Bab 4

Romance Completed 19208

Hampir tersembur air teh suam yang baru dihirup sebaik wanita yang amat dihormati di depannya membuka mulut. Cepat-cepat ditelan dan akibatnya, Yasmin terbatuk kuat.

Zuraida yang duduk berdepan dengannya segera beralih ke sebelah. Menepuk-nepuk belakangnya. Cawan di tangan diletakkan semula. Bulat matanya memandang Datin Zaharah yang masih menyimpul senyum didepannya.

Rasa hairan dan terperanjat melihat Datin Zaharah dan Zuraida muncul di depan rumahnya petang itu sudah terjawab. Dalam hati dia sudah dapat mengagak. Kunjungan itu membawa hajat cuma Yasmin tidak pernah terfikir hajat itu ada kena mengena dengan masa depannya.

Sangkanya ia berkisar hal pejabat tapi sangkaan itu jauh tersasar. Melencong entah ke mana-mana. Yasmin terkebil-kebil. Tidak tahu jawapan yang bagaimana hendak diberi kepada lamaran Datin Zaharah.

Diluah mati bapa, ditelan mati emak, nak dikulum dia sendiri yang mati.

“Datin…” Ayatnya terhenti di situ sebaik melihat wajah mencerut Datin Zaharah.

“Makcik.” Panggilan segera ditukar dan wajah Datin Zaharah kembali dihiasi senyuman.

“Min tak tahu macam mana nak jawab. Ini berkaitan masa depan Min. Jujurnya Min tak pernah terfikir nak berkahwin dalam masa terdekat ni. Lebih-lebih lagi dengan encik Zarul.

“Makcik jangan salah sangka. Min terharu sangat dengan lamaran makcik tapi Min tak rasa Min calon yang sesuai untuk encik Zarul. Lagipun encik Zarul tak sukakan Min.” Perlahan dia mengatur ayat penolakan.

Datin Zaharah m

enarik nafas panjang. Misi memujuk gadis ini jauh lebih sukar daripada mendapatkan persetujuan Zarul.

Semalam, titisan airmatanya sudah cukup melembutkan hati keras Zarul. Esakannya membuatkan Zarul memberi persetujuan serta merta untuk diikat dengan Yasmin.

Suara lantang Zarul menolak keras jodoh diatur itu hilang sebaik melihat wajah muramnya. Sambil mencium tangan dan memeluknya erat tanda meminta maaf, Zarul menyatakan persetujuan. Walaupun diiringi keluhan panjang, dia sudah cukup lega dengan penerimaan Zarul.

Dia saling berbalas pandang dengan Zuraida. Meminta anak sulungnya itu pula campur tangan.

“Min, kak Ida dan umi tak akan datang jumpa Min kalau Zarul tak setuju. Macam mana Min boleh cakap dia tak suka Min? Kalau dia tak suka, tak adalah dia nak terima Min.”

Yasmin mengangkat kepala. Dahinya berkerut mendengar kata-kata Zuraida. Encik Zarul setuju? Biar betul? Bukanke dia dicop musuh paling ketat lelaki itu? Ini mesti ada unsur-unsur paksaan.

“Betul Min. Takkanlah makcik dan Zuraida nak tipu Min. Kami tak akan datang kalau Zarul sendiri tak setuju.” Datin Zaharah bagai menjawab persoalan yang bermain dalam fikirannya.

Masing-masing terdiam. Datin Zaharah dan Zuraida berdebar menanti jawapan Yasmin dan dia pula masih mencari alasan kukuh untuk menolak.

“Makcik tahukan latar belakang Min. Min bukan…”

“Yang lepas biar lepas. Tak usah nak dikenang. Kita kena tengok depan. Apa yang terjadi bukan salah Min langsung. Tak ada secalit dosa pun pada Min dengan apa yang terjadi.” Datin Zaharah pantas mencelah.

“Betul tu Min. Bukan Min yang minta apa yang terjadi. Latar belakang Min tak menjadi kudis bagi kami sekeluarga. Kami dah jatuh sayang dengan Min yang ada sekarang. Dengan Min yang didepan ni.” Zuraida pula menambah.

Mata Yasmin sudah berkaca. Kebaikan apakah yang dilakukan sehingga Allah mengurniakan ganjaran sebegini besar kepadanya? Adakah ini balasan kepada reda dan sabarnya kepada ujian besar yang menimpa dia?

“Makcik dan pakcik dah tak terdaya nak melayan keras kepala si Zarul tu. Dalam ramai yang makcik perhatikan, entah mengapa hati makcik ni yakin benar Min boleh ubah dia kembali menjadi Zarul seperti dulu. Cuma Min yang boleh isi semula hati dia dengan cinta. Cinta yang dah lama hilang daripada dia. Tolong makcik, Min. Tolong kembalikan anak makcik yang hilang lima tahun ini.”

Yasmin menarik nafas panjang. Dua wanita didepannya ini bukan calang-calang orang. Datin Zaharah boleh saja memilih anak gadis kalangan orang ternama untuk disandingkan dengan Zarul tetapi dia yang menjadi pilihan. Apa istimewanya dia? Dan bagaimana pula dia yang kerap disembur api kemarahan Zarul berupaya mengubah lelaki itu? Siapa sebenarnya Zarul dulu dan ke mana hilangnya anak lelaki kesayangan Datin Zaharah selama lima tahun ini?

Persoalan itu yang dibawa sejak Datin Zaharah dan Zuraida meninggalkan rumah sewa yang diduduki secara percuma kerana Datuk Zakaria mahu dia membayar dengan menjadi penjaga rumah semi D tiga tingkat itu. Persoalan yang ditolak ketepi sebaik dia mengangkat takbir melakukan istikharah memohon diberi petunjuk jawapan yang perlu diberikan kepada harapan Datin Zaharah itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience