BAB 2

Action Series 2295

Tangan kanan kejap memegang double-action revolver sejenis pistol yang menggunakan palu yang bergerak secara automatik bersamaan dengan pelatuk yang ditekan. Batang busur dengan lambang helang yang terukir di bahagian tengahnya diletakkan di atas tanah. Mata galak memandang kiri dan kanan sebagai langkah berjaga-jaga. Bimbang lokasinya dan Hana akan diketahui oleh musuh.

Pergerakan kecil daripada Hana menyebabkan AK menoleh. AK mencangkung memandang ke arah Hana yang sudah terjaga dari pengsannya.
Wajah Hana kelihatan pucat dan sedikit takut dengannya.

"Kau dah bangun?" Soal AK dengan nada yang mendatar. Wajahnya tidak menunjukkan apa-apa reaksi.

Hana menganggukkan kepala. Sekeliling dipandang. Gelap. Hanya unggun api kecil sahaja yang dilihat menyinari tempat yang mereka duduki.

"Kita kat mana ni?" Hana bertanya dengan suara tersekat-sekat. Dia takut dengan situasi sekarang. Dia nak balik!

"Kita kat dalam gua."

Jawapan AK membuatkan Hana terkejut besar. Hampir sahaja dia menjerit namun mulutnya pantas ditekup oleh tangan kekar milik AK.

"Kau jangan menjerit. Kalau kau taknak mati dibunuh, dengar cakap aku." Keras AK memberi peringatan kepada Hana supaya tidak menjerit. Dia bimbang sekiranya Hana menjerit akan menarik perhatian anak buah Dragon. Jikalau hal itu berlaku, dia tidak dapat menjamin keselamatan Hana. Antara hidup dan mati.

Hana menggeleng kepala dengan mulutnya masih ditekup oleh AK. Kata-kata AK membuatnya semakin ketakutan. Sudahlah dia takut dengan AK. Masih segar di ingatannya bagaimana AK 'menghabiskan' dua orang lelaki yang mengejarnya. Ngeri apabila diingatkan kembali. Kali pertama dia menyaksikan pemandangan kejam di hadapan mata.

"Kau hanya boleh hidup kalau dengar cakap aku. Kau melawan, kau mati!" Lagi sekali AK mengingati Hana.

Pertemuan kali pertama membawa mereka ke sini. Pada awalnya mereka berkenalan di Fac. Setelah 3 tahun berteman di Fac, akhirnya mereka membuat keputusan untuk berjumpa. Entah di mana silapnya, sewaktu Hana dalam perjalanan pulang ke ke rumah setelah bertemu dengan AK, dia diikuti oleh sebuah kereta hitam. Hana yang ketakutan memecut kereta laju. Setiba di sebuah selekoh yang sunyi, kereta hitam bertindak melanggar belakang kereta Hana membuatkan keretanya hilang kawalan lalu terbabas melanggar pokok di tepi jalan.

Hana yang tidak sedarkan diri akhirnya dibawa pergi. Lelaki yang memandu kereta hitam membawa Hana jauh ke dalam hutan di sebuah gudang lama. Hampir dua minggu Hana dikurung di gudang tersebut sebelum dia curi-curi melarikan diri tatkala lelaki yang menjaganya keluar membuang air kencing. Sebab itulah Hana dikejar oleh dua orang lelaki yang memegang pistol. Hana tidak tahu motif dia dibawa ke situ. Orang-orang yang mengurungnya asyik memarahinya sambil bertanya di manakah Chayden. Sebelum ini dia tidak tahu siapakah gerangan Chayden. Kini dia sudah tahu siapakah yang dimaksudkan dengan Chayden. Chayden merupakan gelaran untuk AK.

Hana menganggukkan kepala tanda mengerti. AK akhirnya melepaskan tangan dari terus-terusan menekup mulut Hana. Hana bernafas lega.

"Tapi saya nak balik." Ucap Hana. Itu sahaja yang ada di dalam kepala Hana. Dia tidak mahu apa-apa. Dia cuma mahu pulang ke rumahnya dengan selamat. Keluarganya pasti risaukan dirinya.

AK mendengus geram. "Kau rasa dalam keadaan sekarang kau boleh balik dengan selamat ke?"

Hana menunduk. Kata-kata AK hampir membuatkan Hana menangis. Dia takut dengan semua ini. Rasa menyesal pun ada bertemu dengan AK. Dia yakin AK bukan sembarangan orang.

"Kau dengar sini baik-baik. Kalau kau taknak mati lagi, kau dengar cakap aku. Kalau kau teringin sangat nak mati awal, kau boleh pergi dari sini. Tapi kau kena ingat, sekarang kita ada kat dalam hutan tebal. Jauh dari orang ramai. Agak-agak kau selamat tak jalan sorang diri?"

Hana terdiam. Ada betulnya kata-kata AK.

"Sekarang kau pilih. Kau nak pergi dari sini atau kau nak ikut aku?"

Mata bertentang mata. "Apa pilihan lain lagi yang saya ada selain daripada dua pilihan yang awak sebutkan tu?"

AK ketawa kecil. "Kau boleh ikut lelaki yang kejar kau tadi."

Pantas Hana menggeleng. Dia tidak mahu kembali ke gudang yang didiaminya sejak 2 minggu lepas.

"So kau nak ikut aku?"

Apa lagi pilihan yang Hana ada selain bersetuju untuk mengikuti AK? Akhirnya lambat-lambat Hana mengangguk.

"Kau nak ikut aku boleh tapi ada dua syarat."

Dahi Hana berkerut. Syarat apa pulak ni?

"Apa dia?" Ingin tahu juga syarat yang dikenakan oleh AK. Takde angin takde ribut, tiba-tiba bersyarat.

"Pertama, kau kena kuatkan mental, fizikal dan emosi kau. Kat sini kau tak boleh lemah. Nak berdepan dengan musuh, kena tunjuk kuat. Kedua, kau kena mahir berlawan."

Mata Hana melorot ke arah revolver yang dipegang oleh AK. Kemudian beralih pula kepada panah dan busur yang berada di atas tanah.

"Awak nak saya belajar guna semua tu ke?" Bibir dijuihkan menunjuk ke arah revolver dan busur panah.

AK mengangguk. "Bijak pun kau ni. Ingatkan bodoh sangat."

Hana tarik muka. Apa dia ingat aku ni bodoh sangat ke? Mak bapak aku hantar aku belajar sampai masuk universiti tau.

"Malam ni kita tidur kat sini. Esok pagi aku akan bawak kau pergi dari sini. Kau jangan pandai-pandai nak lari keluar dari gua ni. Faham?" Ala-ala bos AK memberi arahan.

"Faham." Sepatah Hana menjawab. Dia tidak tahu apa nasibnya selepas ini. Nasib dia sekarang berada di tangan AK.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience