Chapter 4

Romance Completed 8046

BAB 4

SEPTEMBER 2008: AURORA HOTEL, OROVA CITY

BUNYI alunan muzik daripada piano dan violin menenangkan perasaanku yang sedang bergemuruh. Aku rasakan apa sahaja yang aku lakukan kini serba tidak kena. Keindahan hiasan Lucia Ballroom di hotel ini sedikit pun tidak mampu menghalau perasaan gemuruhku ini.

Aku melihat kepada satu persatu wajah yang berada di dalam Lucia Ballroom. Semuanya kelihatan gembira dengan senyuman tertampal pada wajah mereka walaupun aku tahu tidak semua senyuman itu diukir dengan ikhlas. Barang kali ada yang rasa terpaksa kerana perlu berbual dengan orang yang duduk di sebelah mereka untuk menghormati orang itu. Aku hanya mampu tersengih sahaja.

“ Saat yang kita nanti-nantikan sudah pun tiba. Saya yakin, bukan kita sahaja yang menunggu saat ini tetapi pengantin lelakilah yang paling tidak sabar-sabar!” Suara Maxwell, pengacara majlis kedengaran.

Aku tersenyum cemas apabila mendengar ketawa daripada tetamu yang hadir. Mataku dilarikan ke arah sebuah pintu yang terletak di dalam Lucia Ballroom. Kedua-dua tanganku digenggam kemas, aku menarik dan menghembus nafas berulang kali dalam cubaanku untuk bertenang.

“ Pengantin perempuan akan muncul tidak lama lagi untuk mempersembahkan kek perkahwinan yang dibuat sendiri olehnya. Berdebar pula saya rasa,” Maxwell ketawa. “ Tertanya-tanya, apakah bentuk kek yang akan pengantin perempuan persembahkan untuk suaminya?”

Pintu yang menjadi tumpuanku tadi dibuka oleh dua orang gadis yang memakai gaun berwarna biru yang sama. Sebuah meja bulat beroda ditolak untuk memasuki Lucia Ballroom oleh seorang pengapit lelaki. Adora muncul dari belakang pengapit lelaki itu dengan senyuman yang menawan. Tanpa sedar aku turut tersenyum kepadanya.

Perhatian orang di dalam dewan itu beralih kepada kek yang berada di atas meja beroda itu. Sebuah kek satu tingkat berbentuk bulat terletak elok di tengah-tengah meja beroda tersebut. Warna biru dan putih menghiasi sebahagian besar kek itu dengan sedikit elemen berwarna jingga. Kelihatannya seperti sebuah pantai di kala matahari terbenam. Ada dua biji patung lelaki dan perempuan dengan gaya berjalan di tepi pantai sambil berpegangan tangan.

Kala itu aku sedar, Adora membuat kek ini dengan ingatan akan tempat pertama pertemuan kami.

Adora berjalan mendekati aku yang masih duduk di meja pengantin. Dengan senyuman yang tidak lekang daripada bibirnya, dia mengambil kedua-dua tanganku tanpa berkata apa-apa. Aku dan Adora berjalan ke arah meja kek itu.

“ Betul awak yang buat ni?” tanyaku seakan-akan tidak percaya dengan apa yang sedang kulihat.

Adora ketawa perlahan, cukup perlahan di telingaku. “ Sekarang awak dah percaya?”

Aku tersengih. Pisau kek yang dihulurkan pengapit lelaki tadi kuambil. Kedua-dua tanganku dan tangan Adora memegang pisau itu, bersedia untuk sesi memotong kek. Aku tidak tahu berapa banyak kamera sedang dihalakan kepada kami berdua.

“ Rasanya, pengantin lelaki boleh suapkan isterinya dengan kek istimewa itu.” Kata-kata Maxwell mendapat sambutan daripada para tetamu.

Aku dan Adora bertukar senyuman malu. Niatku untuk menyuap Adora dengan tanganku tidak kesampaian kerana aku masih memakai sarung tangan berwarna putih. Sudu kek menjadi pilihan. Adora menanti aku untuk menyuapnya dengan senyuman. Aku ketawa, tidak percaya aku akan melakukan perbuatan seperti ini di hadapan khalayak ramai.

“ Wah!”

Para tetamu mula bertepuk tangan selepas aku menyuap kek kepada Adora. Adora mengambil sudu daripada tanganku. Dia turut menyuap kek itu kepadaku. Semakin galak tepukan daripada orang ramai, tidak kurang juga sorakan daripada kawan-kawanku.

“ Sedap,” aku berbisik di telinga Adora.

“ Hari-hari saya akan buatkan kek macam ini kalau awak nak,” balas Adora.

Majlis bagi menyambut perkahwinan kami selesai sebelum angka mencecah 12 tengah malam. Aku dan Adora kembali ke bilik hotel yang ditempah khas untuk kami berdua. Bapaku, Auntie Rita dah saudara-mara yang lain juga akan bermalam semalaman di hotel ini.

Usai membersihkan diri, aku tercengang melihat Adora tercegat sahaja berdiri di luar kamar mandi, dia memegang sesuatu di belakangnya,. Wajahnya tidak putus-putus dengan senyuman.

“ Kenapa ni?” Aku ketawa.

“ Nak bagi awak hadiah,” balas Adora.

“ Hadiah?”

Adora mengangguk. Akhirnya dia menunjukkan juga apa yang dia sorokkan tadi. Sebuah kotak kecil berada di tapak tangannya. Aku ambil kotak itu. Penutup kotak itu aku buka. Seutas jam tangan berada di dalam kotak kecil tersebut berserta satu hiasan kecil berbentuk hati tergantung di sebelah jam tangan itu.

“ Jam? Untuk saya?”

Adora mengangguk lagi. “ Masa itu emas, kan? Jadi, saya fikir nak hadiahkan awak jam tangan. Hiasan hati tu saya yang tambah…” Adora tersenyum malu, “ … kalau awak segan, tanggalkan aje hati tu. Saya tak tahu nak letak hati ke, api atau kek. Kemudian…”

Adora terdiam saat aku memeluknya erat. Ternyata isteri yang baru aku kahwini itu terkejut dengan tindakanku itu. Wajah Adora yang merah menyala mengundang tawaku.

“ Terima kasih, Adora,” ucapku. “ Saya akan pakai jam tangan ni, tak kisahlah awak letak hiasan apa pun. Maaf, kek perkahwinan kita awak buat sendiri. Sekarang ni awak hadiahkan saya jam pula. Saya tak tahu nak hadiahkan awak apa.”

Adora ketawa perlahan. Bunyi tawanya membuatkan aku senang hati.

“ Awak dah janji akan sayangi saya sepenuh hati awak dan tak akan tinggalkan saya, kan? Tunaikan janji awak sebagai untuk hadiah saya. Saya pun, akan sayangkan awak dan tak akan pergi dari hidup awak.”

Aku mengangguk. Tubuh Adora aku peluk kemas, seakan-akan tidak mahu melepaskan Adora pergi walau sesaat. Aku ketawa sahaja apabila Adora menumbuk belakangku dalam cubaannya untuk melepaskan diri.

“ Terima kasih.” Aku bisikkan kata-kata itu perlahan di telinganya.

MAC 2015: MEADOWBAY VILLAGE

BEBERAPA minit sebelum jam mencecah angka 11 pagi, aku, Archie dan Romario tiba di tempat yang ditetapkan untuk bertemu dengan Olivia Dixon, Harold Gray dan Zoey Dixon. Romario menempah sebuah bilik makan VIP di hotel yang akan menjadi tempat penginapanku dan Archie. Mereka bertiga telah tiba sebelum kedatangan kami.

“ Granny Olive!”

Archie meluru ke arah Puan Dixon yang sedang duduk di meja makan. Raut wajah Archie yang kelihatan begitu gembira menunjukkan dia rapat dengan wanita tua itu. Puan Dixon memeluk Archie yang sedang ketawa.

“ Kamu… Helios?” Wanita tua itu bersuara, melihat ke arahku.

Aku mengukir senyum dan menunduk sedikit bagi memberi hormat kepada orang yang lebih tua.

“ Nama saya Helios Adams, ayah kepada Archie dan…” Aku ragu-ragu buat seketika, “ …suami Adora.”

“ Suami Adora… kah?” Seorang lelaki yang kelihatan muda sedikit daripada Puan Olivia bersuara. Lelaki itu bangun, menghulurkan tangan untuk berjabat tangan denganku. “ Nama saya Harold Gray.”

Aku menyambut tangan Encik Gray. “ Selamat berkenalan, tuan.”

“ Saya Zoey Dixon.” Lelaki muda yang duduk di sebelah Puan Dixon melihat kepadaku.

“ Selamat berkenalan.”

Kami berempat duduk di meja makan. Pelayan telah tiba untuk menghidangkan makanan. Aku mengambil Archie untuk duduk di sebelahku. Telefon bimbit aku serahkan kepadanya agar dia tidak berasa bosan. Sekurang-kurangnya dia boleh bermain permainan dalam telefonku itu.

“ Encik Adams, kan? Encik datang nak tanya pasal Adora?” Puan Dixon memulakan bicara.

“ Puan boleh panggil saya Helios sahaja. Ya, saya datang nak tanya pasal Adora.”

“ Memang benar kamu suami isteri?” Encik Gray bertanya dengan wajah pelik. “ Saya tahu Adora ada suami tapi tak sangka… kamu nampak berbeza dengan lelaki muda lain.”

Aku tersenyum sahaja. “ Benarkah Adora tinggal di rumah Profesor Minsky selama enam tahun ini? Boleh saya tahu bermula dari kedatangan Adora ke sini?”

Puan Dixon mengangguk, wajahnya menunjukkan kesedihan. “ Boleh. Saya masih ingat lagi bagaimana Adora muncul. Masa tu, suatu petang dengan hujan lebat. Saya masih di rumah Profesor Minsky masa saya tengok seorang gadis muncul dengan sebuah beg. Profesor Minsky minta saya bawa Adora ke sebuah bilik. Pada mulanya saya sangka dia anak saudara Profesor Minsky. Rupa-rupanya, dia datang dengan tujuan lain.”

“ Tujuan… lain?” Aku mengerutkan dahi.

Puan Dixon mengeluh. “ Tak sangka, gadis semuda itu menghidap penyakit yang langsung tak diketahui ubatnya. Sayalah yang menjaga dia masa dia jatuh sakit. Ketika Adora mengandungkan Archie pun, saya yang jaga dia.”

“ Puan tahu Adora sakit apa?”

Puan Dixon melihat kepada Encik Gray. Encik Gray melihat pula kepadaku.

“ Alectrona Disease,” kata Encik Gray pendek sebelum berhenti buat seketika. Lelaki itu membasahkan tekak dengan segelas air mineral sebelum menyambung bicara. “ Profesor Minsky sedang mengkaji penawar bagi penyakit itu. Khabarnya, itu penyakit zaman kuno dan amat jarang ditemui sekarang.”

“ Maknanya, Adora sedang dirawat oleh Profesor Minsky sekarang?”

Encik Gray mengangguk. “ Profesor Minsky pernah beritahu saya, dahulu beliau terpaksa hentikan kajian kerana sukar cari orang yang mempunyai penyakit ini. Kemudian, Adora muncul. Mungkin dia nak dapatkan rawatan daripada Profesor Minsky walaupun beliau masih belum jumpa penawar yang betul-betul berkesan untuk penyakit itu.”

Lidahku kelu untuk bertanya atau membalas apa yang Encik Gray beritahu. Adora sakit? Jadi benarlah apa yang Archie beritahu kepadaku sebelum ini? Apakah itu Alectrona Disease? Tak pernah aku mendengar nama penyakit itu. Amat berbahayakah? Sehingga boleh mengancam nyawakah?

“ Encik memang tak tahu Adora lari ke sini?” Zoey bersuara buat pertama kalinya.

Aku menggeleng. “ Tiba-tiba sahaja dia hilang enam tahun yang lalu. Saya cuba cari tapi… langsung tak ada petunjuk di mana dia berada. Pasal Archie…” Aku melihat kepada Archie yang sedang khusyuk bermain permainan dalam telefon bimbitku. Kepala Archie aku gosok perlahan.

“ Encik tak tahu juga Adora sedang mengandung masa itu?” Zoey bertanya lagi.

“ Tak… langsung tak. Sebab itulah bila tiba-tiba sahaja Archie muncul dan…” Aku terdiam. Wajah Archie kurenung lama. “ Saya tak sangka. Saya betul-betul tak sangka.”

“ Archie memang anak kamu, Helios,” kata Puan Dixon dengan senyuman. “ Lihatlah. Wajahnya mirip dengan wajah kamu cuba matanya… dia mewarisi mata Adora.”

“ Ya, Puan Dixon.” Aku mengetap bibir, sedih mengenangkan apakah yang Adora lalui sepanjang enam tahun ini tanpa diriku.

“ Sebenarnya, saya pernah nampak gambar kamu.”

“ Ya?” Aku terkejut dengan kenyataan daripada Puan Dixon. Aku menyangka Adora langsung tidak memberitahu sesiapa mengenai identitiku yang sebenar.

“ Dua tahun yang lalu rasanya…” kata Puan Dixon. “ Masa tu, Adora jatuh sakit. Berbanding sebelum ini, sakitnya lebih berat. Dia hanya mampu terbaring atas katil tanpa dapat buat apa-apa. Masa saya hantar makanan untuk Adora, dia minta saya ambil sesuatu dalam laci meja biliknya. Ada gambar perkahwinan kamu berdua dalam laci itu.”

“ Kemudian…?” Mataku mula terasa panas.

“ Adora peluk gambar itu dan tertidur tanpa sempat makan. Itulah kali pertama saya nampak gambar kamu berdua dan tahu, kamulah suaminya. Adora jarang bercerita pasal kamu kepada orang lain, walaupun saya selalu dengar dia bercakap pasal kisahnya dengan kamu kepada Archie.”

“ Adora… selalu mohon maaf dengan Archie sebab tak dapat bawa dia jumpa kamu,” Encik Gray mencelah. Wajahnya kelihatan sedikit muram.

“ Mereka… Profesor Minsky dan Adora… mereka berpindah ke mana?”

Encik Gray menggeleng. “ Tiada siapa yang tahu. Profesor Minsky kata Adora hanya mahu rawatan untuk benarkan dia tidak terbaring di katil sahaja. Adora tak mahu penawar yang dikaji Profesor Minsky. Katanya, dia tak mahu penyakitnya pulih sepenuhnya.”

“ Apa?” Aku terkejut. “ Kenapa… kenapa dia buat pilihan macam tu?”

“ Profesor Minsky tak beritahu kenapa. Beliau hormat sahaja keputusan Adora. Sebab itu… mungkin sebab itulah, Adora hantar Archie kepada kamu. Mungkin… dia mahu Archie berjumpa dengan bapa kandungnya sebelum masa untuk Adora…tiba.”

“ Tak mungkin… mustahil…” Aku menggelengkan kepalaku berulang kali. Tidak mahu mempercayai apa yang diberitahu oleh Encik Gray.

“ Maafkan kami, Helios. Kami tak dapat membantu,” ucap Puan Dixon perlahan.

“ Tak mengapa.” Aku mengawal perasaanku daripada terus berkecamuk. “ Saya yang patut ucapkan terima kasih kepada kamu semua. Terima kasih, sebab jaga Adora dan Archie dengan baik. Sekurang-kurangnya saya sedar, Adora selamat dan bahagia kerana kamu semua sepanjang enam tahun ini.”

“ Saya doakan kamu berdua dapat berjumpa semula,” kata Puan Dixon dengan wajah sedih. “ Saya tahu kamu berdua berpisah bukan kerana sudah tiada cinta di antara kamu, kan? Bagi Adora, dia perlu pergi sebelum kamu terluka jika dia… mati disebabkan penyakit itu. Maafkanlah dia, Helios.”

Aku menggeleng dengan wajah sugul. “ Tak ada perkara yang perlu saya maafkan, puan. Walaupun saya kesal Adora memilih untuk terus pergi tanpa memberitahu saya, tapi saya fikir…” Aku mengeluh, “ Saya faham kenapa dia buat pilihan itu.”

Nama Adora tidak henti-henti aku ucapkan dalam hatiku. Berharap jauh di sudut hatinya, Adora mampu mendengar seruanku dan memanggil aku untuk kembali kepadanya.

JANUARI 2009: EDEN CONDOMINIUM, OROVA CITY

DINGIN salji yang turun di luar seperti menggambarkan perasaanku pada saat ini. Mataku merenung kepada salji tetapi fikiran dan perasaanku terasa kosong, tidak terkesan dengan keindahan pemandangan di hadapanku. Untuk mengeluarkan sepatah perkataan pun lidahku terasa kelu. Tidak pernah aku merasa kekosongan seperti ini.

“ Abang…?”

Aku tidak berganjak daripada kedudukanku walaupun Adora memanggilku dengan suaranya yang lembut dari belakang. Adora menyentuh tangan kananku. Aku tahu wajah itu sedang dilanda kerisauan tetapi aku tidak mampu untuk melihat kepadanya, untuk membiarkan dingin perasaanku ini mencair.

Adora tidak berkata apa-apa lagi selepas itu. Dengan perlahan dia menarik aku daripada hadapan tingkap, membawa aku ke arah katil. Adora mendudukkan aku sebelum mengambil sesuatu daripada meja kecil di sebelah katil. Sebiji mug berisi koko panas Adora hulurkan kepadaku. Dia duduk di sebelahku di birai katil.

“ Abang, minum dahulu?”

“ Adora letak dahulu di situ. Lepas ini abang minum,” kataku tanpa melihat kepadanya.

Adora meletakkan mug itu di tapak tanganku. Jari jemarinya yang hangat memegang tanganku yang kini berpegang pada mug itu. Rasa panas daripada mug itu seperti tidak terkesan pada tanganku. Ah… patutlah. Air ini sudah menjadi suam.

“ Abang minum ya?” Adora memujuk dengan suara lembut. “ Selepas ni, abang terus tidur. Berehat dahulu untuk hari ini. Abang tentu penat.”

Aku tidak sampai hati untuk terus membiarkan suara itu memujukku dengan nada lembut bercampur sedih. Aku paksa juga diriku untuk minum koko panas buatan Adora itu. Manis pada minuman itu terasa di lidahku, mengalir membasahi tekak yang kering. Adora sabar menanti aku menghabiskan koko panas itu.

Adora meletakkan mug kosong itu di atas meja sebelum menanggalkan kot hitam yang tersarung di tubuhku. Aku membiarkan sahaja ketika dia membaringkan aku. Adora menyelimutkan aku hingga paras dada. Dengan senyuman di wajahnya, dia mengusap pipiku.

“ Tidurlah. Saya dah minta Encik Romario berikan notis untuk Encik Vincent gantikan tempat abang untuk beberapa hari ini. Dapatkan rehat yang secukupnya, ya?”

“ Adora…” Aku renung kepada mata biru langit itu. Ada sesuatu yang menyedihkan pada sepasang mata itu. “ Baiklah.”

Aku tidak mahu membiarkan isteri kesayanganku ini terus risaukan aku. Akhirnya aku mengalah juga dengan pujukan Adora. Aku memejamkan mata saat Adora melarikan tapak tangannya daripada dahi ke daguku. Daripada bukaan mataku yang sempit, aku melihat ada air mata mengalir pada wajah itu.

Bunyi pintu bilik ditutup menyakinkan aku Adora sudah keluar dari bilik ini. Pantas aku membuka mata. Hatiku panas tatkala mengingati wajah orang yang paling tidak mahu aku lihat di pengebumian mendiang bapaku. Gregory Fforde, pemilik kepada syarikat yang bersaing dengan syarikat bapaku muncul tanpa perasaan bersalah. Aku yang ingin meletup dalam amarah yang aku tahan, ditenangkan oleh Adora dan Romario yang segera membawaku ke sebuah bilik yang berada di dalam gereja.

Gregory Fforde.

Aku tak akan lupa nama itu. Jika bukan kerana lelaki itu, bapaku tidak akan meninggal dalam kesakitan! Lelaki itu menggunakan cara halus untuk membunuh ayah. Selepas membuat huru-hara yang melibatkan syarikat ayah, dengan muka tidak malu Gregory menghulurkan tangan dengan niat kononnya untuk membantu ayah. Ayah yang terdesak, terpaksa menerima pertolongan itu.

Memang benar Gregory menyelamatkan nama baik syarikat dan keadaan syarikat yang hampir mencecah muflis secara tiba-tiba, tetapi itu tidak akan membuatkan aku berdiam diri. Jika aku tidak meminta Romario menyiasat dalang di sebalik huru-hara ini, aku akan terus tertipu dengan senyuman pada wajahnya itu.

Ayah meninggal kerana tekanan demi tekanan yang tiba-tiba sahaja datang kepadanya disebabkan berita-berita buruk yang menyelubungi nama baik syarikat, kejatuhan nilai saham secara mendadak dan kedatangan pihak berkuasa yang kononnya mendapat laporan terdapat penyelewengan dana syarikat dilakukan oleh ayah. Ayah pengsan kerana tubuh tuanya tidak mampu menerima serangan demi serangan secara mendadak.

Ketika itulah Gregory muncul dan menawarkan bantuan.

Aku bersyukur kerana berjaya menyekat keputusan ayah yang akan membahayakan posisi ayah di dalam syarikat. Tetapi ayah sudah tidak mampu untuk menanggung semua ini walaupun keadaan syarikat sudah semakin pulih. Ayah meninggal dengan ayat terakhirnya menyatakan bahawa dirinya adalah suatu kegagalan untuk syarikat itu.

Aku tidak akan berdiam diri sahaja. Aku akan membalas perbuatan Gregory terhadap ayah. Aku akan pastikan syarikatnya berada di situasi yang sama dengan keadaan syarikat ayah ketika hampir muflis. Selagi aku belum berjaya, aku tak akan dapat tidur dengan lena.

Ketika itulah, aku tidak menyangka keputusan itu akan mengubah hubunganku dengan Adora.

Ketika itulah, aku tidak menyangka keputusan itu akan membuat Adora pergi daripada diriku.

MAC 2015: AURORA HOTEL, OROVA CITY

ROMARIO menempah sebuah ruang makan VIP di hotel ini, hotel yang menyaksikan majlis perkahwinanku dengan Adora. Tidak ramai orang aku jemput untuk meraikan sambutan hari lahir Archie. Hanya Romario, Evan dan Leo sahaja yang aku undang kerana aku tidak sempat membuat persediaan untuk mengadakannya secara besar-besaran.

Auntie Rita dan saudara-maraku yang lain juga tidak dijemput kerana mereka masih belum tahu mengenai kewujudan Archie. Biarlah aku selesaikan dahulu masalahku dengan Adora sebelum aku mengenalkan Archie dengan baik kepada mereka. Aku kurang gemar dengan desakan mereka agar aku berkahwin lain selepas Adora menghilang. Aku juga tidak mahu mereka menganggap Adora sengaja memerangkap aku dengan kehadiran anak kami secara tiba-tiba.

“ Selamat hari lahir, Archie!”

Romario menjerit seraya menghalakan Party Poppers dan konfeti kepada Archie yang duduk di tengah-tengah meja. Archie ketawa dalam kegembiraannya. Melihatkan wajah gembira Archie berjaya menghalau kerisauanku terhadap Adora buat sementara waktu. Tubuh kecil Archie aku peluk erat.

“ Selamat hari lahir, Archie,” kataku. “ Maaf, baru sekarang papa dapat sambut hari lahir anak papa ni.”

“ Terima kasih, papa.” Archie mencium kedua-dua pipiku.

Selepas acara meniup lilin dan memotong kek, Archie menerima hadiah daripada Romario, Evan dan Leo. Aku tidak menyangka mereka akan menyediakan hadiah untuk Archie. Selain daripada ingin memeriahkan sambutan hari lahir ini, aku ingin belanja mereka bertiga makan di tempat sebegini. Merekalah pekerja yang paling rapat dan setia kepadaku.

“ Wah! Robot!” Mulut Archie terlopong selepas membuka bungkusan hadiah daripada Evan. Robot berwarna kuning setinggi paras pinggang Archie berada di kedua-dua tangannya.

“ Archie dah ucapkan terima kasih untuk Uncle Evan?”

“ Terima kasih, Uncle Evan.” Archie mencium pipi Evan. Evan kelihatan gembira dengan lagak Archie.

Hadiah daripada Romario dan Leo juga sudah dibuka. Romario menghadiahkan patung lembut berbentuk seorang kanak-kanak lelaki kepada Archie manakala hadiah Leo pula adalah set buku untuk kanak-kanak seusia Archie belajar membaca, menulis dan mengira. Pipi Romario dan Leo turut menjadi sasaran bibir kecil Archie.

Selepas kami menghabiskan hidangan utama dan bersedia untuk menjamah pemanis mulut, pintu ruang makan itu dibuka dari luar. Aku melihat kepada seorang lelaki berpakaian sut hitam lengkap. Lelaki bertanda nama Tristan itu mendekati aku.

“ Maafkan saya kerana menganggu, Tuan Adams. Ada seorang lelaki mahu berjumpa dengan tuan,” kata Tristan.

“ Nak jumpa saya? Siapa?” Aku kehairanan. Siapa pula yang ingin bertemu denganku? Seingatku aku tiada apa-apa temu janji pada malam ini.

“ Katanya, berikan nama Profesor Minsky kepada tuan.”

Aku tersentak. Perlahan aku melihat kepada Romario yang kelihatan terkejut. Romario mengangguk. Aku menelan liur, perhatianku beralih kepada Tristan.

“ Baiklah. Di mana beliau menunggu?”

Tristan membawa aku ke sebuah bilik VIP yang lain. Seorang lelaki tua sedang menungguku di dalam bilik tersebut. Aku mengecam wajah Profesor Minsky daripada gambar yang pernah Romario tunjukkan kepadaku. Kakiku perlahan sahaja melangkah ke arah Profesor Minsky yang sedang duduk di tengah-tengah sebuah meja makan.

“ Selamat petang, Profesor Minsky,” sapaku.

Profesor Minsky melihat kepada wajahku. Tiada apa-apa yang dapat aku tafsirkan daripada riak pada wajahnya itu. “ Selamat petang, Encik Adams. Silakan duduk.”

“ Terima kasih.” Aku duduk di kerusi yang bertentangan dengan kedudukan beliau.

Segala jenis soalan yang ingin aku tanyakan jika aku dapat bertemu dengan Profesor Minsky tidak dapat aku keluarkan. Aku masih terkejut dengan kehadiran lelaki tua itu. Tiba-tiba sahaja Profesor Minsky muncul sedangkan aku masih terkial-kial mencari di manakah keberadaan beliau, sekaligus mencari isteriku.

“ Tentu Encik Adams pelik kerana tiba-tiba sahaja saya muncul di sini, kan?” Profesor Minsky membuka mulut, memecahkan sepi di antara kami.

Aku mengangguk teragak-agak. “ Ya… Saya memang cari profesor tapi… macam mana?”

“ Seperti mana Encik Adams upah penyiasat untuk cari saya, saya juga buat begitu. Atau lebih tepat lagi, saya minta seseorang untuk perhatikan apa yang Encik Adams lakukan sehari-hari. Maaf, kerana tindakan saya seperti seorang peminat yang obses pula,” Profesor Minsky ketawa, melembutkan air mukanya. “ Cuma, saya terpaksa berbuat begitu. Saya tak dapat terus pergi jumpa Encik Adams. Hari ini barulah saya berani jumpa tuan. Saya kasihankan Adora, itu sahaja.”

“ Adora?” Aku kaget apabila nama itu terpacul daripada bibir lelaki yang sudah berusia itu. “ Benar Adora ada dengan profesor? Di mana dia sekarang? Saya…”

Profesor Minsky mengangkat sebelah tangannya, meminta aku diam terlebih dahulu. Selepas itu dia mengambil sesuatu dari atas lantai. Aku tidak menyedari kehadiran barangan itu kerana terlindung dengan meja makan di antara kedudukan kami berdua. Profesor Minsky menghulurkan sebungkus hadiah yang berbalut kemas. Tanpa bertanya apa-apa aku menyambut bungkusan hadiah tersebut.

“ Adora buatkan hadiah ini untuk Archie. Hari ini hari lahir Archie, kan?”

Aku mengangguk. Daripada sentuhanku, aku dapat mengagak ada sesuatu yang lembut di dalam bungkusan hadiah itu. Lembut seperti kain. Bajukah?

“ Adora sediakan hadiah itu walaupun dia tahu, dia mungkin tak dapat berikannya kepada Archie. Dia menyeksa dirinya sendiri. Saya beritahu dia, hantarkan sahaja hadiah ini jika dia mahu Archie terima tapi malangnya, dia kata dia sudah tidak berhak untuk masuk campur dalam hidup Archie dan kamu. Ini keputusan saya sendiri. Adora tak tahu saya ke sini untuk berjumpa dengan encik.”

“ Macam mana keadaan Adora sekarang? Sihat?” Suaraku berbunyi perlahan, walau pada pendengaranku sendiri. “ Saya bertemu dengan Puan Dixon dan Encik Gray. Mereka kata…”

Profesor Minsky mengeluh. “ Maaf, Encik Adams. Adora… sedang terlantar sakit sekarang.”

“ Teruk sangatkah?” Aku tidak dapat membayangkan bagaimana wajah yang selalu tersenyum dan bertenaga melakukan apa sahaja itu kini sedang terbaring sahaja di atas katil kerana sakit.

“ Buat masa sekarang, tiada apa-apa yang boleh memudaratkan nyawanya. Sebab itulah saya datang ke sini. Adora pernah halang saya daripada berjumpa dengan encik. Dia tidak mahu libatkan encik dalam hal ini sebab itulah, Adora hantar Archie kepada encik.”

“ Profesor tahu kenapa Adora tak mahu saya tahu pasal sakitnya?”

“ Adora tak mahu encik kecewa jika dia meninggal dalam usia yang muda. Baginya, biarlah dia yang pergi terlebih dahulu dari sisi encik sebelum semakin besar rasa sakit yang encik akan rasakan bila saat itu tiba. Penyakit Adora amat sukar ditemui, begitu juga dengan penawarnya. Dia tidak mahu berikan encik harapan palsu jika encik ingin cari penawar itu. Tambahan lagi, buat masa ini saya fikir saya dah tahu apakah penawarnya. Tetapi, harga untuk penawar itu amat tinggi. Adora tak mahu korbankan Encik Adams.”

“ Apakah penawar itu? Saya sudi bayar sebanyak mana pun asalkan Adora sembuh,” kataku ikhlas. Aku benar-benar nyatakan kata-kataku itu. Aku rela korbankan semua wang dan harta yang aku miliki untuk sembuhkan Adora. “ Tapi, apa maksud profesor tentang korbankan saya? Adora tak mahu susahkan saya dalam soal wang?”

“ Bukan begitu, Encik Adams. Encik dah tahu pasal penyakit isteri encik?”

Aku mengangguk. “ Saya ada buat kajian sedikit lepas balik dari Meadowbay Village. Alectrona Disease adalah satu penyakit yang menyerang apabila penghidap masuk usia 20-an, kan? Tiada simptom awal sebab kesihatan mereka normal sahaja dari kecil. Penyakit ini menyerupai SLE, betul?”

“ Ya. Kalau SLE ada tanda-tanda seperti Butterfly Rash, tapi Alectrona Disease tiada tanda itu dan lebih kepada sensitif dengan cahaya matahari. Jujurnya, pesakit SLE juga sensitif pada cahaya matahari. Ada masanya penghidap Alectrona Disease boleh melakukan aktiviti seperti sedia kala di bawah cahaya matahari, tetapi ada masanya cahaya matahari akan membuatkan mereka terlalu lemah sehingga hanya mampu berbaring sahaja kerana kadar sel sihat yang diserang sistem imunisasi badan tinggi. Serangan itu tidak berkala.”

“ Sebab itulah namanya Alectrona Disease?” Aku mengagak, mengingati nama Alectrona, Goddess of the Sun dalam mitos klasik dewa dewi Greek.

“ Mungkin juga. Tiada banyak catatan mengenai penyakit ini. Walaupun tiada statistik yang sebenar, untuk mencari seorang penghidap Alectrona Disease dalam satu billion manusia di muka bumi ini pun susah. Orang menganggap penyakit ini hanyalah sebuah mitos.”

“ Kalaulah sukar untuk kita cari penghidap penyakit ini, bagaimana profesor boleh terfikir untuk mengkaji penawar bagi penyakit ini?” tanyaku hairan. Bukankah lebih menguntungkan jika beliau mengkaji penawar bagi penyakit yang senang didapati?

Senyuman pada Profesor Minsky kelihatan sayu. “ Sama seperti encik, isteri saya juga penghidap penyakit ini.”

Aku terpempan. Untuk mengatakan apa-apa bagi menenangkan Profesor Minsky juga aku tidak tahu. Aku tidak mahu bertanyakan sesuatu yang jelas. Terasa berat lidahku untuk mengeluarkan suara. Lama aku melihat kepada wajah sedih Profesor Minsky.

“ Isteri profesor…”

Perlahan sahaja anggukan kepala Profesor Minsky. “ Dia meninggal ketika saya baru mendapat maklumat mengenai penyakit itu. Disebabkan saya tak mahu perkara ini berulanglah, saya mahu berjumpa encik. Daripada Adora sorokkan perkara ini kepada encik, lebih baik saya berterus-terang sahaja dan biarkan encik buat keputusan selepas encik tahu semua perkara.”

“ Profesor dah jumpa penawar penyakit ini kan?” Aku teringat akan apa yang Profesor Minsky beritahu tadi. Mengenai penawar Alectrona Disease yang mempunyai harga yang tinggi untuk dimiliki.

“ Saya baru konklusikan secara teori. Penawar ini bukannya tinggi pada harga, tetapi tinggi pada nilai kerana sukar dicari. Saya dapat tahu encik salah seorang yang istimewa.”

“ Maksud profesor…” Tangan kananku terasa panas. “ Saya…”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience