Chapter 3

Romance Completed 8046

BAB 3

MAC 2015: SKY TOWER, OROVA CITY

AKU terpaksa membawa Archie ke pejabat kerana tidak tahu di mana harus aku tinggalkan anak kecil itu sementara aku bekerja. Ada beberapa temu janji penting yang tidak boleh aku batalkan walaupun aku sebenarnya berfikir untuk mengambil cuti sahaja pada hari ini.

“ Maafkan papa, Archie. Papa tak tahu nak bawa kamu ke mana, duduk sahaja dalam pejabat papa ya?”

Archie mengangguk sahaja. Dia berbaring di atas sofa yang terletak dalam pejabatku sambil membaca buku cerita kanak-kanak yang aku dapatkan daripada Leo. Memandangkan Leo mempunyai adik yang baru memasuki sekolah rendah, aku menelefonnya dan meminta tolong agar dia membawa permainan dan buku kanak-kanak milik adiknya. Aku tidak sempat untuk pergi membeli permainan untuk Archie. Aku tidak mahu dia kebosanan sahaja.

Aku tidak dapat mengelak daripada berfikir Archie lebih matang daripada usianya. Walaupun sudah hampir tiga jam Archie berada di dalam bilik pejabatku dengan hanya ditemani permainan dan buku kanak-kanak, dia tidak memberontak untuk keluar. Biasanya kanak-kanak lain tentu sudah bosan berada di satu tempat dalam jangka masa yang lama.

Bunyi interkom mengejutkan aku. Leo memberitahu Romario sudah tiba. Aku mengarahkannya untuk segera masuk ke dalam.

“ Roma… rio?”

Aku bingung melihat ada sebuah beg sandang pada bahu lelaki itu. Di kedua-dua tangannya pula memegang beg kertas bersaiz besar. Aku meninggalkan meja kerjaku dan berjalan ke arah sofa. Archie yang bermain dengan kereta mainan di atas meja sedang duduk bersila di atas lantai. Mataku dan mata Archie singgah pada barangan yang dibawa oleh Romario.

“ Apa…?”

“ Saya bawa mainan dan makanan untuk Archie,” jawab Romario dengan sengih pada wajahnya.

Romario meletakkan beg sandang dan kedua-dua beg kertas itu di atas sofa. Archie melompat naik ke atas sofa untuk melihat apakah yang berada dalam beg kertas itu. Wajah comel itu berseri-seri apabila beberapa mainan kanak-kanak lelaki dikeluarkan daripada beg kertas tersebut.

“ Dari mana kamu dapat semua ni?” soalku kehairanan.

Romario tersengih-sengih. “ Tuan kata tuan terpaksa bawa Archie ke sini, kan? Saya risau Archie bosan, jadi saya bawa permainan anak saudara saya yang dia dah tak main lagi. Yalah, si Dino tu dah masuk sekolah menengah. Mana dia main dengan semua ini lagi.”

“ Papa, tengok!” Archie menjerit ke arahku. “ Kapal terbang!” Tangan Archie yang memegang kapal terbang kecil digerakkan seakan-akan sedang menerbangkan kapal terbang itu. Aku tergelak. Kepalaku digeleng berulang kali.

“ Sejak bila pejabat saya jadi nurseri budak ni?”

Kami berdua meninggalkan Archie yang khusyuk dengan permainan yang dibawa oleh Romario dan duduk di meja kerjaku. Biarlah Archie berseronok di kawasan sofa itu. Aku tidak mahu dia mendengar apa yang aku dan Romario akan bincangkan.

“ Ada sesiapa nampak dia ke sini dengan Archie semalam?”

Romario mengangguk. Dia mengeluarkan beberapa keping gambar daripada kocek kot hitamnya. “ Pengawal yang bertugas di lobi kata ada seorang wanita datang. Selepas bawa Archie ke kawasan menunggu di lobi, dia terus meninggalkan bangunan ini. Memang Puan Adora yang membawa Archie ke sini.”

Aku melihat gambar yang diberikan oleh Romario. Aku tidak dapat menggambarkan perasaanku apabila wajah Adora jelas kelihatan pada gambar-gambar itu. Semuanya menunjukkan Adora dan Archie masuk ke dalam bangunan, Adora dan Archie duduk di lobi dan gambar Adora berjalan meninggalkan lobi.

Walaupun sudah enam tahun berlalu, wajah Adora tidak banyak berubah. Rambut panjangnya juga masih seperti dahulu. Gaun labuh berwarna putih longgar tersarung pada tubuh yang aku fikir lebih kurus daripada kali terakhir aku melihatnya. Wajah Adora juga sedikit cengkung.

Benarkah Adora sakit seperti Archie katakan semalam? Sakit tenatkah?

“ Bagaimana dengan CCTV dan maklumat dari luar? Ada nampak dengan siapa dia meninggalkan kawasan ini? Atau apa-apa sahaja yang berkaitan?”

“ Daripada rakaman CCTV, Puan Adora datang dan naik sebuah kereta berwarna hitam. Kelihatannya ada orang menjadi pemandu dan Puan Adora duduk di bahagian belakang. Tapi gambar lelaki yang membawa kereta itu tidak jelas.”

“ Nombor plat kereta itu kamu dah periksa?”

Romario mengangguk. “ Malangnya, itu nombor pendaftaran palsu. Nampak gayanya Puan Adora sudah bersedia dengan kemungkinan kita berjaya merakam pergerakannya. Pergerakan kereta itu selepas meninggalkan kawasan syarikat juga gagal dikesan.”

Aku mengeluh, tidak tahu apakah yang harus aku lakukan sekarang. Jejak Adora hilang lagi.

“ Cuba periksa Meadowbay Village,” arahku selepas teringat apa yang Archie pernah beritahu kepadaku. “ Archie kata mereka tinggal di sana. Tapi saya tak pasti sama ada Adora masih ada di kampung itu atau tidak. Dan juga…” Aku melihat kepada Archie yang masih leka bermain. “ Periksa pendaftaran Archie. Mustahil Adora tidak daftarkan kelahiran Archie. Akan ada alamat tempat lahirnya.”

“ Baiklah, tuan,” ujar Romario patuh dengan arahanku. “ Kalau begitu, saya minta diri dahulu.”

“ Terima kasih, Romario.”

Romario memberi tunduk hormat dan keluar dari pejabatku. Muka jam di pergelangan tangan kulihat. Aku bangun daripada kerusi dan berjalan ke arah Archie. Kini dia sedang bermain dengan kereta api mainan pula. Aku tersengih apabila menyedari wajah itu sudah menunjukkan kebosanan. Ternyata permainan yang banyak dibawa oleh Leo dan Romario gagal menyekat kebosanan anak kecil itu.

“ Archie,” panggilku.

Archie mendongak melihat ke arahku. “ Ya, papa?”

“ Jom, makan tengah hari dengan papa?”

“ Nak!”

Aku tergelak apabila Archie melompat ke arahku dengan wajah gembira. Tubuh kecil Archie aku dukung. Selepas mencapai dompet dan telefon bimbit milikku, kami berdua keluar dari pejabat. Leo bangun daripada mejanya ketika aku membuka pintu. Sempat dia menghulurkan sebatang lolipop kepada Archie.

Nampaknya Archie bakal menjadi bintang di kalangan pekerja-pekerjaku tidak lama lagi.

Aku meminta Evan membawa aku dan Archie ke sebuah restoran yang menjadi kegemaranku. Selepas menurunkan kami di hadapan restoran, Evan pergi meletakkan kereta. Kedatangan kami disambut oleh seorang pelayan lelaki, Josh yang sudah arif dengan kekerapan aku ke sini. Josh kelihatan terkejut kerana kali ini aku datang bertemankan seorang kanak-kanak. Biasanya aku hanya datang seorang diri ke restoran ini.

“ Selamat datang, Tuan Adams. Ini…” Josh kelihatan teragak-agak untuk bertanya.

“ Anak saya,” balasku pendek. “ Berikan saya meja biasa?”

“ Baiklah.” Josh tidak bertanya dengan lebih lanjut. “ Silakan ikut saya.”

Josh membawa aku ke sebuah ruang yang hanya dihadkan kepada pengunjung istimewa restoran ini. Ruang ini lebih memberi privasi kepada sesiapa yang ingin menikmati hidangan tanpa gangguan kerana ruang ini dan ruang hadapan restoran ini dipisahkan dengan sebuah pintu. Aku dan Archie duduk di sebuah meja yang selalu menjadi pilihanku jika ke sini, bersebelahan dengan dinding kaca yang mempamerkan taman yang cantik di luar restoran.

“ Archie nak makan burger atau spaghetti?” Aku melihat kepada menu yang diberikan oleh Josh. Archie turut berbuat demikian. Dia membaca satu persatu perkataan yang difahaminya.

“ Nak burger,” balas Archie.

Aku memesan set burger untuk kanak-kanak dan hidangan untukku. Josh berlalu daripada meja itu, menuju ke dapur. Archie yang sedang bermain dengan kain napkin aku perhatikan tanpa bersuara. Benar. Wajah Archie saling tidak tumpah dengan wajahku. Rambut perang platinum miliknya itu sama sahaja dengan rambutku, sesuatu yang membuatkan aku selalu menjadi tarikan ketika berjalan di tempat awam. Dengan ketinggianku, selalu juga aku ditawarkan untuk menjadi model. Tergelak sahaja aku ketika teringatkan peristiwa yang akan membuatkan Adora mengatakan aku perasan.

Adora.

Aku mengeluh dalam hati. Kenapa Adora tidak meninggalkan apa-apa maklumat yang menyebabkan dia muncul kembali selepas enam tahun? Apakah yang ingin dia sampaikan?

Pada awal kehilangan Adora, aku berusaha mencarinya. Aku rela menghabiskan banyak wang dan tenaga semata-mata untuk mencari dirinya sehinggalah setahun berlalu dan dia tetap tidak dapat dikesan. Akhirnya aku berputus asa sahaja kerana bagiku, Adora pergi kerana salahku juga. Tetapi walaupun begitu, aku tidak melupakannya. Kerana hanya seorang wanita yang pernah aku cinta, sehingga kini.

“ Archie, papa nak tanya sesuatu, boleh?” Aku membuka mulut. Archie melihat kepadaku.

“ Mama… selalu cerita pasal papa, tak?”

Archie mengangguk. “ Mama selalu cerita pasal papa, sebelum Archie tidur pun mama akan cerita.”

“ Cerita macam mana tu?” Aku tidak dapat menahan rasa ingin tahuku.

“ Macam-macam. Mama cerita pasal pantai tempat mama jumpa papa, pasal papa suka makan kek dan…” Archie ketawa tiba-tiba. Kelihatannya dia benar-benar geli hati.

Hairan aku dibuatnya. “ Kenapa, Archie?”

“ Mama kata papa takut masuk Ghost House. Habis hantu drakula dalam Ghost House tu papa tumbuk sebab terkejut, kan?” Archie masih tidak berhenti daripada ketawa. “ Lepas tu mama kata papa demam tiga hari sebab terkejut. Apalah papa ni, Archie pun tak takut masuk Ghost House.”

Aku tersentak, senyumanku hambar. Itu adalah memori yang kami kongsi bersama. Peristiwa yang akan membuahkan tawa setiap kali aku dan Adora bergurau mengenainya. Pada hari itu, aku mengajak Adora ke sebuah taman tema untuk meluangkan masa bersama-sama. Ketika itu kami baru sahaja berkahwin tetapi kerana kesibukan aku dengan projek baharu, aku tidak dapat membawanya pergi bercuti ke mana-mana untuk sementara waktu. Adora tidak kisah akan percutian itu tetapi aku pula yang serba salah. Pada suatu hari di hujung minggu, aku dan Adora pergi ke taman tema itu.

Aku mengakui aku terkejut ketika hantu drakula itu muncul. Sudahlah aku tak pernah masuk Ghost House, tiba-tiba pula Adora mengajak aku untuk masuk ke dalam rumah berhantu itu. Terpaksalah aku turutkan sahaja. Aku tidak gentar untuk berlawan dengan sekumpulan penjenayah tetapi aku cepat takut jika disebut mengenai hantu. Kerana kejutan itu, aku demam sehingga tidak larat untuk turun daripada katil. Adoralah yang menjaga aku dengan penuh sabar tanpa sebarang rungutan.

“ Papa?”

Panggilan Archie mengejutkan aku daripada lamunan. Wajah polos itu menunjukkan Archie sedang risau mengenai keadaanku. Archie pelik kenapa tiba-tiba sahaja aku mendiamkan diri.

“ Kenapa, Archie? Dah lapar ke? Sabar ya, makanan sampai kejap lagi,” ucapku.

Archie mengerutkan dahinya. “ Papa… rindu mama?”

Aku terdiam. Mataku terasa panas. Aku mengangguk perlahan, mengakui apa yang telah sekian lama aku pendamkan.

“ Tak pernah walau satu hari berlalu pun… papa tak rindukan mama.”

Archie turun daripada kerusinya dan berjalan mendapatkan aku. Tangan kecil itu memeluk tubuhku, wajahnya disandarkan pada pahaku. Aku mengusap kepala Archie.

“ Nanti kita akan jumpa mama balik, kan papa?”

Aku mengangkat Archie untuk duduk di atas ribaku. Aku mengangguk dengan senyuman pahit. “ Papa janji, kita akan jumpa mama balik.”

Archie kembali memelukku. Erat.

MAC 2008: AYLA MANSION, OROVA CITY

FIKIRANKU yang berserabut menghilangkan mood ceria yang selalu ada pada diriku. Masuk sahaja ke dalam bilik, aku menanggalkan sut yang aku pakai sempena makan malam yang diadakan oleh ibu saudaraku. Auntie Rita, ibu saudara belah bapaku ingin menemukan aku dengan anak perempuan kawan baiknya.

Auntie Rita suka sangat sibuk dengan hal peribadiku. Walaupun aku baru berumur 24 tahun tetapi ibu saudaraku itu sudah beria-ria mahu aku berkahwin. Kerana ibu kandungku sudah lama meninggal dunia, bapaku menyerahkan sahaja hal ini kepada Auntie Rita.

Aku masih muda dan aku baru sahaja bekerja di syarikat ayah tidak sampai dua tahun. Kalau boleh aku mahu menumpukan pada kerjayaku dahulu barulah aku akan memikirkan soal perkahwinan. Lagi pun, aku tidak mahu dijodohkan oleh sesiapa yang tidak aku kenali. Biarlah aku mengahwini gadis yang aku sayang.

Mengingati pertemuan aku dengan Amy, gadis yang dibawa oleh Auntie Rita tadi membuatkan aku naik geram. Aku tidak suka gadis seperti Amy. Baru sahaja kenal dengan aku sudah berani menyentuh tubuhku sesuka hatinya. Malah gaun seksi yang tersarung pada tubuh Amy membuatkan aku berfikir dia ingin menggoda aku dengan tubuh badannya. Maaflah. Aku tidak berminat. Kalau lelaki lain mungkinlah akan tergoda dengan Amy.

Nasib baik bapaku tidak mendesak aku untuk mengikut cadangan Auntie Rita. Walaupun ayah tegas denganku apabila tiba soal kerja tetapi beliau tidak sesekali akan masuk campur dalam urusan peribadiku jika aku tidak mahukan penglibatan ayah. Ayah menurut sahaja kehendak Auntie Rita setiap kali ibu saudaraku itu mencadangkan beberapa orang gadis untuk aku temui kerana rasa hormat ayah pada kakak kandungnya itu.

Ketukan pada pintu bilik mengejutkan aku. Tidak lama kemudian, figura rendah ayah muncul di muka pintu. Bapaku masih belum menukar pakaian formal yang dipakainya ketika makan malam tadi. Berdasarkan air muka ayah, aku dapat mengagak ada sesuatu yang ingin ayah bincangkan kepadaku.

“ Ayah, masuklah.”

Aku mempelawa bapaku untuk duduk di sofa. Ayah mengambil tempat duduk di sofa tunggal manakala aku duduk di kerusi rotan yang berhadapan dengan ayah. Ayah aku berdehem. Berdebar pula aku menanti apakah yang ingin beliau katakan.

“ Helios tak suka gadis yang Auntie Rita bawa tadi, kan?”

Memang gaya ayah untuk berterus-terang walau ada apa hal sekalipun. Jarang benar ayah berkias-kias.

Aku mengangguk tanpa niat untuk berselindung. “ Saya cuma tak suka Auntie Rita selalu desak saya pasal perkahwinan. Saya dah besar, ayah. Saya boleh uruskan sendiri hal ini.”

“ Jangan terasa hati dengan tindakan ibu saudara kamu tu,” kata ayah, tidak mahu memburukkan kakaknya. “ Auntie Rita berniat baik, cuma tindakan dia tak berapa betul. Helios tak nak kahwin lagi kan?”

“ Bukannya saya tak nak kahwin lagi cuma… kalau boleh saya nak kahwin dengan perempuan yang saya sayang. Bukannya kerana cadangan daripada sesiapa.”

“ Kamu dah ada kekasih?”

Aku terdiam. Wajah manis Adora muncul dalam mindaku. Aku baru sahaja melamarnya sebagai kekasihku lima bulan yang lalu. Selepas hampir setahun berkenalan, aku menyedari aku menyayangi Adora lebih daripada sayang seorang kawan. Aku tidak dapat melupakan senyuman manis yang dikuntumkan oleh Adora ketika dia menerima aku sebagai kekasihnya.

“ Ada. Tapi maafkan saya ayah, kalau dia tak menepati ciri-ciri yang ayah dan Auntie Rita mahukan.”

“ Apa maksud kamu?” soal bapaku dengan wajah hairan.

Walaupun sudah lima bulan kami berkasih, tetapi aku masih belum memperkenalkan Adora kepada ahli keluargaku. Kepada Romario aku minta agar dia rahsiakan hal ini jika ayah bertanya mengenai hidup peribadiku. Bukan niatku untuk merahsiakan hubungan aku dengan Adora, tetapi aku tidak mahu Adora dihukum dengan pandangan yang tidak adil dan elok daripada sesiapa.

Membesar dalam hidup yang sudah dilimpahi kemewahan sejak bayi membuatkan aku berasa bosan. Memang benar aku tidak perlu risau akan wang tetapi berapa sangatlah jumlah orang yang benar-benar bersahabat denganku kerana mereka menerima diriku dengan seadanya? Saat Adora menunjukkan dia tidak melihat aku sebagai seorang manusia yang pelik kerana Heaven Flame itu, aku tahu dia tidak peduli sama ada aku seorang lelaki miskin atau pun kaya.

“ Dia hanya gadis biasa, ayah. Kedua-dua ibu bapanya dah meninggal dan dia tiada saudara mara lain. Harta yang dia ada hanyalah bakeri warisan bapanya dan juga kotej kediaman keluarganya. Saya tak mahu ayah melihat pada harta yang dia ada sahaja kerana bagi saya, apa yang paling penting adalah hatinya.”

“ Maknanya, dia seorang pembuat roti, macam tu?”

Aku mengangguk. Melihat sahaja kepada wajah bapaku. Kemudian aku melihat senyuman tergaris pada wajah ayah, sesuatu yang jarang kulihat.

“ Gadis itu pandai buat sesuatu yang kamu suka, kan?”

Aku tersenyum, bersetuju dengan kata-kata ayah. Ayah maksudkan kebolehan Adora sebagai seorang pembuat roti dan pastri. Sememangnya ayah tahu kegilaanku dengan manisan sebegitu. Jika lelaki lain gemar membelanjakan wang mereka untuk kenderaan dan gadjet, tetapi wangku banyak dihabiskan untuk membeli kek.

“ Kekasih kamu itu tahukah pasal Heaven Flame kamu? Ayah tak mahu kamu kecewa kalau dia tak dapat terima kebolehan kamu,” suara bapaku kerisauan.

Aku faham kenapa ayah berfikir sedemikian. Kebanyakan orang yang mengetahui kebolehanku ini akan menjauhkan diri daripadaku, risau aku akan menggunakan kebolehan ini untuk mengapa-apakan mereka. Dan juga kerana saat mereka tahu aku mempunyai kebolehan ini, pandangan mereka yang menganggapku manusia pada awalnya bertukar kepada raksasa.

“ Dia tahu,” balasku pendek. Adora memanggil aku istimewa.

“ Siapa nama gadis itu? Bila kamu nak bawa dia jumpa ayah?”

“ Nama dia Adora Valentine. Ayah… nak jumpa dia?” tanyaku ragu.

Ayah mengangguk. “ Kali ini kita makan malam dengan gadis pilihan kamu. Ayah akan cuba nasihatkan ibu saudara kamu untuk hentikan tindakan dia merisik mana-mana gadis lain. Jangan risau, kalau kamu fikir gadis itu yang terbaik untuk kamu, ayah tak kisah walaupun dia daripada keluarga biasa.”

Senyumanku melebar. Mahu sahaja aku memeluk tubuh bapaku itu, menzahirkan kegembiraanku.

“ Terima kasih, ayah. Nanti saya beritahu dia dan tetapkan makan malam itu.”

“ Baiklah.” Ayah bangun daripada sofa. “ Tidurlah. Walaupun esok hujung minggu, ayah rasa kamu tentu nak berjumpa kekasih kamu itu kan? Selamat malam, Helios.”

“ Selamat malam, ayah.”

Sebaik sahaja ayah menutup pintu bilik, aku melompat dan menjerit keriangan. Tidak sabar untuk aku memberitahu Adora pada esok hari. Aku sudah berjanji untuk pergi ke Bluemoore Beach untuk menemuinya. Memandangkan pada minggu lepas aku berada di luar negara atas urusan syarikat, aku tidak dapat berjumpa dengannya dalam jangka masa yang panjang.

Keesokan harinya ketika kami berdua berjalan di tepi pantai, aku memberitahu Adora mengenai permintaan bapaku itu. Adora kelihatan gembira tetapi pada masa yang sama dia kelihatan cemas.

“ Awak jangan fikir sangat,” kataku. “ Ayah saya memang jarang tunjuk perasaan dia, tapi saya tahu ayah tak sabar-sabar nak jumpa awak.”

“ Baiklah. Tapi, perlukah saya bawa apa-apa untuk ayah awak?”

Aku berfikir sejenak. Makan malam itu akan diadakan pada minggu depan. Aku sudah merancang untuk menempah sebuah bilik makan di sebuah hotel yang digemari bapaku.

“ Ayah saya suka Opera. Awak tahu buat kek itu kan?”

Adora mengangguk. “ Tahu. Awak nak saya buatkan kek itu?”

“ Saya beritahu ayah awak pandai buat roti dan kek. Apa kata guna peluang ini untuk tunjuk kehandalan awak?” kataku sambil ketawa.

Adora menggeleng sahaja melihat tawaku. “ Baiklah. Nanti saya buatkan Opera yang paling sedap untuk ayah awak. Biar ayah awak tahu kehebatan saya.”

Aku tidak dapat menghentikan tawaku. Bahu Adora kupeluk erat. Sambil berjalan kami menikmati keindahan matahari terbenam. Mendengar bunyi nafas Adora sahaja sudah cukup membahagiakan aku kerana aku tahu, itu tandanya Adora masih hidup dan berada di sisiku.

MAC 2015: KINGDOM MALL, OROVA CITY

HABIS sahaja waktu kerjaku, aku membawa Archie ke Kingdom Mall, salah sebuah kompleks beli-belah milik syarikatku. Di kondominiumku ada sebuah bilik yang aku jadikan sebagai bilik kerjaku. Memandangkan aku tidak mahu berpisah dengan Archie lagi, aku ingin menghias bilik itu mengikut kemahuan Archie. Home & Living Department menjadi destinasi aku dan Archie.

“ Selamat datang, Tuan Adams,” sapa Joanna, ketua bagi bahagian ini.

“ Terima kasih, Joanna.”

Aku mengenali setiap ketua bahagian di Kingdom Mall bagi memudahkan aku berinteraksi dengan mereka. Seperti reaksi pekerja-pekerjaku yang pernah melihat aku dan Archie, Joanna kelihatan hairan dengan kehadiranku dengan seorang kanak-kanak. Apatah lagi Archie menyerupaiku.

“ Ini anak saya,” kataku bangga. Tangan kananku yang memegang tangan Archie tidak dilepaskan. “ Kenalkan, ini Archie. Archie, ini salah seorang pekerja papa, Joanna Watsons.”

“ Selamat petang, Auntie Joanna,” kata Archie. Mata bulatnya melihat kepada wajah Joanna.

Joanna menarik senyum walaupun aku tahu dia sedang menyembunyikan perasaan terkejutnya. “ Selamat petang, Archie.”

Aku dan Archie ke bahagian yang menempatkan perabot dan dekorasi untuk bilik kanak-kanak. Joanna menjadi pengiring kami. Archie tidak banyak ragam ketika kami memilih barangan untuk biliknya. Senang sahaja aku memenuhi permintaannya.

Sebuah katil berbentuk kereta menjadi pilihan Archie. Meja belajar dan rak buku juga dia memilih yang mempunyai reka bentuk dan corak kereta. Tidak terkecuali almari pakaiannya. Aku hanya tersengih mengenangkan kepolosan Archie. Walaupun tidak diminta tetapi aku membeli dua buah kabinet kecil untuk diletakkan di setiap sisi katil Archie. Dua buah lampu tidur yang memancarkan cahaya daripada kepala kereta api aku belikan juga untuk anak lelakiku itu.

Selepas menguruskan penghantaran kesemua barangan itu pada tengah hari esok, aku membawa Archie berjalan-jalan pula. Aku ingin Archie melihat legasi yang aku bangun dan jayakan selepas bapaku meninggal dunia enam tahun yang lalu. Walaupun Archie tidak faham apa-apa, tetapi aku tetap ingin menunjukkan kepadanya.

Selepas hampir satu jam berjalan, aku menukar arah kepada Kids’ World pula. Kids’ World aku bangunkan untuk ibu bapa yang ingin meninggalkan anak-anak mereka dalam jagaan dan keadaan yang selamat. Memandangkan ada kanak-kanak yang tidak suka mengikut ibu bapa mereka membeli-belah, atau ibu bapa tidak mahu anak-anak mereka menganggu urusan yang akan dijalankan, aku mengambil inisiatif untuk menyelesaikan masalah itu. Kids’ World sentiasa dikunjungi ibu bapa yang memerlukan khidmat jagaan staf bertauliah dalam penjagaan kanak-kanak yang aku tempatkan di Kids’ World.

Aku membelikan Archie aiskrim daripada kiosk makanan yang berada di luar Kids’ World. Kami berdua duduk di bangku yang berhadapan dengan pintu masuk tempat jagaan kanak-kanak itu. Kanak-kanak dari usia enam bulan hingga 10 tahun sedang bermain dengan gembira di dalam tempat itu. Pelbagai permainan yang menarik aku sediakan di situ.

“ Sedap tak?”

Aku menyapu mulut Archie yang comot dengan aiskrim menggunakan sapu tangan. Archie menghadiahkan aku dengan senyuman yang akan membuatkan wajahnya bertambah ceria.

“ Sedap! Nah, untuk papa,” kata Archie sambil menghulurkan aiskrim itu ke arahku.

Aku tersengih. Aiskrim vanila ditaburi cip coklat itu aku jilat sedikit. Archie ketawa pula.

“ Kenapa, Archie?”

“ Ada aiskrim kat hidung papa,” kata Archie dengan tawa yang tidak berhenti. “ Betullah cakap mama. Papa selalu ada aiskrim kat hidung.”

“ Err… ya?”

Aku tersenyum pahit mendengar kata-kata Archie itu. Mendengar mengenai Adora membuatkan hatiku sakit. Sakit kerana sudah terlalu lama aku merinduinya tetapi dia tidak sudi untuk bertemu semula denganku.

Archie mengangkat tangan kirinya, mengelap hidungku yang mempunyai kesan aiskrim.

Deringan telefon bimbit mengejutkan aku. Segera aku mencapai telefon bimbitku yang berada di dalam kocek kot yang aku pakai. Nama Romario tertera pada skrin telefon. Tanpa membuang masa lagi aku mengangkat panggilan itu dengan hati yang berdebar-debar.

“ Helo, Romario?”

“ Tuan ada di mana?” Suara Romario menyapa pendengaranku.

“ Di Kingdom Mall. Kenapa? Ada perkara terbaru?”

“ Kalau boleh saya nak jumpa tuan sekarang. Tuan akan pulang ke rumah atau kembali ke pejabat?”

“ Jumpa saya di rumah.”

“ Baiklah.”

Aku memutuskan talian. Archie yang sedang terkebil-kebil melihatku aku hadiahkan senyuman. Aku membantu Archie untuk turun. Kakinya masih terjuntai tidak mencecah lantai.

“ Jom balik,” kataku. “ Malam ini papa masak untuk Archie. Archie nak makan apa?”

“ Papa pandai buat pizza?”

“ Pizza? Archie nak makan pizza?”

Archie mengangguk. “ Mama kata papa pandai buat pizza. Archie nak makan pizza papa. Boleh tak?”

Aku memejamkan mata buat seketika. Nama Adora tidak pernah berhenti muncul daripada bibir kecil Archie. Apakah yang Adora ceritakan kepada Archie? Semua kenangan kami bersama?

“ Baiklah…” Aku bersetuju. Kami berdua berjalan menuju ke eskalator. “ Papa buatkan pizza untuk Archie. Archie nak letak apa atas pizza tu?”

“ Hirisan daging ayam dan daging! Lepas tu, nak keju banyak-banyak! Archie nak letak apa lagi ya? Ikut papalah. Tapi papa jangan letak bawang dan buah zaitun. Archie tak suka. Mama suka letak benda tu, paksa Archie makan.”

Aku ketawa. Archie kelihatan bersungguh-sungguh menerangkan apa yang dia mahukan sebagai topping pizza yang akan aku buat selepas ini. “ Kalau Archie tak makan sayur, macam mana Archie nak membesar?”

“ Tak sedap…” Archie membuat muka, lidahnya dijelirkan.

Aku ketawa lagi. “ Baiklah. Memandangkan ini kali pertama papa buat pizza untuk Archie, papa ikut sahaja apa yang Archie mahu. Okey?”

“ Setuju!”

Sampai sahaja di kondominium, aku memandikan Archie sebelum bersiap-siap untuk membuat doh pizza. Romario masih belum tiba lagi jadi aku menggunakan masa itu untuk membuat pizza. Aku tahu cara untuk membuat pizza pun kerana aku belajar daripada Adora. Ini sahaja roti yang aku tahu buat. Adora pernah mengajar aku membuat roti dan pastri lain tapi semuanya tidak menjadi.

Setiap kali aku membuat pizza, kenangan ketika Adora mengajar aku cara-cara untuk menghasilkan pizza yang sedap akan bermain dalam ingatanku. Di dapur inilah Adora mengajar aku, beberapa hari selepas perkahwinan kami. Tawa aku dan Adora akan berselang-seli kerana berlaku perkara yang melucukan ketika dia mengajar aku, muka kami berdua yang comot dengan tepung dan kekecohan yang aku lakukan di dapur ketika itu melekat kuat dalam ingatanku.

Bunyi loceng kedengaran ketika aku dan Archie duduk di kaunter dapur untuk menikmati pizza yang baru siap dibakar. Aku meninggalkan Archie untuk pergi membuka pintu. Tercegat berdiri di hadapan pintu unit kondominiumku adalah Romario dengan wajah yang sedang ditahan-tahan untuk melaporkan perkara kepadaku. Pastinya ada sesuatu yang penting, jika tidak Romario tidak akan muncul dengan wajah sebegini.

“ Kamu nak pizza? Kopi?” Aku bertanya selepas mempelawa Romario untuk duduk di ruang tamu.

“ Tak mengapalah, tuan. Lepas ni saya perlu segera pulang ke rumah,” tolak Romario.

Aku duduk berhadapan dengan Romario selepas meminta Archie untuk makan sahaja di dapur. Aku tidak mahu Archie mendengar perbualan kami dan bertanya apa-apa. Wajah Romario kutenung lama.

“ Apa yang kamu jumpa?”

“ Err… pasal Meadowbay Village tu.” Romario berdehem perlahan. “ Saya dah hantar dua orang penyiasat persendirian ke sana. Saya baru dapat maklumat terbaharu petang tadi, sebelum saya telefon tuan.”

“ Kemudian?” Hatiku sudah berdebar-debar.

“ Meadowbay Village terletak di sempadan negeri ini, di bandar Havenedge, bersebelahan dengan negeri Icelia. Kawasan kampung itu terkenal sebagai pusat peranginan tanah tinggi pada musim panas. Walaupun Meadowbay Village tak dikomersilkan seperti pusat peranginan yang lain tapi sesiapa yang pergi ke sana tahu kampung itu setaraf dengan pusat peranginan yang terkenal.”

“ Jadi betul atau tidak Adora pernah tinggal di sana? Kalau kawasan itu ada pelancong juga, kenapa masa kita cari dia dahulu langsung tak ada berita?” Aku hilang sabar, nada suaraku naik sedikit. Aku memejamkan mata dan menarik nafas panjang, cuba menenangkan diriku.

“ Sabar, tuan,” pinta Romario. “ Saya masih belum habis cerita.”

Aku mengangguk tanpa menyuarakan apa-apa, mengisyaratkan agar Romario meneruskan cerita.

“ Puan Adora memang tinggal di sana. Di sebuah rumah yang terletak terpencil sedikit dari rumah penduduk-penduduk lain. Rumah Puan Adora terletak di kawasan tanah yang lebih tinggi dari kawasan lain di kampung itu. Hanya jiran terdekat sahaja yang tahu pasal Puan Adora, kerana puan tinggal di rumah milik seorang profesor di sana.”

“ Profesor?”

Siapa? Lelaki lainkah? Mustahil. Aku kenal Adora. Dia bukannya perempuan sebegitu. Cepat-cepat aku menangkis fikiran jahat yang sedang menguasai mindaku.

Romario mengangguk. “ Profesor William Minsky. Seorang pakar dan saintis bagi penyakit yang berkaitan imunisasi tubuh. Khabarnya beliau berhenti mengajar di Valston State University untuk menumpukan kajiannya dalam satu projek yang pernah beliau hentikan suatu ketika dahulu. Sejak itu, Profesor Minsky tinggal di Meadowbay Village.”

“ Bagaimana dengan penduduk yang kenal Adora? Sejak bila lagi dia tinggal di sana?”

Kemungkinan untuk Adora tinggal di tempat lain sebelum ke Meadowbay Village juga ada. Aku menahan diriku daripada melontarkan soalan-soalan yang ligat berputar dalam fikiranku. Satu persatu, Helios. Satu persatu. Aku mengucapkan perkataan itu seperti satu mantera dalam hatiku.

Romario mengeluarkan tablet daripada beg bimbit yang dibawa bersama-samanya. Jari telunjuknya digerakkan di atas skrin. Mata Romario fokus pada skrin tablet itu sebelum menunjukkan apa yang sedang dilihatnya kepada aku. Wajah seorang wanita tua muncul di skrin, termasuklah butiran diri wanita itu.

“ Puan Olivia Dixon, 74 tahun, tinggal di Meadowbay Village sejak tahun 1955 lagi kerana mengikut keluarga berpindah ke sana. Bekerja sebagai pembantu rumah Profesor Minsky sejak 7 tahun lalu, tahun Profesor Minsky baru tinggal di sana,” kata Romario. Romario menggerakkan jarinya untuk ke gambar yang lain.

“ Encik Harold Gray, 58 tahun, penduduk yang paling rapat dengan Profesor Minsky. Mempunyai sebuah rumah tumpangan di Meadowbay Village. Selalu ke rumah Profesor Minsky untuk melawat profesor tersebut.”

“ Zoey Dixon, 29 tahun, cucu kepada Puan Dixon. Bekerja sebagai pemilik sebuah kafe di kawasan tumpuan pelancong. Khabarnya Encik Dixon selalu ke rumah Profesor Minsky untuk menghantar neneknya ke sana. Menurut info yang saya dapat tadi, Encik Dixon juga mengenali Puan Adora, seperti Puan Dixon dan Encik Gray.”

“ Dan ini Profesor William Minsky, 67 tahun,” kata Romario kepada gambar seorang lelaki tua yang baru muncul di skrin.

“ Selain biodata mereka, apa lagi yang kita dapat?”

Tidak senang duduk aku dibuatnya ketika gambar Zoey Dixon muncul.

“ Mereka bertiga sahaja yang kerap berinteraksi atau mengenali Puan Adora berbanding penduduk kampung yang lain. Kebanyakan masa Puan Adora dihabiskan di dalam rumah Profesor Minsky, menambah lagi sebab kenapa tidak ramai penduduk tahu pasal puan. Lagi pun, Profesor Minsky jarang mengajak orang ke rumahnya.”

“ Sejak bila Adora tinggal di sana? Macam mana dengan Archie?” Aku mengulang soalan yang masih belum dijawab oleh Romario.

“ Puan Adora tinggal di sana sejak enam tahun lepas. Masa Puan Adora muncul di kampung itu dalam lingkungan minggu yang sama Puan Adora…” Romario batuk. “ … pergi dari sini pada bulan September. Kemunculan pertama Puan Adora di Meadowbay Village adalah pada minggu pertama bulan September. Archie pula lahir pada bulan Mac tahun 2010. Nama Archie pada sijil kelahiran adalah Archie Vale-Adams.”

“ Bulan Mac? Berapa hari bulan?” Aku teringat bahawa bulan ini adalah bulan Mac. Bilakah hari lahir anakku itu?

“ 20 Mac 2010.”

20 Mac? Maknanya, dua hari dari sekarang? Aku melihat kepada permukaan jam di lenganku. Benar. Hari ini sudah 18 Mac.

“ Adora masih ada di sana?”

Aku tetap bertanya walaupun aku dapat menduga apakah jawapannya. Gelengan Romario mengukuhkan lagi telahanku. Masakan Adora akan kekal berada di sana jika dia telah mendedahkan kehadiran anak kami padaku? Tentu Adora sudah memikirkan apakah yang akan aku tanyakan pada Archie.

“ Maaf, tuan. Kami masih menyiasat ke mana Puan Adora dan Profesor Minsky berpindah.”

“ Kamu dah tetapkan temu janji dengan mereka bertiga?”

“ Sudah tuan. Jadual tuan pada esok hari hanyalah mesyuarat pada jam 3 petang. Memandangkan perjalanan dengan kereta dari Orova City ke sana mengambil masa hampir lima jam, saya dah tempah tiket penerbangan untuk tuan dan Archie. Temu janji itu akan bermula pada jam 11 pagi.”

“ Baiklah. Bagus, Romario. Beritahu Vincent untuk menghadiri mesyuarat itu bagi pihak saya. Saya mahu bermalam di sana untuk semalaman.”

Vincent adalah ketua pengarah yang berada di bawahku. Jika aku tidak dapat menghadiri mesyuarat, dialah yang akan menggantikan tempatku. Vincent tua empat tahun daripadaku tapi dia amat menghormati aku sebagai majikannya. Kerja Vincent tidak pernah menghampakan aku.

“ Tuan akan bawa Archie juga, kan?”

Aku mengangguk. “ Selain tu, tolong buat tempahan untuk malam pada 20 hari bulan ini.”

“ Ya?”

“ Saya nak adakan majlis hari lahir untuk Archie. Butiran yang lain saya akan berikan kemudian.”

“ Baiklah, tuan.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience