Bab 3

Romance Completed 19208

“Kau ok, Min?” Yasmin yang tekun meneliti lambakan fail di depannya mengangkat kepala mendengar suara lembut Diana menyapa pendengaran. Dia mengerutkan dahi. Sedikit tertanya arah soalan itu.

Dia sihat. Apa pulak yang tak kena?

“Aku ok. Mengapa? Nampak macam aku tak sihat ke?”

“Aku maksudkan hati kau tu. Ok ke tak lepas kena sembur dengan si tedung selar tu? Berdesis sakan dalam bilik mesyuarat tadi sampai dengar kat luar ni.” Panjang lebar Diana memberi penerangan.

Yasmin tergelak. Agak tersentuh dengan keprihatinan rakan sepejabatnya itu. Dia juga tahu kes dia dibentak dan dimarah dalam bilik mesyuarat pastinya menjadi gossip hangat di pejabat itu untuk sekurang-kurangnya dua hari lagi.

“Aku tak ada apa-apalah. Kau bukan tak biasa dengan encik Zarul tu. Kalau bab nak mengamuk, tak kira tempat tak kira orang.” Diana mencebik mendengar kata-kata Yasmin.

“Tak kira tempat tu aku setuju tapi bab tak kira orang tu, ada sedikit pembetulan. Kalau yang tegur dia tu perempuan memang dia tak kira. Tapi kalau lelaki, tahu pulak nak menjawab dengan baik.”

Yasmin tersenyum hambar. Satu fakta yang dia dan semua staf perempuan di firma pengiklanan itu cukup maklum. Zarul cuma tidak berani mengangkat suara di depan perempuan yang memegang status ibu, kakak dan adik perempuannya.

“Nak kata bengap, sampai jadi head of advertising, dapat anugerah iklan terbaik sana sini. Nak kata bijak, macam tak ada akal pula. Sebab seorang, semua perempuan dia pandang sebelah mata.” Diana masih lagi merungut kecil sambil menapak balik ke tempatnya.

Mata Yasmin mengekori langkah Diana sambil hati sedikit tertanya-tanya apa maksud ‘sebab seorang, semua perempuan dia pandang sebelah mata’ yang diungkapkan rakannya itu.

Yasmin melepaskan keluhan panjang. Dia sendiri tidak menyangka persoalan mengapa Thailand menjadi lokasi pilihan untuk iklan terbaru yang dibangkitkan rupanya turut memercikkan api kemarahan yang bukan sedikit di hati lelaki itu.

Terkulat-kulat dia diserang bertubi-tubi oleh Zarul sehingga pegawai lain tidak berani bersuara. Cuma dengar campur tangan Datuk Zakaria, barulah Zarul diam. Itupun tidak sepenuhnya. Masih bersisa omelan-omelan kecil sehingga mereka melangkah keluar daripada bilik mesyuarat.

Rasanya tidaklah teruk benar dia mengkritik pembentangan kertas kerja Zarul untuk iklan itu. Dia pun ada hati perut. Bukan Yasmin tidak tahu hampir dua minggu Zarul dan pasukannya berumah tangga di pejabat untuk menyiapkan iklan yang memenuhi hati pelanggan.

Agaknya Zarul ada sejarah luka dengan makhluk bernama perempuan, tebak Yasmin sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience