Bab 6

Romance Completed 19208

“Mengapa you terima lamaran umi I?” Yasmin menarik nafas sebelum menjawab soalan yang dilontarkan dengan nada sedikit sinis.

“Tujuh malam berturut-turut saya buat istikharah. Saya jumpa dua tiga ustaz dan ustazah untuk minta pendapat mengenai bayangan yang saya dapat setiap kali selepas istikharah. Semuanya menjurus kepada satu jawapan: terima lamaran Datin.” Satu persatu Yasmin mengatur ayat.

“Itu je alasannya? Atau ada agenda di sebalik semua ni?” Nada suara Zarul semakin keras. Suhu marahnya hampir mencapai takat didih medengar jawapan Yasmin.

“Maksud encik Zarul?”

“Iyalah you pun dah dekat 30. Boyfriend seorang pun tak ada. Yang datang meminang you pula bukan sebarangan orang. Ada harta, ada nama, ada kedudukan. You pula sebatang kara. Nanti-nanti boleh menumpang senang.”

Yasmin beristighfar panjang. Dinding kesabaran di hati segera diperkukuhkan. Berdepan dengan lelaki seperti Zarul, dia perlu bijak mengawal kemarahan. Dia berpendidikan. Keceluparan Zarul perlu dibalas dengan cara paling halus.

“Apa yang membuatkan encik Zarul fikir saya ni anak dara tak laku? Saya boleh bagi list nama lelaki yang berminat dengan saya. Apa pula yang membuatkan encik Zarul ingat saya hadap sangat dengan harta, nama dan kedudukan Datuk Zakaria? Saya ada kerjaya sendiri. Saya boleh cari duit dengan kudrat saya.”

“Dah tu? Mengapa kau tak pergi je kat jantan yang terhegeh-hegehkan kau?” Zarul masih cuba mengumpan amarah Yasmin.

“Sebab istikharah saya menunjuk kepada seorang,” Ringkas dia menjawab.

“Apa pun alasannya aku tak boleh terima pernikahan ni. Aku nak kau pergi jumpa umi dan ayah aku beritahu kau nak batalkan semua benda ni.

“Perempuan ni semua menyusahkan. Dasar tak boleh dipercaya. Apa yang aku tak beri pada dia? Almost everything. Aku lebihkan dia daripada diri dan keluarga aku sendiri. Tapi apa yang aku dapat? Nothing. Asal ada yang lebih kaya sikit, mula gelap mata. Tanpa sepatah kata, dia tinggalkan aku macam sampah. Hati aku sakit. Jiwa aku sakit. Aku benci perempuan!”

Zarul sedikit terjerit. Mujurlah restoran itu sudah tidak ramai pelanggannya.

Kecut juga hati Yasmin melihat tubuh Zarul menggeletar menahan marah.

Sedikit-sebanyak dia memahami punca kemarahan Zarul kepada makhluk bernama perempuan. Tetapi menyalahkan semua perempuan tidak adil. Lelaki ini perlu diajar.

“Kalau begitu dengan kisah saya pula. Then buat perbandingan apa yang saya tanggung dengan apa yang encik Zarul tanggung.”

“Aku tak ada masa nak dengar hikayat hidup kau.”

Tanpa menghiraukan Zarul, Yasmin terus membuka mulut.

“Saya anak bongsu daripada dua beradik. Kedua-duanya perempuan. Kakak saya tiga tahun lebih tua. Ayah saya kaki judi, kaki botol, kaki perempuan. Emak saya menjadi mangsa belasahan ayah bila dia mabuk dan kalah judi. Bukan sekali dua dia berzina dengan perempuan lain dalam bilik tidur, atas katil mereka. Emak saya sudah kering airmata untuk menangis. Kami berdua yang beri dia kekuatan untuk bertahan.

“Ayah saya tak bekerja. Duit gaji mak sebagai cikgu setiap bulan dirampas untuk berjudi dan minum arak. Emak saya meninggal dunia sebab barah rahim masa usia saya 12 tahun tahun. Kami tidak ada duit nak ubatkan penyakit mak.

“Bila ayah tak ada sumber kewangan, dia pinjam daripada along. Kakak saya yang baru berusia 16 tahun menjadi galang ganti membayar pinjaman yang sudah mencecah puluhan ribu ringgit. Masa tu saya baru 13 tahun.

“Ayah saya sanggup melacurkan anak sendiri demi judi dan arak. Saya menjadi saksi kakak saya dirogol along bergilir-gilir. Bukan sekali, bukan dua kali. Saya sendiri tak ingat berapa kali kakak saya menjadi mangsa nafsu serakah jantan-jantan keparat tu sehingga kakak saya mengalami tekanan jiwa.

“Dalam keadaan kakak saya yang sudah hilang akal itu ayah masih lagi ambil kesempatan. Kakak terus dilacurkan, Akhirnya kakak meninggal dunia ketika melahirkan anak yang entah siapa bapanya.

“Selepas kakak meninggal, saya jadi sasaran ayah. Tetapi Allah masih menyayangi saya. Pada malam jahanam itu saya sempat melarikan diri ke rumah penghulu. Ayah ditangkap dan dipenjarakan. Ayah meninggal selepas ditembak kerana cuba melarikan diri.

“Saya ada 1,001 sebab untuk membenci lelaki. Ayah saya menyebabkan kematian dua manusia paling saya sayang, paling saya kasih. Ayah menjadikan saya sebatang kara dalam dunia ini. Ayah saya dan jantan-jantan keparat menjadikan kehidupan kanak-kanak saya penuh sengsara dan derita.

“Tetapi saya tak bencikan lelaki kerana saya tahu masih ramai lagi lelaki yang penuh kebaikan dalam dunia ini. Salah seorangnya Datuk Zakaria. Saya terhutang budi dengan Datuk. Datuk banyak mendidik saya, memberi kasih sayang seorang ayah yang tak pernah saya rasai sebelum ini.

“Datuk membuatkan saya percaya cuma ada segelintir lelaki berjiwa haiwan. Menjadikan saya yakin masih ramai lagi lelaki yang tahu menghargai wanita, yang meletakkan wanita di tempat paling tinggi, yang sanggup melindungi kami.

“Dan encik Zarul membenci perempuan hanya kerana pernah dikecewakan? Shame on you, encik Zarul. Shame on you. By the way, jika encik Zarul tidak mahu teruskan dengan pernikahan ini, beritahu sendiri dengan Datuk dan Datin. Perkara itu tidak akan keluar daripada mulut saya. Bukan kerana saya nak sangat berkahwin dengan lelaki lemah macam encik Zarul tetapi kerana saya tak sanggup hampakan harapan Datuk dan Datin. Saya pergi dulu. Assalamualaikum.”

Zarul terpempan. Mulutnya tidak dapat berkata apa-apa melihat Yasmin laju mengatur langkah meninggalkannya yang masih terpinga-pinga cuba memahami apa yang diperdengarkan kepada sebentar tadi. Ungkapan maaf pun tidak dapat disuarakan.

Sungguh dia tidak menyangka gadis yang kelihatan begitu tegas dan kuat rupanya menyimpan derita yang bukan sedikit. Dan tiba-tiba dia rasa malu yang bukan kepalang. Dia sebenarnya yang tidak layak berdampingan dengan gadis itu.

Min, saya minta maaf.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience