.”

Aku mengeluh berat. Permainan apakah ini? Selepas hampir enam tahun Adora meninggalkan aku tanpa khabar berita, tiba-tiba sahaja dia membawa anak kami menemuiku? Bukanlah maksudnya aku tidak mahu bertemu dengan Archie, anak kandungku, tapi aku tidak dapat mengagak apakah yang sedang isteriku itu fikirkan. Segalanya masih menjadi teka-teki.

“ Jangan marah mama, papa,” kata Archie dengan wajah sedih.

“ Papa tak marah mama.” Aku tidak mahu Archie tersalah anggap. “ Cuma papa pelik, kenapa mama tak nak jumpa papa dan tinggalkan Archie di sini.”

“ Sebab mama tak nak susahkan papa, Archie tahu,” balas Archie. Wajah comel itu masih bersedih.

“ Susahkan papa?” soalku bingung.

“ Mama kata, orang sakit macam mama tak patut ada dengan papa.”

Kata-kata Archie membuatkan aku terkejut. Sakit? Adora sakit?

“ Mama… sakit apa?”

Archie menggeleng. “ Archie tak tahu. Mama tak pernah cakap. Papa, jangan beritahu mama yang Archie beritahu papa pasal sakit mama. Nanti tentu mama marah Archie.”

Melihatkan anak kecil itu membuatkan hatiku tidak tenang, apatah lagi apabila mendengar apa yang Archie katakan. Adakah benar Adora sakit? Sakit apakah wanita kesayanganku itu?

“ Boleh papa tanya, Archie umur berapa?”

“ Lima tahun.”

Ya. Mungkin Adora dah hamil masa dia meninggalkan aku dahulu. Tapi mustahil Adora pergi dengan berita itu sudah diketahui olehnya. Aku hanya mampu menduga Adora tidak tahu dirinya sudah hamil ketika dia mula melangkah pergi dari hidupku tanpa sebarang jejak ditinggalkan olehnya.

Berdasarkan percakapan Archie, aku melihat anak lelakiku itu lebih matang dan petah berkata-kata berbanding usianya. Bagaimanakah Adora membesarkan anak kami ini? Adakah dia berseorangan? Atau Adora sudah punya teman pengganti untuk menggantikan tempatku?

“ Archie?” aku memanggil dengan nada lembut. Wajah itu kulihat.

“ Ya, papa,” sahut Archie.

“ Nak makan malam dengan papa?”

Aku melihat segaris senyuman menghiasi wajah comel itu.

JUNE 2007: BLUEMOORE BEACH

ANGIN pantai menyapa lembut wajahku. Aku melihat pada matahari yang sedang melabuhkan tirainya di ufuk barat. Bulan akan tiba untuk menggantikan matahari selepas ini. Aku membongkok dan melalukan kedua-dua tanganku pada air laut. Tapak tanganku dibuka, jari-jemariku dirapatkan. Aku cuba mengaup air laut itu menggunakan tapak tanganku lalu aku kembali berdiri. Mataku melihat kepada aliran air yang turun daripada celah-celah jari-jemariku bersatu dengan laut di bawah. Bibirku menarik senyum nipis.

“ Tuan Helios.”

Aku tidak menoleh ke belakang. Romario sedang berdiri di belakangku, di atas darat. Kini aku sedang berdiri di dalam laut, beberapa langkah daripada pasir pantai yang tidak basah. Alunan ombak membawa air laut melalui kedua-dua kakiku.

“ Tuan,” panggil Romario lagi.

“ Sekejap, Romario,” kataku. Mataku masih tidak lari daripada kedua-dua tapak tanganku. “ Sekejap.”

Ketika berjalan di pantai tadi, tiba-tiba sahaja aku teringin untuk berada di dalam laut. Lantas aku melipat lengan kemeja T putih dan seluar jean putih yang kupakai. Tidak pula aku perasan Romario sudah berada di belakangku. Tahu sahaja dia mencari aku sekiranya aku menghilang secara tiba-tiba.

Aku menoleh ke sebelah kanan. Mataku terpaku pada seorang gadis yang sedang berdiri menghadap ufuk yang kelihatan di sempadan lautan. Gadis itu memegang kedua-dua tangannya dan diletakkan pada paras dada. Kepalanya menunduk sahaja ke bawah. Kelihatannya seperti gadis itu sedang mendoakan sesuatu.

Rambut panjang perang keemasan gadis itu terbang mengikut angin. Topi berhias bunga mawar melindungi kepala gadis itu. Gaun longgar berwarna putih paras lutut tersarung pada tubuhnya. Aku memerhatikan gadis itu kehairanan. Apakah yang sedang gadis itu lakukan seorang diri di pantai pada waktu begini? Seorang diri pula tu.

Tiba-tiba sahaja angin menderu kuat. Aku melihat topi itu terbang dibawa angin ke arah laut. Gadis itu berlari masuk ke dalam laut, berlari untuk mendapatkan topinya yang terbang itu. Aku tersentak apabila melihat gadis itu terjatuh ke dalam air laut selepas masuk ke kawasan yang agak dalam.

“ Tuan!”

Aku tidak mempedulikan panggilan Romario. Tanpa berfikir panjang aku berlari ke arah gadis itu. Ketinggianku menyebabkan kawasan di mana gadis itu terjatuh tidak memberi kesan kepadaku. Air laut berada di paras pinggangku. Tubuh gadis itu kuangkat, topi miliknya yang sudah terapung di atas air kucapai.

“ Cik? Cik tak apa-apa?” aku bertanya cemas.

Gadis itu menggelengkan kepalanya. Dia terbatuk-batuk, mengeluarkan air masin daripada mulut dan hidungnya. Nampaknya gadis itu terjatuh kerana kakinya tiba-tiba sahaja menjejak pasir yang menjurus ke dalam.

Tanpa berkata apa-apa aku membawa gadis itu ke gigi pantai. Romario menghampiri kami dengan sehelai tuala, tuala yang dia sediakan untuk aku pada mulanya. Tuala itu dihulurkan kepada gadis itu.

“ Terima kasih, encik. Encik tak apa-apa?” ucap gadis itu perlahan, mengangkat wajahnya untuk melihat kepadaku. Pandangan kami bertaut.

Sepasang mata bundar berwarna biru langit melihat kepada mataku yang berwarna coklat. Pandangan daripada gadis itu seakan-akan menembusi jauh ke sudut paling dalam hatiku. Aku terpegun pada saat itu. Lidahku kelu buat seketika.

“ Saya… tak apa-apa. Saya okey… Cik?” Aku tergagap.

“ Saya okey. Maaf, susahkan encik,” balas gadis itu. Senyumannya terukir.

“ Oh… oh ya!” Aku menghulurkan topi milik gadis itu yang berjaya kucapai tadi. “ Nah, topi cik. Cik berlari nak dapatkan topi ini kan?”

“ Ya,” ucapnya pendek. Topi itu diambil. “ Terima kasih banyak-banyak, encik…”

“ Helios. Helios Adams.”

Gadis itu tersenyum lagi. “ Nama saya Adora. Adora Valentine.”

Adora Valentine.

MAC 2015: EDEN CONDOMINIUM, OROVA CITY

SELEPAS membawa Archie makan malam dan membeli sedikit barang keperluan untuknya, aku membawa Archie pulang ke kediamanku. Archie kelihatan seronok apabila aku membawa dia membeli beberapa helai pakaian dan keperluan seperti berus gigi kanak-kanak dan tuala untuknya. Selepas membeli-belah barulah aku membawanya ke sebuah restoran untuk makan malam. Kami tidak banyak berbual. Aku memerhatikan sahaja anak kecil itu menikmati makan malamnya.

“ Ada katil di bilik tetamu, tapi…” Aku melihat kepada Archie. Dia diam sahaja sebaik sahaja kami masuk ke dalam unit kondominium milikku. “ Kenapa, Archie?” soalku, risau jika ada sesuatu tidak kena.

“ Mama tak ada…” katanya perlahan. Anak kecil itu sedang menahan diri daripada menangis.

Aku duduk lalu memegang kedua-dua bahu Archie. “ Archie, mama tak ada sekarang tapi papa ada. Archie nak tidur dengan papa?”

Archie mengangguk. Dia meluru untuk memelukku. Akhirnya Archie menangis juga.

Aku mengeluh dalam hati. Kepala itu kugosok perlahan. Sejak pertemuan kami tadi, Archie kelihatan gembira kerana dapat bertemu denganku. Tetapi nampaknya dia menangisi pemergian Adora yang pergi meninggalkan dirinya untukku.

Aku tidak dapat menahan diri daripada marah terhadap Adora. Menyembunyikan kewujudan anak kami sudah satu hal, meninggalkan Archie secara tiba-tiba kepadaku pula adalah perkara yang lain. Apalah yang sedang Adora fikirkan, aku tidak dapat meneka. Tetapi apabila mendengar Archie memberitahu Adora sakit, aku tidak sedap hati. Adakah sakit isteriku teruk sehingga dia terpaksa membawa Archie yang disembunyikan buat sekian lama kepadaku?

“ Archie mandi dahulu, lepas tu kita tidur sama-sama ya?” Aku meleraikan pelukan kami, wajah yang sembap dengan air mata itu kulihat. “ Archie kan tak pernah tidur dengan papa?”

Archie mengangguk tanpa membalas kata-kataku. Aku membawa Archie masuk ke dalam bilik tidurku. Selepas menunjukkan kamar mandi yang berada dalam bilik tidur itu, aku membawa beg-beg kertas yang mengandungi barang Archie ke dalam bilik. Sepasang pakaian tidur aku keluarkan. Beg sandang berupa kumbang berwarna merah milik Archie kulihat. Beg ini dibawa Archie sejak pertemuan kami tadi lagi.

Beg merah itu kucapai lalu zipnya kubuka. Aku cuba mencari petunjuk yang mungkin Adora tinggalkan untukku. Hanya terdapat sehelai tuala muka, sepaket biskut dan sebotol air mineral kecil sahaja di dalam. Aku perasan ada sesuatu pada bahagian dasar beg tersebut. Sekeping kad kecil aku keluarkan daripada beg itu. Tulisan Adora yang amat aku kenali tertera pada permukaan kad tersebut.

Tolong jaga Archie. Bahagiakan dia.

Adora.

Kad itu kutenung lama. Hanya beberapa patah perkataan sahaja Adora titipkan untukku. Tidak langsung bertanya khabar aku yang selama ini ditinggalkan tanpa khabar berita olehnya. Tidak mahu tenggelam dalam amarahku, aku segera menyimpan kad itu dalam laci kabinet kecil di sebelah katil.

Tidak mengapa, aku menyabarkan hati. Esok, Romario akan membawa berita baharu kepadaku.

“ Papa.”

Panggilan daripada Archie menarik perhatianku. Dia sedang berdiri di hadapan pintu bilik mandi dengan sehelai tuala bercorak kartun kenderaan membaluti tubuhnya. Aku segera menghampiri Archie. Tubuhnya yang masih basah aku keringkan dengan sehelai tuala baharu.

“ Archie tak kencing malam kan?” tanyaku dengan nada mengusik.

“ Archie dah besarlah, papa. Dah tak payah pakai lampin sebab kencing malam,” balasnya petah.

Aku ketawa lucu mendengarkan balasannya itu. Selepas mengeringkan tubuhnya, aku membantu Archie untuk memakai pajama yang aku beli tadi.

“ Archie tidur dulu,” kataku selepas membaringkan dia di atas katil. “ Papa nak mandi sekejap.”

“ Baiklah, papa,” ucapnya. “ Selamat malam.”

Aku tersenyum. “ Selamat malam.” Dahi Archie aku cium lama, memikirkan masa yang terbazir kerana aku tidak dapat bersama-samanya sejak Archie lahir lagi.

Tubuh kecil itu aku selimut hingga paras bawah dagu. Suhu pendingin hawa aku naikkan sedikit, tidak mahu Archie kesejukan. Lampu bilik aku padamkan selepas membuka lampu tidur di sisi katil. Selepas memastikan Archie selesa di atas katil barulah aku masuk ke dalam bilik air untuk membersihkan diriku.

Air daripada pancuran membasahi seluruh tubuhku. Di bawah pancuran air itu, aku melihat kepada tapak tanganku. Api berwarna jingga aku keluarkan daripada tapak tangan itu. Walaupun dilimpahi dengan air tetapi api itu tidak terpadam. Warna jingga api itu kurenung lama.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience