Chapter 5

Romance Completed 8046

BAB 5

JUN 2009: EDEN CONDOMINIUM, OROVA CITY

JAM sudah menginjak angka satu pagi ketika aku baru tiba di kediamanku. Nombor kekunci untuk masuk ke dalam rumah aku tekan, tidak mahu mengejutkan Adora yang pastinya sedang tidur di dalam. Aku menanggalkan tali leher yang tergantung longgar di kolar kemeja. Kelihatan cahaya lampu daripada lampu tidur berbentuk bunga tulip dari ruang tamu. Cahaya lampu utama sudah dipadamkan.

Aku masuk ke dapur dahulu sebelum pergi ke ruang tamu. Botol air mineral aku keluarkan dari dalam peti sejuk. Tekakku yang dahaga perlu dibasahkan terlebih dahulu. Rasa penat kerana bekerja seharian membuatkan aku tidak sabar-sabar untuk tidur. Aku menghabiskan segelas air mineral lalu bergerak ke ruang tamu. Ketika melalui kaunter dapur, baru aku sedar ada sesuatu di atasnya. Lampu dapur kubuka untuk melihat dengan jelas apakah yang menantiku di atas kaunter dapur.

Sepinggan lagsana dan beberapa biji muffin coklat berada di atas kaunter dapur. Aku mengeluh. Aku baru teringat mesej yang aku terima daripada Adora pada petang tadi. Katanya dia menunggu kepulanganku untuk makan bersama-sama. Makan seorang dirikah dia? Ditemani kerisauan kerana aku tidak membalas mesej itu, menyatakan aku akan pulang lewat?

Aku segera ke ruang tamu. Adora duduk di hujung sebuah sofa panjang. Kepalanya terlentok ke sebelah kanan. Melihatkan isteriku yang hanya memakai gaun kapas nipis paras lutut membuatkan aku rasa bersalah. Adora kelihatan kesejukan. Aku menaikkan suhu pendingin hawa sebelum duduk di sebelah isteriku.

Lama aku melihat kepada wajah Adora. Aku yang tersalah lihat atau wajahnya kelihatan sedikit cengkung? Aku berkira-kira sama ada untuk mengejutkan Adora atau mendukung sahaja dia masuk ke dalam bilik kami ketika dia membuka mata. Matanya dipejam celik beberapa kali sebelum Adora sedar sepenuhnya.

“ Abang baru balik?” Perlahan sahaja suara itu menyapa pendengaranku.

Aku mengangguk. “ Maaf. Abang lupa nak balas mesej Adora.”

“ Tak apa.” Adora menggeleng. Dia merenung kepadaku dengan mata separuh celik. “ Abang dah makan? Nak saya panaskan balik lasagna tu?”

“ Adora pergilah sambung tidur. Abang boleh panaskan sendiri.”

“ Tak apa. Saya panaskan sekejap ya?”

Adora bangun daripada sofa sebelum sempat aku menahannya. Aku mengekori Adora ke dapur. Melihatkan dia bersungguh-sungguh untuk memberiku makan walaupun dalam keadaannya yang mengantuk sebegitu membuatkan aku serba salah untuk mengatakan bahawa aku sudah makan malam tadi.

“ Duduk sini.” Aku memegang bahu Adora dan memaksa dia untuk duduk di kaunter dapur. “ Biar abang buatkan koko panas. Adora nak?”

Adora mengangguk dengan senyuman pada wajahnya. “ Tambah marshmallow tau?”

Aku tersengih. Dua biji mug aku ambil daripada kabinet dapur. Sementara menunggu lasagna itu dipanaskan dalam gelombang mikro, aku membuat koko panas mengikut kegemaranku dan Adora. Jika Adora inginkan marshmallow dalam koko panasnya, aku pula lebih gemar koko panas dengan krim putar di atasnya.

“ Terima kasih,” ucap Adora ketika aku menghulurkan mug berisi koko panas kepadanya. Isteriku itu sudah kelihatan segar, tidak mengantuk seperti tadi.

Aku berkongsi lasagna itu dengan Adora. Sudah lama kami tidak makan malam berdua kerana kesibukan aku di pejabat selepas mengambil alih tugas mendiang bapaku. Aku perlu menebus masa yang tidak dapat aku luangkan dengan Adora. Mungkin aku akan mengambil cuti tidak lama lagi? Atau kami berdua boleh pergi bercuti di hujung minggu.

Selepas makan, kami berdua masih duduk di kaunter dapur untuk menghabiskan koko panas. Baik aku mahu pun Adora masih belum mahu tidur lagi. Walaupun malam sudah semakin lewat dan menginjak awal pagi tetapi kami masih ingin duduk sahaja di dapur. Sebelum aku pergi bekerja di awal pagi.

“ Abang, boleh saya tanya sesuatu?” Adora meletakkan mug di atas meja. Matanya melihat tepat kepada wajahku. Daripada air mukanya aku menduga ada sesuatu yang ingin sangat dia katakan.

“ Kenapa, Adora? Sayang ada masalah ke?”

Adora menggeleng. Dia kelihatan teragak-agak untuk bersuara. Akhirnya Adora membuka mulut selepas beberapa minit dia berdiam diri. “ Bukan. Cuma saya nak tahu… betul ke abang cuba nak ambil alih Fforde Group?”

Aku tersentak dengan kenyataan Adora. Wajah isteriku itu aku pandang dengan rasa tidak percaya.

“ Romariokah yang beritahu Adora?” Aku menahan nada suaraku daripada berubah dingin.

Adora menggeleng lagi. “ Maaf, saya terdengar perbualan abang dengan Encik Romario masa dia datang minggu lepas. Pasal Encik Gregory Fforde ke?”

“ Adora tak perlu risaukan benda ni.” Aku menunduk, merenung koko panas yang masih berbaki sedikit. Tidak mahu bertentang mata dengan Adora. “ Adora pergilah masuk tidur. Abang nak mandi dulu.”

Aku bangun daripada kerusi dan menuju ke sinki untuk membasuh mug. Aku tahu Adora sedang melihat kepadaku dari belakang. Tanpa melihat kepadanya aku keluar dari dapur, terus menuju ke bilik tidur. Bunyi tapak kaki Adora kedengaran dari belakang, mengekoriku.

Masuk sahaja di dalam bilik aku terus mencapai tuala. Pintu bilik air aku tolak ke tepi sebelum mengunci pintu gelongsor itu. Kedengaran ketukan dari luar. Aku membuka pancuran air. Bunyi air jatuh menimpa lantai menenggelamkan bunyi ketukan itu. Tanpa menanggalkan pakaian kerja aku membasahkan tubuhku.

“ Abang!”

Adora menjerit dari luar. Aku memejamkan mata, cuba menghalang wajah kecewa Adora yang sedang bermain dalam fikiranku.

“ Saya tahu abang masih marahkan Encik Fforde pasal ayah tapi… tolonglah, jangan buat begini. Saya tak nak abang menyesal nanti.” Adora terus bersuara dari luar kamar mandi. Suaranya jelas di telingaku walaupun limpahan air pada lantai juga berbunyi kuat.

“ Tolong fikirkan nasib pekerja syarikat yang tak bersalah, abang. Walaupun Encik Fforde buat abang begitu, tapi pekerja-pekerjanya tak bersalah. Jangan kerana dendam, abang jadikan masa depan orang tidak bersalah sebagai taruhan.”

Geram dengan perasaanku sendiri, aku meluru ke arah pintu kamar mandi. Pintu itu aku buka kasar. Adora terkejut melihatku yang tiba-tiba sahaja muncul dengan pakaian yang basah.

“ Jangan Adora cakap pasal masa depan orang lain kalau masa depan abang pun boleh musnah di tangan lelaki tak guna tu!” Suaraku separuh menjerit, aku sedang cuba mengawal amarahku yang tiba-tiba sahaja mahu meledak. “ Hidup ayah! Hidup ayah tak dapat pengakhiran yang sepatutnya ayah dapat! Ayah tak gagal, Adora. Tak! Sebab lelaki tu ayah abang fikir dia satu kegagalan! Sebab lelaki tu, pekerja ayah turut jadi mangsa!”

Mata Adora memaku tepat pada mataku. Tiada riak takut pada wajah itu. Adora kelihatan sedih. Dan puncanya adalah aku. Aku yang menyebabkan dia berada dalam kesedihan. Aku tidak dapat mengawal ledakan amarahku walaupun aku tidak mahu Adora menjadi mangsanya.

“ Abang akan pastikan dia dapat balasannya! Kuasa ni! Tak ada gunanya kalau tak dapat bantu abang dalam keadaan macam ni!” Aku mengangkat tanganku yang masih basah, warna jingga Heaven Flame menyala-nyala lebih terang daripada kebiasaannya. “ Abang akan gunakan kuasa ni kalau abang tak ada pilihan lain. Abang…”

Kata-kataku mati apabila kedua-dua tangan Adora memegang tangan kananku yang masih menyala dengan Heaven Flame. Dahi Adora berkerut, sebelah matanya mengecil, giginya diketap kuat. Jelas di mataku Adora sedang menahan kesakitan. Cepat-cepat aku memadamkan Heaven Flame dan memegang pergelangan tangan Adora, melihat kepada kedua-dua tapak tangannya yang memerah.

“ Kenapa Adora buat macam ni! Macam mana kalau tangan Adora terbakar?”

Adora menarik senyum, senyuman yang menandakan dia sedang bersedih.

“ Adora… kenapa?” Setitis air mataku mengalir, menitik atas tapak tangan Adora.

“ Saya tak nak abang musnahkan hidup abang…” Adora bersuara perlahan. Sepasang mata biru langit itu sedang melihat kepadaku. “ Abang tak akan bahagia kalau abang teruskan rancangan abang.”

“ Jangan libatkan diri Adora dalam hal ini boleh? Silap langkah Adora yang terluka.” Aku mengeraskan hati daripada tunduk dengan kemahuan Adora walaupun jauh di sudut hatiku aku ingin meminta maaf kepadanya.

Adora menggeleng. “ Abang suami saya, memang tugas saya untuk menyokong abang dan juga menghalang abang daripada buat perkara yang akan musnahkan abang. Abang, tolonglah. Batalkan semua rancangan ini. Ada banyak cara lain lagi untuk abang saingi syarikat itu tanpa musnahkan syarikat Encik Fforde.”

“ Adora…” Aku menekan nadaku, meminta agar Adora tidak meneruskan apa yang ingin dikatakan.

“ Tolonglah, abang.” Suara itu merayu lagi. “ Saya cuma nak hidup bahagia dengan abang. Bagaimana kita boleh hidup bahagia kalau abang pentingkan dendam abang pada Encik Fforde. Bebaskan hati abang daripada dendam, saya merayu.”

Aku menggeleng. Ini adalah kali pertama aku tidak mengendahkan nasihat daripada Adora. Tanpa berkata apa-apa lagi aku menarik Adora untuk duduk di kerusi yang berada di dalam bilik kami. Aku mengambil kit kecemasan dan mengeluarkan krim untuk mengurangkan rasa pedih pada tangan Adora. Tanpa bersuara aku menyapu krim itu pada tangannya yang masih merah. Adora juga tidak bersuara lagi.

MAC 2015: SKY TOWER, OROVA CITY

AKU langsung tidak dapat menumpukan perhatian kepada kerja yang bertimbun di atas meja. Archie sedang bermain seorang diri di bahagian tengah bilik pejabat. Khusyuk dia bermain dengan permainan yang dihadiahkan oleh Romario, Leo dan Evan semalam. Kadang kala berbunyi juga suaranya menyanyikan lagu kanak-kanak.

Pertemuanku dengan Profesor Minsky semalam tidak aku ceritakan secara terperinci kepada Romario. Profesor Minsky dan aku telah bertukar-tukar nombor telefon. Beliau akan menelefonku untuk mengaturkan pertemuanku dengan Adora. Itu pun Adora tidak tahu Profesor Minsky datang bertemu denganku.

Kini sudah jelas kenapa Adora pergi meninggalkan aku pada enam tahun yang lalu. Adora tidak mahu aku rasa kehilangan seperti mana ketika mendiang bapaku meninggal dunia. Profesor Minsky berkata, Adora berfikir lebih baik kami berpisah sebelum perkahwinan kami berlangsung dengan lebih lama lagi, sebelum semakin sukar untuk dia menapak pergi. Adora mahu aku bahagia dengan perempuan lain dan melupakan dirinya walaupun baik aku dan Adora sendiri sedar bahawa perkara itu tidak akan berlaku.

Mustahil untuk aku berbuat begitu kerana selama aku hidup, hanya Adora wanita yang aku cinta.

Profesor Minsky meminta aku memberinya masa sebelum beliau boleh menemukan aku dengan Adora. Menurut beliau, Adora tengah sakit kerana rindukan Archie yang dilepaskan untuk tinggal bersama-samaku. Adora mahu Archie hidup bahagia kerana baginya, aku mampu menyediakan apa sahaja yang Archie perlukan. Belanja, makan, minum, pelajaran dan juga kasih sayang.

Adora mengambil keputusan untuk menghantar Archie kepadaku ketika dia mendapat tahu bila-bila masa sahaja penyakitnya itu akan mengambil kudrat dan paling teruk, nyawanya. Walaupun Adora tidak jauh sakit seteruk yang sebelum ini, seperti yang dimaklumkan oleh Profesor Minsky, tetapi isteriku itu risau sekiranya dia tidak melepaskan Archie sekarang, dia tidak akan boleh melepaskan Archie pada masa depan.

Laci meja kerja yang paling atas aku buka. Hadiah Adora untuk Archie berada di dalam laci itu. Aku masih belum memberikan hadiah itu kepada Archie kerana aku risau Archie akan bertanya mengenai ibunya dan menggesa aku untuk pergi mendapatkan Adora. Mataku dilarikan kepada Archie yang masih leka bermain. Hatiku berkira-kira sama ada untuk memberikan hadiah ini sekarang kepada Archie atau tidak.

“ Archie!” Sebelum sempat aku membuat keputusan, mulutku ringan sahaja memanggil nama anakku.

“ Ya papa!”

Archie berlari mendapatkan aku. Kerusiku hampir tertolak ke belakang ketika Archie menerpa kuat ke arahku. Kedua-dua tangannya memegang pahaku. Dengan mata yang bersinar-sinar Archie melihat kepadaku.

“ Kenapa anak papa nampak gembira sangat ni?” Aku ketawa, melindungi rasa gugup.

“ Kenapa papa panggil Archie?” Archie tidak membalas soalanku.

“ Sebenarnya…” Aku mengambil bungkusan hadiah daripada Adora itu. “ Profesor Minsky… eh? Tak… Mama… mama ada hadiah untuk Archie. Papa lupa beri semalam,” kataku sengaja memberi alasan.

Semakin bersinar mata bulat itu. “ Betul? Bila masa mama datang? Archie tak tahu pun?”

Archie segera mengambil bungkusan itu dan meletakkannya di atas mejaku. Tanpa berlengah lagi dia membuka ikatan reben berwarna putih pada bungkusan berwarna ungu muda itu. Sehelai baju sejuk berwarna biru muda berada di tengah-tengah bungkusan yang sudah dibuka itu.

“ Cantiknya!” ucap Archie. Dia memeluk erat baju sejuk itu.

“ Mama yang buat?” Melihatkan pada baju sejuk daripada benang kait itu membuatkan aku berfikir sedemikian. Setahuku, Adora pernah juga mengait alas meja dan lapik cawan.

Archie mengangguk. “ Mama kata nak buatkan baju sejuk untuk Archie. Sebab sebelum ni masa Archie minta, mama selalu tak larat nak buat. Bila mama jumpa papa? Kenapa mama tak nak jumpa Archie?” Archie mengulangi soalan tadi.

“ Profesor Minsky yang berikan pada papa semalam,” kataku berterus-terang. Tidak tergamak rasanya untuk terus membohongi Archie. “ Archie sabar ya? Tak lama lagi, papa akan bawa Archie jumpa mama. Profesor Minsky kata mama perlukan rehat yang banyak sekarang ni.”

Wajah ceria Archie diganti dengan riak sedih. “ Mama sakit lagi, kan papa?”

Aku mengusap kepala Archie. Senyumanku terasa pahit.

“ Jangan risau. Mama akan sembuh, percayalah. Kalau Archie percaya mama boleh sembuh, mama akan sembuh dan kembali untuk tinggal bersama-sama kita. Archie tentu nak mama ada dengan Archie dan papa, kan? Jadi, papa harap Archie boleh bersabar hinggalah mama kembali pada kita, ya?”

“ Baiklah, papa.” Archie mengangguk perlahan. Dia melentokkan kepalanya pada pahaku. “ Archie nak tinggal dengan mama dan papa. Mama dan papa kena ada dengan Archie.”

Kepala itu aku gosok lagi. Harapan Archie adalah harapanku juga. Aku mahu kediaman kami tidak kekurangan sesiapa. Baik aku, Archie mahu pun Adora. Kalau kami bertiga ada barulah kediaman itu akan lengkap. Barulah aku dengan bangganya dapat mengatakan aku mempunyai sebuah kediaman yang akan sentiasa menjadi tempat kepulanganku.

Deringan telefon bimbit mengejutkan aku. Nama Profesor Minsky tertera pada skrin. Hatiku mula berdebar-debar. Mengharapkan bukan khabar buruk yang menanti aku di hujung talian.

JULAI 2009: EDEN CONDOMINIUM, OROVA CITY

SEJAK akhir-akhir ini Adora banyak menghabiskan masa dengan berbaring sahaja. Tidak kiralah di dalam bilik atau pun di ruang tamu. Tubuhnya juga sudah semakin kurus. Risau pula aku dibuatnya. Sudahlah aku selalu sibuk di pejabat. Memikirkan Adora yang hanya berseorangan di rumah sepanjang hari membuatkan aku tidak senang duduk.

Selepas peristiwa aku hampir mencederakan tangan Adora dengan Heaven Flame, aku lebih berhati-hati dalam melayannya. Aku tidak mahu peristiwa sama berulang lagi. Kasihan Adora. Hampir seminggu juga untuk kesan merah itu pulih dengan sepenuhnya.

“ Adora.”

Aku duduk di birai katil. Adora sedang berbaring mengiring ke kiri. Matanya yang pejam dibuka perlahan. Tergesa-gesa Adora bangun daripada baringnya. Aku segera memegang bahu Adora, risau jika tiba-tiba sahaja isteriku itu terjatuh kerana tidak berhati-hati.

“ Maaf, abang,” ucap Adora. Nafasnya berbunyi lemah pada pendengaranku. “ Saya tidur sekejap.”

Aku menyelitkan rambut yang menutupi bahagian kiri wajahnya ke belakang telinga. Benarlah. Wajah isteriku sudah semakin cengkung. Adakah kerana terlalu sibuk aku telah mengabaikan Adora?

“ Adora tak sihat? Abang bawa pergi jumpa doktor?” Tapak tangan aku letakkan pada dahi Adora, merasa suhu tubuhnya. Mencuba sekiranya Adora demam walaupun tadi dia tidur tanpa berselimut.

“ Saya penat sedikit. Tak ada apa-apalah, abang,” balas Adora lembut. Dia mengalihkan tanganku daripada dahinya. “ Sekarang dah masuk waktu tengah hari, kan? Sekejap ya, saya siapkan makan tengah hari untuk abang.”

Adora bangun daripada katil dengan niat untuk ke dapur. Aku memegang sebelah tangan Adora, menghalangnya daripada meneruskan langkah. Adora melihat kepadaku tanpa bersuara.

“ Hari ini kita makan di luar. Lagi pun ini hari minggu kan? Abang nak ajak Adora keluar temu janji dengan abang.”

Adora ketawa. Merdu sahaja di telingaku. “ Baiklah. Saya nak bersiap kejap. Patutlah abang kacak semacam aje ni, rupa-rupanya dah siap-siap nak keluar.”

Aku tersengih lalu bangun daripada birai katil. Dengan pantas aku mencium pipi kanan Adora. “ Bukankah abang sentiasa kacak?”

Adora ketawa lagi. Dia menolak aku perlahan dan berlalu ke bilik mandi. Aku yang tersalah nampak atau Adora kelihatan seperti tidak stabil jalannya?

Tidak sampai setengah jam Adora sudah siap dengan pakaian untuk keluar. Wajah bersih itu hanya berbedak nipis dan bergincu merah jambu. Adora kurang gemar menghabiskan masa untuk bermekap kerana baginya lebih baik dia gunakan masa itu untuk segera bersiap.

Gaun longgar berwarna biru lembut paras lutut menjadi pilihannya, digandingkan dengan kardigan berwarna putih dan tas tangan yang turut berwarna putih. Tali pinggang berwarna merah jambu menjadi aksesori gaun tersebut. Aku tersenyum melihat gaun itu tersarung di tubuhnya. Gaun itu adalah hadiah daripadaku beberapa minggu yang lalu. Padan sahaja penampilan Adora dengan pakaianku. Aku memakai kemeja berwarna biru muda berlengan tiga suku dan seluar jean berwarna putih.

“ Adora ada idea nak makan kat mana?” Aku bertanya ketika memandu keluar dari kawasan kondominium. Cuaca pada hari ini kelihatan baik sahaja. Sesuai untuk dijadikan hari bersantai di luar.

“ Abang yang lebih arif pasal ni kan? Abang tak ada idea nak bawa saya ke mana?”

Mindaku mula ligat memikirkan senarai restoran dan kafe yang sering menjadi kunjunganku. Aku mahu hari ini menjadi hari yang istimewa untuk aku dan Adora. Kerana sudah lama tidak keluar berdua dengannya, aku mahu menebus masa di mana Adora perlu luangkan masa bersendirian kerana kerjaku.

“ Rasanya abang tahu di mana.” Aku tersengih. “ Adora tunggu. Abang yakin Adora suka tempat tu.”

Keretaku meluncur laju di atas jalan raya. Tiada kesesakan jalan raya walaupun biasanya pada hari minggu begini ramai orang keluar untuk menenangkan dan melegakan fikiran setelah hampir seminggu sibuk dengan pelajaran atau kerja.

Aku membawa Adora ke sebuah kafe yang terletak di tengah Garden of Fae, sebuah taman bunga yang sering menjadi tumpuan orang ramai untuk bersantai mahu pun berkelah. Titania Café itu pernah menjadi tempat aku singgah sementara menanti seorang klien untuk bertemu denganku suatu masa dahulu. Masih ada meja kosong walaupun kebanyakannya sudah dipenuhi orang yang sedang menikmati makan tengah hari. Aku dan Adora duduk di sebuah meja untuk dua orang di suatu sudut yang agak terlindung.

“ Adora pilih dahulu.” Aku memberikan menu yang terletak di atas meja kepada Adora. “ Lepas tu abang pergi pesan di kaunter.”

Sementara Adora membelek menu itu, aku melihat-lihat di sekitar kafe. Ada yang datang berdua seperti aku dan Adora, ada yang datang bersantai dengan kawan-kawan malah ada yang datang dengan keluarga. Mataku tertumpu kepada sebuah keluarga yang terdiri daripada pasangan ibu bapa muda dan seorang bayi perempuan yang comel. Walaupun makanan bayi itu bersepah di atas meja tetapi ibu bapanya tetap melayan dia dengan senyuman. Aku tersenyum. Membayangkan jika pasangan itu adalah aku dan Adora.

“ Abang? Abang?”

Panggilan daripada Adora mengejutkan aku. “ Ya? Dah siap tulis?”

Adora mengangguk. Senyuman manis terlakar pada wajah itu. Aku mengambil kertas yang dikhaskan untuk menulis pesanan. Kafe ini adalah kafe layan diri. Selepas menulis pesanan dan nombor meja, aku perlu ke kaunter untuk membuat pesanan dan membayar harga makanan. Buzzer akan diberikan untuk memberi isyarat ketika makanan kami sudah siap.

Selepas selesai membayar, aku kembali ke meja. Wajah pucat Adora menarik perhatianku.

“ Betul Adora tak sakit?” tanyaku kerisauan. “ Abang tengok pucat semacam aje muka tu.”

“ Saya sihatlah, abang. Penat sedikit kot, lagi pun pagi tadi saya makan sekeping roti aje.”

Aku mendiamkan diri, tidak mahu terus mempersoalkan kesihatan Adora. Buat masa ini aku akan memerhatikan sahaja keadaan Adora. Aku tidak mahu memaksanya berjumpa doktor jika Adora tidak mahu.

Getaran pada Buzzer membuatkan aku kembali ke kaunter. Sedulang makanan dan minuman pesanan aku dan Adora sudah sedia terletak di atas kaunter pengambilan. Sebelum aku berganjak dari kaunter, aku mengambil masa itu untuk melihat ke arah isteriku. Cuba mencari apakah yang tidak kena pada Adora. Ketika itu, aku melihat Adora menundukkan wajah dan mengeluh untuk beberapa kali.

Sepanjang aku dan Adora menikmati hidangan kami, tidak sedikit pun aku menyentuh pasal kesihatan Adora. Aku tidak mahu tersilap cakap, risau Adora akan berkecil hati denganku. Adora seorang isteri yang baik. Aku rasa dialah wanita yang terbaik untuk menjadi isteriku.

Jika aku membuat sesuatu yang dia tidak berkenan, Adora akan menasihatiku dengan lembut tanpa menaikkan nada suaranya. Jika aku keletihan, dia akan manjakan aku dengan manisan buatannya atau sekadar melayan kerenah aku. Jika aku sibuk, dengan sabar dia akan menanti aku pulang dari pejabat atau selesai membuat kerja tanpa bersungut. Kadang-kala aku merasakan perkahwinanku ini seperti mimpi sahaja.

Selepas makan kami berdua berjalan di taman itu, mengambil udara segar dan menikmati pemandangan bunga yang cantik. Berbual dengan Adora akan membuatkan aku rasa tenang walaupun ada masalah yang sedang aku hadapi. Dialah penawar untuk kesusahanku.

“ Adora?”

Aku panik apabila tiba-tiba sahaja tubuh Adora terdorong ke arahku ketika kami berjalan di laluan batu taman itu. Tangan Adora mencengkam kuat pada lenganku. Aku menyokong tubuhnya dengan tanganku. Wajah Adora yang berpeluh dan kemerah-merahan membuat aku tidak sedap hati.

“ Abang… boleh kita balik?” Adora melihat kepadaku dengan wajah yang semakin memerah. “ Tolong?”

“ Baik… baik. Mari, abang pimpin Adora dulu.”

Tanpa berlengah lagi aku membawa Adora ke tempat parkir kereta. Sebelah tanganku berpaut pada pinggang Adora, manakala sebelah lagi memegang tangannya. Nafas Adora kedengaran lemah dan tidak teratur. Melihatkan dirinya yang tiba-tiba sahaja lemah sebegitu membuatkan hatiku tersayat.

Sebaik sahaja kami tiba di rumah, Doktor Brenda sudah berada di muka pintu. Sebelum aku memandu meninggalkan Garden of Fae tadi, aku menelefon doktor yang selalu berkhidmat untuk keluargaku itu. Aku membaringkan Adora di atas katil dan membiarkan Doktor Brenda memeriksa Adora. Doktor Brenda meminta aku menunggu di luar sementara beliau melakukan pemeriksaan yang sepatutnya.

“ Macam mana dengan isteri saya, doktor?” Aku terus bertanya sebaik sahaja Doktor Brenda keluar dari bilik. Penantian yang dirasakan lama akhirnya tiba juga. Wajah doktor berusia 40-an itu aku pandang cemas.

“ Puan Adams hanya keletihan. Tuan tolong pastikan puan makan dengan cukup, ya? Tubuhnya kelihatan kurus. Berikan dia makanan berkhasiat, jangan lupa kerap minum air mineral juga. Buat masa ini, benarkan puan berehat daripada buat apa-apa kerja.”

“ Tak ada penyakitkah?”

Doktor Brenda menggeleng. “ Tiada tanda-tanda puan menghidap penyakit serius. Tapi kalau tuan mahukan kepastian, boleh bawa isteri tuan ke hospital untuk pemeriksaan yang selanjutnya.”

Aku menarik nafas lega, terasa beban pada hatiku menghilang. “ Baiklah. Terima kasih, doktor.”

Selepas menghantar Doktor Brenda ke muka pintu, aku pergi ke dapur. Beberapa biji buah oren aku keluarkan dari peti sejuk. Aku berhajat untuk membuat jus oren segar untuk Adora. Adora sedang tidur dan aku tidak mahu menganggunya. Aku perlu menyediakan sesuatu untuk dimakan Adora selepas dia bangun.

Deringan telefon bimbit Adora yang berada di ruang tamu mengejutkan aku. Tergesa-gesa aku membasuh tangan untuk mengangkat panggilan itu. Belum sempat aku mengambil telefon itu, deringan itu berhenti. Nama yang tertera pada skrin kurenung dengan hairan. Hanya nama ‘Profesor’ sahaja yang berada di skrin.

Siapa pula Profesor ini? Adora ada kawan yang bekerja sebegai profesorkah?

Kerana tidak mahu si pemanggil menganggu lena Adora, aku mematikan telefon bimbit. Tunggulah Adora sihat dahulu barulah aku memberitahu ada kawannya membuat panggilan. Aku kembali ke dapur untuk meneruskan kerjaku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience