Chapter 6

Romance Completed 8046

BAB 6

MAC 2015: RANEZIA HILL

HAMPIR tiga jam aku dan Archie duduk dalam kereta dalam perjalanan dari Orova City ke Ranezia Hill. Profesor Minsky kini menetap di kawasan bukit yang menyejukkan ini. Sebelum aku tiba, aku sempat menyelidik mengenai tempat ini. Memang patutlah Ranezia Hill menjadi pilihan Profesor Minsky. Selain daripada terkenal dengan kehijauan rumput dan pemandangan seperti yang hanya boleh didapati atas kanvas lukisan terbaik, Ranezia Hill terletak jauh daripada kesibukan kota. Ranezia Hill sering menjadi pilihan utama jika ada sesiapa perlukan terapi alam sekitar dan tempat yang aman.

Evan menghentikan kereta di hadapan sebuah rumah dua tingkat berwarna kuning cair. Aku dan Archie keluar daripada kereta. Mataku meliar memerhatikan suasana di sekeliling. Udara yang bersih dan nyaman di sini terasa amat berbeza dengan udara tercemar di kota. Pintu rumah itu dibuka, Profesor Minsky keluar dari rumah itu. Aku dan Archie berjalan mendapatkan beliau.

“ Selamat petang, profesor.”

“ Selamat petang. Adora… ada di tingkat atas. Bilik yang kedua dari kanan. Dia tak tahu kedatangan kamu dan Archie. Pergilah, biar saya jagakan Archie,” kata Profesor Minsky, terus memberitahu di manakah Adora berada.

“ Baiklah. Terima kasih, profesor.” Aku amat berterima kasih dengan jasa baiknya menemukan aku dengan Adora. Aku melihat kepada Archie. “ Archie main dengan profesor dahulu ya? Papa nak cakap dahulu dengan mama. Boleh?”

“ Baiklah, papa,” Archie bersetuju. “ Lepas papa siap cakap dengan mama, panggil Archie tau? Archie pun nak jumpa mama.”

Aku masuk ke dalam rumah itu sementara Profesor Minsky dan Archie bermain di luar. Kemas sahaja keadaan di dalam rumah itu. Hatiku berdebar-debar apabila mengenangkan selepas ini, aku dan Adora akan bertemu kembali selepas enam tahun kami berpisah. Aku tidak dapat membayangkan pertemuan kami. Adakah Adora akan gembira melihatku? Atau dia akan melarikan diri sekali lagi?

Tangga menuju ke tingkat atas berada di bahagian kanan ruang tamu. Selangkah demi selangkah aku mengangkat kaki untuk ke sana. Tiada siapa tahu bagaimana debaran yang semakin rancak dalam dadaku ini. Berulang kali aku menarik nafas panjang. Ketika kaki kananku sudah berada di anak tangga pertama, aku terlihat ke arah suatu sudut yang berdekatan dengan tingkap.

Ada sebuah piano berwarna hitam berada di situ.

Melihatkan piano itu mendatangkan nostalgia kepadaku.

SEPTEMBER 2009: EDEN CONDOMINIUM, OROVA CITY

AKU menarik tangan Adora dan mendudukkan dia di bangku piano. Aku turut duduk di sebelahnya. Adora ketawa sahaja melihatku.

“ Dari mana abang dapatkan Upright Piano ni?”

“ Abang belilah. Takkan abang buat magis dia muncul pula,” balasku.

Penutup kekunci piano aku naikkan ke atas. Adora tidak berkata apa-apa, dia melihat sahaja aku melarikan jari jemariku di atas kekunci.

“ Ada apa-apa simfoni Adora nak abang mainkan?”

“ Elgar, Salut d'Amour Op. 12,” kata Adora selepas berfikir buat seketika.

“ Greeting of Love,” ucapku perlahan. Aku melihat kepada Adora di sebelah. “ Adora tahu simfoni ni?”

Adora mengangguk, senyumannya melebar. “ Mendiang ibu selalu mainkan simfoni ni masa saya kecil dulu. Lagi pun, simfoni ini memang sedap didengar, kan?”

Aku tersenyum. “ Baiklah. Abang mainkan untuk Adora. Baik Adora dengar betul-betul. Bukan selalu abang dapat mainkan simfoni macam ni.”

Aku membiarkan minda dan perasaanku mengambil alih pergerakan jari jemariku. Segala perasaan sayangku kepada Adora aku curahkan dalam simfoni ini. Dengan Adora di sisi, aku mencuba sebaik kemampuanku untuk mendendangkan simfoni ini untuknya.

Adora diam sahaja di sebelahku. Kelihatannya dia benar-benar menikmati simfoni yang kumainkan ini. Ketika simfoni itu hampir tiba di penghujungnya, deringan telefon bimbitku berbunyi sekaligus menganggu perhatianku.

“ Saya ambilkan ya?”

Tanpa sempat aku membantah Adora pergi mengambil telefonku yang berada di atas meja kopi di ruang tamu. Aku bangun daripada bangku dan berjalan ke arah Adora. Adora menghulurkan telefon kepadaku tanpa menjawab panggilan itu.

“ Encik Romario,” kata Adora pendek. “ Saya masuk dalam bilik sekejap ya? Selepas ini saya buatkan parfait untuk abang.”

Aku melihat pemergian Adora sebelum mengambil tempat duduk di ruang tamu. Telefon aku lekapkan pada telinga. Suara Romario kedengaran.

“ Ya, Romario?”

“ Dokumen itu dah siap. Tinggal untuk tuan periksa lagi sekali sebelum kita serahkan pada Prosecutor State Office. Tuan nak saya datang jumpa tuan di rumah atau mahu jumpa di pejabat?”

“ Bagaimana dengan media? Kamu masih belum berikan dokumen dan kaset yang berkaitan, kan?”

“ Belum. Saya fikir lebih baik tuan periksa dahulu dokumen ini sebelum kita serahkan pada media dan pendakwa raya. Kalau apa yang kita lakukan berjaya, Fforde Group akan tunduk dengan kemahuan kita.”

“ Apa yang penting, saya mahu Gregory datang merayu, melutut depan saya. Seperti mana dia angkuh ketika menghulurkan bantuannya dahulu, saya nak lihat bagaimana wajahnya apabila dia harus membuang keangkuhannya untuk menyelamatkan syarikatnya.”

“ Fforde Group boleh bernaung di bawah Sky Corporation kalau semuanya berjalan dengan lancar. Pertemuan dengan setiap ahli lembaga pengarah Fforde Group juga menunjukkan sebahagian besar daripada mereka akan menyokong tindakan tuan.”

“ Beginilah. E-mailkan sahaja semua dokumen itu. Selepas saya telitikan, saya akan beri kata putus untuk serahkan dokumen itu kepada pejabat pendakwa raya dan pihak media. Selebihnya, kamu uruskan.”

“ Baiklah, tuan.”

Aku mematikan talian. Memikirkan bagaimana riak pada wajah Gregory selepas berita mengenai penyelewengan dana dalam syarikatnya dan juga tindakannya mengelak daripada membayar cukai disebarkan di setiap lapisan media membuatkan aku tersenyum sinis. Sudah berbulan-bulan aku merancang untuk menjatuhkan Gregory, hanya kini barulah rancanganku menemui kejayaan.

“ Abang teruskan juga rancangan abang?”

Aku melihat ke arah suara itu. Wajah Adora berkerut merenungku.

“ Adora…” Aku kehilangan kata-kata, tidak menyangka Adora mendengar perbualanku dengan Romario walaupun sudah perlahan suara aku gunakan.

“ Kenapa abang teruskan rancangan itu?”

Pertanyaan Adora aku abaikan. “ Boleh Adora jangan campur hal ini? Ini hal syarikat abang.”

“ Bukan ini caranya untuk abang balas dendam.”

Aku mendiamkan diri. Tidak mahu membalas kata-kata Adora kerana walaupun pahit aku harus mengaku apa yang diucapkan oleh isteriku itu benar belaka. Sejak kejadian aku gagal mengawal kemarahanku dan hampir mencederakan Adora, aku langsung tidak membuka mulut mengenai rancangan untuk menjatuhkan Gregory. Tetapi hari ini aku tersilap langkah. Sedikit sahaja lagi untuk aku mencapai matlamatku dan Adora mendapat tahu mengenai rancangan itu.

“ Abang,” panggil Adora lagi.

Wajah itu menunjukkan Adora kecewa dan sedih dengan diriku. Tiada lagi senyuman dan tawa Adora seperti mana aku nikmati ketika memainkan simfoni tadi kepadanya. Dalam sekelip mata sahaja, suasana dalam kondominium ini bertukar dingin.

“ Abang tak akan berganjak, Adora. Abang perlukan sedikit masa lagi untuk capai matlamat abang. Maaf, abang tak dapat ikut nasihat Adora kali ini.”

Aku mencapai jaket yang tersangkut di tiang penyangkut berhampiran pintu rumah. Tanpa menoleh lagi aku keluar dari kediaman kami. Aku perlukan masa untuk berfikir, untuk bersendirian. Melihatkan wajah Adora tadi membuatkan aku tidak sampai hati untuk berada dengannya ketika ini.

Ketika aku kembali pada lewat malam, Adora sudah tidur di dalam bilik. Tanpa disedari olehnya aku memerhati Adora dalam lenanya. Adora kelihatan resah dalam tidurnya, membuatkan aku tertanya-tanya apakah yang sedang dimimpikan oleh isteriku itu.

Keesokkan harinya, aku pulang awal dari pejabat kerana ingin menonton berita mengenai penangkapan Gregory di kaca televisyen rumahku. Adora yang biasanya menyambut kepulanganku tiada di muka pintu. Dia pergi dengan hanya membawa pakaiannya sahaja. Pakaian dan barangan yang dihadiahkan oleh aku kepadanya Adora tinggalkan. Sekeping nota aku temui di atas meja solek.

Jangan musnahkan hidup abang dengan dendam.

Saya dah mungkiri janji kita. Abang tak perlu maafkan saya.

Salah saya. Harap abang akan terus bahagia.

- Adora –

Pada hari itu, aku meminta Romario menarik balik dakwaan yang aku failkan ke atas Gregory dengan harapan Adora akan pulang. Malangnya, hampir seminggu aku menanti tetapi bayang Adora langsung tidak kelihatan. Bermulalah pencarianku untuk menemui isteriku kembali. Tetapi hasilnya menghampakan aku.

MAC 2015: RANEZIA HILL

KLAK!

Bunyi benda jatuh ke lantai menghentikan pergerakan jari jemariku di atas kekunci piano. Aku melihat kepada lantai, ingin melihat apakah yang terjatuh tadi. Sebuah patung kuda bersaiz kecil berada di kaki sebuah meja pendek. Aku mengangkat pandanganku, melihat kepada pemilik kaki yang sedang berdiri di sebelah meja tersebut. Mataku membulat apabila menyedari Adora sedang berdiri di situ, memandang kepadaku dengan wajah terkejut. Niatku untuk mengumpan Adora turun ke bawah dengan memainkan Salut d’Armour berjaya.

“ Adora.” Aku bangun daripada bangku piano.

Adora tidak berkata apa-apa sebaliknya dia berpatah ke belakang, menaiki tangga dengan pantas. Menyedari dia ingin melarikan diri daripadaku, aku segera mengekorinya dari belakang. Sebelum sempat Adora menutup pintu biliknya, aku menarik tombol pintu itu.

“ Pergi! Tolonglah…” Adora merayu tanpa melihat kepadaku. Bersungguh-sungguh dia ingin menghalang aku daripada memasuki biliknya.

Kuat tangan kiriku memegang tombol, tidak mahu kalah dengan tarikan Adora. Aku memaksa diriku untuk bolos bermula anggota badan kananku. Adora berganjak ke belakang apabila mendapati aku sudah berjaya memasuki bilik itu. Perlahan-lahan Adora berjalan ke belakang sehinggalah dia terlanggar meja yang terletak berdekatan dengan tingkap.

“ A… apa abang… buat kat sini?” Tersekat-sekat Adora bersuara. Daripada wajahnya aku tahu dia masih tidak mempercayai aku sedang berada di hadapannya.

“ Abang datang nak bawa Adora balik,” suaraku dengan nada tegas.

Aku melihat Adora dari atas ke bawah. Walaupun gaun putih labuh yang dipakainya longgar, tetapi aku dapat melihat betapa kurusnya tubuh itu. Selendang berwarna biru lembut membaluti kedua-dua bahu Adora. Rambut perang keemasannya panjang mencecah pinggul. Mataku beralih pula kepada mata biru langit Adora. Ada keletihan dapat kulihat pada mata bundar itu.

“ Pergilah… Antara kita tak ada apa-apa lagi,” perlahan Adora menuturkan.

“ Abang tetap akan bawa Adora balik,” tegasku.

Adora menggeleng. Dia berpaling menghadap tingkap, membelakangi aku.

“ Kenapa Adora tak beritahu abang yang Adora sakit? Perlu ke sampai melarikan diri daripada abang?” Nadaku masih kedengaran tegas. “ Abang cari Adora!”

Kepala itu ditundukkan. “ Baliklah. Sakit saya tiada harapan. Jangan susahkan diri abang.”

“ Penyakit Adora ada penawar, abang tahu.”

Adora mendiamkan diri. Dia masih tidak mahu menghadapku. Adora berpeluk tubuh, merapatkan lagi selendang itu pada tubuhnya.

“ Abang tak kisah gunakan Heaven Flame untuk sembuhkan Adora, kalau itu apa yang boleh abang gunakan untuk rawat Adora. Tak ada istilah susahkan diri abang.”

“ Cukuplah…”

“ Profesor Minsky dah beritahu abang. Walaupun secara praktikalnya masih belum diketahui, tapi beliau yakin Heaven Flame boleh menyembuhkan Adora. Kenapa Adora buang peluang tu?”

Adora menggeleng, kepalanya masih menunduk. Aku menghela nafas. Perlahan aku mendekati Adora.

“ Tengok abang, Adora.”

Adora masih tidak berganjak daripada kedudukannya itu. Aku mengeluh lagi. Jika kami terus begini, tidak akan ada penyelesaiannya. Aku perlu bertegas dengan Adora, jika tidak kedatangan aku ke sini sia-sia sahaja. Niatku adalah untuk mendapatkan Adora kembali dalam hidupku.

“ Adora…”

Aku memegang lengan kanan Adora, memaksa dia untuk berhadapan denganku. Adora menutup bahagian bawah wajahnya dengan tangan kirinya, kepalanya masih lagi menunduk. Matanya dipejam rapat. Rambut panjangnya menutupi sebahagian besar wajahnya. Adora cuba menarik lengan kanannya daripada pegangan aku tetapi aku mengemaskan pegangan itu.

“ Kita balik ya?” Aku memujuk dengan nada lembut.

Adora menggeleng, masih enggan melihat kepadaku. Air mata mengalir daripada matanya yang masih dipejam rapat itu. “ Abang baliklah. Tak ada apa yang boleh kita ubah. Saya… saya cuma harap abang dapat bahagiakan Archie.”

“ Abang tak akan pergi selagi Adora tak nak ikut abang,” pujukku lagi. “ Archie masih kecil, Adora. Dia perlukan abang dan Adora, bukannya salah seorang. Jika selama ini Archie hidup dengan Adora sahaja, biarlah kali ini dia hidup dengan kita berdua.”

“ Saya sakit, abang… Saya tak nak Archie sedih bila saya dah tak ada. Tolonglah… saya minta abang lupakan saya. Mulakan hidup baru abang, cari ibu yang baik untuk Archie.”

“ Adora mahu Archie panggil perempuan lain ‘ibu’?” Aku menaikkan sedikit nada suaraku. Daripada air muka Adora, aku tahu dia terluka dengan kenyataan itu.

Adora menjatuhkan tangan yang menutupi mulutnya. Matanya dibuka. Dia cuba menolak tanganku yang memegang pergelangan tangan kanannya itu tetapi kudratnya tidak mampu melawan tenagaku. Adora mengangkat wajah, melihat kepadaku dengan sepasang mata biru langit itu.

“ Kenapa abang nak seksa diri abang untuk jaga saya? Abang masih muda, abang boleh mulakan hidup baru. Abang tak perlu bazirkan masa abang untuk bersama saya yang sakit ni.”

“ Abang kahwin dengan Adora bukan hanya untuk hidup bersama masa Adora sihat. Kita berjanji untuk sehidup semati, ketika sihat atau sakit. Jangan beritahu abang Adora lupa apa yang kita ucapkan pada hari perkahwinan kita?”

Adora memejamkan matanya seketika, dia menggeleng perlahan.

“ Saya dah lupakan abang,” katanya dengan suara hampir berbisik. “ Giliran abang pula untuk lupakan saya. Baliklah. Jangan datang ke sini lagi.”

Aku mengetap bibir. Geram dengan Adora yang masih berdegil.

“ Kalau Adora lupakan abang, kenapa ada gambar perkahwinan kita dalam bilik ni? Kenapa Adora masih pakai cincin kahwin kita? Kenapa Adora turun masa abang mainkan simfoni tu? Kenapa Adora turun sehingga ke bawah sedangkan Adora boleh nampak abang yang duduk di piano tu? Kenapa… kenapa Adora muncul untuk hantar Archie?”

Adora pantas menyembunyikan tangan kirinya di mana cincin perkahwinan kami tersarung di jari manisnya. Matanya dihala ke arah bingkai gambar yang menunjukkan dirinya dan aku kelihatan bahagia di hari perkahwinan kami. Hati Adora sedang goyah. Inilah peluangku untuk terus memujuknya.

“ Adora tak mahu hidup bersama abang dan Archie?” Suaraku berbunyi lembut.

Adora membuka mulut sebelum menutupnya kembali. Aku melepaskan pegangan pada tangan Adora. Kedua-dua pipi Adora aku usap, menyingkirkan air mata di bawah matanya. Aku memaku pandangan kami berdua, memastikan Adora melihat tepat ke arahku.

“ Adora tak pernah inginkan hidup bertiga? Dengan abang, dengan Archie?” Aku bertanya lagi.

“ Saya sakit, abang…” Adora mengulang kata-katanya tadi.

“ Tapi Profesor Minsky kata penawarnya ada pada abang, kan? Kenapa letakkan perasaan bersalah untuk halang Adora gunakan kebolehan abang untuk rawat penyakit Adora?”

Adora terdiam. Dia memejamkan matanya kembali, kepalanya direbahkan pada dadaku. Saat itu aku tahu aku berjaya memenangi hati Adora kembali. Tubuh kurus itu aku peluk erat. Aku biarkan sahaja Adora menangis semahu-mahunya dalam pelukanku. Berkali-kali dia meminta maaf kepadaku dalam sendunya.

Air mata Adora mengalir lagi ketika aku membawanya berjumpa dengan Archie di luar rumah. Walaupun tidak sampai seminggu Adora dan Archie berpisah, tetapi kesannya amat membuatkan Adora nanar. Perpisahan dengan Archie dan kenyataan bahawa dia tiada bersama-sama aku dan Archie membuatkan sakit Adora bertambah teruk. Nasib baik Profesor Minsky segera merawat Adora dan membuat keputusan untuk bertemu denganku.

“ Terima kasih, profesor,” ucapku kepada Profesor Minsky sebelum kami berpisah.

“ Jaga Adora baik-baik. Jika ada berlaku apa-apa, segera hubungi saya.”

“ Baiklah. Pasal rawatan untuk memulihkan penyakit dia…”

“ Saya akan periksa lagi untuk memastikan tiada kesilapan yang tidak diperlukan. Yalah, ini kali pertama dalam sejarah usaha untuk membuat penawar yang benar-benar berhasil. Walaupun kita tak tahu penyakit itu boleh sembuh sepenuhnya atau tidak, tidak salahnya untuk mencuba. Nasib baik keadaan Adora tidak seteruk sebelum ini.”

“ Saya perlukan butir pasal Alectrona Disease secara menyeluruh. Boleh profesor emailkan pada saya?”

“ Baiklah. Serahkan sahaja pada saya.”

“ Terima kasih, profesor.”

Adora dan Archie yang muncul dengan sebuah beg dari muka pintu menarik perhatian kami berdua. Cepat aku mengambil beg pakaian yang ringan itu dan aku masukkan dalam but kereta, melarang Evan yang ingin melakukan tugas biasanya itu.

“ Profesor, terima kasih,” ucap Adora. “ Sebab…”

Profesor Minsky tersenyum. “ Selama enam tahun ini, saya anggap kamu seperti anak saya sendiri, Adora. Kalau boleh, saya nak jaga kamu tapi tempat kamu yang sebenar adalah di sisi suami kamu. Begitu juga dengan Archie. Cucu saya ini perlukan ibu dan bapa yang selalu ada di sisinya.”

Adora sendu. Dia memeluk tubuh gempal Profesor Minsky. Profesor Minsky ketawa perlahan. Selepas beberapa ketika, Profesor Minsky meleraikan pelukan mereka.

“ Jangan lupa, banyakkan berehat, makan makanan berkhasiat. Jangan selalu terdedah dengan cahaya matahari. Kalau kamu rasa ada perubahan dalam diri kamu, segera hubungi saya. Jangan pendam sahaja.”

Adora tersenyum dalam sedihnya. Dia mengangguk perlahan. “ Baiklah, profesor.”

Aku membiarkan Archie masuk dahulu dalam kereta sebelum Adora. Kami akan terus pulang ke Orova City tanpa singgah di mana-mana. Archie tertidur kerana keletihan. Aku dan Adora tidak berbual, sebaliknya kami berdua hanya menikmati suasana sepi dalam kereta itu. Hanya tautan tangan kami yang menjadi bicara.

MAC 2015: EDEN CONDOMINIUM, OROVA CITY

AWAL pagi lagi aku memberitahu Romario bahawa aku tidak akan masuk ke pejabat pada hari ini. Aku membawa sarapan pagi masuk ke dalam bilik. Adora baru sahaja bangun daripada lenanya. Archie pula masih tidur di tengah-tengah katil. Aku meletakkan dulang makanan di atas katil.

“ Minum susu dahulu,” kataku seraya menghulurkan segelas susu segar kepada Adora. Adora menyambutnya dengan senyuman. Senyuman yang terasa nostalgik apabila memikirkan sudah lama aku tidak melihat senyuman manis Adora.

“ Terima kasih, abang.”

Adora minum sedikit. Selepas itu aku menghulurkan pula pinggan yang berisi sarapan untuknya. Pagi ini aku menyediakan salad kentang berserta potongan buah-buahan segar. Dua keping roti bakar disapu jem rasberi kegemaran Adora turut aku sediakan untuknya. Tidak lupa segelas jus epal.

“ Abang tak makan?” Adora kelihatan hairan apabila melihat ada sepinggan makanan sahaja.

“ Masa masak tadi abang dah makan. Yalah, nak cuba dulu, risau jadi tak sedap.”

Adora ketawa perlahan. Dia mengambil salad dahulu untuk dijamah. Selepas menyuap salad itu, Adora mengambil sekali lagi lalu dihala ke arahku. Aku tersengih, menerima suapan Adora. Akhirnya, aku berkongsi sarapan dengan Adora. Archie pula lena seperti tidak akan bangun-bangun. Asyik benar anak lelakiku itu bergolek di atas katil.

“ Abang tak nak tanya saya apa-apa ke?” Adora bertanya selepas kami selesai bersarapan.

Aku diam sejenak. Wajah Adora kurenung lama. “ Adora tak kisah kalau abang tanya?”

Adora tersenyum lagi. “ Abang ada hak untuk tanya saya.”

Aku menarik nafas. Memilih soalan yang sedang ligat bermain dalam fikiranku.

“ Pertama sekali…” Aku diam lagi. Ragu-ragu untuk meneruskan soalanku. “ … macam mana Adora boleh kenal dengan Profesor Minsky?”

“ Masa saya keluar ke taman di bawah, abang bekerja masa tu,” jawab Adora. “ Profesor melawat kawannya di sini masa beliau jumpa saya tengah tahan sakit di bangku taman. Profesor yang cam tanda-tanda penyakit itu, minta saya berhati-hati sebelum profesor periksa dengan lebih lanjut.”

“ Jadi, Adora pernah ke rumah profesor?”

Adora mengangguk. “ Saya tahu saya patut beritahu abang dulu, tapi saya tak sedap hati. Jadi, saya pergi sahaja ke rumah lama profesor di bandar ini. Profesor periksa keadaan saya dan sahkan saya… penghidap penyakit yang tiada penawar.”

“ Kenapa Adora tak beritahu abang?” Aku agak kesal dengan pilihan Adora untuk berdiam diri walaupun perkara itu sudah lama berlalu.

“ Abang masih bersedih dengan kematian ayah dahulu, kan? Lagi pun abang sibuk di pejabat. Saya tak tahu bagaimana nak beritahu abang.”

Aku mengeluh, merasakan ini adalah silapku. Jika aku lebih tumpukan perhatian kepada Adora, pasti kami tidak akan berpisah. Adora menyentuh lembut lenganku. Dia menarik senyum nipis.

“ Jangan salahkan diri abang. Ini pilihan saya.”

“ Adora pergi sebab abang degil teruskan rancangan abang, kan?”

Adora menggeleng perlahan. “ Pada masa tu, saya dah fikir untuk pergi. Saya tak mahu bebankan abang dengan penyakit saya. Lagi pun, profesor kata beliau boleh rawat saya selagi boleh. Bagi saya, masa depan abang masih cerah. Abang masih muda. Buat apa…” Adora terdiam. “ … susahkan diri abang?”

“ Adora tahu abang tak akan benarkan Adora pergi walau apapun yang jadi, kan?”

“ Saya tahu,” jawabnya perlahan. “ Sebab itulah saya memilih untuk pergi. Bagaimana jika dalam masa terdekat saya dah tiada? Siapa yang akan jaga makan pakai abang? Saya sakit hati bila tengok keadaan abang masa kematian ayah. Kalau boleh… saya tak mahu abang patah hati sebegitu lagi. Sekurang-kurangnya, pemergian saya dalam keadaan saya masih hidup tidak seteruk pemergian saya disebabkan kematian.”

“ Bagaimana pula dengan Archie?” Aku melihat kepada Archie yang masih lena. “ Adora pergi sebelum tahu Adora hamil? Atau Adora pergi…” Aku tak dapat menghabiskan kata-kataku.

“ Saya tak tahu saya hamil, abang,” balas Adora. “ Bila saya tinggal di Meadowbay Village selama seminggu, barulah saya tahu saya tengah hamilkan Archie. Masa tu… saya fikir saya patut biar abang tahu tapi bila fikirkan apa tindakan saya… saya rasa saya tak layak. Profesor Minsky hampir desak saya untuk gugurkan Archie…” Air mata Adora mengalir. “… sakit saya bertambah teruk bila hamil tapi… saya tak nak. Hanya Archie harta saya bila… abang tiada di sisi saya.”

Aku mengesat air mata Adora. Aku tidak dapat membayangkan penderitaan isteriku ketika mengandungkan Archie. Dengan penyakitnya yang tidak menentu datangnya, ditambah pula dengan ketiadaan aku, suaminya di sisi. Hanya kepada Profesor Minsky dan Puan Dixon sahaja tempat Adora bergantung.

“ Kita lupakan apa yang berlaku, ya?” Aku berkata perlahan. Mataku tepat melihat kepada mata Adora. “ Abang nak Adora tumpukan pada rawatan Adora. Abang akan lakukan apa saja untuk pastikan teori Profesor Minsky pasal Heaven Flame dapat rawat penyakit Adora jadi kenyataan.”

“ Tapi, macam mana kalau…”

“ Jangan fikirkan perkara yang belum jadi lagi,” pujukku lembut.

Aku tahu Adora risau sekiranya diriku pula yang berada dalam bahaya. Selama 31 tahun aku hidup, aku langsung tidak tahu kegunaan sebenar Heaven Flame selain digunakan untuk menenangkan perasaan seseorang atau ketika berlawan. Aku tidak dapat membayangkan apakah teori yang berjaya dikeluarkan oleh Profesor Minsky mengenai Alectrona Disease dan kaitannya dengan Heaven Flame.

“ Abang akan bantu Adora sedaya upaya abang. Adora tak seorang diri dalam perkara ni. Jangan pendam masalah Adora atau larikan diri lagi. Adora tahu kan, abang dan Archie perlukan Adora untuk lengkapkan keluarga kita?”

Aku melihat sepasang mata biru itu menjadi merah. Adora meluru ke arahku. Tangannya merangkul leherku, dahinya disandarkan pada bahuku. Aku tersenyum. Rambut panjang Adora aku usap perlahan. Adora tidak menangis. Dia hanya perlukan kepastian daripadaku.

Kepastian bahawa aku tidak akan pergi dari sisinya.

“ Ermm…”

Aku dan Adora melihat ke arah Archie yang sedang menggumam dalam tidurnya. Perlahan-lahan mata Archie dibuka. Pantas Archie bangun tanpa bersuara dan mendekati kami. Tangan kecilnya diletakkan di atas kepala aku dan Adora.

“ Papa buat mama menangis ke? Jahatlah papa ni,” gumam Archie perlahan. Dia kelihatan mamai.

Aku dan Adora ketawa. Kami saling berpandangan sebelum kembali melihat kepada Archie.

“ Archie tidur lagi ke ni? Risau papa.”

Tawaku semakin kuat apabila tiba-tiba sahaja Archie duduk di antara aku dan Adora sebelum berbaring dan merapatkan lutut kepada tubuhnya. Gaya Archie tidur sudah seperti seekor kucing. Aku dan Adora tidak dapat menghentikan tawa kami. Terhibur dengan gelagat Archie di pagi hari.

“ Sayang, bangunlah,” kata Adora. Dia mencium pipi Archie. “ Bangunlah, Archie tak nak keluar dengan mama dan papa ke?”

“ Nak…” Gumam Archie dalam lenanya.

Aku menggelengkan kepala. Mengantuk sangat Archie pada pagi ini.

“ Baiklah. Jom kita sambung tidur!”

“ Eh, abang? Tapi…”

Aku menarik Adora untuk turut sama berbaring di atas katil. Archie berada di tengah-tengah kami. Kelihatannya dia tidak sedar apakah yang berlaku di sekelilingnya. Aku melihat kepada Adora yang sedang berbaring di sebelahku, dipisahkan oleh Archie.

“ Tidurlah. Adora tentu penat lagi. Kita keluar malam ya? Abang tak nak jadi apa-apa pada Adora.”

Adora tersenyum nipis. “ Baiklah, abang.”

Aku memanjangkan tangan, mengelus rambut Adora. Melihatkan Adora sudah memejamkan matanya kembali membuatkan aku tersenyum. Aku tidak percaya akhirnya tiba juga hari di mana Adora akan berada di pangkuanku semula. Kali ini diserikan dengan kehadiran cahaya mata kami.

JUNE 2015: RANEZIA HILL

SUDAH hampir dua bulan lebih berlalu sejak aku dan Adora dipertemukan kembali. Memandangkan aku perlu fokus dalam membantu kajian Profesor Minsky, aku mengambil keputusan untuk berhenti kerja. Aku telah menyerahkan posisiku kepada Vincent. Jawatanku kini hanyalah sebagai pemerhati syarikat. Pada mulanya Auntie Rita dan saudara maraku yang lain membantah kerana diriku amat diperlukan oleh syarikat, tetapi bagiku jika aku inginkan sesuatu, aku perlu korbankan sesuatu juga.

Untuk pastikan kesihatan Adora akan pulih seperti sedia kala, aku korbankan sayangku pada legasi yang ditinggalkan oleh mendiang bapaku.

Aku membeli sebuah kotej satu tingkat yang terletak berdekatan dengan rumah Profesor Minsky. Aku tidak pernah terfikir untuk meninggalkan kehidupan di bandar kerana selama ini aku membesar di sana, tetapi nampaknya aku lebih tenang di sini. Persekitaran dan suasana hidup di Razenia Hill membuatkan aku tenang.

Romario masih berada di sisiku. Kali ini dia bekerja sebagai pembantu dalam perniagaan buah-buahan segar dari ladang buah yang turut aku beli di kawasan ini. Untuk mengelak diriku daripada kebosanan kerana tidak bekerja, aku mengambil peluang ini untuk mencuba peluang perniagaan baharu.

“ Archie!” Aku melaung dari hadapan rumah. Archie sedang bermain bola dengan kawan-kawannya di padang yang berhadapan dengan rumah kami.

“ Ya, papa!”

Archie berlari ke arahku selepas mengucapkan selamat tinggal kepada kawan-kawannya. Aku ketawa apabila Archie memeluk kuat sebelah kakiku. Wajah comel itu sedang melihat tepat pada wajahku.

“ Mama dah tunggu. Atau Archie tak nak ikut?”

“ Nak! Nak!”

Aku memanggil Adora yang sedang menunggu di dalam rumah. Dia muncul dengan bakul berisi makanan untuk perkelahan kami. Adora kelihatan manis sekali dalam gaun merah jambu berbunga biru lembutnya. Kardigan lengan panjang berwarna putih menjadi pemanas dalam cuaca sejuk ini.

Aku mengangkat Archie dan mendudukkan dia di antara bahuku. Kepalaku menjadi mangsa pautan tangan Archie. Sebelah tanganku memegang sebelah kaki Archie untuk menyokong kedudukannya, sebelah lagi memegang tangan Adora. Bakul berisi makanan itu masih di tangan Adora. Kami berjalan menyusuri laluan di antara rumput yang menghijau.

Keadaan Adora sudah semakin pulih. Profesor Minsky menemui catatan lama yang mengatakan Heaven Flame mempunyai kuasa untuk menyucikan sesuatu. Profesor Minsky meminta aku memfokuskan nyalaan api itu pada titik-titik tertentu pada tubuh Adora. Selepas itu beliau cuba pula menggunakan Heaven Flame untuk menyucikan air mineral yang diperoleh dari sumber tertentu. Aku bukannya pakar dalam hal ini tetapi aku gembira kerana usaha Profesor Minsky menunjukkan hasil walaupun Adora masih belum pulih dengan sepenuhnya.

Pada saat itulah aku merasakan Heaven Flame amat berharga untukku. Jika dahulu aku mempersoalkan kenapa aku terpilih untuk mewarisi Heaven Flame itu tetapi kini aku amat berterima kasih. Aku juga dalam proses untuk mengawal Heaven Flame Archie. Aku tidak mahu dia mencederakan sesiapa kerana tidak pandai mengawal api itu.

“ Cantiknya!” Archie menjerit kuat.

Aku tersengih sahaja mendengar jeritan Archie itu. Adora tidak berkata apa-apa, hanya senyuman sahaja menjadi balasannya. Mata kami dihala kepada pemandangan di hadapan kami. Sebuah tasik dengan air yang jernih seperti kristal menjadi perhatian kami. Rumput yang menghijau mencantikkan lagi pemandangan di hadapan kami.

“ Mari, turun dahulu,” kataku.

Aku menurunkan Archie ke tanah. Seronok benar Archie kerana aku membawanya berkelah ke sini. Tempat ini sering menjadi tumpuan penduduk untuk berkelah atau sekadar berjalan-jalan menikmati pemandangan. Disebabkan penduduk di sini amat menjaga kebersihan, suasana di kawasan ini amat terjaga.

“ Pai strawberi! Sedapnya!” ujarku gembira apabila melihat Adora mengeluarkan pastri itu daripada bakul berkelah. Kami sedang duduk di atas kain, mengelak daripada kotoran tanah. Archie pula sedang mengejar rama-rama yang dilihat olehnya tadi.

Adora ketawa. “ Abang kan suka pai ni. Makan banyak-banyak. Balik nanti saya boleh buatkan lagi.”

Aku tersenyum. Pipi Adora aku cium lembut. “ Terima kasih.”

“ Oh ya! Abang ingat bakeri di kaki bukit tu?”

“ Ingat. Kenapa dengan bakeri itu?”

Adora ketawa perlahan sebelum menyambung ceritanya. “ Tuan bakeri itu pernah makan tart epal, Opera Cake dan Victoria Sandwich Cake yang saya buat untuk tadika Archie, sebab anak dia bersekolah di situ. Dia tanya kalau saya boleh ajar pekerja-pekerja baharu dia buat pastri.”

“ Baguslah kalau macam tu. Adora terima atau tidak?”

“ Saya nak minta kebenaran abang dulu. Boleh saya ajar mereka?”

Aku mengangguk. “ Abang tahu membuat kek dan pastri memang kegemaran Adora. Kalau Adora nak ajar mereka, ajar saja. Abang tak kisah. Tapi jangan paksa diri sangat.”

“ Baiklah. Terima kasih, abang.” Adora menguntum senyuman manis.

Mendengar nafas Adora di sisiku sudah cukup bagiku. Bersama-sama Archie, keluarga kami sudah lengkap. Aku tidak mahu kehilangan Adora lagi. Aku akan pastikan dia bahagia dengan layanan aku terhadapnya. Aku juga mahu menjadi bapa yang terbaik untuk Archie.

Aku mendongak ke atas, melihat langit. Langit biru terbentang luas di hadapan kami. Asalkan Adora dan Archie berada di bawah langit yang sama denganku, bahagia mereka adalah bahagiaku.

- The End –

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience