BAB 6

Action Series 2295

Masa berlalu dengan pantas. Sedar tidak sedar, sudah hampir dua minggu mereka bermalam di rumah usang itu. Setiap hari AK akan mengajar Hana cara memanah dan menembak. Lelaki itu juga mengajar Hana teknik-teknik asas melepaskan diri dari pegangan musuh dan juga belajar cara memanjat pokok. Kaki Hana juga sudah sembuh seperti sediakala. Sudah boleh berjalan dan berlari seperti biasa.

Dari atas batu sungai yang diduduki, Hana memandang AK yang sedang menangkap ikan menggunakan tombak. Dia tidak tahu pula bahawa lelaki itu sentiasa membawa pisau lipat. Jika dilihat dari gaya AK, lelaki itu jelas seperti sudah biasa dengan kehidupan di dalam hutan. Pantas dan tangkas melakukan kerja.

Hampir setiap hari jugalah AK menangkap ikan di sungai. Bolehlah mereka makan ikan bakar meskipun tidak seberapa. Tinggal di dalam hutan, dapat makan ikan bakar pun dah rasa cukup mewah. Bekalan makanan yang dibawa sudah hampir kehabisan.

"Awak," Hana memanggil AK. Suaranya sedikit kuat.

AK menoleh. "Kenapa?"

"Lambat lagi ke?"

AK mencebik. Minah ni eeeii. Kecik besar je dia tengok sekarang. "Kau tak nampak ke aku tengah buat apa?"

"Tanya sikit nak marah. Orang tanya je pun." Masam wajah Hana. Tak boleh tanya sikit. Asyik nak marah je. Period ke?

"Kejap lagi kita balik." Akhirnya AK memberikan jawapan yang dirasakan menjawab soalan Hana. Kerja-kerja menangkap ikan diteruskan.

"Okey. Sekarang saya nak tanya. Apa nama sebenar awak? Chayden tu gelaran untuk awak kan?"

"Banyak tanya la kau ni. Apasal kau nak tahu?"

"Kita dah lama berkawan. Tapi saya tak tahu pun nama awak. Nak la jugak tahu nama sebenar awak. Nama penuh saya awak tahu."

Pergerakan AK terhenti. Dia pantas berpaling ke arah Hana. Kenapalah dia ditakdirkan untuk bertemu dengan Hana? Seseorang yang bermulut becok. Hampir setiap hari ada je benda dia nak tanya. Sudahlah mulut asyik berbunyi. Geram nak sumbat kapas dalam mulut.

"Nama aku Amzar. Dah, tu je yang kau perlu tahu. Sekali lagi kau bukak mulut, aku humban kau dalam sungai." Wajah AK bertukar serius. Dia tidak main-main.

Hana kunci mulut. Takut juga dia dibuatnya. Kata-kata AK kedengaran serius menandakan lelaki itu memaksudkan apa yang dikatakan olehnya. Dia tidak berani untuk bersuara lagi. Bimbang AK betul-betul humban dia ke dalam sungai.

**********************************************************

Setelah mengemas barang-barang, akhirnya AK dan Hana meninggalkan tempat mereka berteduh selama ini. Mereka mahu melanjutkan perjalanan untuk keluar dari hutan tebal ini. Masing-masing hanya diam sepanjang perjalanan. Mereka berjalan mengikut arus sungai mengalir.

Setelah beberapa jam berjalan, Hana kepenatan. Dia berhenti berjalan. Badannya membongkok sedikit. Dia mahukan air. Terlalu dahaga. Kepala dipanggung memandang AK yang turut berhenti di sebelahnya.

"Kita berhenti sekejap boleh? Saya letih dan dahaga." Peluh basah yang merecik di dahi dikesat menggunakan belakang tangan.

AK mengeluarkan botol minuman dari backpack. Botol itu diangkat tinggi di udara. Tinggal sedikit sahaja lagi air yang masih tersisa. "Ini je yang tinggal." AK tunjuk botol minuman di tangan kepada Hana.

Hana mengeluh. Sesungguhnya dia benar-benar kehausan. Tekaknya sudah kering. "Saya nak cari air."

"Sungai?" AK juga kehausan. Berjam-jam berjalan pastinya tekak kehausan.

Hana menganggukkan kepala. Setelah itu dia mula berjalan ke arah sungai yang tidak jauh dari situ. Baru beberapa langkah melangkah, AK bersuara menyuruhnya supaya berhenti berjalan.

"Jangan bergerak. Aku dengar bunyi tapak kaki."

Hana berhenti melangkah. Statik berdiri di tempatnya. Baru sahaja mahu menoleh, kedengaran suara seseorang menyergah mereka.

"Woi! Korang nak lari mana?"

Tidak menunggu lama, AK segera menarik tangan Hana untuk berlari dari situ. Hana yang terkejut dengan tindakan itu hanya menurut langkah AK. Mereka berlari sambil berpegangan tangan. Sepantas yang boleh mereka berlari. Orang-orang suruhan Dragon seramai 5 orang berlari mengejar mereka dari belakang.

Dengan backpack yang berada di belakang, larian AK tidaklah laju mana. Namun dia kuatkan hati untuk terus berlari. Mereka harus berlari sejauh yang boleh daripada ditangkap oleh orang-orang Dragon. Saat berlari, AK ternampak pokok besar di hadapan. Timbul satu idea di benak fikirannya untuk menyorok di situ. Dengan pantas dia menarik Hana supaya mengikutinya. Mereka menyorok di belakang pokok.

"Kau nampak tak pokok tu?" AK menunjuk ke arah pokok yang beberapa meter di hadapan mereka. Suaranya perlahan sahaja.

Hana mengangguk. Dia mengerti apa yang dimahukan oleh AK. "Awak nak saya panjat pokok tu?"

"Yes. Aku nak kau panjat pokok tu. Bila kau nampak dorang, kau lepaskan anak panah. Target betul-betul sasaran macam yang aku ajarkan. Aku akan alihkan perhatian dorang." AK terus bangun berlari ke arah bertentangan.

Dengan pantas Hana berlari ke arah pokok yang ditunjukkan oleh AK. Dia sudah lengkap memakai quiver dengan anak panah berada di dalamnya. Pokok dipanjat setinggi yang boleh. Mahu melihat kedudukan orang-orang Dragon yang mengejar mereka sebelum menyasarkan target.

Seperti yang dirancangkan oleh AK, dia berdiri di belakang pokok besar. Backpack ditanggalkan. Revolver dikeluarkan. Bersedia mahu mengalihkan perhatian musuh. Akhirnya tembakan dilepaskan ke arah sebuah pokok. AK kembali bersembunyi di belakang pokok. Bunyi yang terhasil berjaya mengalihkan perhatian anak-anak buah Dragon. Mereka menuju ke arah bunyi yang terhasil. AK memerhatikan gerak-geri musuh di balik pokok dengan tangan kejap memegang revolver, bersedia mahu melepaskan tembakan.

Dia memandang ke arah Hana yang berada di atas pokok. Hana turut memandang ke arah AK. AK menganggukkan kepala gaya memberi arahan supaya melepaskan anak panah. Sewaktu anak-anak buah Dragon sudah berkumpul di bawah pokok yang ditembak oleh AK, tembakan segera dilepaskan oleh AK. Bahu kiri musuh menjadi sasarannya. Tembakan yang dilepaskan mengenai bahu salah seorang daripada mereka. Lelaki itu terjerit sambil tangan sebelah lagi memegang tempat luka. Giliran Hana pula memanah musuh sehingga mengenai paha musuh. Lelaki itu jatuh terduduk sambil menjerit kesakitan. Keadaan itu menyebabkan rakan-rakan mereka panik. Dengan pantas mereka menarik rakan-rakan mereka untuk bersembunyi di balik pokok.

'Pertempuran' dimulakan. Anak-anak buah Dragon mula melepaskan tembakan ke arah AK dan Hana. Tembakan tersasar. Tidak menunggu lama, AK berlari ke arah pokok lain yang berdekatan dengannya. Lariannya berjaya menarik perhatian musuh. Tiga orang lelaki yang tidak tercedera mengejar AK. Dari satu pokok ke satu pokok AK berlari. Akhirnya dia berhenti di satu pokok. Berlindung di balik pokok itu. Revolver disimpan. Menanti musuh mendekatinya. Saat ketiga-tiga lelaki menghampirinya, dengan pantas AK keluar dari tempat persembunyiannya. Kaki diangkat tinggi.

Pak!

Sepakan mengenai leher salah seorang. Lelaki itu jatuh pengsan di atas tanah. Dua orang lagi daripada mereka segera menerpa ke arah AK. Tumbukan dilepaskan ke arah wajah AK. AK mengelak. Tumbukan dari kedua-dua arah menyebabkan AK sedikit sukar untuk mengimbangi badannya. Dari arah bawah, tangan kanan naik menumbuk dagu pihak lawan. Lelaki yang ditumbuk dagunya terdongak ke atas sambil mengaduh memegang dagu. Peluang itu diambil oleh lagi seorang anak buah AK. Dia segera menendang perut AK sehingga terdorong ke belakang. Belum sempat AK berdiri dengan baik, lelaki itu sekali lagi AK ditendang di bahagian perut. AK terjatuh di atas tanah. Pipi kiri dan kanannya ditumbuk bertubi-tubi oleh anak buah Dragon menyebabkan dia mula kehilangan tenaga untuk berlawan. Dia hampir-hampir sahaja mahu melelapkan mata. Hana yang melihat situasi itu segera melompat turun dari pokok. Dia harus membantu AK.

Turun sahaja dari pokok, busur penembak diangkat. Dia mula mensasarkan target. Seketika kemudian, anak panah dilepaskan. Kali ini, sasaran Hana tersasar. Dia berdecit geram. Dia belum sepenuhnya handal memanah.

"Oh shit!" Sumpah Hana.

Sepantas kilat dia berlari ke arah mereka bertiga. Lelaki yang ditumbuk dagunya perasan akan kehadiran Hana. Sementara AK dikerjakan oleh rakannya, dia mahu mengerjakan Hana. Saat berada di hadapan anak buah Dragon, Hana segera menumbuk pipi lelaki yang dagunya ditumbuk oleh AK. Tumbukan Hana dipatahkan begitu sahaja. Langsung tidak mengena. Hana bukanlah handal dalam bertarung. Dia juga baru belajar semua ini. Kerana mahu membantu AK, dia nekad melakukan semua ini.

Semudah itu sahaja lelaki itu menumbuk perut Hana. Hana terbongkok-bongkok. Perit rasanya apabila ditumbuk sedemikian rupa. Hana abaikan sakit yang dialaminya lalu menerpa ke arah lelaki itu. Mereka jatuh di atas tanah dengan keadaan Hana berada di atas badan lelaki itu. Busur pemanah diangkat lalu dihentak beberapa kali ke arah wajah pihak lawan. Rakan lelaki itu yang menyangkakan AK sudah pengsan segera menuju ke arah Hana. Hana tidak perasan kehadiran lelaki itu menyebabkannya dia terjatuh di atas tanah kerana telah disepak dari arah belakang. Hana menyeringai kesakitan. Rasa nak patah tulang-tulangnya apabila diperlakukan begitu.

Baru sahaja lelaki itu mahu menyepak badan Hana lagi sekali, AK datang membantu. Tubuh lelaki itu didorong sehingga terjatuh di atas tanah. Mereka bergelut sesama mereka. Masing-masing melepaskan tumbukan. Akhirnya lelaki itu terkulai pengsan setelah dihentakkan kepala sebanyak tiga kali di atas tanah oleh AK. Belum sempat AK bangun, terasa kepalanya dipukul oleh seseorang dari arah belakang. Akhirnya AK rebah di atas tanah. Sebelum matanya terpejam rapat, dia sempat melihat ke arah Hana yang sudah dipegang kedua-dua tangan oleh anak buah Dragon. Rupa-rupanya anak-anak buah Dragon yang ditembak di bahu kiri dan terkena anak panah yang dilepaskan oleh Hana datang membantu rakan mereka.

12:15, Wed Jul 2022 —

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience