Chapter 2

Romance Completed 8046

BAB 2

JUNE 2007: BLUEMOORE BEACH

PAPAN tanda tertulis Valentine’s Bakery terpapar jelas di hadapan. Aku tersenyum sahaja melihatkan bakeri yang berupa kotej itu. Bau harum roti dan pastri membuatkan aku tidak sabar-sabar lagi untuk masuk ke dalam. Pintu bakeri itu kubuka.

“ Adora.”

Adora yang sedang menyusun roti di atas para menoleh ke arahku. Senyuman pada wajah itu terukir.

“ Selamat datang, Helios.”

Senyuman manis itu kubalas.

Selepas peristiwa di tepi pantai itu, aku mula berkenalan dengan Adora. Adora tinggal di kawasan pantai ini. Bakeri miliknya itu diwarisi daripada bapanya yang merupakan pembuat roti dan pastri terkenal di kawasan Bluemoore Beach. Semenjak kedua-dua ibu bapanya meninggal dunia dalam sebuah kemalangan jalan raya, Adora mengambil alih perniagaan keluarganya ini. Sejak itu, dia mengusahakan bakeri ini seorang dirinya.

“ Saya baru keluarkan pai strawberi daripada ketuhar. Awak mahu cuba?” Adora bertanya kepadaku yang sudah duduk di sebuah meja kayu bulat yang berada di suatu sudut bakeri itu.

“ Baiklah. Terima kasih,” ucapku.

“ Tunggu sekejap ya?” kata Adora sebelum menghilang ke dapur bakeri itu.

Aku melihat kepada segenap ruang bakeri ini. Sudah tidak banyak roti, kek dan pastri yang tinggal di ruang pameran dan para. Pastinya sudah banyak habis dijual kepada penduduk setempat dan pengunjung pantai. Menurut Adora, sebelum tengah hari lagi jualannya pada hari itu akan habis.

Ini adalah kali ketiga aku ke sini. Pertama kali aku datang ke bakeri ini adalah kerana Adora bersungguh-sungguh mahu aku ke sini. Katanya dia tidak tahu bagaimana untuk berterima kasih kepadaku. Ketika aku mengatakan aku penggemar manisan, terus dia mengatakan mahu membuatkan sesuatu untukku. Pada hari itu, dia membuatkan tart epal untukku.

“ Selamat mencuba. Saya ubah sedikit resipinya,” kata Adora.

Sekeping pai strawberi dan segelas teh jasmin sejuk dia bawa keluar dari dapur. Adora mengambil tempat duduk berhadapan denganku. Aku mencapai garfu yang sudah disediakan oleh Adora.

“ Awak nak buat resipi baru ke?” tanyaku. Aku menghiris sedikit pai tersebut lalu aku suap ke dalam mulut. Keningku terangkat. “ Sedap. Pastri untuk pai ni tak terlalu lembut atau keras. Inti pai pun sedap. Rasa buah strawberi segar dan krimnya. Cuma, kalau saya, saya akan tambah gula lagilah.”

Adora ketawa, wajahnya kelihatan semakin berseri-seri setiap kali dia ketawa seperti itu. “ Itu awak. Lidah awak tu, saya tak tahulah sampai mana tahap manis yang awak nak. Kalau saya jual pai ini ikut rasa lidah awak, kesian kat orang lain boleh kena kencing manis.”

Benar apa yang dikatakan oleh Adora. Aku memang penggemar manisan dan tidak kisah tahap kemanisan makanan yang aku makan. Jika aku membeli kopi, aku akan memasukkan tiga hingga empat kiub gula ke dalamnya kerana tidak gemar dengan rasa pahit kopi tersebut.

Tujuan asal aku ke Bluemoore Beach adalah untuk menenangkan fikiran. Masalah di pejabat dan tekanan daripada bapaku agar aku segera mengambil alih kedudukannya dalam syarikat membuatkan aku tertekan. Aku tidak kisah jika tidak memegang tampuk tertinggi syarikat bapaku itu dan menyerahkannya kepada orang lain. Aku hanya mahu hidup tanpa kongkongan daripada sesiapa.

“ Ada pintu yang menghubungkan rumah awak dan bakeri ini kan?” Aku menghirup teh yang masih sejuk itu selepas menghabiskan pai strawberi buatan Adora.

Adora mengangguk, rambut bahagian hadapan kepalanya yang menutupi dahi diselit ke belakang telinga. “ Memang asalnya bakeri dan rumah saya adalah sebuah kotej. Tapi ayah mahu ada privasi antara kediaman kami dan bakeri ini jadi ayah bina dinding untuk memisahkan dua ruang ini.”

“ Pintu itu kukuhkah? Bagaimana kalau ada orang pecah masuk bakeri ini dan pergi ke rumah awak juga?” tanyaku kerisauan.

“ Jangan bimbang,” balas Adora. “ Saya akan pastikan ada kerusi dan kabinet kecil hadang pintu itu sebelum saya masuk tidur. Yalah, saya tinggal seorang sahaja sekarang. Memang perlu ambil semua langkah keselamatan yang diperlukan.”

“ Pernah berlaku kes kecurian di kawasan ni?”

“ Pernah. Tapi tak kerap.”

Selepas berbual-bual hingga hampir dua jam, aku meninggalkan bakeri itu. Adora mengatakan dia akan membuat resipi yang baharu untuk aku cuba lain kali. Aku memberitahunya aku akan singgah kembali dalam masa yang terdekat. Perjalanan dari Ovora City di mana tempatku tinggal ke Bluemoore Beach mengambil masa hampir satu jam setengah tetapi itu tidak menjadi penghalangku untuk selalu ke sini.

Aku baru sahaja masuk ke dalam kereta yang aku parkir tidak jauh dari bakeri Adora ketika aku ternampak seorang lelaki sedang memerhatikan bakeri itu dengan lagak yang mencurigakan. Dahiku berkerut. Melihatkan lelaki itu membuatkan aku tidak sedap hati.

MAC 2015: EDEN CONDOMINIUM, OROVA CITY

KEBIASAANNYA aku akan menjamah sekeping roti bakar sahaja sebelum bergerak ke pejabat. Tetapi memandangkan bermula hari ini ada seorang kanak-kanak akan tinggal bersama-samaku, aku bangun lebih awal untuk menyediakan sarapan untuk Archie dan diriku. Empat biji telur mata, beberapa biji sosej gemuk dan empat keping roti bakar aku sediakan sebagai sarapan kami berdua. Sudah lama aku tidak bersarapan begini kerana aku selalu bangun lewat gara-gara bekerja hingga lewat malam.

Selepas sarapan siap kuhidangkan, aku masuk ke dalam bilik untuk mengejutkan Archie. Aku mengeluh lalu tersengih apabila melihat aksinya yang tidur di atas katil. Seperti sedang berenang sahaja gaya anak kecil itu.

Melihatkan Archie yang sedang lena tidur di atas katil yang hanya menjadi tempatku tidur seorang diri selepas Adora pergi dahulu mendatangkan suatu perasaan yang tidak dapat aku tafsirkan. Selama enam tahun ini, hanya aku seorang sahaja yang menghuni katil dan seluruh unit kondominium ini.

“ Archie, bangun sarapan. Papa kena pergi kerja pula lepas ni,” kataku perlahan. Bahu Archie aku gosok.

“ Papa…?”

Mata Archie masih berat untuk dibuka sepenuhnya. Dirinya masih mamai lagi. Aku mendukung Archie dan kubawa ke sinki dapur. Wajah Archie aku basahi dengan air. Selepas itu barulah kami duduk di kaunter dapur berbentuk bar yang menjadi meja makan kami.

“ Papa tak tahu nak buat apa untuk Archie. Archie makan tak sarapan macam ni?” tanyaku gusar.

Aku hanya melihat sarapan untuk kanak-kanak dalam drama di televisyen atau komik yang kubaca. Tapi rasanya kebanyakan orang tidak mengira umur akan makan sarapan seperti yang aku sediakan. Archie melihat kepadaku, senyuman miliknya muncul lagi. Aku tersengih kerana menyedari aku risaukan perkara yang tidak sepatutnya.

“ Archie makan dulu, papa nak ambil susu.”

Aku bergerak ke peti sejuk. Karton berisi susu lembu aku keluarkan. Dua biji gelas kucapai. Selepas menuangkan susu ke dalam kedua-dua gelas tersebut, aku kembali duduk di sebelah Archie. Dia sedang membalut telur mata itu dengan sosej. Melihatkan seleranya membuatkan aku kelaparan. Roti bakar yang masih belum disentuh Archie aku ambil untuk disapukan mentega dan jem strawberi.

“ Sebelum ni, Archie dan mama tinggal di mana?” tanyaku selepas mengunyah roti bakar. Mungkin dengan kehadiran Archie di sini dapat membantu pencarianku.

“ Di Meadowbay Village,” balas Archie. Mulutnya comot dengan susu. “ Cantik kampung tu, papa. Papa mesti pergi sana.”

“ Meadowbay Village?”

Aku tidak pernah mendengar nama kampung itu. Tak mengapalah. Aku akan memberitahu Romario selepas ini. Romario masih menyiasat keberadaan Adora. Masih tiada khabar baru untukku.

“ Pasal nyalaan api Archie tu…” Aku teringat akan kebolehan Archie untuk mengeluarkan api. “ Mama ada beritahu apa-apa tak?”

“ Mama kata Archie istimewa.” Archie senyum lebar. “ Macam papa.”

Aku terdiam. Tidak menyangka Adora memberitahu perkara itu kepada anak kami. Ya. Adora menganggapku istimewa, bukannya makhluk pelik seperti mana manusia lain melihatku kerana kebolehanku ini. Bagi Adora, warna jingga api itu cantik pada matanya.

“ Apa lagi yang mama beritahu?”

“ Mama kata papa ada api macam Archie. Nasib baik! Archie ingat Archie seorang aje yang pelik.”

“ Pelik? Kenapa pula?” tanyaku hairan. Bukankah tadi Archie sebut istimewa?

“ Sebab…” Wajah itu berubah muram tiba-tiba. “ Kawan Archie kata Archie pelik, bahaya sebab boleh keluarkan api. Archie tak cederakan mereka, betul papa! Mama kata tak baik kalau Archie guna api ni untuk main-mainkan mereka.”

Aku mengeluh, pastinya Archie sedang merasakan apa yang pernah kualami ketika zaman kanak-kanakku. Mataku singgah pada pinggan Archie yang sudah licin, tidak menyedari anak kecil itu sudah menghabiskan sarapannya. Jam pada dinding kulihat pula. Masih ada banyak masa sebelum aku perlu bergerak ke pejabat.

“ Archie tahu nama nyalaan api tu?”

Archie mengangguk. “ Heaven Flame, kan? Mama kata Archie boleh gunakan api ni untuk selamatkan orang aje. Jangan keluarkan sesuka hati. Mama kata papa pun buat macam tu.”

Aku menarik senyum. Kepala Archie aku gosok perlahan. “ Ya. Sebab mama fikir macam itulah, papa rasa papa bertuah ada Heaven Flame ni.”

Ingatan lalu singgah ke mindaku. Begitu juga senyuman manis yang selalu terukir pada wajah Adora.

JUNE 2007: BLUEMOORE BEACH

AKU menerjah masuk ke dalam bakeri Adora. Melihatkan bakeri itu bersepah membuatkan aku yakin ada sesuatu yang tidak enak telah berlaku. Tanpa berlengah lagi aku berlari ke pintu yang menghubungkan bakeri itu dengan kotej Adora. Adora telah menunjukkan kepadaku pintu itu sebelum ini. Pintu itu sudah terbuka luas. Larianku membawaku masuk ke dalam kotej Adora.

“ Tolong!”

“ Argh!”

Jeritan Adora yang diselang-seli dengan jeritan amarah seorang lelaki membuatkan aku kaget. Kedengarannya jeritan itu berpunca dari ruang tamu. Saat aku tiba di situ, aku melihat Adora sedang melawan seorang lelaki yang ingin mencekik dirinya. Lelaki itu berpakaian serba hitam dan menutup wajahnya dengan topeng putih. Aku melompat ke arah lelaki itu, menendang tubuh gempalnya. Lelaki itu terjatuh di atas lantai.

“ Adora!”

Aku segera mendapatkan Adora yang kelihatan bersusah-payah untuk bangun. Rambut Adora berserabut, ada kesan luka pada wajah dan tubuhnya. Adora mencapai untuk memegang lenganku, tangannya terasa menggigil pada permukaan kulitku. Cahaya pada sepasang mata itu pudar, tidak berseri seperti kebiasaan.

“ He… Helios…”

“ Jangan risau,” kataku cuba menenangkan perasaan Adora. Melihatkan pada raut wajah dan luka-luka pada tubuhnya aku tahu malam ini sudah menjadi malam yang buruk untuk Adora. Tangan kananku menutup matanya. “ Saya akan tolong awak. Jangan fikir apa-apa.”

Heaven Flame yang keluar daripada tangan kananku membantu Adora untuk menenangkan perasaannya buat seketika. Mata Adora tertutup, tubuhnya terkulai pada tubuhku. Aku membaringkan Adora di atas lantai. Perhatianku kembali kepada lelaki itu yang sudah berdiri. Daripada matanya aku tahu lelaki itu terkejut dan bengang dengan kemunculan diriku secara mengejut ini.

“ Apa yang kau dah buat pada Adora?” Aku bertanya dengan nada rendah. Tanganku mengeletar menahan diri daripada menumbuk muka lelaki itu.

Lelaki itu tidak menjawab soalanku sebaliknya dia bertindak untuk menyerangku. Dia mengeluarkan pisau kecil daripada jaket hitamnya. Aku perlu bertindak dengan bijak. Aku perlu menyerangnya terlebih dahulu sebelum peluang terbuka untuk dia menyerangku.

“ Argh!”

Aku menerkam tubuh lelaki itu dan memegang mukanya dengan tangan kananku. Heaven Flame aku nyalakan lagi tetapi kali ini bukan dengan tujuan untuk menenangkan lelaki itu, tetapi untuk dia merasai kesakitan. Jeritan lelaki itu tidak aku pedulikan. Pergerakan lelaki itu aku kunci untuk memastikan dia tidak terlepas daripada peganganku.

Sedar bahawa aku tidak boleh terus bertindak sebegitu, aku menendang perut lelaki itu. Dengan wajah merah lelaki itu jatuh terlentang di atas lantai. Lelaki itu pengsan tidak sedarkan diri. Topeng putih lelaki itu aku rentap, mendedahkan wajah lelaki yang kulihat berada di luar bakeri siang tadi.

“ Helios…?”

Aku tersentak mendengar panggilan itu. Adora sedang duduk bertongkat menggunakan sebelah lengannya. Aku tidak menyedari kesan penenang Heaven Flame itu sudah hilang. Aku segera mendekati Adora yang kelihatan bingung.

“ Adora? Awak tak apa-apa?”

Adora menggeleng perlahan. “ Macam mana awak…”

Aku menggeleng, meminta dia menutup mulut. “ Saya rawat awak dahulu, baru kita cakap pasal ini ya?”

Aku menelefon Romario untuk datang menguruskan lelaki yang sudah aku ikat itu. Aku tidak membawa Adora ke hospital, sebaliknya kami ke vila yang menjadi kediamanku di pantai ini. Doktor daripada hospital yang terdekat aku panggil untuk merawat Adora di sana. Adora tidak membantah, mungkin apa yang berlaku masih mengejutkan dirinya.

Selepas jururawat selesai membalut luka Adora, aku dan doktor itu masuk kembali ke dalam bilik yang menempatkan Adora. Dia sudah kelihatan tenang berbanding tadi. Aku mengucapkan terima kasih kepada doktor dan jururawat itu sebelum ditinggalkan berdua di dalam bilik bersama-sama Adora. Adora duduk bersandar di kepala katil manakala aku menarik kerusi untuk duduk di sebelah katil itu.

“ Awak tentu… terkejut kan? Apa yang berlaku tadi?”

Teragak-agak aku melihat wajah manis itu. Walaupun Adora kelihatan tidak bermaya tetapi seri pada wajahnya tidak pudar. Pertanyaan aku disambut dengan gelengan.

“ Terima kasih selamatkan saya,” balas Adora perlahan. “ Tapi, macam mana awak boleh ada di sini?”

“ Sebenarnya… saya perasan ada lelaki perhatikan bakeri awak sebelum saya balik tadi. Lelaki tu nampak mencurigakan jadi saya fikir nak periksa keadaan awak. Tak sangka, lelaki tu dah bertindak.”

“ Saya dah nak tidur tadi. Tak sangka…” Adora terdiam. Dia menutup mulut.

“ Tak apa. Jangan fikirkan lagi hal itu. Lelaki itu dah ditangkap. Esok, kita perlu ke balai untuk beri keterangan. Awak tidurlah. Saya ada di bilik sebelah kalau awak perlukan apa-apa.”

“ Awak… api apa yang keluar daripada tangan kanan awak tadi?”

Pertanyaan Adora membuatkan aku tersentak. Adakah dia ternampak Heaven Flame yang aku gunakan untuk menenangkan dirinya tadi? Tapi matanya sudah ditutup, bagaimana pula… Atau Adora nampak ketika aku melawan lelaki tadi?

“ Awak… nampak?”

Adora mengangguk. “ Betul… kan? Ada api?”

Aku mengeluh lalu aku mengangguk perlahan. Boleh sahaja aku menafikan kenyataan Adora dengan alasan dia tidak stabil tadi tapi entah mengapa aku tidak sampai hati untuk membohongi gadis itu. Senyuman Adora membuatkan aku kaget.

“ Awak salah seorang The Chosen Ones, kan?”

“ Awak tahu?”

Adora mengangguk lagi. “ Semua orang tahu. Cuma sebab mereka tak tunjukkan kebolehan mereka di tempat umum jadi ramai anggap kisah itu legenda semata-mata.”

The Chosen Ones. Panggilan itu bukanlah bermaksud apa-apa, cumalah manusia yang terpilih untuk mempunyai kebolehan yang tidak ada pada manusia biasa. Mengikut lagenda yang diturunkan di negara ini, The Chosen Ones lahir untuk melindungi negara ini pada suatu masa dahulu. Tetapi apabila zaman moden menggantikan zaman dahulu, kewujudan mereka tidak dipercayai dan jika ada manusia biasa menemui mereka, mereka akan dianggap sebagai… raksasa. Ditakuti oleh orang ramai. Disebabkan itulah aku dan The Chosen Ones yang lain tidak menggunakan kuasa mereka. Kami tidak mahu dipinggirkan oleh masyarakat.

“ Awak tak takut? Tak anggap saya ni… pelik?”

Kalau boleh, aku mahu kembali kepada masa tadi. Aku sepatutnya membawa Adora ke tempat yang lain, bukannya menggunakan Heaven Flame aku di situ. Aku tidak bersedia untuk mendengar jawapan gadis itu. Sudah banyak kali aku dikecewakan oleh kawan-kawanku yang meninggalkan aku dan menganggap aku pelik apabila mereka tahu mengenai kebolehanku. Hanya beberapa orang sahaja yang kekal di sisiku.

Aku tak mahu kehilangan Adora.

“ Tak.”

Jawapan Adora membuatkan aku mempersoalkan pendengaranku. Aku melihat kepadanya dengan wajah tidak percaya. Ada senyuman manis diukir untukku pada wajah itu.

“ Mempunyai kuasa tidak bermaksud awak bukan manusia. Awak tetap seorang mnusia, Helios. Lagi pun, awak gunakan kebolehan awak untuk selamatkan saya, kan?”

Aku tersenyum, keraguan dalam hatiku hilang. Tangan kanan kuangkat, Heaven Flame aku nyalakan. Mata Adora kelihatan bercahaya apabila melihat nyalaan api jingga itu. Senyumannya dikuntum lagi.

“ Cantiknya. Awak seorang yang istimewa, Helios.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience