BAB 3

Action Series 2295

Sebelum matahari tegak di atas kepala, AK sudah membawa Hana keluar dari gua. Dia dan Hana harus keluar dari gua sesegera mungkin. Tidak boleh berlama-lama di situ dan tidak boleh meninggalkan jejak kepada anak-anak buah Dragon. Dia tidak mahu orang yang tidak bersalah menjadi mangsa tembakan Dragon.

Hana yang didukung di belakang AK hanya diam tidak bersuara. Kakinya sakit tidak mampu berjalan dengan baik dek kerana tergelincir dari batu sungai lewat petang semalam menyebabkan AK mendukungnya.

"Awak, kita nak pergi mana?" Hana bertanya di cuping telinga AK memecahkan keheningan di antara mereka.

"Shhh..nanti kau akan tahu. Kita dah tak boleh duduk kat gua tu. Bila-bila masa je orang-orang Dragon akan jumpa kita."

"Siapa Dragon?" Jujur Hana ingin tahu siapa yang dimaksudkan dengan Dragon. Semasa dia dikurung, acap kali juga dia mendengar lelaki-lelaki yang mengurungnya menyebut perkataan Dragon.

"Kau tak payah tahu. Kalau aku bagitahu pun, bukannya kau kenal pun."

Masam mencuka wajah Hana. Hek eleh! Taknak bagitahu sudah. Orang tak paksa pun.

Derap tapak kaki yang tidak jauh dari situ membuatkan AK berhenti menapak. Dia tahu orang-orang Dragon sedang mencarinya dan Hana.

"Kau jangan bersuara. Diam." Bisik AK perlahan.

Hana diam. Mengerti dengan arahan yang diberikan oleh AK. Dia juga turut mendengar derap kaki di sekitar kawasan mereka berdiri.
Perlahan-lahan AK bergerak menghampiri pokok sederhana besar. Hana diturunkan dan diletakkan supaya berselindung di balik pokok. Busur penembak diambil daripada tangan Hana.

"Kau duduk sini diam-diam. Jangan pergi mana-mana. Kalau kau nampak apa-apa, jangan menjerit. Diam je." Separa berbisik AK mengingati Hana. Dia ada tugas yang perlu dilaksanakan.

Hana mengangguk. "Awak nak pergi mana?"

"Aku ada kerja nak buat. Orang-orang tu tengah cari kita. Kau nak balik rumah dengan selamat, kau dengar cakap aku. Okey?"

Mahu tidak mahu Hana akhirnya bersetuju. Dia duduk di antara celah pokok. Cepat-cepat AK menggantung busur pada bahu lalu berjalan ke arah pokok yang bertentangan dengan pokok yang diduduki oleh Hana. Pokok itu dipanjat sambil mata tajam memandang ke bawah. Mencari orang-orang Dragon yang berada di sekitar kawasan itu. Akhirnya AK tersenyum apabila target pertamanya berhenti tepat di bawah pohon yang didudukinya.

AK melompat turun dari tempat persembunyiannya dan mendarat betul-betul di hadapan target pertamanya. Lelaki kurus yang merupakan anak buah Dragon segera berpaling. Belum sempat lelaki itu berbuat apa-apa, sepantas kilat AK mengangkat tinggi kakinya lalu dihayunkan ke arah leher lelaki itu. Lelaki itu jatuh pengsan di atas tanah.

AK tersenyum puas. Target pertama berjaya ditewaskan. AK berselindung di balik pokok tadi. Dia nampak target kedua menghampiri tempat dia bersembunyi. Semakin lama semakin dekat. Senyuman sinis tersungging di bibir AK apabila terpandangkan target kedua mengacukan pistol di udara. Anak panah segera dikeluarkan. Busur penembak diangkat menghala ke arah 'mangsa'. Pandangannya difokuskan ke arah tangan yang sedang memegang pistol lalu jari menarik picu. Anak panah tepat mengenai lengan target kedua. Pistol jatuh ke tanah.

Sepantas kilat AK berlari ke arah 'mangsa'nya. Busur penembak dilayangkan ke wajah mangsa. Target kedua yang diserang menjerit kesakitan sambil cuba mengelak serangan daripada AK. Anak panah yang tertusuk di lengan ditarik keluar. Lagi sekali di menjerit kesakitan. AK terus maju. Tumbukan bertubi-tubi dilepaskan ke arah pipi kiri 'mangsa'nya. Pergerakan AK cuba dipatahkan dengan menendang perut AK. AK terdorong ke belakang. Perut dipegang. Senak juga perutnya apabila ditendang sedemikian rupa.

"Bodoh!" Ucap AK seraya meludahkan air liur. Busur penembak dilempar ke atas tanah. Bersedia mahu menyerang lagi sekali.

Target kedua bernafas laju. Luka di tangan agak teruk juga. Mata mencerun tajam.

"Kau rasa kau boleh kalahkan aku?" Angkuh sahaja lelaki itu bertanya.

"We'll see. Kita tengok siapa yang akan tersungkur lepas ni." Keras nada suara AK. Dia tidak takut dengan pihak lawan. Dia cukup bersedia dengan sebarang kemungkinan.

Serentak itu, masing-masing meluru ke hadapan. Target kedua menghalakan penumbuk bersedia mahu menumbuk wajah AK. Melihatkan situasi itu,AK segera menyengetkan kepala. Penumbuk dilepaskan bertubi-tubi ke pipi kiri pihak lawannya. Lelaki yang ditumbuk itu tersungkur jatuh. Darah membuak-buak keluar dari hidung dan mulut. AK yang belum puas segera menerpa. Mahu menumbuk lagi. Saat mahu melepaskan tumbukan, lelaki tadi segera menujah dada AK menggunakan kaki.

AK terjatuh di atas tanah. Jatuh bersebelahan lelaki yang menujah dadanya. Lelaki itu segera mengambil kesempatan yang ada. Wajah AK ditumbuk bertubi-tubi. AK menahan tumbukan itu dengan menolak wajah lelaki tersebut menggunakan tangan. Mereka berguling-guling di atas tanah. Saat target kedua berada di atas badan AK, AK mengambil peluang menumbuk hidung lelaki itu menyebabkannya terdorong ke belakang. Sepantas kilat AK berada di atas badan lelaki itu. Tumbukan dilepaskan ke arah pipi dan kanan. Bertubi-tubi. Target kedua yang sudah kehilangan tenaga akhirnya perlahan-lahan memejamkan matanya. Pengsan.

Sementara itu Hana yang berada tidak jauh dari situ memandang pergelutan yang berlaku di antara AK dan lelaki-lelaki yang mencari mereka dengan riak terkejut. Mulutnya ditekup rapat. Mengelakkan dari mengeluarkan sebarang bunyi. Tiba-tiba Hana merasakan ada sesuatu di bahagian belakang badannya. Seperti ada sesuatu yang sejuk menyentuh kulitnya.

"Kalau kau jerit, kau mati. Bila-bila masa je pisau ni boleh toreh kulit kau" Kedengaran suara keras di belakang Hana.

Hana diam di tempatnya. Tidak berani bersuara. Matanya berair. Badannya menggigil mendengarkan amaran keras itu. Sesuatu yang sejuk menyentuh kulitnya adalah sebuah pisau!

Hana ditarik kasar supaya bangun berdiri. Mahu tidak mahu, Hana terpaksa mengikut kehendak lelaki itu dek kerana pisau masih berada di dalam bajunya. Mengenai kulit belakangnya. Hana ditolak kasar. Kesakitan di kaki membuatkan Hana menyumpah seranah lelaki yang memaksanya berjalan. Tidak berperikemanusiaan langsung!

Hana dipaksa berjalan menuju ke arah AK yang baru sahaja 'menghabisi' mangsa kedua.

"Kalau kau nak perempuan ni selamat, kau jangan buat apa-apa."

AK menoleh. Dilihatnya Hana berada di dalam genggaman target ketiga. Pandangannya terus berubah tajam. Marah dengan situasi sekarang. Dia tidak mahu Hana dicederakan. Hana tiada mengena dengan masalah di antara dirinya dan Dragon. AK bangkit berdiri.

"Kau cuba ugut aku?" Soal AK kasar. Wajahnya mula menyinga. Menunjukkan taring.

"Kalau kau rasa benda tu satu ugutan, terpulang dekat kau nak tafsir sebagai apa."

AK mendengus geram. Dia paling tidak suka orang main-main dengannya. "Kau datang sini nak tempah maut ke? Ke kau nak peluru ni tembus kepala kau?" Revolver dikeluarkan dari sarung poket seluar. Revolver dihala tepat ke arah wajah orang suruhan Dragon.

"Peluru kau tembus kepala aku atau pisau aku yang akan ambik nyawa perempuan ni dulu?" Pisau yang berada di belakang badan Hana dikeluarkan. Belakang pisau itu diletakkan di leher Hana lalu ditekan sedikit membuatkan Hana menjerit ketakutan. Hampir sahaja dia menangis kerana terlalu takut.

AK berdecit. Dasar bodoh! Menggunakan Hana untuk memerangkapnya. Wajah Hana dipandang. Wajah wanita itu jelas ketakutan ditambah pula badannya sedang menggigil. Air mata yang bertakung di tubir mata membuatkan AK merasa bersalah terhadap Hana. Dia tahu Dragon menyuruh anak-anak buahnya mengejar Hana kerana mahu mengumpannya supaya bertemu dengannya. Tidak disangka pertemuannya dengan Hana bakal membawa mereka ke sini.

Salah dia juga kerana bersetuju untuk bertemu dengan gadis itu. Dia lupa bahawa dia masih berada di dalam pengawasan Dragon meskipun dia sudah memberitahu lelaki itu bahawa dia mahu keluar dari kumpulan mereka. Dragon tidak bersetuju dia keluar daripada kumpulan. Akan tetapi AK sudah tidak mahu terlibat dengan apa-apa jenis pengeksploitasi pistol dari luar negara. Dan dia sudah tidak mahu terlibat dengan dunia perkumpulan ketua-ketua kongsi gelap. Dia sudah insaf!

"Dragon nak aku kan? So kau lepaskan perempuan ni," pinta AK. Dia tidak mahu ada pertumpahan darah. Tidak sesekali!

"Tak semudah tu aku akan lepaskan perempuan ni. Dragon nak kau dengan dia."

Mendengarkan kata-kata itu, AK menggenggam penumbuk. Dragon sudah melampau! Melibatkan orang yang tiada kena mengena dalam hal mereka. Lelaki itu sememangnya sengaja membakar api kemarahannya.

"Bawak aku jumpa Dragon." Perlahan-lahan AK menapak ke arah Hana dan orang suruhan ketiga.

"Apa jaminan kau yang aku boleh percayakan kau?"

"Aku akan ikut tanpa sebarang senjata." Serentak itu tangan didepangkan ke udara seraya menjatuhkan revolver ke tanah.

Hana mengerutkan dahi melihat tindak-tanduk AK. Dah gila ke buat semua ni? Macam mana nak pertahankan diri lepas ni kalau ikut dengan tangan kosong?

Orang suruhan Dragon tersenyum puas. Semudah itu dia percaya kata-kata AK. "Kau dengan perempuan ni jalan kat depan. Kau jalan dulu," arahnya supaya AK terlebih dahulu berjalan.

AK menurut. Perlahan-lahan dia berjalan melintasi Hana dan orang suruhan Dragon. Melihatkan AK sudah beberapa meter berjalan di hadapan, orang suruhan Dragon akhirnya melepaskan pisau yang diletakkan di leher Hana.

"Giliran kau pulak untuk berjalan." Arahnya kepada Hana.

Sambil berjalan, orang suruhan Dragon mengawasi pergerakan AK dan Hana. Pisau masih setia di tangan. Baru beberapa langkah berjalan, AK berhenti menapak.

"Yang kau berhenti kenapa?" Soal orang suruhan Dragon.

Tali kasut aku terbuka. Korang jalan dulu."AK menunduk. Pura-pura mengikat tali kasut padahal tali kasutnya okay sahaja.

Hana dan orang suruhan Dragon bergerak ke hadapan. Saat mereka berdua melintasi AK, AK tersenyum sinis. Inilah peluangnya! Kakinya yang panjang digunakan sebagai perisai untuk menjatuhkan pihak lawan. Gaya menggelecek di atas tanah dilakukan menyebabkan orang suruhan Dragon terjatuh tersembam di atas tanah. Pisau di tangan terpelanting beberapa meter. Belum sempat lelaki itu bangun, AK pantas berdiri. Sepakan maut diberi kepada orang suruhan Dragon. Bertubi-tubi.

Hana yang melihat situasi itu segera mengundurkan diri. Kakinya yang sakit tidak dihiraukan. Mulutnya terbuka manakala mata membulat. Terkejut dengan tindakan AK yang tidak dijangka.

"Kau ingat semudah tu aku akan ikut kau? Mimpi sianglah kau!"

Buk!

Lagi sekali sepakan dibuat. Belum cukup berpuas hati, AK menarik pula kolar baju yang dipakai oleh anak buah Dragon. Lelaki itu dipaksa bangun.

"Lagi sekali kau berani usik Hana, mampus kau aku kerjakan."

Buk! Kali ini AK menggunakan kepala lutut untuk menendang perut lelaki itu. Lelaki itu menunduk. Perut dipegang. Senak. Belum sempat dia berdiri tegak, AK menggunakan sikunya pula untuk ditujah ke arah leher lelaki itu. Tujahan itu membuatkan lelaki itu terjatuh kembali di atas tanah. Kepalanya terhentak di atas sebatang kayu. Akhirnya dia tidak sedarkan diri.

Bertambah terkejut Hana dibuatnya. Dengan kaki yang masih sakit, dia mendekati AK. "Dia dah mati ke?" Tersekat-sekat suaranya bertanya.

AK menoleh. Nafas berat dilepaskan sebelum menggelengkan kepala. Peluh basah yang merenik di wajah dikesat menggunakan belakang tangan.

"Tipu." Hana tidak percaya. Dia nampak darah keluar dari kepala lelaki itu.

"Kau pergi check sendiri!" Suruh AK. Orang kata tak mati, tak matilah. Dari jauh boleh nampak nafas lelaki itu turun naik. Setakat tidak sedarkan diri sahaja.

Hana berjalan terhincut-hincut ke arah lelaki yang tidak sedarkan diri itu. Penuh hati-hati, dia menunduk. Nadi di pergelangan tangan lelaki itu diperiksa. Masih masih hidup. Hana kembali berdiri.

"Sekarang kita nak buat apa?"

"Kita kena pergi dari sini sebelum orang-orang Dragon jumpa kita."

Busur penembak dan anak panah dikutip. Revolver diambil lalu diletakkan di dalam sarung poket seluar manakala anak panah dimasukkan ke dalam quiver. "Kau pegang ni." Busur penembak bertukar tangan. Sekali lagi Hana didukung oleh AK. Mereka harus segera pergi dari situ!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience