BAB 1

Action Series 2295

HANA berlari sekuat hati. Sesekali dia menoleh ke belakang. Meskipun hutan ini dipenuhi dengan semak-samun serta pokok-pokok yang tinggi, dia masih mampu melihat dengan jelas gerangan yang mengejarnya dari arah belakang.

Seorang lelaki kurus bertubuh gelap manakala seorang lagi lelaki bertubuh gempal berkulit sawo matang sedang berlari laju mengejarnya. Lelaki gempal memegang senapang patah jenis Pump Gun Remington manakala lelaki berkulit gelap memegang pistol jenis Walther model PPK buatan Jerman.

“Berhenti!” Lelaki bertubuh gempal menjerit kuat. Menyuruh Hana supaya berhenti berlari.

Hana yang ketakutan semakin cuak. Jeritan itu seolah-olah harimau lapar yang sedang menunggu masa untuk membaham mangsanya. Dia meneruskan larian. Daun-daun kering dipijak tanpa rasa mahu berhenti. Tangan bergerak kiri dan kanan, mahu membuang apa-apa sahaja dedaun serta tumbuhan yang menghalang laluannya.

“Aku cakap berhenti sekarang sebelum aku tembak kau!”
Lelaki bertubuh gempal bersuara sekali lagi. Lebih kuat dari tadi. Memberi amaran kepada Hana supaya berhenti berlari.

Hana kuatkan semangat. Masih lagi berlari semampu yang boleh. Sesungguhnya dia takut dengan ugutan itu. Akan tetapi untuk berhenti tidak sama sekali! Jika dia berhenti, entah apa nasib dia selepas ini jika berada di dalam genggaman mereka.

“Aku cakap berhenti maksudnya berhenti la!”

Jeritan nyaring kedengaran di dalam hutan tebal diikuti bunyi pistol yang dilepaskan ke udara.

Langkah Hana mati. Tersentak dengan bunyi pistol itu. Dia menoleh. Dilihatnya dua orang lelaki yang mengejarnya kian mendekatinya.

"Baik kau berhenti sebelum peluru ni tembus kepala kau!" Jerit lelaki gempal.

Hana terpempan. Dengan cemas dia kembali berlari. Berlari sejauh yang boleh daripada ditangkap oleh lelaki-lelaki di belakangnya. Saat terpandangkan pokok besar yang dianggarkan boleh memuatkan kira-kira empat pemeluk manusia yang berada di pinggir hutan, Hana mendapat idea untuk berlindung di sebalik pokok tersebut. Kaki pantas berlari ke arah pokok berkenaan sebelum bersembunyi di belakang pokok itu.

Hana hanya diam statik di situ. Apabila kedengaran derap tapak kasut kian menghampiri, degupan jantung Hana semakin laju. Peluh renik yang mengalir di sekitar wajah tidak dihiraukan. Tangan naik menutup mulut. Mahu mengelakkan sebarang bunyi keluar daripada bibir kerana bimbang bunyi yang keluar akan menarik perhatian lelaki yang mengejarnya.

Jantung Hana seakan-akan berhenti berdegup tatkala dua lelaki berkenaan berdiri betul-betul berhadapan pokok yang didudukinya. Wajahnya bertukar pucat lesi. Jika ditoreh pasti tidak berdarah. Kedengaran dua lelaki berkenaan sedang bercakap-cakap.

"Mana perempuan tu pergi?" Ujar lelaki kurus. Wajahnya jelas kegeraman.

"Aku nampak dia lari kat sini tadi. Sekarang dah hilang." Sahut lelaki berbadan gempal.

"Kita cari dia kat depan sana," usul lelaki kurus.

Mereka beredar mencari Hana kembali. Hana mengintai dari belakang pokok. Apabila dirasakan kedudukan dua lelaki yang mengejarnya sudah jauh beberapa meter darinya, Hana mengambil keputusan untuk pergi dari situ. Mahu meninggalkan tempat itu.

Penuh hati-hati, Hana melangkah perlahan menuruni pinggir hutan. Entah di mana silapnya, kakinya tersadung akar pokok menyebabkan dia jatuh tergolek di atas daun-daun kering menghasilkan bunyi. Hana tergolek sehingga dahinya terhantuk pada batang pokok yang sudah lama tumbang di bawah. Bunyi yang terhasil telah berjaya menarik perhatian lelaki yang mengejar Hana sebentar tadi. Mereka berpatah balik.

Hana hampir pengsan kerana hantukan tersebut. Namun dia kuatkan semangat untuk berdiri. Dahinya yang luka tidak dihiraukan. Dia harus berjuang antara hidup dan mati.

"Woi perempuan!" Jerit lelaki gempal apabila terpandangkan Hana yang berada di bawah. Dua lelaki terbabit pantas berlari ke arah Hana.

Dengan tubuh yang kian lemah, Hana mula berlari meskipun tidak selaju sebelumnya. Saat mahu melangkah melepasi sungai, kaki Hana tergelincir daripada batu sungai. Dia terjatuh kembali.

"Auch!" Hana mengaduh kesakitan. Kaki digosok lembut cuba menghilangkan sakit yang dialami.

Dia menoleh. Lelaki-lelaki tadi kian menghampiri. Hana semakin cemas. Dia cuba bangun mahu menyambung semula lariannya namun gagal. Kesakitan di kakinya membuatkan dia tidak mampu bergerak. Terseliuh barangkali.

Sekali lagi Hana cuba berdiri. Belum sempat dia berdiri dengan baik, dia sudah dipeluk dari arah belakang. 

"Lepas! Lepas!" Hana meronta-ronta mahu melepaskan diri.

Dia cuba meleraikan pelukan kejap itu namun gagal. Lengan lelaki kurus itu ditampar beberapa kali. Mahu melepaskan diri.

"Jangan nak melawan. Kalau tak, aku bunuh kau." Amaran keras dikeluarkan.

"Lepaskan aku!" Jerit Hana. Dia tidak peduli dengan amaran keras itu. Yang dia tahu dia mahu melepaskan diri dari cengkaman lelaki-lelaki tersebut.

"Jangan harap kita orang nak lepaskan kau. Bos kita orang nak jumpa kau." Usai berkata lelaki kurus itu terus memikul Hana di bahu kirinya.

Lelaki gempal hanya mengikut dari belakang. Senapang patah masih setia dalam genggamannya.

"Aku taknak ikut korang. Lepaskan aku!"

Belakang badan lelaki kurus dipukul beberapa kali dengan harapan lelaki itu akan melepaskannya. Pukulan itu hanya sia-sia kerana langsung tidak memberi impak kepada lelaki itu. Tenaga wanitanya tidak setanding dengan tenaga lelaki. Pukulannya semakin lama semakin lemah. Lelaki itu tenang sahaja membawanya untuk kembali ke gudang sambil diawasi oleh rakannya dari belakang.

Hana yang sudah hampir putus asa akhirnya memutuskan untuk menggigit bahu lelaki yang sedang memikulnya. Dia rela jatuh lagi sekali daripada dibawa pergi oleh lelaki itu. Bahu kiri lelaki itu digigit sekuat hati.

"Arghhh!" Lelaki itu menjerit kesakitan. Serentak itu Hana terlepas jatuh ke atas tanah.

Gedebuk!

Hana yang sememangnya kesakitan, bertambah sakit. Seluruh tubuhnya terasa berbisa dek kesakitan yang dialami. Belum apa-apa, pergelangan tangan Hana disambar oleh lelaki gempal.

"Aku taknak ikut korang. Tolonglah lepaskan aku." Rayu Hana dengan suara lemah.

"Mustahil untuk kita orang lepaskan kau." Balas lelaki gempal selamba.

Dengan sekuat hati Hana merentap pergelangan tangannya. Pegangan terlepas. Kaki kiri menyepak betis kanan lelaki gempal. Lelaki itu terdorong ke belakang. Baru sahaja mahu bangun, tudungnya ditarik kuat ke belakang membuatkan kepalanya terdongak sedikit ke atas memandang wajah lelaki kurus.

"Kau ni memang mintak la perempuan!" Pekik lelaki itu.

Rahang Hana dicengkam kuat.

"Sakit," desis Hana. Rasa sakit kian terasa apabila diperlakukan sedemikian rupa. Air matanya mula menitis perlahan.

"Ni baru sikit. Kalau kau taknak sakit, ikut kita orang jumpa bos."

"Kirim salam maut dekat bos kau!"

Serentak itu satu tendangan mengenai belakang tubuh lelaki gempal yang berdiri di belakang lelaki kurus. Lelaki gempal itu terdorong ke hadapan. Badannya membongkok.

Lelaki kurus berpaling.

Pak!

Satu sepakan mengenai pipi kiri lelaki kurus. Kepalanya terteleng ke tepi. Pistol di tangan tercampak jatuh di atas daun kering.

"Kau sentuh dia ibarat kau sentuh aku!"

Pak! Pak!

Dua lagi sepakan dilayangkan ke pipi kiri lelaki kurus tadi. Lelaki itu jatuh tidak sedarkan diri. Darah mula keluar dari celah bibirnya.

Hana terkejut. Lelaki kurus itu jatuh betul-betul di hadapan kakinya. Mata diangkat memandang susuk tubuh yang menolongnya sebentar tadi.

Pandangan bersabung dengan anak mata warna hitam sang lelaki. Lelaki yang dikenalinya. AK!

AK cepat-cepat menoleh memandang ke arah lelaki gempal yang kembali berdiri tegak. Lelaki itu mengatur posisi supaya berada dalam keadaan bersedia. Senapang patah dipegang kejap.

"Aku ingatkan kau dah mampus dekat tangan anak buah aku. Rupanya aku silap." Dingin AK berkata.

Matanya tajam bak helang. Tiada segaris senyuman di bibirnya. Hanya fokus memandang musuh di hadapan.

"Budak-budak kau lembik. Ingat semudah tu nak bunuh aku? Silap besar Chayden!"

"Mungkin sebelum ni kau terlepas dari maut. Kali ni aku akan pastikan kau takkan terlepas."

"Then kill me!" Lelaki gempal mencabar AK.

"Once I'm done, you're dead meat. Bitch!" Dingin lagi sekali.

Senapang dilempar ke tepi. Kaki berlari ke arah AK. Mahu menyerang lelaki itu. Tumbukan dilepaskan ke arah AK. Lelaki itu pantas mengelak.

Lelaki gempal tidak berpuas hati. Dia maju ke hadapan semula. Tujahan hadapan dilepaskan. AK terundur ke belakang apabila tujahan itu mengenai dadanya. Tangan diletakkan di dada. Matanya mencerun memandang lelaki gempal.

"Dasar lembik." Lelaki gempal sengaja membakar api kemarahan AK.

"Kau tu yang lembik!"

Serentak itu AK meluru ke hadapan. Sepantas kilat tendangan dilepaskan mengenai batang tubuh lelaki gempal. Lelaki itu terjatuh. Kepala lelaki gempal disepak bertubi-tubi oleh AK. Darah tersembur keluar dari mulut dan hidung. Muka dihentak beberapa kali ke tanah. Tidak cukup dengan itu, AK menarik lelaki gempal supaya kembali berdiri.

Baju dipegang kejap.

"Sekarang kau bagitahu aku siapa yang lembik."

"Kau." Lemah sahaja lelaki gempal menjawab.

Buk! Buk!

Tumbukan bertubi-tubi dilepaskan. Lelaki gempal yang sudah kehilangan tenaga itu perlahan-lahan melorot jatuh. Longlai. Matanya terpejam rapat. AK senyum sinis.

"Kau bukan lawan aku." Tidak berperasaan AK menuturkan ayat itu.

Tangannya bergerak mengeluarkan pisau lipat multi tool yang berada di poket belakang seluar. Pisau itu dimainkan di udara beberapa kali sebelum AK kembali fokus kepada anak buah musuhnya iaitu Dragon.

"Badan kau terlalu cantik. Why not aku 'usik' sikit badan kau?" AK bercakap sendirian. Sesekali dia senyum sinis. Tidak ubah seperti psiko.

Hana terdiam. Dia hanya kaku di tempatnya menyaksikan segala-galanya. Matanya tidak lepas memandang AK. Dia takut melihat sisi AK yang sekarang. Kali pertama dia melihat sisi gelap lelaki itu. Pandangannya kian kabur dek air mata yang semakin deras menuruni pipi.

AK menanggalkan baju yang dipakai oleh lelaki gempal. Kemudian dia meletakkan pisau lipat di atas perut lelaki tersebut. Tanpa berlengah AK toreh sedikit perut lelaki itu. Sebuah tulisan diukir.

FIND ME

Itulah ayat yang diukir di atas perut lelaki gempal itu. Darah tersembur keluar. Hana menutup mulutnya dengan tapak tangan. Meskipun pandangannya kabur, dia masih dapat melihat dengan jelas apa yang dilakukan oleh AK. Sungguh Hana terkejut dengan apa yang dilihatnya. Dia tidak mahu menyaksikan pemandangan ngeri itu namun dia tidak mampu mengalihkan pandangan.

Bau darah yang hanyir membuatkan Hana kelemasan. Lama-kelamaan pandangannya mula kabur. Sebelum menutup mata dia sempat mendengar AK menjerit memanggil nama penuhnya.

"Hana Daneera!"

Sun, Jun 12 2022 06:40 AM —

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience